Wednesday, June 24, 2020

Subky Latif Pas terhutang jasa dengannya.

BELASUNGKAWA

Semasa menghadiri forum Hari Falsafah Dunia (WPF)
di Kuala Lumpur, 14 November 2018.
PAGI semalam saya menerima WhatsApp daripada dua orang kawan memberi tahu pesanan jemaah masjid Bilal yang memaklumkan Subky Latif yang juga jemaah masjid itu ketika ia bernama surau An Nur, sedang tenat di rumahnya, dan meminta setiap yang menerima pesanan itu berdoa untuk kesejahteraan Subky.


Saya menerimanya dengan sedikit terkeduh dan rasa berat hati. Saya sudah maklum akan beliau sakit dan keuzuran beberapa minggu lalu. Bahkan sudah bercadang untuk menziarahinya, tetapi kerana penyebaran Covid-19 dan halangan PKP menyebabkan hajat itu tidak kesampaian.

Sebaik mengetahui berita beliau uzurnya, saya menghubungi keluarganya, (salah seorang anaknya) untuk bertanya lebih lanjut mengenai kesihatannya. Ketika itu, Subky baru dibawa balik dari rumah anaknya di Kuantan dan berada di rumah di Taman Karak Utama, Kuala Lumpur. Malangnya, saat saya ingin menziarahi, pihak keluarganya tidak begitu menggalakkan untuk menerima tetamu atas sebab-sebab tertentu.

Dan ketika saya menerima WhatsApp mengenai pagi semalam keadaanya tenat memerlukan bantuan pernafasan, saya pula sedang bersiap untuk bermusafir sehari ke Perak bersama sdr Zulaimi Kasin dan dua rakan lain. Sebaik hendak memulakan langkah, tiba-tiba terima WhatsApp memaklumkan Subky sudah kembali di jemput Allah untuk kesisi-Nya.

Mengilankan.

Ketika menziarahi Allahyarham, beliau masih sihat.
Dipertemuan ini ada sesuatu yang Allhyarham harapkan
daripada saya. 
Keadaan sungguh mengilankan kerana tidak dapat untuk sama-sama menziarahi jenazah dan menyembahyanginya. Tiada rezeki saya untuk berbudi dan berbakti buat terakhir kali kepadanya sosok yang kesekian lama saya takhtakan dalam diri sebagai "mursyid".

Saya menyiapkan catatan belasungkawa ini untuk mengenang beberapa moment dan mengangkat kehebatan seorang Subky Latif mungkin yang tidak diketahui umum.

Catatan belasungkawa ini pula terlewat kerana malam tadi sepanjang perjalanan dikocak dan dilambung oleh kereta 4WD, menyebabkan tubuh sakit-sakit dan terasa hendak demam. Tak apa lewat asalkan ada, lagi pun sudah ada beberapa catatan lain oleh orang yang mengenali dan menenangnya bertebaran di media sosial.

Ditangisi semua orang.

Permergian Subky satu kehilangan buat negara dan dirasai semua orang. Setiap orang mengenali Ahmad Subky Abdul Latif (Subky LAtif) baik dari bidang kewartawanan dan politik akan terkesan merasai pemergiannya dalam usia 80 tahun itu. Subky seorang wartawan tokoh dengan cara dan penampilannya tersendiri yang tidak ada bandingan dari beberapa segi. Keistimewaan yang dimiliknya itulah menjadi beliau berlainan dengan rakan dan sahabat wartawan lain.

Justeru warga paling dirasai dengan kehilangan itu ialah golongan wartawan dan penulis politik. Sebagai seorang tokoh beliau adalah pohon yang menuangi semua orang. Beliau bolehlah dianggap sebagai bapak dalam dunia penulis politik dan menjadi pelopor penulisan buku politik. Tanpa disedari dan tidak perlu diiktiraf pun Subky tampil membawa gaya penulisan tersendiri yang menerokai dunia kewartawanan baru berinformatif dan kontroversi khasnya di Malaysia. 

Bahasa penulisannya mudah, rengkas dan bersahaja tetapi mencekik. Sinisme atau jenaka dibuatnya menghibur dan terkena. Subky tergolong dalam kategori penulis yang bersahaja tetapi penuh sinisme. Bacalah kembali catatannya di ruang pojok yang dikenadalikan. Salah satu pojok diingat ialah TUN.

Beliau juga seorang wartawan bukan sahaja kritis tetapi berani menentang arus dan bukan wartawan kapor, itu yang dikesani oleh sdr M Jusof Taib yang pernah berkerja sebumbung dengannya. Kalau beliau wartawan kapor (pembodek) sudah tentu beliau mewah dengan kebendaan dan pangkat serta darjat. Beliau tidak mudah larut dalam idalisme kebangsaan yang menjadi landasan pemerintah walaupun beliau keturunan Melayu (Jawa) dan berhubung dan baik dengan para pemimpin negara tanpa batas ideologi.

Beliau dilihat cenderong kepada siasah Islam ini disebabkan latar belakang pendidikan dan keluarganya yang merupkan agamis. Ayahnya Abdul Latif seorang guru agama dan begitu juga abang Baharuddin Latif yang mempengaruhi idealisme politiknya atau menjadi bendul menjamin beliau istiqamah dengan siasah Islamiah.

Sebagai seorang wartawan beliau tetap berpegang kepada prinsip wartawan yang menulis, melapor bagi menyata dan mempertahankan sesuatu yang dianggap benar dan berprinsip. Namun beliau tetap berperanan dengan penuh bijaksana dan rasional. Sebab itu sepanjang penglibatannya sebagai wartawan maupun politis beliau tidak pernah ditangkap atau pun dipersoalkan menurut mana-mana perundangan. Ini menunjukkan Sukby seorang penulis yang bersifat fatanah.

Atas kebebasan dan keterbukaan itu, beliau tidak menunjukkan cenderong melulu kepada mana-mana tokoh politik seperti lazim berlaku kepada orang lain. Beliau mendekati semua pemimpin kebangsaan (Umno) dan juga Islam (Pas). Walaupun beliau tidak memperakui beliau ada minat dan kagum dengan mana-mana tokoh politik, tetapi dari kesan penulisan dan pemikirannya dapat ditelahi yang beliau seorang pengkagum kepada idealisme Mohd Asri Muda (Allahyarham). Kekaguman beliau ini dapat dikesan melalui sebuah penulisan atau booklet berjudul "Anwar Ganti Asri?," kalau tidak silap.

Melalui tulisan ini pemerhatian dan pendirian Subky mengenai Anwar itu lebih awal daripada mereka yang meminati dan mahu melihat Anwar menjadi pemimpin selepas Dr Mahathir. Beliau sudah lama membuat ramalan bersifat mempengaruhi pemikiran umum agar Anwar memimpin Pas. Dalam hal ini tidak dapat dipastikan apakah Asri yang mahukan Anwar, tetapi yang jelas pengkaitan nama Anwar dengan Pas pernah dipublistikan oleh Subky.

Oleh itu apabila hasrat mahu Anwar memimpin Pas menggantikan Asri itu tidak menjadi, ia tidak menyeronokkan Subky. Penyertaan Anwar ke dalam Umno atas ajakan Dr Mahathir (1992) mengecewakan Subky. Saya mengesani ini apabila tulisan-tulisan beliau yang ada sangkutan dengan Anwar, selepas itu beliau tidak lagi menyebut langsung nama Anwar, melain menyebut secara anynomous. Begitu juga apabila Anwar dipermainkan oleh Mahathir beliau tidak obses membela Anwar.

Begitu pun tidak ada kajian khusus mengenai perubahan sikap Allahyaraham mengenai Anwar ini, atau orang tidak terkesan, tetapi sesiapa mennyelami maksud tulisannya serta membaca enekdotnya dapat berasakan kekecewaannya kepada Anwar. Dengan membaca tulisan mengkritik Anwar setelah Anwar menyertai Umno perubahan sikapnya kepada Anwar jelas.

Maha guru.

Seperti disebut tadi, sebagai pelopor penulis buku politik, gaya baru (popular writing) beliau menjadi guru kepada ramai orang. Setiap mereka apa lagi penulis yang meminati dengan tulisannya, yang membesar dan matang zaman pasca Merdeka adalah mruidnya. Subky tanpa disedari meninggalkan ramai murid dalam sekolah kewartawanan sejagat.

Bukan itu sahaja, sesuai dengan profesionalisnya dalam bidang media dan komitmennya dalam dunia kewartawan, beliau juga muncul sebagai pengasas kepada penubuhan beberapa buah akhbar, khasnya tabloid. Akhbar tabloid ini menjadi pesaing dan protes kewujudan akhbar harus perdana yang dijadikan alat kerajaan. Antara akhbar yang ditubuh dengan penglibatan beliau seperti, Surat Rakyat, Suara Merdeka, Watan dan Harakah. Selain itu juga beliau pernah menjadi penasihat editorial akhbar Siasah. 

Allahyarham memilik sikap sedarhana dalam apa juga aspek. Dalam pergaulan beliau boleh bergaul dengan sesiapa sahaja tanpa mengira darjat. Baginya semua orang adalah rakan dan sumbernya. Yang jelas, beliau boleh berkawan dan menghormat orang lebih rendah daripadanya. Inilah sifat terpuji dan dibanggakan yang ada kepadanya. Ini terbukti bila beliau boleh menulis dan diajak menjadi kolumnis dalam apa juga akhbar atau penerbitan tanpa kira ternama atau tidak.

Kerajiannnya menulis juga seiringan dengan kerajinan petani dan pesawah mengerjakan ladang untuk hidup dan sebagai terapi diri. Pendeknya Subky adalah benar-benar seorang mencintai dan mengkasih dunia kewartawanan seperti diungkapnya pada credit page buku "Anak Apak " Memoir Politik Kewartawanan" - "Saya terdedah dengan alam politik sejak zaman kanak-kanak dan boleh memahami politik sejak alam remaja, tetapi tidak pernah bercadang untuk menjadi orang politik."

Mengenai kesediaan beliau berkawan dengan sesiapa saja, saya adalah buktinya. Walaupun beza usia saya 20 tahun daripadanya beliau tidak menunjukkan perbezaan itu sebagai halangan untuk bertukar fikir dan ajak bersembang. Beliau juga mengekalkan sifat dan ciri wartawan yang bertanggungjawab dimana akan menghubungi sendiri kita untuk mendapat maklumat atau pengesahan mengenai sesuatu perkara. 

Saya masih ingat macam mana beliau meminta bantuan saya untuk membawanya pusing ke beberapa daerah di Kelantan untuk mendekati sikap dan penerimaan rakyat Kelantan di era pemerintahan Tokguru Nik Aziz. Bersama kami, Allahyarham Hassan Shukeri yang merupakan sahabat baiknya saya membantunya untuk membuat tinjauan. Walaupun beliau ada kenalan politiknya di Kelantan tetapi dia memberi keistimewaan untuk berjalan dan bersembang dengan saya mungkin atas sifat saya sebagai penulis yang lebih terbuka.

Panjang kalau saya hendak catat kenangan dan peristiwa bersamanya. Detik awal saya mengenalinya tahun 1978/79 ketika saya menghadiri ke muktamar Pas di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai pemerhati. Disitulah saya pertama kali melihat wajahnya dari dekat yang sebelum ini hanya mengenali namanya sahaja dengan membawa tulisannya di akhbar. Bermula dari  situ persahabatan dengan beliau berpanjangan sehingga dapat pula duduk sebumbung dalam dunia penulisan ketika saya mengendalikan Siasah.

Bagi saya Subky seorang kawan, mursyid kewartawanan politik dan guru yang mengambil berat kepada kawan-kawan dan kenalannya. Semasa saya sakit lima tahun lepas beliau datang ziarah, dan setiap kali diundang menghadiri kenduri kendara tidak pernah ditolaknya. Duduk bersamanya kita seperti berada dalam sebuah perpustakaan yang sarap dengan ilmu pengetahuan dan menjadi kita tidak berasa puas, terhibur dan terus mahu mendengar ceritanya hingga ke bila-bila.

Pertemuan terakhir saya dengan beliau pada November 2018, ketika diwakilkan menyampaikan surat jemputan menghadiri Hari Falsafah Dunia (WHO) yang berlangsung di Kuala Lumpur. Jemputan itu diterima dengan penuh gembira dan paling istimewa saya sempat menginap di satu kamar dengan beliau. (Cerita cerita dalam kamr ini akan dicatat kemudian hari).

Hutang janji.

Saya ada beberapa hutang janji dengan beliau yang tidak sempat ditunaikan. Kami sudah berjanji untuk ke Aceh di suatu tahun. Menurutnya beliau amat teringin untuk ke Aceh khasnya selepas Tsunami. Katanya, beliau belum ke Aceh dan ingin ke sana. Apabila dia mengetahui saya sering ke Aceh, beliau membuka mulut kepada saya untuk menumpangi saya.

Malangnya, jodoh ke Aceh untuk bermusafir bersama tidak kesampaian apabila parlimen dibubarkan pada tahun itu. Tikit, penginapan dan jadual perjalanan sudah disiapkan, tetapi lantaran kerana ada parlimen dibubarkan maka perjalanan itu dibatalkan dan semua perbelanjaan hangus begitu sahaja. Saya berjanji untuk merancang membawanya ke Aceh di lain kali tetapi malangnya tidak terjadi.

Satu lagi beliau pernah meminta saya agar menguruskan menerbit manuskrip buku Syed Jaafar Albar. Beliau meminta saya serahkan manuskrip itu kepada Syed Hamid untuk mendapat komen dan persetujuan. Setelah saya serahkan manuskrip itu kepada Syed Hamid, ia tidak dipulangkan tanpa memberi apa-apa komen. Allahyarham tertanya-tanya mengenai manuksrip itu, apa yang jadi masalahnya manuskrip itu tidak ada salinan.

Makan malam semeja dengan Allahyarham di Forum WPF.
Mungkin kedua janji itu tidak begitu menyedihkan saya, tetapi ada sesuatu yang membuat saya berasakan dukacita apabila mengenangkan pengorbanan beliau dalam politik Pas. Bagi saya tokoh profesional seperti beliau tidak ada dua dalam Pas. Mengenangkan itu saya pernah mengusahakan agar Pas melantiknya sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) menerus quota kerajaan Kelantan dan Terengganu. Secara peribadi saya pernah menyebut kepada Tokguru Nik Aziz mengenai cadangan itu.

Ketokohan beliau sebagai wartawan dan diterima sebagai tokoh dan sifu wartawan memberi kelabaan buat Pas dan pengangkatan sebagai Senator adalah tepat dan layak.

Sayang dengan segala jasa pengorbanan, masa dan menjadi propagandis kepada perjuangan Islam (Pas) beliau tidak pernah dinilai setimpal oleh majikannya. Aset dan keistimewaan yang ada kepadanya tidak dimanfaat dan dihargai. Dua kali saya usahakan tetapi tidak mendapat apa-apa balasan daripada kedua-dua buah kerajaan itu.

Allahyarham apabila saya memberi tahu usaha itu tidak memberi apa-apa komen, tetapi katanya dia mengetahuinya apa lagi saya siarkan cadangan saya itu dalam blog dan juga di akhbar Siasah. Apa yang berlaku dan takdir diterima Subky saya melihat itu sebagai cara Allah mahu mensucikan dirinya sebagai bukan seorang "penerkam kuasa" yang mahukan jawatan dan kedudukan, sebaliknya beliau lebih aman dan berasa indah kekal dengan prinsip diri sehingga tutup usia 23 Jun kelmarin.

Kepada Pas yang kini menjadi sebahagian kerajaan PN harus mengusahakan agar satu gelar dan penghormatan lewat diberikan kepada Subky Latif dengan anugerah mungkin berbentuk hadiah berupa wang ringgit yang nilainya harus melebihi RM500,000. Keluarganya masih ada dan hadiah itu boleh mengubati kedukaan dan keterkilanan keluarga yang mungkin ada apabila sepanjang hayat Allahyarham terlupa untuk dimanfaatkan sebanding dengan kehebatannya.

Tentunya anugerah itu merupakan pengiktirafan kepada Allahyarham sebagai tokoh wartawan dan pejuang (Pas) yang mana ia akan turut dibanggai oleh para muridnya. Angerah itu lebih bermakna daripada mencadangkan untuk mewujudkan sebuah memorial.  [wm.kl. 3: 24 pm 24/06/2020]

No comments:

Post a Comment