Tuesday, December 8, 2020

Kerajaan baru Perak masih belum ditubuh

POLITIK PERAK 

PERKEMBANGAN politik di Perak masih menjadi tanda tanya, bagaimanakah rupa bentuk kerajaan baru yang akan ditubuh nanti. Persoalan masih bermain dalam kepala, siapakah yang akan menjadi MB baru Perak selepas Ahmad Faizal Azumu ditumbangkan menerusi undi percaya, Jumaat lalu. 

Umno yang dituduh mendalangi kerja menjatuhkan Faizal alias Peja sudah tentu berkehendakkan jawatan itu. Nama Adun Tampan yang juga Pengerusi Umno Perak Saarani Mohamad disebut-sebut akan menjadi MB. 

Pagi tadi beliau dilaporkan telah menghadap Sultan Perak, Raja Nazrin Shah bersama presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Umno khabarnya mencalonkan satu nama sahaja, walaupun ada dua nama lain disebut-sebut, selain Saarani, Zambry Abdul Kadir dan Shahrul Zaman Yahya. Namun peluang Saarani lebih besar memandangkan beliau adalah pengerusi Umno Perak.

Zahid pun mengakui kesemua Adun Umno menyatakan sokongan kepada Saarani. 

Bagaimana pun kedudukan Saarani itu masih belum muktamad lagi. Raja Nazrin akan memanggil menghadap wakil rakyat Bersatu dan juga Pas untuk mendapat pengesahan apakah mereka menyokong atau tidak nama dicadangkan Umno itu. Pas ada tiga (3) orang Adun sementara Bersatu tiga (3) dan dua calon bebas. Saarani atau Umno memerlukan 30 kerusi untuk mendapat majoriti mudah bagi menubuhkan kerajaan.

Sokongan daripada Bersatu dan Pas sangat diperlukan untuk membolehkan kerajaan ditubuhkan dengan Saarani sebagai Menteri Besar.

Tanpa sokongan Pas (3) dan Bersatu 3 serta Bebas, Saarani tidak boleh mengangkat sumpah sebagai MB. Sebelum ini ada ura-ura yang PH akan memberi sokongan kepada Umno. Kononnya kerajaan bakal ditubuh Umno itu akan disertai sama oleh PH. PH mempunyai 24 kerusi, terdiri daripada DAP 16, Amanah 5 dan PKR 3. 

Bagaimana pun penyertaan PH itu menimbulkan masalah, apabila Umno tidak mahu menerima DAP untuk duduk dalam kerajaan. Dalam keadaan nyawa-nyawa ikan Umno masih menolak dan membenci DAP. DAP pula menyatakan kesanggupan mereka menyokong Umno hatta tanpa menyertai kerajaan kalau diundang, menjelaskan parti itu  bersikap terbuka dan redha. Apa yang penting bagi DAP ialah Faizal tidak menjadi MB. 

Sebenarnya, kalau setakat itu kemahuan DAP ia tidak membawa manfaat besar kepada parti yang dianggap Chauvenis itu. Sudah tentu dengan sedia menyokong Umno itu DAP ada perkiraan lain yang lebih melabanya. Politik orang Cina berbeza dengan politik Melayu yang pelahap jawatan. DAP saya sebut Cina kerana ia berasaskan semangat Cina. 

Sementara itu perkembangan terbaru seperti mana dilaporkan lewat petang ini, kemelut politik di negeri Yeop itu masih belum selesai. Pas dan Bersatu yang diperintah mengadap Sultan Perak tidak berbuat demikian. Apakah ketidaksediaan kedua parti itu mematuhi arahan Sultan  boleh dianggap sebagai derhaka? Ini menyebabkan Raja Nazrin masih belum berpuas hati parti mana yang berhak untuk membentuk kerajaan kerana tidak mendapat jawaban daripada Bersatu dan Pas. 

Langkah Sultan Perak itu menunjukkan baginda bersikap profesional dan penuh keadilan. Apabila Sultan tidak dapat memutuskan kedudukannya MB, bermakna tidak ada mana-mana parti yang diyakini oleh Raja Nazrin untuk memberi perkenan dilantik sebagai MB.

Apa yang dapat disimpulkan disini, pergolakan dan kemelut politik Perak itu tidak mudah untuk diselesaikan dan diamankan. Jalan terbaik ialah dengan membubar Dewan Undangan Negeri bagi diadakan pilihan raya. Biarlah rakyat menjadi hakim yang maha arif untuk menentukan parti mana, atau gabungan mana berhak untuk menubuh kerajaan. Itu adalah option terbaik. 

Apakah kemelut itu akan berakhir disitu, dengan pembubaran DUN Perak? Atau esok ada keputusan muktamad. Pasnya malam ini perundingan dan perbincangan masih diteruskan lagi. Orang Perak tentu tidak dapat melelapkan mata terutamanya mereka yang merasakan dirinya akan dilantik menjadi MB. Bagaimanapun bekas MB Peja, sudah boleh main guli atau memancing di Sungai Perak. 

Di sini hanya ada satu formula sahaja untuk menyelesaikan kemelut yang sudah berlarutan lebih 72 jam itu. Semua pihak perlu melupakan ideologi dan perasaan serta cita-cita masing-masing dan meletakkan kepentingan rakyat dihadapan.  Perkara pokok ia tubuh kerajaan. Caranya dengan menubuhkan kerajaan bersama atau kerajaan perpaduan (Unity Government).

Dalam kerajaan itu semua wakil parti perlu ada. Manakala pembahagian jawatan bergantung kepada jumlah kerusi. Disebabkan Umno mempunyai kerusi terbanyak (25 kerusi), elok dan kena kalau MB diserahkan kepada Umno. DAP pula yang ada 16 kerusi perlu diberikan jawatan sepadan dengan kekuatannya membuntuti Umno. Jangan persoal siapa dan apa DAP itu. Soal bangsa dan rasisme tidak wajar diperhitungkan dalam situasi kini. 

Manakala parti Amanah kedua terbanyak yang mempunyai lima kerusi harus mendapat jawatan lebih banyak daripada PKR dan Pas, yang hanya memiliki tiga kerusi. Harap orang politik Perak pandai matematik. Sementara wakil bebas elok lempar sahaja ke dalam Sungai Perak, tidak guna langsung.

Kalau parti-parti politik gagal untuk mencari kata sepakat, kemelut di Perak itu sukar untuk diatasi dan ia memberi kesan kepada rakyat dan negeri. DUN Perak perlu segera bersidang untuk meluluskan Bajet 2021. 

Apa menjadi masalah kepada Umno ini ialah kerana mereka tidak diberi ketegasan oleh Bersatu dan Pas. Bersatu semacam mahu membalas pengkhianatan Umno kepadanya. Bersatu tentu tidak mudah untuk menyapu luka apabila MB mereka disingkir. Sementara Pas pula yang sudah "cepelak" (salah mulut) dengan mengatakan tidak akan sertai kerajaan baru kalau ia diketuai oleh Umno sukar untuk menyatakan sokongan kepada Umno. Pun kalau Pas dengan kekuatan tiga Adun sokong, Umno masih gagal untuk menubuh kerajaan. 

Apakah Saarani tidak disenangi dan mudah untuk diterima sebagai MB oleh Bersatu kerana beliau dikatakan sebagai dalang menjatuhkan Faizal Azumu melalui undi percaya itu? Kalau benar begitu, mungkin Umno boleh ubah memilih Adun lain untuk jadi MB, dimana tokoh yang boleh mengurangkan rasa marah Bersatu dan yang pastinya agar kerajaan dapat ditubuhkan. 

Bekas MB Zambry Abdul Kadir, dikira orang paling sesuai untuk diangkat sebagai MB, tambahan beliau juga dikatakan disenangi oleh pihak Istana dan sudah mempunyai pengalaman memimpin Perak.

Sehingga saat catatan ini dibuat belum ada tanda-tanda kemelut dan pelantikan MB Perak baru dapat dibuat. Malam ini eloklah semua terlibat buat istikharah, barang kali termasuknya oleh wakil DAP. [wm.kl.8:20 pm 08/12/2020]

No comments:

Post a Comment