Friday, January 15, 2021

Muhyiddin bertakhta dengan sejuta masalah

MENYILANG MALAM

COVID menjadi kemalangan buat Muhyiddin Yassin yang mengambil kerajaan secara "Curitokrasi" 10 bulan lalu yang dimurkai sebahagian besar khalayak. Yang tidak marah dan bersetuju dengan cara Muhyiddin, hanya para jemaah menterinya sahaja dan mereka yang mendapat laba langsung daripada pembentukan kerajaan PN itu. 

Setiap hari Muhyiddin dipersoal keabsahannya, dimaki hamun sampai soal penyakitnya juga diungkit. Diberi gambaran akan kelenguhannya untuk mengurus negara. Pantang beliau demam atau batuk, atau kurang tampil maka adalah yang mengirimkan salam maut buatnya.
Nasib diterima oleh perdana menteri ke-8 itu sungguh menyedihkan. Ia makin menjadi-jadi apabila langkah memproklamasikan darurat bagi mengukuhkan kedudukannya dilaksanakan. Meskipun ada niat baik di sebalik proklamasi darurat mengikut Perkara 150 Perlembagaan Negara itu, tetapi motif jahatnya yang lebih banyak dipertontonkan. 

Ia tidak boleh disalahkan kepada sesiapa melainkan kepada "kehemahan" dirinya sendiri.

Darurat itu dilihat dari berbagai sudut dan diberi tafsiran yang semuanya kalau dirumuskan menampakkan tindakan desperate oleh Muhyiddin. Menjelaskan bahawa beliau sudah hilang sokongan di Parlimen maka darurat dijadikan benteng menyalamatkan dirinya. Itu dipersetujui ramai penganalisis politik liberal. Muhyiddin tampaknya terus memberanikan diri untuk bermain dengan api politik. Teruskan, kalau terbakar pun jari sendiri.

Serentak dengan pengisytiharan darurat itu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedua pula dikuatkuasakan semula di beberapa buah negeri termasuk, Kuala Lumpur, Melaka, Johor, Sabah, Pulau Pinang dan Selangor. Hari ini sebuah lagi negeri diletak di bawah PKP, yakni Kelantan. Kes Covid di Terengganu pula mencatat sejarah tertinggi hari ini dengan jumlah 92 kes diikuti rapat oleh Kelantan dengan 79 kes. Keseluruhan kes Covid-19 hari ini (15 Januari 2021) sebanyak 3,211.

Desakan dan luahan marah kepada tindakan Muhyiddin itu datang dan muncul daripada berbagai pihak. Daripada pembangkang, pengamal undang-undang orang politik sampailah kepada individu, rakyat marhaen seperti warung, pekedai runcit, dan penjaja pasar malam dan golongan yang terkesan dengan PKP.

Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), telah memberi amaran kalau pasar malam tidak dibuka dalam tempoh tiga bulan mereka akan berhimpun di hadapan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. 

Nanti kalau berlaku himpunan kita harap pejabat perdana menteri akan dipenuhi dengan sayur-sayuran, pelbagai ikan dan sebagainya. Nanti rakyat dapat mendapatkan secara percuma.

Apa dipersoalkan dengan PKP adalah peraturan yang tidak adil dan tidak munasabah. Peraturan kedai makan ditutup dan hanya membenarkan jualan untuk dibawa balik, tidak disenangi pekedai. Mereka yang hanya hidup bersumberkan berniaga secara kecil-kecilan seperti kedai makan sangat terkesan. Sepatutnya kerajaan mengambil langkah membantu mereka dengan mengarahkan bank memberi moratorium dan bantuan lain diperbanyakkan, kalau mereka dihalang berniaga.

Mungkin mereka yang makan gaji tidak terbeban dengan PKP dilaksanakan. Tetapi mereka yang berkerja sendiri, kais pagi makan pagi sangat terbeban dengan apa yang berlaku.

Bukan tidak ada entiti yang mempertahankan Muhyiddin. Itu mereka yang mendapat untung daripada langkahnya melakukan kudeta kelihatan bahagia-bahagia sahaja. Semua menteri dan timbalan menteri sepakat menyokong, tanpa seorang pun memahami jerit perih rakyat di bawah. Tidak ada seorang menteri dan timbalan menteri yang mengkritik Muhyiddin dengan membuat protes semisalnya mengugut untuk meletak jawatan.

Itulah sikap dan perangai orang politik, mereka merasa bahagia sendiri sekiranya hak dan kedudukan mereka tidak terjejas. Tetapi kalau kedudukan dan kepentingan mereka terancam masa itulah baru mereka berteriak dan bangkit menggunakan rakyat sebagai alat dan abdi membela mereka. Cis.

Yang ketara dan vokal mengkritik adalah daripada pembangkang. Anwar Ibrahim telah mengajak rakan-rakan ahli Parlimen supaya menulis surat kepada Yang diPertuan Agong agar membatal darurat dan minta Parlimen dibuka. Sejauh mana seruan dan pelawaan Anwar itu disambut, tidak diketahui. Ia walaupun praktikal tetapi bukan mudah kerana pembangkang sendiri berada dalam bantrakan, tidak sepadu.

Kalau semua ahli Parlimen berjumlah 109 atau 113, yang menyatakan bantahan kepada Muhyiddin menulis surat meminta yang diPertuan Agong mempertimbangkan untuk membatalkan darurat dan membuka sidang parlimen, tentu ia memberi kesan tertentu. Setidak-tidaknya layanan dan pertimbangan budi baik Yang diPertuan Agong itu menjadikan Muhyiddin lebih merasakan bahawa "kuntau" politiknya tidak dipersetujui semua orang.

Tegasnya Muhyiddin akan terus dimaki hamun oleh rakyat. Beliau perlu menahan dan menadah mukanya kepada umum. Itulah nasib yang diterima oleh PM ke-8 itu. Nasibnya beliau menjadi pemimpin negara dalam era pandemik dan saat rakyat terbelenggu dengan masalah ekonomi, dan ramai kehilangan pekerjaaan. Situasi dan takdir ini meletakkan Muhyiddin menjadi PM yang paling tercabar dan malang.

Rakyat kini berhadapan dengan kesulitan hidup yang nilainya sama dengan kesulitan dan keserabutan dihadapi Muhyiddin untuk mempertahankan kekuasaanya. Sebenarnya apa yang dihadapi Muhyiddin hari ini adalah atas kehendak dan ulahnya sendiri. Semua masalah yang terhimpun di hadapannya dibeli dan ditender sendiri olehnya. 

Apa yang boleh dikatakan, tepatnya mengambil pepatah Melayu berbunyi, tangan berani mecincang, maka bahunya hendaklah sanggup memikul. Kepada Muhyiddin selamat bertakhta dengan sejuta masalah. [wm.kl. 7:32 pm 15/01/2021]

No comments:

Post a Comment