Thursday, May 26, 2022

Zuraida buat tekanan demi Azmin Ali

ULASAN

Zuradai gerakan sesuatu untuk 
kepentingan Azmin?
 APABILA terdengar cerita sebuah parti baru yang diberi nama Parti Bangsa Malaysia (PBM) hendak
ditubuhkan, saya sudah dapat menghidu apakah tujuan penubuhan parti itu dan siapakah yang menjadi inspiratornya. 

Apa lagi parti itu seperti mengubah suai sebuah NGO yang sebelum ini bernaung di bawah kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dipegang oleh seorang wanita yang agresif. 

Mereka yang mengusahakan penubuhan PBM itu terdiri daripada bekas ahli Keadilan yang keluar parti atau dipecat kerana melakukan perselingukuan sehingga tumbang kerajaan PH. 

Mulanya Zuraida Kamaruddin diura-ura akan dilantik menjadi presiden. Memanglah ahli parlimen Ampang itu ada keupayaan dan bakat untuk memegang jawatan memandangkan sebelum ini beliau adalah bekas Ketua Wanita Keadilan yang mana sempat mengumpul pengaruhnya. Beliau juga dilihat orang Keadilan kedua terpenting dalam peristiwa mengkhianati Keadilan. Dan kalau pun beliau dilantik menjadi presiden kedudukannya disitu ada bersifat sementara sahaja. 

Manakala Ngo yang diubah suai untuk dijadikan parti itu berada dibawah kementerian yang dipegangnya, Kemeterian Perumahan dan Kerajaan Tempat. Kementerian ini telah memberi sokongan kepada penubuhan Ngo berkenaan.   

Sebenarnya tidak ada keperluan PBM ditubuhkan melainkan untuk dijadikan alat kepada individu tertentu bagi mencapai cita-cita peribadinya. Parti politik dalam negara ini sudah terlalu banyak, hampir sama banyak dengan mereka bergelar datuk. Untuk apa lagi diadakan parti baru kalau bukan untuk sesuatu yang signifikan.

Ini yang ramai tidak menyedari dan tidak dapat menyelami makrifat politik semasa, akan tujuan penubuhan parti itu. Kenapa saya berkata begitu kerana kebanyakan mereka sudah berparti, menyertai parti Bersatu pimpinan Mahiaddin Yassin. Apakah mereka tidak yakin dengan Bersatu khasnya kepimpinan Mahiaddin? Boleh jadi juga kekalahan teruk Bersatu di Melaka dan Johor menjadikan mereka kian meragui keupayaan Mahiaddin.  

Alih-alih bila parti itu dilancar yang jadi presidennya bukan Zuraida, tetapi orang lain. Zuraida hanya meletakkan seorang pegawainya sebagai proksi. Hampir semua yang memegang jawatan penting, pimpinan tertinggi terdiri daripada bekas ahli Keadilan yang pro Azmin dan Zuraida. 

Saya telah membuat sedikit pandangan dan memberi analisa awal tujuan penubuhan PBM ini. Pada saya, ia adalah ilham Azmin dengan motif tersirat nan mudah difahami tujuannya. PBM ditubuh untuk membela dan memperjuangkan cita-cita peribadi Azmin yang boleh ditumpang sama oleh orang-orang sejemaah dengannya. Penubuhan PBM, adalah untuk dijadikan kuasa tekanan kepada Mahiaddin Yassin bagi memenuhi janji rahsianya kepada Azmin.

Ramai yang tidak tahu dan menyedari antara Mahiaddin dan Azmin ada agenda peribadi tersendiri. Mereka understanding. Projek persepakatan menerusi langkah Sheraton Move menumbangkan kerajaan PH bukan dilakukan secara nature, tetapi ada agendanya. Ia dirancang sedemikian rupa. 

Azmin Ali tidak sebodoh itu untuk berpakat dengan Mahiaddin, tanpa ada faedah dan manfaat besar untuknya. Azmin mengharapkan beliau akan dilantik menjadi TPM dalam kerajaan Mahiaddin itu. Itu maksudnya. Tetapi kerana masalah dan keadaan tidak memberi keselesaan kepada Mahiaddin untuk berbuat demikian, ini kerana pembentukan kerajaan ketika itu lemah, Mahiaddin tidak dapat memenuhi kehendak Azmin itu. Kegagalan Mahiaddin menunai janji ini sangat mengecewakan ahli parlimen Gombak itu. Untuk seketika Azmin terus memakan hati berulam jantung.

Apa yang Mahiaddin boleh lakukan hanya menggantungkan jawatan TPM dan melantik Azmin sebagai menteri kanan, Menteri MITI, bersama empat yang lain. Kedudukan ini tidak disenangi oleh Azmin Ali dan bukan kemuncak yang diingininya. Beliau berasakan seperti tertipu dengan apa yang berlaku. Apa yang dapat dirasai oleh Azmin semasa menjadi menteri kanan di era Mahiaddin hanya menggunakan kemudahan di pejabat TPM yang tidak bertuan itu. Merasai kerusi empuk bekas punggung Dr Wan Azizah sahaja.  

Cita-cita besar Azmin Ali untuk jadi timbalan perdana menteri ini bukan perkara baru dan bukan juga rahsia. Semasa dalam kerajaan PH (Keadilan) lagi beliau sudah mengimpikan jawatan itu. Kempen dan prosokasi untuk mendapat jawatan itu sangat hebat ada kalanya menyebabkan penjawatnya, Dr Wan Azizah selalu mengingau. Malahan Azmin pernah memacatkan harapan beliau akan dilantik mengganti Wan Azizah dalam tempoh tertentu apabila Dr Mahathir melakukan rombakan kabinet.

Azmin sudah menjaja bagaikan peraih tapai, sebaik Mahathir membuat rombakan kabinet maka namanyalah diumum sebagai timbalan perdana menteri. Walaupun ia adalah psywar, tetapi turut menjadikan Anwar Ibrahim tidak senang duduk, dan menyebabkan orang-orangnya terus meracuni Azmin.  

Orang Keadilan arif mengenai hal ini. Cita-cita ini dipasang sejak dalam Keadilan lagi. Apabila Dr Wan Azizah jadi TPM, ia cukup mengecewakan Azmin. Tetapi Azmin kena akur penuh kesabaran sebab kedudukannya dalam parti sebagai orang nombor dua sahaja. Maka untuk melayakkan itu Azmin bercadang untuk merempuh dan mendapat kerusi nombor satu. 

Dalam perancangan itu takdir berlaku sesuatu diluar dugaan dan sebahagiannya atas rancangan Azmin juga. Kerajaan PH jatuh, Dr Wan Azizah hilang jawatan yang diinginkan oleh Azmin itu. Semasa keadaan kalut, nama Azmin untuk mengganti Dr Wan Azizah seperti terganggu walaupun tidak padam, apabila Anwar mengambil alih jawatan presiden Keadilan. 

Kegagalan Mahiaddin untuk melantik Azmin sebagai TPM semasa beliau jadi perdana menteri 17 bulan, dan sekali lagi gagal selepas beliau jatuh, untuk menekan Ismail Sabri Yaakob agar melantik Azmin. Kegagalan ini tambah menggecewakan Azmin dan puak-puaknya menjadikan Azmin seperti dipermainkan. Azmin menerima keadaan seperti perahu pecah dikejar jong.

Sebagai seorang politis strategis, beliau tidak pernah diam terus menggerakkan ikhtiar dan mengatur strategi untuk menjadikan beliau penting seterusnya mencapai cita-citanya. Penubuhan parti PBM itu adalah salah satu iktihar. Sejak awal saya sudah katakan ia adalah satu bentuk untuk pressure Mahiaddin Yassin melantiknya sebagai TPM selain daripada sebagai persediaan untuk melayankan kehendak penyokongnya yang berhajat untuk bertanding. Sekiranya Bersatu tidak memberi kerusi, maka PMB boleh dipergunakan. 

Walaupun Azmin tidak kelihatan dalam penubuhan PBM itu, tetapi dalang utamanya adalah beliau.  Bagi Azmin PBM perlu, sebagai persiapan sekiranya beliau diketepikan dalam Bersatu khasnya apabila berlaku pilihan raya. Mesej yang hendak disampaikan dengan penubuhan PBM itu kepada Mahiaddin, sekiranya kamu tidak membantu aku, aku boleh berdikari sendiri. Mahiaddin pula sangat menyedari akan keupayaanya dan Bersatu. 

Mahiaddin tentu akan gelabah dengan PBM itu. Mahiaddin sedar kekuatannya dan Bersatu yang disokong oleh orang-orang Keadilan bersama Azmin. Tanpa sokongan Azmin dan wakil rakyat daripada bekas Keadilan, Bersatu dan Mahiaddin hanya jadi seperti melukut di tepi gantang sahaja.

Tindakan diambil oleh Zuraida hari ini adalah lanjutan tekanan kepada Mahiaddin itu? Ia sebagai satu ujian kepada ketulusan Mahiaddin kepada Azmin. Apakah Mahiaddin akan berbuat sesuatu ekoran tindakan Zuraida hari ini dengan menekan Ismail Sabri agar melantik Azmin sebagai TPM? Mungkin ada usaha ke arah itu, tetapi bagi Ismail Sabri pula tidak mudah untuk akur dengan tekanan itu kerana beliau sendiri kini ditekan kiri kanan dari berbagai fraksi. Umno yang sudah mula menunjukkan hidung belangnya, pasti akan mengepong Ismail Sabri hingga rapat ke dinding. 

Cuma apa yang mungkin Ismail Sabri dapat lakukan terus mengekalkan Zuraida dalam kabinet sahaja. Zuraida selepas mengumumkan keluar daripada Bersatu memberi tahu beliau akan jumpa Ismail Sabri membincangkan kedudukannya dalam kabinet. 

Dan bagi Zuraida pula sekiranya kedudukannya dalam kabinet kekal, sedikit sebanyak memberi ruang untuk beliau terus menggunakan kedudukan dan peluang itu menguatkan pengaruh politiknya disamping cuba membangunkan parti barunya, PBM. Jika ini berlaku Zuraida tidak mengalami apa-apa kerugian dan taktiknya dibuat itu dikira berjaya. 

Saya menjangka selepas Zuraida mengambil alih jawatan presiden PBM nanti, beliau membuat permohonan agar PBM menjadi kerabat sama ada PN atau pun BN. Walahu'alam. [12:30 pm 26/05/2022] 

No comments:

Post a Comment