Tuesday, December 31, 2019

Selamat tahun baru, terima kasih

PERUTUSAN

Salam tahun baru 2020.
ESOK kita akan melangkah ke tahun baru 2020. Ini bererti blog Merah Tinta sudah memasuki tahun ke 13. Alhamdulilah saya masih dapat bertahan untuk mengisi blog ini pada saat sudah ramai blogger meninggalkan dunia blogging kerana lebih minat dan mudah ke media sosial lain, khasnya Facebook, Twitter, Instagram  dan lain-lain.

Ternyata sejak kewujudan pelbagai media sosial, blog kurang diberi perhatian. Antara sebab kerana penulisan dalam blog agak rumit dan bersungguh tidak semudah media sosial lain, Fb, Twitter atau Instagram yang rengkas dan boleh ditulis dimana-mana dan dalam keadaan apa sahaja.

Dalam hitungan saya daripada lebih 1,000 blogger yang aktif tujuh tahun lepas kemudian berkurangan sehingga 500 selepas itu, kini penyusutan makin jelas apabila tidak sampai 100 blogger terus mengaktif atau membuat pengeposan di blog mereka. Setengah blog tidak diaktif lebih lima tahun dan sudah pun ada yangdikafankan.

Walaupun saya ikut sama aktif dalam media sosial lain, tetapi penulisan atau pengisian blog tidak dilupakan begitu sahaja. Bagi saya blog lebih memuaskan dan lengkap berbanding dengan media sosial lain. Blog saya lihat lebih dipertanggungjawabkan. Blog ada peminat dan penceratnya tersendiri.

Dalam blog kita boleh menulis panjang memberi ulasan dan mengupas sesuatu isu semahu kita. Justeru isu atau mauduk yang lebih penting dan serius banyak saya nukilkan dalam blog dan sesuai untuk dimainkan di laman ini berbanding dengan media sosial lain.

Seperti dikatakan tadi dunia blogging, tidak jadi sepopular dahulu lantaran kewujudan berbagai media sosial lain. Kerana itu juga pengisi blog Merah Tinta sejak ke belakangan ini khasnya disepanjang tahun ini relatif berkurangan sekali berbanding dengan dua tiga tahun lepas.

Tahun paling rancak bagi blog saya ini dikemaskinikan ialah pada tahun 2009 dengan sebanyak 672 pengeposan berbagai isu, diikuti pada tahun 2010 sebanyak 623 dan pada tahun 2012 sebanyak 641 pengeposan.

Tahun ini adalah tahun daif sekali untuk blog ini dengan hanya sebanyak 156 pengeposan. Penurunan ketara pengeposan untuk blog ini bermula pada tahun dua tahun lepas 2017 dan 2018 dimana pada tahun itu sebanyak 187 status (2017) dan 170 status ( 2018).

Perincian untuk tahun ini;  Januari dengan (11), Februari (15) , Mac (13), April (11), Mei (13), Jun (14), Julai (13), Ogos (14), September (12), Oktober (13), Novembver (15) dan Disemnvber (12). Ini bermakna status dibuat tidak setiap hari seperti dahulu dimana dahulu bukan sahaja setiap hari tetapi ada mencapai dua atau tiga status sehari.

Sehubungan itu sambutan atau bilangan pageview (pelawat) juga berkurangan yang sangat ketara berbanding tahun-tahun sebelum ini. Banyak atau sedikit pageview (penyelak) sangat bergantung kepada kekerapan pengisian blog dan juga isu-isu yang dibangkitkan. Isu panas dan menjadi perhatian umum menyebabkan blog akan dijengok dan dikongsikan begitu meluas.

Apapun saya mengucapkan terima kasih kepada penjengok setia blog ini yang masih tetap menyelak dan memantaunya walaupun di luar sana masih ada berbagai medium dan wadah lain untuk mendapat maklumat dan info. Ada juga yang tidak senang dengan catatan dan fiil saya yang terpamer dalam blog tetapi tetap juga mengikutinya dan mereka juga adalah penambah bilangan penyelak. Terima kasih.

Selagi ada kudrat dan ada penjengok insya-Allah saya akan terus blogging, yang tentunya bukan sahaja menyampaikan pandangan dan ulasan saya mengenai sesuatu, tetapi sebagai "rakam khanah" kepada apa-apa peristiwa atau mauduk yang disorot. Blog adalah bank simpanan catatan dan tulisan terbaik yang boleh dibuka selagi ianya tidak dipadamkan.

Selamat tahun baru kepada semua penjengok blog Merah Tinta sejak ia dimulakan tahun 2007 hingga ke hari ini. Dan perlu juga saya catatkan disini dalam tempoh itu jumlah pageview blog ini sebanyak 21,779583.Terima kasih atas sokongan dan sama-sama kita berdoa untuk kesejahteran diri, agama dan bangsa.[wm.kl.8:25 am 31/12/19].

No comments:

Post a Comment