Monday, July 15, 2019

Formula Husam dan seruan Mat Sabu ke arah kukuhkan kerajaan PH

ULASAN

Husam dan Mat Sabu
lontar idea perteguhkan PH.
DUA pandangan hampir sama maksudnya tetapi berbeza dari segi pendekatan atau teknikalnya telah dilontarkan oleh dua pemimpin tertinggi Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Husam Musa.

Mohamad Sabu menyeru agar PH menguasai sekurang-kurangnya 30 kerusi majoriti Melayu lagi untuk mengimbang kuasa politik antara kaum dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurut Mat Sabu, penguasaan itu juga penting bagi menolak tanggapan yang kerajaan Persekutuan dikuasai oleh bukan Melayu. Dengan menambahkan 30 lagi kerusi Melayu ia akan menghapuskan tanggapan negatif itu.
Sebelum itu Naib Presiden PH Husam Musa mengemukakan formula dengan maksud yang sama, mengajak parti agama (Pam) supaya menyertai kerajaan PH. Menurut Husam kalau Pam menyertai PH, ia dapat menambah pengaruh (kerusi) Melayu dalam PH. Dengan 18 kerusi yang diperolehi Pam kini ia dapat menokok kekuatan Melayu dalam kerajaan PH, serentak itu menyengkang dominasi DAP dalam PH.

Husam tidak menyebut helah politik dan keperluan lebih jauh daripada cadangan itu, tetapi ia bertitik tolak daripada hal sama, disamping untuk mengukuhkan kedudukan Melayu dalam kerajaan. Jika diselami maksud Husam itu ia juga membuka ruang survival politik kepada Pam. Bagi Husam lebih relevan untuk Pam bersama PH berbanding dengan berangan-angan untuk menggapai bulan dengan Umno.

Seperti kita tahu tanggapan berbentuk provokasi dilakukan oleh pembangkang kononnya kerajaan hari ini dikuasai bukan Melayu, tegasnya DAP. Situasi ini dijadikan modal oleh sesetengah pihak sehingga ia merimaskan orang Melayu.

Mengekalkan kerajaan PH.
Kedua-dua cadangan Presiden dan Naib Presiden Amanah itu, baik daripada Husam maupun Mat Sabu kedua-dua bertitik tolak untuk menangkis tuduhan kononnya kerajaan PH kini dikuasai oleh bukan Melayu. Tentu juga natijah terahsianya untuk mengekalkan kerajaan PH dalam pilihan raya akan datang.

Kedua mereka memahami betapa pentingnya undi Melayu sebagai tongkat dan baji dan pasak kepada kerajaan PH. Lagi pun penyertaan Pam dalam PH itu boleh memenuhi impian lamanya (Pam) untuk merasai jadi kerajaan.

Bagi orang Melayu yang sihat, yang melihat kepentingan Melayu bersatu dalam kancah politik hari ini kedua-dua cadangan itu terbaik, khasnya cadangan Husam. Penyertaan Pam ke dalam PH bukan sahaja setakat boleh mengukuhkan kerajaan PH, memberi peluang kepada Pam sendiri tetapi menyelamatkan keadaan Melayu seluruhnya.

Penyertaan Pam itu boleh membuka dimensi baharu kepada orang Melayu atau mengembalikan
keharmonian Melayu seperti tahun 1974 lampau. Itu signifikannya dan lebih penting. Cadangan atau formula Husam lebih praktikal dan mudah berbanding dengan seruan Mat Sabu. Untuk mendapatkan 30 kerusi Melayu bukan hal mudah, manakala sekiranya Pam bersama PH secara automatik PH sudah mempunyai 18 kerusi.

Pada saya, alasan Pam tidak dapat menerima PH kerana DAP adalah disengajakan. Begitu juga alasan kerana Amanah satu alasan yang tidak masuk akal dan bertentangan dengan semangat ukhuwah yang menjadi dambaan Pam selama ini. Kedua-dua alasan itu lebih dilihat berlandaskan kepada nafsu dan kebencian dimana asas itu bertolak dari elemen agama.

Kuatkan Melayu.
Mengenai cadangan Mat Sabu itu, apabila ia mengharap sekurang-kurang 30 lagi kerusi majoriti Melayu, tentulah ia tertumpu kepada kerusi di negeri-negeri dominan Melayu, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah.

Misalnya kerusi di Kelantan dan Terengganu sahaja sudah ada 22 kerusi Melayu. Untuk menggenapkan sasaran Mat Sabu mendapat 30 kerusi, ia memerlukan lapan (8) sahaja lagi kerusi. Kerusi-kerusi itu boleh diraih dari negeri Pahang, Kedah, Perak dan Perlis.

Seruan dan cadangan Mat Sabu antara kaedah untuk menguatkan Melayu. Sememang pun itulah cara terbaik bagi mengimbangkan komposisi di antara kaum dalam parlimen dari dalam PH. Bagaimana pun ia bukan sesuatu yang gampang. Dan apabila sasaran itu dibuat, (dapatkan kerusi Melayu) tentulah harapan dan kerja itu perlu digalaspikul oleh Amanah dan Bersatu kerana dua parti itulah yang genuine parti Melayu. Ia tidak boleh diharap kepada Keadilan apa lagi DAP.

Jadi disini, Amanah dan Bersatu perlu mengambil tanggung jawab itu. Soalnya apakah kedua parti itu mampu dan bersedia untuk mencapai gagasan Mat Sabu itu? Kata orang untuk beli baju kena mengukur dibadan sendiri. Apakah presiden Amanah itu sudah mengukur baju dibadan sendiri, menilai daya bahu untuk memikul beban besar, atau sekadar melepaskan angan-angan retorik?

Pengamatan saya.
Terus terang saya nyatakan dalam situasi hari ini Amanah tidak mampu untuk diharap mendapat kerusi tambahan itu. Apa lagi di Kelantan dan Terengganu yang mewakili 22 kerusi daripada 30 yang kerusi diimpikan itu. Keadaan dan perkembangan Amanah di kedua buah negeri itu nampaknya jauh panggang daripada api untuk mendapat apa disasarkan itu.

Keadaan Amanah di kedua-dua buah negeri itu, kalau tidak digunakan istilah bagaikan “rumput di tepi jalan, hidup segan mati tak mahu” pun sudah baik ketika ini. Namun tidak melampau kalau saya sifatkan Amanah di Kelantan dan Terengganu bagaikan “lembu senak perut”. Apakah hal ini disedari oleh Mohamad Sabu?

Mungkin kerana menyedari kelemahan inilah maka Husam lebih senang membuat ajakan dan mengundang muafakat dengan Pam daripada melontar gesaan cadangan merampas 30 kerusi Melayu menerusi pilihan raya.

Pun begitu sasaran yang dibuat oleh Mat Sabu itu mungkin boleh dicapai sekiranya Amanah dan Bersatu segera bangkit membaiki keadaan mereka. Ada beberapa syarat atau tindakan segera yang perlu dilakukan oleh kedua-dua parti itu khas Amanah.

1. Amanah kena struktur sebaik mungkin posisinya di Kelantan dan Terengganu. Parti perlu diorganise secara professional. Cawangan perlu ditambah dan diperkemaskan.
Khabarnya sudah ada minat dan perhatian daripada kalangan rakyat di kedua buah negeri itu kepada Amanah dan Bersatu. Tetapi disebabkan tidak ada mekanisme mobilize mereka menyebabkan, orang ramai semacam “ternanti-nanti” dan tertunggu-tunggu untuk menyertainya. Kesempatan Amanah dan Bersatu memiliki kerajaan menjadikan mereka menilai sejauh mana kedua parti itu bertindak sebagai parti kerajaan.

Hari ini kedua-dua parti itu di Kelantan dan Terengganu semacam tidak ada blue print untuk kembangkan pengaruh dan kekuatan. Sudah setahun kerajaan PH dibentuk tetapi belum nampak apakah perancangan menyeluruh yang diatur oleh kedua parti itu khasnya dan PH amnya.

Dari pihak Amanah sendiri, berlaku politing sesama sendiri. Tanpa dihebohkan berlaku penghalangan kepada individu atau golongan tertentu untuk menyertai parti itu. Mana-mana kumpulan yang dilihat tidak “semakan” disabotaj dengan cara tidak mendaftarkan cawangan bagi mengelakkan mereka mengambil bahagian dalam mesyuarat peringkat kawasan.

Kerana sabotaj ini menyebabkan ada kawasan yang tidak mempunyai banyak cawangan walaupun sambutan hebat. Sebagai contoh di kawasan Pengkalan Chepa, Pasir Mas dan Tanah Merah hanya beberapa cawangan sahaja.

2. Para pemimpin Amanah khasnya yang menjawat jawatan menteri, timbalan menteri dan pengerusi agensi atau lembaga dan sebagainya, perlu menunjukkan pencapaian mereka yang terbaik. Mereka perlu menjadi pemimpin yang lebih diyakini, telus dan profesional. Keupayaan mereka sebagai pemimpin akan menjadi daya penarik orang ramai untuk menyertai Amanah.

Pemimpin jangan asyik berselfie dan seronok dengan jawatan, atau bergaya dan glamour dengan jawatan itu. Mereka harus bekerja seimbang sebagai menteri dan sebagai pemimpin parti. Ada menteri yang tidak peduli langsung kepada nasib parti apa lagi kerana mereka berada dalam comfort zone di negeri yang tidak bermasalah seperti Kelantan dan Kelantan.

3. Amanah sehingga kini gagal melebelkan diri mereka sebagai parti agama (Islam) untuk menandingi Pam. Keadaan ini perlu diperbetulkan. Malahan dalam beberapa tindakan, kenyataan atau tindak tanduk menteri Amanah melayani isu-isu berkaitan agama tersasar daripada maksud untuk menjadi Amanah parti alternatif kepada Pam. Menteri seharus menggunakan kesempatan dan mengambil peluang kedudukan mereka dalam kerajaan untuk mempamerkan Amanah sebagai parti agama atau Islam.

Badan-badan atau unit yang diwujudkan untuk menampakkan Amanah sebagai parti berorentasikan Islam seperti Nadwah Ulama Nahdah Jadidah (NUNJI) atau Biro Ehwal Syariah masih belum menunjukkan karisma mereka sebagai pengidentiti Islam dalam Amanah. Kedua badan ini juga tidak mengoptimumkan peranan mereka.

4. Dalam konteks Kelantan dan Terengganu, PH perlu diperteguhkan. Hubungan dan perpaduan di antara tiga buah parti itu masih belum berlaku dan masih bersifat nafsu nafsi. Kelemahan gabungan PH ini bukan sahaja di Kelantan dan Terengganu di negeri lain juga. Disebabkan kedua negeri itu tidak dikuasai oleh PH, ia perlu diberikan tumpuan lebih.

Apa disebut itu antara syarat atau penyebab yang perlu dipenuhi dan disedari sekiranya sasaran yang dibuat oleh Mat Sabu itu hendak dicapai. Sekiranya beberapa perkara asas itu tidak dilakukan, agak sukar untuk PH khasnya menerusi Amanah dan Bersatu akan dapat menambahkan kerusi mereka di Kelantan dan Terengganu. [wg.walk. 6:00 pm 15/07/19]

No comments:

Post a Comment