Saturday, July 13, 2019

Membaca teori Husam dalam peralihan kuasa kerajaan PH

ULASAN PETANG

Pemimpin masa depan dalam PH mengikut teori
penyilangan.
CADANGAN yang boleh dinamakan sebagai "Teori Husam" dalam transisi kepimpinan kerajaan PH pasca Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri dikira teori cukup harmoni untuk menjamin kestabilan kerajaan PH di masa akan datang.

Teori itu juga sebagai teori kesenimbungan kerajaan PH dan peralihan kuasa secara tradisi.

Teori ini tidak boleh dilihat sebagai sesuatu yang iseng, sebaliknya sesuatu yang mustahak yang perlu diusahakan agar ia menjadi kenyataan. Ia dilihat sukar tetapi ada logik di situ.
Melalui teori itu, Husam meletakkan Muhyiddin Mohd Yassin sebagai pemimpin penerus masa depan. Husam menamakan Muhyiddin sebagai TPM apabila Anwar Ibrahim menjadi PM.

Peletakan nama Muhyiddin itu sekaligus menenggelamkan nama Mohamed Azmin Ali yang didendangkan tanpa irama kononnya beliau bakal dijadikan pemimpin pasca Mahathir.

Satu ketika nama Azmin naik mencanak, menjulur diri persis teratai dalam tasik cetek, mengembang diri melebarkan kelopak dan sayapnya mempamerkan wibawa diri. Banyaklah unggas dan serangga menghurumi kembang itu untuk mendapat sisa kemanisannya.

Justeru apabila nama Muhyiddin disebut Husam, maka sedikit sebanyak ia menjejaskan impian si teratai itu yang turut sama menimbulkan kemarahan sang serangga dan unggas yang mengharap manisan daripadanya.

Pro dan kontra.
Nampaknya ramai yang memberi reaksi pro dan kontra dengan teori berkenaan yang dicampak Husam. Ada menyifatkan ia adalah satu teori yang strategi. Tidak kurang juga ada menganggap Husam membentuk gelombang yang boleh menghuru harakan keadaan. Bagaimana pun apa disuarakan Husam itu ada nilai dan signifikan tersendiri. Paling penting teori itu demi menstabilkan kerajaan PH dari persepktif siasahnya.

Mengapa dalam teori itu nama Azmin tenggelam terus? Barang kali bagi Penasihat PH Kelantan itu beliau nampak buruk dan baik,  kalau dendangan Azmin untuk jadi Perdana Menteri diteruskan. Lantaran itu ia perlu disejukkan untuk memberi ruang kepada Azmin mengurut diri dan perasaan.

Barang kali juga beliau tidak yakin Azmin mampu menjadi pengganti yang boleh bertindak sebagai ikon menyatupadukan hati, jiwa dan fizikal dalam PH dengan menyaksi gaya Azmin berpolitik. Tentunya setelah menyedari apa yang tidak terfikir selama ini.

Husam tentu menyedari akan risiko yang bakal diterimanya dengan melontarkan teori itu. Teori itu tidak memberi kebaikan kepadanya melainkan akan dicemuh. Para penyanjung Azmin tentu kurang senang dengannya. Itu biasa kepada seorang teoritis sebelum teori menjadi kenyataan dia akan dikritik. Sebelum ini pun Husam pernah mencampakkan "formula" mencadangkan agar Dr Mahathir dilantik menjadi Perdana Menteri sekiranya PH menang.

Cadangan Husam ketika itu dengan mengambil kira beberapa faktor. Faktor pertama inilah memandangkan Anwar masih berada dalam penjara. Faktor lain ialah melihat kepada kekuatan, pengaruh dan sinergi yang ada kepada kedua-dua tokoh itu. Husam yakin kerajaan BN dan Najib Razak boleh ditumbangkan dengan kedua tokoh itu berkolaborasi.

Bukan sedikit yang menentang formula berkenaan ketika itu, ia termasuk daripada penyokong Anwar sendiri dan juga para pemimpin parti komponen PH lain juga. Tetapi apa jadi akhirnya, formula dan pancingan yang dihulurkan Husam itu akhirnya membawa kejayaan. PH menang dan berjaya menumbangkan kerajaan BN, dan Dr Mahathir pula dinobatkan menjadi PM. Secara peribadi Dr Mahathir perlu berterima kasih atas teori Husam itu.

Seperti dikatakan tadi, teori kedua beliau itu, menamakan Muhyiddin sebagai timbalan Anwar, beliau rela menerima risiko kerana melontarkan pandangan itu. Beliau buat begitu demi melihat masa depan PH dengan proses transisi lebih teratur dan munasabah.

Kekuatan pengaruh.
Asas diletakkan Husam melalui teorinya itu senang sahaja. Penggantian atau pelantikan jawatan penting dalam PH harus bersilang sebagai meneruskan apa yang berlaku sekarang. Formula yang ada sekarang perlu diteruskan, dimana PM daripada Bersatu manakala TPM daripada Keadilan.

Husam melihat persilangan ini bukan kerana taraf (posisi) parti tetapi pengaruh dan sinergi yang ada kepada kedua tokoh berkenaan dan juga keluarga mereka. Anwar menguasai Keadilan manakala Mahathir menguasai Bersatu. Tidak dapat siapa menafikan bahawa Anwar menjadi simbol Keadilan manakala Mahathir menjadi simbol Bersatu.

Logik yang diambil Husam untuk mengemukakan teori mudah sahaja ia melihat kepada apa yang ada kepada pemimpin itu. Kedua pemimpin itu matang dan berpengalaman dari konteks jawatan berbanding dengan mana-mana tokoh atau pemimpin pelapis dalam PH yang ada. Seperti juga Anwar, Muhyiddin adalah bekas timbalan perdana menteri. Mereka sudah cukup matang untuk memanggung jawatan berkenaan.
Sebenarnya, gabungan mereka berdua juga adalah kesenimbungan kepada Team Wawasan 2020 yang dibentuk tahun 1993 dahulu atas matlamat mendokong kerajaan Mahathir. Dalam team tersebut Muhyiddin duduk sebaris dengan Anwar, bersama dua pemimpin lain Muhammad Mohd Taib dan Mohd Najib Razak. Team Wawasan sebagai penerus empayar Dr Mahathir dilihat cukup ampuh dan kuat ketika itu.
Muhyiddin juga tidak kekok kalau ditakdir bergabung dengan Anwar untuk mentadbir negara, kerana Muhyiddin pernah berada dalam satu kelompok dengan Anwar dalam pemuda Umno lagi. Muhyiddin tentu dapat membaca idealisme dan juga matlamat serta iltizam perjuangan Anwar. Kesamaan dan keserasian ini memudahkan mereka berkerja.

Bukan itu sahaja, Muhyiddin dilihat seorang yang sedarhana dan waras dalam melihat tragedi menimpa Anwar 1998. Beliau bukan seperti pemimpin lain yang menyerang membabi buta terhadap Anwar untuk menceduk kepentingan diri. Di minggu awal Anwar dipecat, Muhyiddin disebut-sebut antara pemimpin yang akan bersama Reformasi, tetapi tidak jadi. Desas desus itu ada munasabahnya dan menggambarkan Muhyiddin tidak ada masalah dengan Anwar dan cukup simpati terhadap apa yang menimpa Anwar.

Kalau pun Muhyiddin ada terlajak menyerang Anwar ialah ketika awal beliau menjadi timbalan perdana menteri, dimana beliau lantang mengaitkan Anwar sebagai alat Amerika dan bangsa asing. Bertalu-talu beliau membuat kecaman itu mungkin untuk mengukuhkan kedudukannya atau pun biar dilihat selari dengan kehendak bosnya pada waktu itu, Najib. Kerana kesungguhan beliau menyerang Anwar itu saya sempat memanggil namanya menjadi Udin Anak Yassin.

Simpati Muhyiddin kepada nasib Anwar semasa malapetaka menimpa Anwar saya sendiri sempat melihatnya menanti di masjid Damansara untuk menemui Anwar. Seusai Jumaat beliau berdiri di laman masjid menunggu Anwar turun dari masjid untuk bersalam. Malang hari itu Muhyiddin tidak sempat bersalam dengan Anwar kerana Anwar lambat turun disebabkan dikerumuni ramai orang.

Berdasarkan kepada cuplikan sejarah itu dan rententan kebersamaan mereka semasa dalam Umno dahulu menjadikan teori Husam itu tepat. Selain mereka berdua ada persamaan, keduanya pemimpin berprinsip dan tidak mudah melacurkan diri kerana kepentingan diri. Misalnya Anwar sanggup menentang Dr Mahathir apabila dasar dan pendekatan Mahathir berlawan dengan nalurinya.

Demikian juga Muhyiddin tidak sanggup menjadi patung kepada Najib apabila mengetahui Najib menjadi perompak, penyangak dan penipu kepada negara.

Selain daripada latar belakang itu, kemunasabahan kenapa Husam memilih Muhyiddin menjadi TPM ialah kerana mengambil kira pesilangan yang berlaku sekarang ini. Sekarang ini Perdana Menteri daripada Bersatu dan timbalannya daripada Keadilan. Maka adalah elok kalau persilangan terus dilakukan, apabila Anwar menjadi PM beliau daripada Keadilan dan Muhyiddin daripada Bersatu menjadi timbalan.

Dalam teori atau cadangan Husam itu beliau tidak cuba memperpanjangkan kepada pimpinan seterusnya. Apakah selepas berakhir era Anwar dan Muhyiddin nanti, situasi sama akan berlaku - penggiliran dan penyilangan kekal? Kalau mengikut ketetapan PH, tempoh menjawat perdana menteri setakat dua penggal sahaja. Ertinya akan ada penggantian PM selepas itu.

Sekiranya Anwar mengambil alih daripada Dr Mahathir tahun depan seperti mana dikonsensuskan, Anwar hanya akan menjadi PM sehingga 2028, atau dua penggal sahaja. Ertinya selepas tahun 2029 Malaysia akan mempunyai perdana menteri yang baharu.

Sekiranya acuan yang diguna pakai oleh Husam itu hendak diteruskan, bermakna PM tahun 2029 harus hadir daripada Bersatu pula. Dengan mengekalkan penggiliran itu timbalannya tentulah daripada Keadilan. Sama ada Muhyiddin atau sesiapa menjadi PM yang datang daripada Bersatu, bermakna timbalannya perlu daripada Keadilan.

Ertinya selepas Anwar berundur sebagai PM setelah genap dua penggal, pemimpin Bersatu akan mengambil alih. Dalam konteks hari ini, penggantinya adalah Muhyiddin. Dari segi senioriti dalam Bersatu selepas Muhyiddin ialah Mukhriz Mahathir yang kini sebagai Timbalan Presiden Bersatu.

Sekiranya Muhyiddin menjadi PM, menurut penggiliran tadi Mukhriz akan terlepas. Maka untuk mengisi jawatan TPM berdasarkan semangat penggiliran tadi ia boleh datang daripada mana-mana tokoh dalam Keadilan. Dengan mengambil kira bahawa kekuatan PH itu didokong oleh pengaruh pemimpin dan keluarga Mahathir dan Anwar, maka tokoh yang sesuai ialah Nurul Izzah Anwar yang kini merupakan salah seorang Naib Presiden.

Sebaliknya jika mahu mengambil kira tokoh Keadilan diluar keluarga Anwar, mereka seperti Mohd Rafizi Ramli, Saifuddin Nasution Ismail juga layak untuk disenaraikan sebagai pemimpin masa hadapan.

Pun begitu amat mustahil dan terlalu ideal untuk melihat formula penggiliran itu boleh berlaku. Di sinilah parti-parti lain dalam PH seperti Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP juga mempunyai ruang sama untuk memenuhi jawatan tertinggi itu. Mungkin penggiliran itu tidak sesuai lagi untuk 30 tahun akan datang.

Bercakap kepada pemimpin dari parti lain untuk memenuhi harapan itu dimasa akan datang, ada beberapa tokoh yang dikira layak. Misalnya Husam Musa sendiri tidak boleh dilihat sebagai teoritis,  pembentuk tapak untuk laluan orang lain sahaja kerana beliau juga boleh berada dalam tapak kepimpinan masa depan. Selain Husam dari Amanah, Khalid Samad juga tampak ada bakat untuk diketengahkan sebagai pemimpin nombor satu. Tidak terkecuali juga Salahuddin Ayub yang kini adalah timbalan presiden Amanah.

Sementara dari DAP juga tidak kurang mempunyai tokoh yang boleh memenuhi tapak kepimpinan itu. Mungkin politik Malaysia untuk 20 atau 30 tahun lagi soal perkauman, dan sentimen keagamaan tidak lagi meliat dan jumud "seleat tahi kera" seperti hari ini sebaliknya politik menjadi makin rasional. Kerasionalan politik Malaysia waktu itu kita jangan berasa aneh kalau tokoh-tokoh daripada DAP seperti Lim Guan Eng, Anthony Loke atau Tony Pua Kiam Wee juga boleh memenuhi tapak kepimpinan itu. [wm.kl.5:04 pm 13/07/19]

No comments:

Post a Comment