Sunday, January 17, 2021

Buku mendedah fitnah terhadap Asri

ULASAN BUKU 

Muka depan kulit buku
ASRI SAKINAH.
SEBEGITU buku ini siap dicetak, Ratna InzahAsri (Kak Ratna) bersama suaminya Herry Oekoen datang ke rumah membawanya untuk saya. Saya seperti diistimewakan untuk menjadi penerima awal buku yang sememangnya dinanti-nantikan ini.

Di sini saya cuba buat sorotan buku "emas" ini yang sudah habis saya menelaahnya malam tadi.

Buku ini cuba memaparkan kisah perjuangan awal sepasang suami isteri yang merupakan tokoh awal perjuangan kemerdekaan negara – Mohd Asri Haji Muda, dan Sakinah Sheikh Junid. Kedua mereka merupakan pejuang awal kemerdekaan yang gigih, nekad dan berani menerjunkan diri dalam perjuangan untuk bangsa dan negara, sebelum merdeka dan terus berjuang membawa ke era pasca merdeka. 
Saat remaja lain masih belum kemas pakai kain dan tahu mengilas palikat masih berkubang dengan selut dan lumpur mereka sudah pun ke gelanggang perang.

Bermula dengan gerakan menentang penjajah dan berakhir dengan memimpin sebuah badan siasah terunggul negara yakni Parti Islam seMalaysia yang dikenali PAS. Mereka adalah pemimpin sejoli PAS, Asri sebagai Yang diPertua (Presiden) sementara Sakinah sebagai Ketua Dewan Muslimat.

Sesungguhnya jasa dan budi mereka untuk negara sangat besar. Mereka layak untuk digelar sebagai tokoh pejuang nusa dan dianugerahkan piala penghormatan tertinggi. Pasti kalau mereka condong kepada Barat mereka sudah mendapat berbagai medal pengiktirafan. Al Fatihah untuk kedua-duanya, kita doakan semoga segala jasa dan pengorbanan besar mereka diberikan imbuhan setepat-tepatnya oleh Ilahi Rabbul Izzati.

Kulit belakang buku Asri 
Sakinah.
 Serrai API dan PML. 

Mohd Asri memulakah langkah juangnya dengan menyertai (Angkatan Pemuda Insaf) API, pimpinan Ahmad Boestaman, serentak itu juga dalam Persekutuan Melayu Kelantan (PMP). Persekutuan Melayu Kelantan dipimpin oleh abangnya Sa’ad Syukri serta beberapa yang lain seperti Abdul Kadir Adabi. Asri dan abangnya Sa’ad Syukri bertanggung jawab menyiapkan ucapan sembah kepada al Sultan Kelantan bagi menentang Malay Union.

Manakala Sakinah pula bersama Angkatan Wanita Sedar (Awas), bawah pimpinan Shamsiah Fakeh, Aishah Ghani dan lain-lain.

Hubungan mereka sebagai suami isteri menarik dan cukup nostalgik buat mereka dan keluarga, kerana mereka bertaut cinta dalam medan perjuangan. Dalam kata lain perjuangan mengikat jodoh mereka.

Anak ulama besar.

Sakinah berasal dari Padang Rengas, Perak puteri yang lahir dari benih ulama terkenal Syed Joned Thola dan rahim Sariyah. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah agama Diniah Padang Panjang, Sumentera. Bersama menuntut di sini bekas Menteri Kebajikan yang juga bekas Ketua Wanita Umno, Aishah Ghani. Status Allahyarham Sakinah, (atau Che Kinah panggilan mesra di kalangan muslimat Pas dahulu), sebagai Srikandi bangsa Sakinah sebaris dengan Aishah Ghani dan Shamsiah Fakeh. 

Manakala Mohd Asri berasal di Kelantan. Titis baris keturunanya juga dari kalangan orang berjuang dan bapanya sendiri seorang penulis yang baik. Beliau menuntut di Maahad El Syarif di Gunung Semanggul, Perak dikenali oleh penjajah sebagai sekolah anti penjajah.

Penjajah menyebut sekolah ini sebagai “Hubaya-Hubaya dari Gunung”. Asri menjadi pengikut dan murid kepada Abu Bakar al Baqir yang menjadi mudir sekolah ini. Semasa tinggal di Perak ketika menjadi guru, skop perjuangannya meluas dan terlibat dalam menggerakkan penubuhan Parti Hizbul Muslim pimpinan Ustaz Abu Bakar al Baqir hampir ke seluruh Tanah Melayu.

Empat bahagian.

Buku ini terbahagi kepada empat bahagian, bahagian pertama merupakan catatan atau kenangan awal perjuangan Mohd Asri yang terakam dalam beberapa catatan beliau dalam majalah Pelita Bahasa, (tahun 1989) dan juga berupa teks ucapan beliau di Parlimen dan ketika menerima anugerah Doktor Kehormat dari Universiti Islam Sumatra Utara (UISU), Indonesia..

Menerusi bahagian ini kita dapat mengenali latar belakang keluarganya, penglibatan awal perjuangan Mohd Asri serta dapat mengenali sifat dan prinsip perjuangannya. Dari sini juga kita dapat mengarifi pegangan politik berhemah dan sederhana menjadi amalannya yang ada kalanya bertentangan dengan rakan-rakan yang lebih suka kepada ekstremis.

Bahagian Kedua (2) pula merupakan kenangan, catatan daripada mereka yang mengenali atau bersama berjuang bersama Asri. Di samping itu juga dapat mengetahui macam mana sikap mereka bermusuh dengannya. Terdapat enam rencana dalam bahagian ini, masing-masing, ditulis oleh Haji Zahari Awang, seorang pemimpin Pemuda Pas selaku timbalan Dewan Pemuda semasa Asri menjadi Presiden Pas.

Keduanya sebuah rencana ditulis oleh wartawan Utusan Melayu yang ketika itu menjadi penarang Mastika, Wahba (Wan Hamzah Wan Awang) yang menemu ramah Asri setelah beliau tidak lagi memimpin Pas apabila melepaskan jawatan itu dalam satu muktamar Pas yang penuh kontroversi.

Artikel ini menarik dan penting untuk dihayati oleh mereka terkemudian daripada Asri atau pun masih kabur dengan pengunduran Asri daripada memimpin Pas yang dituduh dengan pelbagai tohmahan dan sangkaan buruk. Slogan “marakbah Asri” (pergi mampus Asri) akan dikenang sepanjang hayat.

Begitu juga wawancara dengan Tan Sri Hussein Ahmad yang dilakukan oleh Ratna Inzah dan Najah keduanya merupakan puteri Asri yang ketiga dan kelapan dan juga yang menghasil dan menulis buku ini.

Jawaban terus terang dilontarkan oleh Hussein Ahmad (bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan (1978) tentang syaksiah Asri dan politiknya, tentu mengejutkan pemerhati politik khasnya mereka yang mendukung dan membenci Asri selama ini. Hussein mengakui akan kehebatan Asri sebagai seorang tokoh politik yang ditunggu-tunggu pidatonya. Memang Asri terkenal sebagai seorang ahli pidato yang diakui oleh musuhnya.

Hussein mengaku Asri itu sinonim dengan Pas, sehingga orang mengkonotasikan “Pas sebagai Asri, Asri sebagai Pas”, gelar itu tidak wujud di era Nik Abdul Aziz Nik Mat menjulang Pas. Bekas Ketua Penerangan Umno Malaysia itu juga mengakui kehebatan Asri sebagai ahli pidato sehingga beliau sendiri sanggup pergi berpuluh-puluh batu hanya untuk dengar ceramah Asri secara menyamar.

Asri sama dengan Sukarno dan Hitler.

Dalam mengulas kehebatan Asri sebagai ahli pidato ini Hussein membuat perumpaman “kalau Indonesia ada Sukarno, Jerman ada Hitler, Malaysia ada Asri.”

Banyak cerita dan kisah menarik didedahkan Hussein mengenai Asri dalam bahagian ini. Termasuk macam mana beliau mengakui membuat fitnah terhadap Asri mengenai kewujudan hotel dan rumah kononnya milik Asri di Indonesia.

Hussein mengakui dialah yang membuat cerita Asri ada hotel bernama Asri dan rumah bernama Sakinah di Indonesia. Ceritanya, beliau mengambil gambar sebuah kelab malam yang dimasuknya bernama Asri, yang sebenarnya bangunan itu milik Angkatan Sasterawan Republik Indonesia (Asri)  dan sebuah taman rekreasi di Bogor bernama Sakinah

Diedarkan gambar itu kepada orang ramai dengan memberi capiton, ia sebagai hotel dan rumah kediaman milik Asri. Hal kebusukan hati Hussein ini terdedah dalam wawancara Ratna Inzah bersama Najah dengan Hussein di kediaman Hussein di Lemal Pasir Mas.

Skinah bersama
Najah di JKR 10.
Banyak hal-hak menarik dalam temuramah ini yang selama ini masih menjadi misteri.

Bahagian keempat (4) rencana atau catatan tentang Sakinah Junid yang ditulis oleh Ahmad Ansor Dato’ Muhammad Ravi Batubara yang juga merupakan relatifnya.

Bahagian kelima (5) kenangan Samuel Rangkuti, yang menceritakan akan jasa dan budi baik seorang Asri yang dikenali sebagai seorang dermawan yang suka membantu sesiapa sahaja sehinggakan mengorbankan diri sendiri. Rumahnya di Kuala Lumpur menjadi rumah transit dan tumpangan.

Dan bahagian keenam (6) memuatkan sebuah catatan permulaan dan kenangan saya mengenai Allahyarham Mohd Asri dan kisah pertama kali menemuramahnya dan apa sebab beliau kurang senang dengan apa yang saya tulis dan marahkan saya.

Di bahagian ketiga pula merupakan catatan penulis buku ini bersama adiknya Najah yang mencerita kisah-kisah duka di sebalik perjuangan ayahanda dan bunda mereka serta perihal dalam rumah tangga termasuk cerita dan kisah semasa keluarga mereka menginap di JK 10 kediaman Menteri Besar Kelantan. Ada beberapa peristiwa atau kejadian didedahkan dalam bahagia ini membuka mata kepada mereka yang membuat fitnah di siang bolong kepada Asri.

Antaranya tentang bagaimana rumah Asri menjadi rumah transit. Dapurnya dikenali dengan Restoran Kita, dimana tetamu kawan dan sahabat datang tanpa henti-henti tanpa kira siang malam bahkan ada yang tinggal berminggu-minggu dengan tanggungan makan minum secukupnya. Rumahnya menjadi lokasi perjumpaan dan berbincang untuk menggerakkan parti. Namun seri dan keceriaan rumah itu akhirnya malap dan lenyap apabila Asri tidak lagi memegang jawatan dan memimpin parti.

Allahyarham difitnah dengan memiliki harta sampai ada harta bukan sahaja di Indonesia tetapi juga di London. Fitnah mengenai kekayaan inilah tampaknya tidak dapat diterima oleh keluarga Asri khasnya anak-anaknya yang memahami apa yang dimiliki oleh kedua orang tuanya.

Setelah Asri meninggal 28 Ogos 1992 (sudah 29 tahun) baru segala fitnah itu terbongkar, yang dimilikinya hanya sebuah rumah No 10 Lorong 5, terletak di Taman Titiwangsa itu saja yang kini rumah itu bukan milik mereka lagi. Makanya mereka yang benci, memfitnah dan mencaci Allahyarham itu, perlu bertanggungjawab. Mereka insaf akan menyucikan dirinya seperti mana kisah seorang tua yang suka mencaci dan memfitnah orang akhirnya sedar lalu meminta petua daripada Nasyaruddin Koja.

Nasyaruddin mengajar orang tua itu cara untuk menyucikan dosa dengan mengambil bantal dan menyoyak-nyok kekabunya dan buang di sepanjang jalan. Lalu si tua itu menuruti apa yang disuruh oleh Nasyaruddin itu kemudian berjumpa dengan Nasyaruddin kembali dengan berkata, sukarnya untuk mengutip semula kekabu itu kerana ia sudah beterbangan.

Lalu berkata Nasyaruddin nah begitulah juga dengan segala fitnah yang kau lakukan itu ia sudah melayang layang entah ke mana.

Buku ini juga ada kesan nostalgik dengan hidangan beberapa gambar yang klasik milik peribadi keluarganya. Gambar ini belum atau jarang-jarang terlihat.

Seperti diungkap pada para akhir dalam pembukaan bicara penulis, Sekapur Sireh Seulas Pinang; Sebuah buku tidak akan menceritakan keadaan kesemuanya, tetapi paling tidak dapat menggerakkan hati atau minda dalam mengenali seseorang. Begitulah apa yang dikatakan, seperti sebenarnya tidak akan pernah tertulis secara lengkap.”

Buku ini diharap menjadi sumber inpirasi dan jadi aspirasi kepada Ratna Inzah dan juga yang lain khas Najah yang khabarnya akan menerbit versinya sendiri atas tajuk sama. Lakukanlah hingga jaya kerana apa cebisan kenangan, dokumen bertulis atau lisan dan sebagainya perlu dihimpun dan diterbitkan sebagai melengkapkan penulis tentang kedua idolaku ini Asri – Sakinah yang sudah dimulakan ini. Tahniah atas penerbitan buku ini menambahkan khazanah pembukuan negara. [wm.kl.1:31 pm 17/01/2021]


P/s: Untuk sesiapa berminat untuk mendapatkan buku ini sila buka Facebook Ratna Asri atau Najah Asr. 

No comments:

Post a Comment