Friday, November 6, 2020

Rakyat Kelantan perlu berani untuk bela diri sendiri.

SUSUPAN MALAM

HARI ini ada ruang sedikit untuk mengisi blog setelah sibuk meyiapkan buku baru beberapa hari lepas. Apa yang hendak disentuh dalam post kali ini mengenai cadangan kerajaan Kelantan untuk meluluskan rang undang-undang bertujuan untuk meminda Enakmen (Saraan) Anggota-Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri 1980.

Tujuan pindaan ini adalah untuk membolehkan saraan atau gaji pokok wakil rakyat Kelantan dinaikkan dari RM3,000 hingga RM5,000. 
Hari ini setiap orang wakil rakyat Kelantan telah menerima elaun sebanyak sekitar RM8,000 hingga RM15,000 hasil semakan Enakmen berkenaan pada 2015. Sekiranya pindaan dicadangkan itu diluluskan membolehkan wakil rakyat Kelantan akan menerima gaji antara RM10,000 hingga RM25,000 seorang.

Ekoran cadangan itu ada beberapa buah NGO seperti PKPIM melihat cadangan itu sebagai tidak munasabah dan mengharap kerajaan sepatutnya lebih memikirkan soal nasib rakyat dalam waktu Covid ini daripada memikirkan kenaikan gaji atau elaun mereka. 

PKPIM Kelantan menerusi Yang diPertuanya Muhammad Aqil Iqbal Mohd Zulkifili berpendapat kerajaan lebih wajar memikirkan soal untuk menyediakan pekerjaan kepada penganggur dan juga memikirkan masalah ekonomi rakyat bukannya membuat semakan untuk menaikkan elaun dan gaji.

Parti pembangkang juga turut sama membuat protes dan mengatakan dukacita ke atas cadangan itu.

Protes dan bangkangan terhadap cadangan pindaan rang undang-undang  itu memang kena dan wajar, kerana kerajaan Kelantan sepatutnya afdal atau lebih cakna memikirkan rakyat dahulu baru mengenai diri mereka. Namun saya tidak fikir ianya akan didengar oleh pihak kerajaan Pas Kelantan. Pindaan itu tetap akan diluluskan secara sebulat suara. 

Sebelum ini berbagai protes dan bantahan terhadap langkah-langkah diambil oleh kerajaan Pas Kelantan yang dikira membebankan rakyat tetapi ia berlalu begitu saja bagaikan angin lalu. Kerajaan seakan tidak "berdegis" langsung dengan kritikan dan bantahan itu semua. 

Sebenarnya banyak isu-isu belum selesai di Kelantan dan sering menjadi perdebatan malahan diejek oleh orang luar. Misalnya masalah air bersih yang sudah berlarutan berdekad-dekad. Dahulu kerajaan memberi alasan kerana tidak ada wang untuk menyediakan air bersih, tetapi kini setelah mendapat wang royalti, tetapi masalah air masih juga berlaku.

Masalah air menjadi bahan protes dan ejekan berkabuk oleh rakyat. Masalah air memalukan negeri Tok Kenali itu di mata orang luar terutamanya mereka yang melancong ke Kelantan. Macam-macam cara rakyat lakukan untuk menarik perhatian kerajaan agar mengatasi masalah itu. 

Ada yang merakam air keluar daripada paip seperti air tea "O" dan tea tarik, Milo atau Nescaffe dan sebagainya. Ada yang mengusung "legel" (drum) untuk tadah air hujan apabila Menteri Air dan Alam Sekitar Tuan Ibrahim Tuan Man cadangkan agar ambil air hujan kerana ia bersih bersifat air mutlak.

Tetapi segala kritikan dan suara kesedihan dan jeritan itu tidak dipedulikan. Selain maslah air, kerajaan Kelantan juga dipersoalkan mengenai tanggungjawab mereka yang lain. Masalah banjir, masalah penyeludupan, kebersihan, pil kuda, ganja atau masalah-masalah sosial lain dan sebagainya. 

Tetapi semua kebimbangan terhadap masalah dan gejala itu tetap juga tidak dipedulikan oleh kerajaan dan diambil sambil lewa sahaja. Tidak ada tindakan atau pelan khas dibuat oleh kerajaan negeri untuk mengatasi segala masalah itu. Sebaliknya ada yang meletakkan kesalahan berlaku itu ke atas bahu kerajaan Persekutuan. Hari ini alasan itu tidak relevan lagi kerana kerajaan Persekutuan juga didukung bersama oleh Pas.

Demikian juga dengan pelbagai cukai dan kenaikan tarif bayaran dikenakan terhadap rakyat, seperti cukai pintu, cukai tanah, masalah parking dan sebagainya, dinaikkan "berdecun-decun" sampai membebankan rakyat. Rakyat protes tetapi ia tetap tidak dipedulikan. Rakyat terus ditimpa dengan beban asmara itu.

Ohya, sebelum ini juga langkah kerajaan membeli 14 buah Mercedes-Benz untuk kegunaan Exco, MB dan TMB juga menjadi isu dan dipersoalkan. Rakyat mempersoalkan apakah keperluannya membeli kenderaan mewah itu. Paling mengejut dan menimbulkan kemarahan orang ramai apabila kerajaan beri pula wang poket RM50,000 seorang kepada Exco kononnya untuk membantu rakyat? 

Nampaknya protes dan bantahan rakyat itu tidak memberi apa-apa kesan. Suara rakyat Kelantan kepada kerajaan macam suara anjing menyalak Bukit Marak sahaja. Justeru sudah sampai untuk rakyat Kelantan menggunakan mekanisme lain untuk membela diri mereka sendiri dan bagi memastikan kerajaan Pas Kelantan tidak bertindak sessuka hati dan mengambil berat terhadap mereka. 

Sebelum itu rakyat Kelantan perlu tahu kenapa kerajaan Kelantan menjadi degil dan bebal begitu? Tentu ada sebab-sebabnya yang kerajaan Kelantan jadi macam lembu kenyang bila berhadapan dengan kritikan rakyat? Di sini rakyat Kelantan mungkin terlupa untuk membuat penilaian dan menyedari kenapa kerajaan Kelantan jadi pasif terhadap suara mereka. 

Sebenar jawabnya mudah sahaja, ianya terjadi demikian kerajaan Pas Kelantan berada dalam keadaan selesa dengan kemenangan besar dalam pilihan raya lalu. Mereka tidak perlu bimbang dan takut dengan segala kritikan dan desakan itu kerana ia tidak mengugatkan kedudukan mereka. Jeritan rakyat tidak berbekas pun kepada mereka. 

Dalam politik yang penting bukan dapat memenuhi kehendak rakyat, tetapi mengekalkan kuasa. Pemikiran itu yang terpasak dalam kepala orang politik penguasa di Kelantan. Kerana kalau mereka takut pasti mereka alert kepada rintihan rakyat. Jadi kalau kedudukan dan kuasa mereka sudah stabil untuk apa mereka pedulikan suara rakyat.  

Pas yang memerintah Kelantan sejak tahun 1990 dan sudah 30 tahun. Ia tidak perlu bimbang dengan kekuasaan mereka di Kelantan hari ini tergugat. Kedudukan mereka dalam DUN sedikit pun tidak terancam dan terganggu bila mana DUN Kelantan telah sifar pembangkang sekarang ini apabila Umno sudah bersama mereka. Dahulu ada juga seorang DUN pembangkang yang memantau tindak tanduk kerajaan dan mengkritik dan merekodkan kritikan dalam handsart DUN, tetapi kini tidak ada lagi. 

Lapan orang Adun Umno yang menang dalam Piraum 2018 dulu, bertindak menjadi pembangkang kini sudah berpelukan dengan Pas. Mereka tidak boleh lagi diharap untuk menegur kerajaan Kelantan dan membawa suara nurani rakyat. Mulut mereka juga sudah jadi "birat birung" semuanya. Pindaan Enakmen dicadangkan itu juga tentu mendapat sokongan padu daripada mereka. Kerana mereka lebih mementingkan tembolok mereka berbanding perut kempis rakyat.

Solusi untuk mengatasi masalah masih ada. Caranya ialah dengan menghadirkan pembangkang dalam DUN Kelantan dalam pilihan raya akan datang. Dengan cara ini sahaja baru suara dan kritikan mereka akan diguna pakai. Untuk ini rakyat kena berani dan sedia melakukan perubahan, melakukan reformasi. 

Justeru dalam pilihan raya akan datang, rakyat Kelantan perlu mempersiapkan suara mereka menerusi pembangkang, Rakyat Kelantan kena pastikan dalam 45 orang Adun itu ada pembangkang. Kalau mereka tidak tergamak untuk menukar kerajaan kerana percaya Pas parti agama, dan rela untuk terus minum air paip berwajah tea tarik, Milo dan Nescaffe itu cukuplah dengan menghantar seorang dua pembangkang di DUN Kelantan untuk menjadi suara mereka dan memperjuangkan masalah rakyat seluruhnya.

Hanya dengan adanya pembangkang yang mengkritik secara rasmi dalam DUN Kelantan sahaja baru ia dapat menyedarkan kerajaan yang berada dalam keadaan selesa laksana ular sawa kekenyangan itu. Jadi masalah dan beban terpikul di pundak rakyat Kelantan tidak akan selesai dan menjadi ringan kalau mereka tidak berani bertindak dan membuat aksi politik di Kelantan. [wm.kl. 8:39 pm 06/11/2020]

No comments:

Post a Comment