ANALISA
Pengenalan.
APABILA berbicara mengenai politik Kelantan timbul rasa "putus angin" atau malas untuk memperkatakannya. Ada sedikit rasa mual juga. Ini kerana ada setengah orang beranggapan kononnya Kelantan akan jadi milik Pas selama-lamanya.
Perasaan atau anggapan itu sebenarnya mitos, karut marut semata-mata. Bukan perkara yang "sengoti." Sebab Pas pernah tewas dan kerajaanya gugur ditangan Umno.
Sejarah kejatuhan Pas itu menunjukkan bahawa Pas tidak kebal mana di Kelantan. Pas boleh dijatuhkan seperti juga Umno. Untuk Piraum ke-15 nanti Pas tidak boleh sedap hati dan berangan-angan tinggi mereka akan menang dengan mudah. Jangan.
Sebenarnya dalam politik tidak ada mitos kerana itu adalah perkara kurafah yang boleh dipercayai. Di Johor negeri dikuasai oleh Umno sejak pilihan raya pertama (1955) tidak pernah terfikir boleh tumbang kepada pembangkang. Penguasaan Umno di Johor dijadikan mitos oleh setengah orang untuk menunjukkan keampuhan Umno. Mitos Umno Johor itu sampai syirik. Kononnya parti yang ditubuhkan di istana tidak akan tumbang.
Ternyata ia tidak benar. Dalam Piraum ke-14 lalu Umno kalah di Johor, hilang kerajaan dan negeri itu dikuasai parti lain (PH) sebelum diambil semula ditengah jalan oleh Umno secara di luar demokrasi.
Mereka yang berpegang kepada mitos-mitos politik seperti itu kerana tidak mempunyai congakan politik lebih luas dan tidak arif dalam memahami ilmu hisab politik serta kurang memahami mengenai pola politik negara ini.
Begitu juga politik dan pengundi di Kelantan ia tidak statik sehingga boleh menganggap Pas satu-satu parti pilihan rakyat Kelantan. Rakyat Kelantan tidak pernah mengikhtirafkan bahawa Kelantan hanya ada satu parti sahaja, yakni Pas.
Tahun 1978 Pas Kelantan kalah dan hilang kerajaan yang dikuasainya selama 18 tahun. Mulai dari situ Umno memerintah Kelantan selama 12 tahun sebelum dirampas kembali oleh Pas tahun 1990. Ertinya rakyat Kelantan mempunyai fahaman dan pegangan politik terbuka. Mereka bijak dalam membuat perhitungan siasah.
Sejarah yang berlaku itu menafikan bahawa Kelantan bukan milik Pas mutlak, dan Pas tidaklah parti yang kebal seperti disangkakan. Begitu juga kalau dilihat kepada keputusan pilihan raya, perbezaan undi popular antara Pas dengan Umno tidak banyak bezanya. Ia berkisar sekitar 45% - 55% sahaja.
Mana-mana parti yang berkuasa di Kelantan akan mendapat undi popular sekitar lebih kurang 40 hingga 50% sahaja, baik Pas maupun Umno. Sebagai contoh sewaktu Pas memerintah Kelantan kali pertama (1959) Pas menguasai undi popular kurang 10% daripada apa yang diraih Umno. Begitu juga dengan Umno sewaktu merampas Kelantan tahun (1978) Umno menguasai kurang 10% undi popular berbanding dengan Pas.
Statistik itu menunjukkan pengaruh dan kekuatan Pas dengan Umno tidak terlalu luas jurangnya. Kedua parti itu mempunyai penyokong hampir sama rata. Setara. Apa yang memberi kemenangan kepada kedua-dua parti itu adalah pengundi atas pagar, mereka tidak berparti yang mewakili 30% golongan itu. Golongan ini pula akan membuat pilihan mereka berasaskan kepada isu semasa. Ertinya penyokong masing-masing tidak menjamin memenangkan parti.
Golongan undi atas pagar ini kebanyakan mereka berada di luar Kelantan. Mereka akan pulang pada saat pilihan raya untuk membuat pilihan. Komitmen mereka kepada politik dan negeri sangat tinggi. Mereka sanggup pulang dengan tanggungan sendiri.
Dianggar sekitar 160,000 hingga 200,000 warga Kelantan berada diluar Kelantan yang mengundi di Kelantan. Dari jumlah itu dipercayai 70% hingga 80% akan kembali mengundi di Kelantan setiap kali pilihan raya, bermakna kira-kira 128,000 adalah undi luar.
Berdasarkan anggaran itu boleh diperkirakan jumlah untuk setiap kawasan parlimen sekitar, 10,000 hingga 11,000. Pengundi atau jumlah inilah yang memenangkan sesebuah parti. Bagaimana pun angka itu tidak sekata setiap kawasan parlimen, kerana ia bergantung kepada kawasan parlimen tertentu. Misalnya kawasan parlimen bandar atau urban mempunyai pengundi luar yang ramai.
Menurut satu analisa kemenangan besar Pas pada tahun 1999 kerana kepulangan pengundi luar yang luar biasa. Arus reformasi ketika itu mempengaruhi mereka untuk pulang. Bagaimana pun kemenangan itu kemudian merosot tahun 2004 apabila peratus pengundi luar berkurangan. Pada waktu itu tidak ada apa-apa gelombang yang boleh menolak mereka pulang.
Kesan daripada itu pada pilihan raya 2004 Pas hampir-hampir tumbang dan dapat bertahan hanya dengan dua kerusi sahaja. Peranan dan fungi pengundi luar ini diikhtiraf oleh Umno Kelantan menyebabkan mereka tidak menang.
Begitu juga kemenangan Pas dalam pilihan raya ke-14 dibantu oleh pengundi luar. Tanpa kehadiran pengundi luar, sudah pasti Pas akan "bergagar". Bersambung. [wm.kl. 10:15 am 16/07/2021]
No comments:
Post a Comment