Sunday, November 8, 2020

Menjawab kemusykilan Dr Lokman Hakim Sulaiman

REAkSI

Dr Lokman Hakim
Sulaiman

PERSOALAN yang diutarakan oleh Prof Kesihatan Awam daripada IMUKL Dr Lokman Hakim Sulaiman yang tertanya-tanya dengan langkah kerajaan mengenakan PKPB di seluruh negeri di Semenanjung kecuali Kelantan, Pahang dan Perlis, mungkin telah dijawab oleh mereka yang menghadami hujah-hujah dan persoalan dilontarkan Dr Lokman itu.

Mereka yang fasih dan tahu membaca kilat dalam kilau, ada ilmu politik, dimana "terkilas ikan di air sudah tahu jantan bertinanya" dengan mudah memahami kenapa kerajaan mengambil langkah mengenakan PKPB ke atas negeri-negeri berkenaan walaupun ia tidak sepatut dilakukan.

Di sini saya akan cuba menjawab dan menjelaskan dari perspektif saya terhadap kemusykilan diajukan Dr Lokman itu. Beliau mahu tahu apakah kesudahannya (end game) atau mahu dicapai dengan PKPB itu. 

Dr Lokman meragui dan berasa pelik dengan langkah kerajaan mengena PKPB di seluruh negeri kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang kerana menurut pengamatannya perubahan insiden mingguan SAR-CoV-12 di negeri-negeri yang terlibat juga tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara. 

Contoh katanya insiden mingguan di Melaka, Sarawak, Johor, Perak dan Terenganu terlalu rendah sampai tak nampak, menyamai rendahnya insiden di Pahang dan Kelantan, tetapi negeri itu dikenakan PKPB. Kenapa?

Justeru itu katanya apakah matlamatnya dengan PKPB itu. Kalau ia bertujuan hendak memutuskan rangkaian Covid ia amat mustahil kalau pun enam bulan lagi belum tercapai.

Saya nak jawab persoalan Dr Lokman itu secara bodoh begini sahaja. Langkah PKPB itu bukan berdasarkan fakta dan ilmu "epidemolog" seperti mana dikhuraikan Dr Lokman itu. Tindakan PKPB itu hanya sebagai jutifikasi kepada kehendak atau amarah Muhyiddin yang mahu negara didarurat tetapi ditolak oleh Yang diPertuan Agong. 

Jadi untuk menunjukkan tindakan atau permohonan beliau baru ini untuk mendarutakan negara sebagai tepat, maka diadakan PKPB bagi menunjukkan masalah Covid sangat krtikal sehingga menyebabkan beliau memohon Agong mengisytiharkan darurat.

Tindakan PKPB diumumkan semalam itu juga selari dengan langkah dan usaha Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan yang mahukan hanya 80 ahli Parlimen sahaja berada dalam Parlimen pada satu masa.

Tindakan-tindakan itu bukan sangat untuk mengatasi Covid tetapi lebih kepada untuk menyelamatkan kuasa dan diri. Muhyiddin dan kerajaanya kini terdesak dengan kemungkinan Bajet akan ditolak. Muhyiddin sedar atau tidak telah berlindung di sebalik Covid untuk mempertahakan kedudukannya.

Darurat yang ditolak, penguatkuasaan PKPKB yang drastik itu disokong pula dengan Bajet 2011 yang memberi peruntukan RM81 juta kepada egen propaganda kerajaan, JASA. Semua itu untuk mempertahankan diri dan kedudukan Muhyiddin. Tindakan melampau itu membayangkan bahawa Muhyiddin dan kerajaanya kini makin nazak.

Saya perpanjangkan tulisan Dr Lokman di bawah ini:

Prof. Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman
Profesor Kesihatan Awam, IMUKL
Mantan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), KKM sebelum besara pilihan pd 2017
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1167080443708064&id=100012183584867

Saya tak faham mengapa PKPB dilaksanakan seluruh negara kecuali Kelantan, Pahang dan Perlis dan sehingga sebulan sekali gus. Atas pertimbangan apa tindakan drastik ini diambil? Kecuali Sabah dan Labuan, saya tak nampak sebarang perubahan ketara yang luar biasa dalam insiden kumulatif SAR-CoV-2 (Rajah 4).

Perubahan insiden mingguan SAR-CoV-12 di negeri-negeri yang terlibat juga tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara (Rajah 5). Insiden mingguan di Melaka, Sarawak, Johor, Perak dan Terenganu terlalu rendah sampai tak nampak, menyamai rendahnya insiden di Pahang dan Kelantan. Namun tetap dikenakan PKPB.

Sekalipun jika dikeluarkan negeri “outlier” (Sabah & Labuan) seperti di Rajah 6, insiden di Melaka, Sarawak, Johor, Perak dan Terengganu adalah rendah di bawah 5 per 100,000 penduduk seminggu. Bagi yang faham ilmu epidemiologi, keputusan untuk melaksanakan PKPB berdasarkan angka sebegini adalah terlalu drastik dan keterlaluan. Malah Kedah yang sudah menunjukkan tren penurunan yang signifikan turut dikenakan tindakan yang sama.

Hatta bagi Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, apakah PKPB menyeluruh seluruh negeri satu-satu jalan mengawal keadaan? Apakah PKPP (dipertingkat) terhadap mukim atau kejiranan yang bermasalah tidak boleh dilaksanakan, yang sudah tentu memberi impak ekonomi yang lebih sederhana berbanding PKPB menyeluruh?

Timbul pertanyaan apakah sebenarnya “end game” yang ingin dicapai melalui tindakan ini? Apakah kita mahu memutuskan langsung penularan virus ini dalam masyarakat melalui PKP? Jika itu matlamatnya, saya katakan ia ADALAH SESUATU YANG MUSTAHIL dicapai dalam tempoh 6 bulan sekalipun, tampa adanya vaksin dan ubat yang berkesan. Jika dilaksanakan selama 6 bulan, saya jamin ekonomi Malaysia akan lumpuh.

Jika sekadar untuk menurunkan insiden, apakah paras insiden yang hendak dicapai? Jika insiden di Johor antara 0.2 hingga 1.5 per 100,000 penduduk seminggu sudah dianggap tinggi dan perlu melaksanakan PKPB, apakah angka yang hendak dicapai sebelum PKPB boleh ditamatkan, 0.5 per 100,000 penduduk? Penentuan “end game” ini amat penting bagi mengukur kejayaan sesuatu tindakan. Rasional bagi penetapan angka ini mesti berasaskan bukti (evidence-based public health intervention).

Mungkin ada bukti-bukti epidemiologi yang hanya kerajaan saja yang tahu dan tidak boleh dikongsi dengan umum. Saya berharap ia benar-benar bukti yang kukuh. Saya juga berharap, kerajaan mengambil kira keberkesanan kos bagi setiap strategi yang dilakukan. Saya dan beberapa pakar kesihatan awam lain telah berulang berulang kali mencadangkan agar dikaji semula kaedah mengurus wabak ini. Keberkesanan kos wajar dijadikan landasan dalam membuat keputusan. Kaedah yang lebih kos-efisien mengelakkan pembaziran bagi mencapai hasil yang sama.

Lebih berat, jika rakyat sudah tekun melaksanakan SOP solat berjemaah, apakah kewajarannya ditutup semua masjid termasuk di kawasan tidak bermasalah? Sejak PKP yang lalu, dan selepas masjid Sri Petaling, di masjid mana telah berlaku kluster Covid-19? Kita cukup sensitif, hanya satu kes di kalangan jemaah, seluruh masjid ditutup sedangkan tiada cluster yang terjadi. 

Dan kini berdasarkan SOP PkPB, seluruh negara kecuali di 3 negeri ini, aktiviti ibadah berjemaah dihentikan untuk tempoh 1 bulan lagi (kami di Lembah Klang dah nak masuk bulan ketiga). Allah menguji siapa sebenarnya? Saya terpanggil membangkitkan isu ini kerana saya mempunyai sedikit ilmu dalam bidang epidemiologi penyakit berjangkit dan saya mempunyai keraguan mengenai kewajaran tindakan menutup masjid di negeri-negeri terlibat di bawah PKPB sekarang ini. Saya dengan ini menyuara pandangan sayabdan berlepas tangan dari keputusan yang diambil. Moga Allah mengampuni dan melindungi saya dan kita semua.

Sekadar memberi pandangan peribadi dan tidak mewakili mana-mana pihak.

LHS08112020.
[wm.kl.2:05 pm 08/11/2020]

No comments:

Post a Comment