Saturday, December 28, 2019

MCA dan DAP terus sekata dalam hal kepentingan bersama

ULASAN

TINDAKAN Polis membatalkan kongres Jawi yang dirancangkan Dong Jiao Zong di Kajang hari ini adalah tepat dan perlu dihormati semua pihak tanpa menimbulkan apa-apa persepsi buruk. Polis mendapat perintah daripada Majistret Syahrul Sazly Md Sain agar membatalkan kongres dijangka dihadiri 1,000 perwakilan dari berbagai pertubuhan Cina itu. 

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof polis mengambil tindakan itu demi keselamatan awam dan sudah tentu bagi mengelak tindakan daripada pihak yang kurang senang dengan maksud kongres itu diadakan. 

Tentu pihak polis ada maklumat dari risikannya dan punya tafsiran sendiri berhubung kongres itu jika ia diterus seperti mana dirancangkan. 
Bagaimana pun langkah polis itu tidak disenangi oleh dua parti Cina, MCA dan DAP. Mereka seakan sepakat apabila kedua parti itu mempertikai tindakan polis itu dan menuduh tindakan itu sebagai satu diskriminasi kepada kaum Cina.

MCA menerusi Setiausaha Agungnya, Chong Sin Woon mempersoalkan dan menganggap pembatalan itu sebagai satu disksiminasi dengan membangkitkan kenapa kongres Jawi anjuran Cina yang hendak diadakan tertutup itu dibatalkan, tetapi polis membenarkan Kongres Maruah Melayu (KMM) yang diadakan baru-baru ini. 

Keadaan itu beliau menjadikan alasan tindakan polis itu sebagai diskriminasi.  Ada mesej amaran juga daripada beliau apabila memberi peringatan dengan mengatakan menyekat pemikiran manusia lebih bahaya daripada menyekat sungai.

Manakala Ketua Pemuda DAP Howrd Lee pula menyifatkan langkah polis mendapat perintah mahkamah itu sebagai bercanggah dengan hak perlembagaan rakyat Malaysia berhubung kebebasan dan berhimpun secara aman. 

Menurutnya langkah itu sebagai satu reaksi berlebihan dan menetapkan duluan yang tidak baik untuk Malaysia baru.

Hujahnya lagi seperti dilapor, polis sepatutnya tidak menyekat tetapi melindungi hak Dong Zong berhimpun secara aman seperti mana penganjuran kongres maruah Melayu, disamping menegaskan hak untuk berbeza pendapat di kalangan warga adalah tulang belakang demokrasi.

Tampaknya kedua parti yang menjaga kepentingan Cina tidak bersetuju dan tidak sedia mematuhi pembatalan kongres berkenaan walaupun menurut polis ia dibuat untuk keselamatan awam. 

Sepatutnya MCA dan DAP faham dan mengerti serta meletakkan soal ketenteraman awam lebih utama daripada kepentingan politik kepartian. Mereka perlu berhenti menggunakan isu-isu sensitif untuk dijadikan modal murah berpolitik. 

Alasan pembatalan itu sebagai duluan yang tiak baik bagi kerajaan Malaysia baru (PH) seperti dakwa Howrd Lee itu, sesuatu yang menjelaskan kejahilan dan kurang fahamnya ketua pemuda itu soal ketenteraman awam dan tidak nampak akan potensi timbul kekalutan daripada kongres itu jika ia diadakan.

Apakah beliau sengaja membutakan mata kerana mengharap sesuatu yang lain?

Dan dari sudut lain apa yang tampak disini, jelas MCA dan DAP bersepakatan dalam isu-isu kepentingan bersama (Cina) sehingga sanggup meletakkan kepentingan awam (Malaysia) di belakang kepentingan bangsa dan kaum mereka dan dalam masa sama melupai perbezaan ideologi dan pendekatan politik mereka selama ini. 

DAP dan MCA boleh bertentangan dalam sesuatu hal tetapi mereka boleh akrab dan selesa dalam hal-hal lain. Apakah orang Melayu tidak menyedari situasi ini? 

Sesungguhnya sikap dan perangai begini tidak membawa kebaikan kepada Malaysia sebagai sebuah negara milik Melayu mutlak yang telah banyak bertolak ansur. Apapun bagi orang Melayu yang berjinak dengan dunia politik elok meniru perangai MCA dan DAP itu. [wm.kl. 11:05 am 28/12/19]

No comments:

Post a Comment