Sunday, July 11, 2021

Fahami antara maut dengan pahala

Sultan Selangor,
Sultan Sharafuddin Idris Shah
.

ULASAN

KAWALAN ke atas masjid dan surau di Selangor atas alasan untuk membendungkan pandemik Covid di negeri itu telah menimbulkan polemik dan perdebatan pro kontra.

Mereka yang berpegang bahawa rumah Allah tetap dipelihara oleh "tuannya" akan terhindar dari malapetaka, berpendapat masjid dan surau tidak perlu ditutup. Justeru tindakan mengawal masjid dan surau itu dianggap sebagai anti Islam.

Benar masjid dan surau adalah rumah Allah, dalam terminalogi agama. Masjid adalah kawasan paling terselamat di dunia ini seperti rumah-rumah ibadat agama lain juga menjadi perlindungan kepada semua makhluk. 

Tetapi keistimewaan itu perlu difahami sedalam-dalamnya dan bukan ditafsirkan mengikut rasa dan emosi. Keselamatan di institusi itu tetap memerlukan ikhtiar dan pengawasan manusia secara fizikal. Surau dan masjid tidak terjaga dengan sendirinya tanpa usaha secara fizikal. 

Negeri Selangor nampaknya tegas dalam hal ini. Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang bertanggungjawab ke atas masjid tidak bertolak ansur dalam mengawal masjid di sepanjang pandemik ini. Berlaku salah anggap, masjid dan surau di Selangor sebenarnya bukan ditutup langsung, tetapi dikawal sahaja. Jumlah jemaahnya dihadkan kepada jumlah tertentu tidak bebas sebelum pandemik.

Kawalan ketat itu dengan SOP tertentu menyebabkan ada setengah umat Islam kesal dan menganggap seolah-olah Selangor tidak yakin dengan jaminan Allah bahawa masjid dan surau itu dalam pemeliharaan Allah. Sesiapa hadir kepadanya selamat. Tanggapan itu cuba memberi gambaran buruk ke atas pentadbiran masjid di Selangor. Apakah mereka yang berpegang demikian yakin surau dan masjid terhindari daripada pandemik?

Sebenarnya pegangan demikian kurang tepat. Masjid atau surau atau apa-apa institusi keagamaan, tidak terhindar daripada menghadapi masalah dan bahaya sama dengan institusi atau premis lain juga. Dalam Islam sendiri tidak ada mengatakan masjid dan surau dijamin selamat? Apa yang ada, jaminan itu berdasarkan bahawa tempat itu digesetkan sebagai tempat suci semata-mata. Suci dengan selamat mempunyai konotasi berbeza.

Tempat itu selamat apabila jemaah, qariyah dan pengunjungnya sama-sama menjaga dan mengambil tanggungjawab mengawal sebarang sebarang perbuatan kotor ke atas masjid dan memelihara kesuciannya sebagai rumah ibadat. Ertinya keselamatan dan kesuciannya memerlukan tindakan atau faktor manusia juga. Misalnya masjid dijamin sebagai kawasan bersih, tetapi kalau jemaahnya tidak mementingkan kebersihan itu, masjid itu tetap tidak bersih atau suci.

Fakta jelas.

Alasan pengetatan SOP untuk masjid dan surau di Selangor dibuat berdasarkan fakta dan asas jelas. Ia bukan disengajakan. Tindakan itu menimbulkan rasa dukacita Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sendiri selaku kuasa tertinggi bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama. Baginda menzahirkan rasa dukacita dengan apa yang berlaku, tetapi apa boleh buat pengetatan itu terpaka.

Hal ini dinyatakan dalam kenyataan media baginda hari ini dimana kadar jangkit Covid bertambah apabila kawalan ke atas masjid dilonggarkan pada Ramadhan lalu.  

Sementara kadar kematian di Selangor pula bertambah. Sehingga 9 Julai 2021, Selangor telah merekodkan sejumlah 1,933 kematian (28 kematian pada 9 Julai 2021 sahaja), dengan 4,400 kes jangkitan harian baharu. Itu fakta dan realiti.

Kenyataan dan hakikat itulah menjadi bukti bahawa masjid turut sama tercemar dengan menjadi tempat penyebaran Covid apabila jemaahnya tidak mematuhi SOP yang ditetapkan. Apabila SOP itu gagal dipatuhi jalan terbaik ialah dengan menutup atau mengetatkan kawalan ke atasnya. 

Jadi kepada pihak yang rindukan masjid, rindukan kawan-kawan sejemaah dan merasakan sembahyang di rumah kurang pahala, hendaklah menerima hakikat kebimbangan disebut Sulatn Selangor itu. Kita yakin tidak ada sesiapa yang mengaku umat Islam bersetuju untuk tidak dipergunakan masjid seperti yang sepatutnya. Kadang-kadang kita jadi histeria apabila dengar masjid tutup, sedangkan semasa ia dibuka dan tidak dihalang, kita bukan pun dekat dan mesra dengan masjid.

Sesetengah yang marah kerana masjid dan surau ditutup sebenarnya cemburu apabila premis-premis lain yang dilihat bukan tempat suci seperti mall, supermerket, kilang bebas atau jumlah pengunjungnya lebih ramai daripada ke masjid. Tidak adil kalau dijadikan perbandingan. Hal itu perlu difahami premis itu berbeza fungsi dan keperluannya berbanding dengan masjid dan surau.

Apa salahnya kita berfikiran waras menerima SOP itu, tidak emosi dan lebih-lebih sengaja untuk memburukan pihak berkuasa ke atas masjid dan surau sehingga tidak melihat kewajaran disebalik apa yang dilakukan itu.  

Dalam pada itu rasa cemburu di atas tadi ada juga benarnya, misalnya pembukaan kilang di Selangor yang sudah dikenal pasti sebagai salah satu premis penyebaran Covid. Walaupun Sultan Selangor tidak ada kuasa ke atas kilang atau premis itu, ada baiknya juga kalau Tuanku membuat sedikit teguran kerana teguran oleh MB dan pihak-pihak lain tidak dihiraukan. [wm.kl.2:12 pm 11/07/2021] 

Kenyataan Sultan Selangor disiar dibawah:

11 Julai 2021 ~

KENYATAAN AKHBAR D.Y.M.M. SULTAN SELANGOR
DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj memahami luahan hati rakyat dan rayuan umat Islam di media sosial serta menerusi surat, yang menggesa agar masjid-masjid di Negeri Selangor kembali berfungsi sepenuhnya seperti sediakala.
Di sini, Baginda menzahirkan rasa dukacita terhadap DUA perkara susulan daripada penularan wabak berbahaya Covid-19 yang melanda negara sejak tahun lalu.
PERTAMA, Baginda sedih dan kecewa kerana terpaksa memutuskan untuk terus mengehadkan fungsi masjid-masjid dan surau di seluruh Negeri Selangor.
KEDUA, Baginda sedih dan dukacita apabila melihat peningkatan angka-angka kematian akibat wabak Covid-19 di seluruh pelusuk Negeri Selangor.
DYMM Sultan Selangor ingin menegaskan bahawa masjid di Negeri Selangor tidak pernah ditutup dan bukan sesuatu yang mudah untuk Baginda menitahkan agar masjid-masjid mengehadkan kehadiran jemaah untuk menunaikan solat-solat Fardhu dan Solat Jumaat.
Keputusan ini diambil setelah meneliti dan memantau dengan terperinci data dan statistik penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan di Negeri Selangor.
Sehingga 9 Julai 2021, Selangor telah merekodkan sejumlah 1,933 kematian (28 kematian pada 9 Julai 2021 sahaja), dengan 4,400 kes jangkitan harian baharu.
Apa yang lebih membimbangkan Baginda, pada akhir Jun 2021, data menunjukkan kematian di kalangan bangsa Melayu di Negeri Selangor mencecah 855 orang, iaitu lebih daripada separuh daripada jumlah 1,571 kematian ketika itu.
Beberapa minggu sebelum bulan Ramadan lalu misalnya, apabila kelonggaran diberikan untuk aktiviti ibadat dilakukan di masjid-masjid, kadar jangkitan terus merebak sehingga mewujudkan beberapa kluster baharu di masjid dan surau di Negeri Selangor.
Baginda kesal kerana meskipun pelaksanaan pematuhan SOP dikawal dan diperketat di masjid-masjid, namun penularan wabak berbahaya ini terus mengganas.
Baginda sendiri tidak sanggup lagi untuk melihat visual-visual memilukan yang memaparkan kesedihan waris keluarga kerana tidak berkesempatan menziarah di hospital dan menghantar jenazah ke tanah perkuburan.
Disebabkan itu, sehingga hari ini, walaupun berat hati, Baginda masih berpendirian bahawa aktiviti keagamaan di masjid dan surau mesti dihadkan khususnya solat berjemaah, demi keselamatan seluruh umat Islam di Negeri Selangor yang Baginda kasihi.
Tegas Baginda, kesan daripada penularan wabak Covid-19 adalah berbeza bagi setiap negeri, justeru perbandingan tidak boleh dibuat secara kasar. Apatah lagi, Selangor sehingga kini masih lagi merupakan negeri dengan catatan kes baharu dan kematian tertinggi sejak beberapa bulan lalu.
Bagaimanapun, titah Baginda, sekiranya jumlah kes jangkitan baharu terus menurun dan jumlah peratusan pemberian vaksin berbanding jumlah populasi terus meningkat, Insya Allah, masjid dan surau akan kembali dibuka seperti biasa.
Sehingga itu terjadi, Baginda mahu seluruh umat Islam di Negeri Selangor terus menunaikan solat dan beribadat di rumah serta tidak putus memanjatkan doa ke hadrat Allah S.W.T agar menghapuskan wabak berbahaya ini.
Di kesempatan ini, Baginda ingin menasihatkan umat Islam agar kekal tabah dan bersabar kerana wabak ini adalah satu ujian dan dugaan supaya kita sentiasa mengingati kebesaran Allah S.W.T.
“PERTAHAN DAN SETIA KEPADA AGAMA ISLAM”
“BERKHIDMAT KEPADA RAKYAT DAN NEGARA”
Dikeluarkan di ISTANA ALAM SHAH
Pada 11 Julai 2021

No comments:

Post a Comment