Thursday, December 10, 2020

Zahid undurlah, usah jahanamkan Umno

ULASAN MALAM

Wak sila berundurla...
ESOK Adun Kota Tampan Saarani Mohamad dijangka akan mengangkat sumpah sebagai MB Perak yang baru. Khabarnya Sultan Perak, Raja Nazrin Shah sudah memberi perkenan ke atas pelantikan itu. Sehubungan itu kemelut politik di Perak selama tujuh hari dikira khalaf, berakhir.  

Menanti kemelut politik di Perak berakhir berpeluh dan berkeringat juga dahi orang politik. Tetapi tidak dengan saya, sebab sudah mangli dengan dunia politik ini, apa lagi di Perak. 

Perak mencatat sejarah negeri di Semenanjung yang berpolot dan bercepuah dengan daki-daki dan noda politik busuk, jatuh menjatuh dan guling mengguling.

Kemelut di Perak itu menjadi perhatian dan ditunggu-tunggu oleh banyak orang kerana implikasinya dikira akan terbawa ke Kuala Lumpur. Kononnya kalau berlaku permuafakatan Umno dengan Pakatan Harapan (PH) di Perak, ia juga akan berjangkit ke Kuala Lumpur. 

Ura-ura itu sempat menjadikan Muhyiddin Yassin diulit kegerunam dan menjadikan tidurnya tidak nyenyak buat seketika. Terkaba-kaba. Peramal politik dan mereka yang mengharap kepada perubahan kerajaan di Perak menghitung dan menghisab, selepas wujud penjajaran politik baru di Perak, ia akan berlaku pula di Kuala Lumpur. 

Bagaimanapun apa diimpikan itu tidak menjadi kenyataan, harapan termusanah di tengah jalan menjadi bak mimpi terganggu dek siang apabila Umno yang berhak menubuh kerajaan Perak masih menggunakan formula dan pakatan lama, bersama Bersatu dan Pas bukan bersama PH. PH yang menanti hari raya untuk menyorakkan Pas dan Bersatu jadi teralat.

Sungguh pun begitu penyelesaian kemelut di Perak itu tidak membawa kedamaian kepada semua orang. Apa yang berlaku telah meninggalkan kesan kejiwaan besar kepada beberapa oknum. Bahkan dengan kaedah penyelesaiannya telah menimbulkan implikasi lain pula. Kemelut tujuh hari itu meninggalkan titik hitam dan kecaman, khasnya kepada Presiden Umno Zahid Hamidi. 

Walaupun orang yang dilihat bersedih dengan kemelut itu dan perlu berdukacita da adalah Ahmad Faizal Azumu kerana beliau yang yang hilang jawatan dan dijatuhkan dengan penuh keaiban, undi percaya ke atasnya ditolak 48 dan hanya 10 menyokong sungguh memalukannya. 

Tetapi kesan jiwa lebih teruk dihadapi ekoran kemelut di Perak itu adalah Zahid. Zahid tanpa disedari apa yang berlaku itu telah menghancurkan bukan sahaja maruah dirinya sebagai pemimpin tetapi martabat Umno sebagai parti terunggul di negara ini juga tercemar. 

Semua orang tahu dan baca kemelut politik di Perak, untuk menjatuhkan Faizal itu atas restu beliau sebagai presiden Umno. Ia tidak akan berlaku, Adun Perak tidak akan berani melakukan sesuatu tanpa restu daripada beliau. Beliaulah yang menjadi penanggungjawabnya. Seperti ada sesuatu yang beliau hendak lakukan dengan kemelut itu dengan membawa atau mengemukakan pembaharuan dalam politik.

Sebaik Faizal jatuh, Zahid sebagai presiden Umno menjanjikan akan membuat pejajaran baru (mewujudkan senario ) baru politik di Perak yang keluar dari paradigma lama. Beliau menyebut kerajaan baru yang akan dibentuk nanti akan membabitkan semua parti-parti politik. Ertinya beliau ingin keluar daripada kepungan dominasi PN yang dikuasai oleh Bersatu yang dilihat sebagai racun buat Umno. 

Dengan penjajaran itu beliau cuba hendak membentu kerajaan perpaduan (Unity Government) dengan penyertaan PH bersama. Kenyataan dan idea perwujudan kerajaan UG itu ditunggu dan disukai ramai. Ramai orang mengalu-alunya dan bakal dilihat sebagai eksperiman olehnya. Setidak-tidaknya dengan idea itu ia boleh mengurangkan politiking yang merugikan rakyat dan negeri.

Mereka yang mual dan naik loya dengan perebutan kuasa dan jatuh menjatuh, mengamalkan politik kepartian yang sempit dan lapok senang dan gembira dengan idea disebut Zahid itu.

 Lebih-lebih lagi dalam suasana negara diancam pandemik Coronavirus ini. Cadangan Zahid itu dilihat pembaharuan politik profesional. Lantaran itu ia disambut baik oleh PH yang kehilangan kerajaannya sebelum ini. Dengan pelan itu PH merasakan ia sebagai penawar kepada kedukaan atas kehilangan kerajaan apabila dikhianati oleh rakan-rakan sendiri. DAP menjadi pihak paling gembira dan bakal mengutip laba daripada agenda itu. Idea itu akan mewujudkan suasan baru dalam hubungan politik orang Cina dengan Melayu di Perak. 

Selama ini DAP dilihat sebagai mewakili golongan Cina yang tidak disenangi Umno yang mewakili Melayu konservatif. Keadaan Melayu dan Cina tegang kerana idealisme berbeza kedua paerti ini. Bagi Umno, DAP adalah musuh agama dan bangsa mereka. 

Apabila DAP dipelawa untuk sama-sama membentuk kerajaan dirancangkan Zahid itu ia dapat menghuraikan kekusutan dan stigma buruk yang sudah lama bersarang di kepala antara kedua pihak itu Umno dan DAP. Dengan cara itu juga perasaan kebencian (feelings of hatred) antara Melayu dengan Cna dapat diuraikan. Kerajaan UG itu akan lebih menjamin kemantapan kerajaan dan bergerak memajukan Perak.

Jauh daripada itu kerajaan dirancangkan itu akan menjadi model kepada pembentukan kerajaan Persekutuan kelak. Itu diharapkan khas oleh mereka yang tidak ekstrem (memerut) dengan parti politik.

Bagaimana pun apa diimpi dan diharapkan itu musnah di tengah jalan. Semuanya adalah kerana ulah Zahid Hamidi yang tidak boleh dipegang buku dan konsisten dengan pendiriannya apabila beliau telah mengubah haluan menerima kembali Umno dan Bersatu. Beliau memungkir janji dan nekadnya sendiri. Perubahan dibuat Zahid itu adalah untuk memastikan Umno boleh menubuhkan kerajaannya sendiri bersama Bersatu dan Pas. Tetapi dari sisi lain ia telah mencemarkan dirinya sendiri.

Mungkin beliau ada perhitungan lain dan demi untuk melihat kerajaan Perak itu didominasi Melayu tanpa ada DAP sama yang dianggap najis oleh Melayu kolot. Itulah aspirasi dan kehendak akar umbi Umno dan orang Melayu. Tetapi beliau terlupa dengan kata-katanya sebelum itu yang menjadi pegangan orang yang sudah mula diperhatikan. Perubahan sikap itulah yang dikesali dan menjadikan beliau mencalar balarkan dan damage dirinya sendiri. 

Perubahan pendirian itu masih boleh dimaafkan kerana semua orang kenal siapa Zahid dan tahu warna politiknya. Zahid bermain dan menilik cermin retak yang memantulkan seribu wajah hipokrit. Apa yang dikesali dengan perubahan sikap itu apabila beliau meminta maaf kepada Bersatu sebagai mewakil Adun Umno yang bertindak menolak usul undi percaya kepada Faizal. Zahid menyifatkan tindakan undi percaya ke atas Faizal itu sebagai suatu kekhilafan. (Kepala hotak BNA).

Perbuatan apologetik Zahid itu sesuatu yang tidak patut dan dilihat sebagai kehinaan kepada Umno. Pernyataan maaf itu meletakkan Umno dalam longkang, kerana tidak wajar Umno yang dianggap sebagai Naga memohon maaf kepada Bersatu yang hanyalah sang Ular Lidi yang kerdil. Tidak pantas Umno yang dinobatkan dalam Istana memohon maaf kepada parti yang lahir di tepi kali kehinaan

Kita tidak tahu apa yang menerawang dan mengilusikan diri Zahid sehingga dia bersikap demikian. Apakah upah atau jaminan peribadi diterimanya dengan perubahan sikap itu? Kalau ia berbuat begitu kerana menjaga kepentingan dirinya, ia adalah satu perbuatan yang tidak bermaruah. Zahid bukan berhak untuk kekal dalam medan perjuangan sebab sebagai ketua ia memerlukan seorang yang berani, tegas dan sanggup kehilangan segala-galanya demi perjuangan serta tidak takut kepada penjara.

Apologetik yang dilakukan oleh laki Midah itu menyebabkan kehebatan dan keagungan Umno selama ini telah tercemar dan tercalar menjadikan Umno tidak ada nilai walaupun setengah sen. Zahid kena bertanggungjawab atas ketirusan nilai dan harga Umno dengan apa yang berlaku. 

Sebaik-baik tanggungjawab ialah Zahid perlu melepaskan jawatan presden secara terhormat. Usahlah beliau berkeras dan sayang untuk meninggalkan jawatan itu kalau keberadaanya di situ tidak membawa laba dan untung kepada Umno sebaliknya menjadi liabiliti. Beliau dan ahli Umno seluruhnya kena sedar dan ketahui kesan atas ketidaktegasan dan sifat kluk kliknya menyabkan Umno tanggal wibawa. 

Zahid mungkin tidak merasai apa-apa kerugian dengan cara dia berpolitik, bahkan telah berbaloi dengan kekayaan yang dikumpulnya dengan politik, tetapi apa yang dia kenal fikirkan dia telah membawa damage besar kpeada Umno.

Kita yakin dan percaya Umno sendiri tentu malu dan terhina mempunyai seorang presiden seperti itu. Rasanya sudah banyak air mata keluar dari mata orang-orang Umno yang menyesali perbuatan presiden mereka itu.  

Makanya adalah kena dan sudah sampai masa tanpa tangguh-tangguh lagi untuk Umno mencari pengganti Zahid. Umno perlu diselamatkan demi maruah Melayu dan negara. Untuk melakukan ini Umno tidak perlu tunggu perhimpunan agung Umno. Untuk mengganti dan membuang Zahid boleh berlaku apabila beliau sendiri bertanggungjawab atau pun melakukan kudeta dalam Umno.

Mohamad Hasan
Kalau penggantian itu hendak dilakukan secara baik dan tertib dan resam Melayu, Zahid kena serahkan jawatan itu kepada timbalannya Mohamad Hassan. Biarlah Mohamad memangku jawatan itu sementara perhimpunan agung. Atau pun kalau Zahid dan Umno merasakan Mohamad Hassan belum cukup syaratnya, bekas presiden Najib Razak juga boleh memikulnya. Walaupun Najib berhadapan dengan masalah dan diburukkan dengan pertuduhan di mahkamah, tetapi Najib masih relevan untuk memimpin Umno dalam kaedaan sekarang ini. Najib lebih performance daripada Zahid.

Atau pun kalau bukan Mohamad atau Najib, ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleig Hamzah juga "tanggung" untuk jadi presiden Umno, sementelahan pula Tengku Razaleigh sudah lama mengidamkan jawatan itu. Sekiranya tiak ada perubahan dan Umno terus dipimpin oleh Zahid, parti pernah dinobatkan sebagai keramat itu akan jahanam. 

Umno perlu dihidupkan. Biarlah orang kata Umno parti lama, usang, lapok, tetapi Umno sebagai parti yang mempunyai banyak mencipta legasi antaranya membawa kemerdekaan untuk negara ini tidak boleh dibiarkan lupus begitu saja. Walaupun Bersatu cuba menjadikan parti pengganti kepada Umno, ia tetap dianggap parti duplicate yang tidak ada keaslian. Umno perlu hidup atas nuansa kesemulajadiannya. [wm.kl.11:13 pm 09/12/2020] 

No comments:

Post a Comment