Saturday, December 10, 2022

Pas masih ada waktu untuk jadi bijak politik

ULASAN SABTU

PERKEMBANGAN terkini politik di Sabah boleh mencetuskan kemelut politik kebangsaan berterusan. Walaupun ia tidak mengganggu kerajaan Perpaduan yang kian kukuh dan padu, tetapi senario di Sabah itu memberi suasana tidak damai kepada iklim politik negara. Ia mencetuskan satu lagi isu yang memadatkan minda umum. 

Semalam dilaporkan semua wakil rakyat Bersatu Sabah mengumumkan meninggal parti tersebut untuk berada dalam GRS sebagai parti atau pertubuhan mereka. Ketua Bersatu Sabah yang juga Ketua Menteri Hajiji Noor mengumumkan mereka keluar daripada Bersatu beramai-ramai.

Bersatu Sabah mempunyai 14 ahli Parlimen termasuk dua dilantik dan lima orang ahli parlimen.

Menurut Hajiji tindakan itu dibuat atas alasan setelah menimbangkan landskap politik hari ini demi kepentingan Sabah. Ia juga sesuai dengan titah Yang diPertua Agong yang mahu dibentuk kerajaan Perpaduan. 

Kata Hajiji lagi tindakan itu dibuat demi kepentingan Sabah memandangkan Bersatu atau PN di peringkat nasional sebagai pembangkang. Cara politik Hajiji itu adalah sesuatu yang biasa dimana orang Sabah dan Sarawak bermain politik bukan kepentingan parti tetapi mereka meletakkan kepentingan rakyat. Itulah bijak politik cara mereka. 

Sebelum ini GPS dibawah pimpinan Johari Openg juga peringkat awal menyatakan sokongan kepada PN untuk angkat Mahiaddin Yassin sebagai perdana menteri kemudian "koner baring" selepas beliau merasa terpedaya dengan janji dan keyakinan diberikan Mahiaadin. 

Sehingga kini belum ada kenyataan dikeluarkan oleh presiden Bersatu yang juga pengerusi PN Mahiaddin Yassin berhubung perkembangan itu? Rakannya Abdul Hadi Awang yang juga timbalan pengerusi PN belum mengibaratkan tindakan Hajiji dan rakan-rakan itu sebagai apa. Mungkin sedang mencari haiwan sesuai untuk dianalogikan.

Tetapi tindakan Hajiji bersama beberapa orang MP itu sungguh tidak menyenangkan Mahiaddin tentunya, apa lagi ia berlaku sebelum tiba tarikh dan waktu ditunggu-tunggu 19 Disember, menjelang sidang parlimen yang mana dibayangkan akan berlaku ketegangan hangit. 

Khabarnya kini ada gerakan dilakukan untuk menghebohkan pada hari berkenaan. Apa yang bakal berlaku nanti akan mengheboh dan mengeruhkan kolam politik negara. Dewan akan dikocak dan dihingguk sebaik sahaja acara mesyuarat bermula dengan pemilihan Speaker kemudian diikuti dengan usul undi percaya kepada perdana menteri.

Khabarnya persiapan dibuat oleh pembangkang untuk mengocakkan suasana dewan pada hari itu dengan berikhtiar mendapat angka bagi menafikan kepercayaan kepada Anwar. Kononnya mereka akan memulakan dengan pemilihan Yang di Pertua Dewan Rakyat. Di kampung-kampung, desa, kuala dan tanjung sudah dijaja cerita kononnya Anwar akan ditolak oleh parlimen 19 Disember nanti. Sudah ada yang membuat sepanduk dan banner.  

Semalam Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin bin Hassan telah mengeumumkan PN akan mengemukakan calon untuk dipilih sebagai Speaker. Menurutnya ada dua calon salah seorang bekas menteri. Manakala seorang lagi saya mengira adalah Azmin Ali yang "rebah beleping" (tumbang) di Gombak 19 November lalu. Azmin cuba dibawa masuk semula ke parlimen menerusi jawatan itu. 

Perkembangan di Sabah itu sesuatu yang menarik dan boleh dijadikan titik tolak untuk pihak tertentu membuat penilaian semula terhadap pegangan dan sokongan politik mereka yang khilaf. Ia juga boleh menyebabkan rakan intim Bersatu, Pas ikut sama membuat perkiraan seperti mana dibuat oeh Hajiji dan juga Johari Openg di Sarawak.

Apa yang berlaku boleh diambil kesempatan untuk mereka lebih memikirkan kepentingan rakyat dan negeri masing-masing dengan mengambil pendekatan menyokong kerajaan Perpaduan. Perkara sama juga boleh dipertimbangkan oleh Pas untuk membuat mahasabah. Ia tidak berdosa menyebabkan masuk ke neraka kalau pun berbuat demikian.  

Mengenai perkara ini, sudah dicadangkan sewaktu usai pilihan raya selepas semua gabungan tidak cukup nombor. Apa dicadangkan agar PN bergabung dengan PH tanpa mempedulikan BN atau Umno bagi membentuk kerajaan bersama. Tetapi sayang tiada terfikir ke arah itu Mahiaddin sendiri dengan angkuh menolak awal-awal sebelum menarik nafas untuk berfikir kerana ditekan nafsu dan sangat yakin boleh jadi perdana menteri kali kedua. 

Pas yang mendapat 43 kerusi boleh berdiri sendiri dan mendapat laba besar jia ia memilih untuk bersama PH. Tidak mustahil kalau Pas mengambil keputusan bersama PH, mungkin Pas berada dalam kerajaan hari ini lebih besar kuasa dan premisnya berbanding apa yang mereka perolehi sebelum ini semasa kerajaan Ismail Sabri. Bukan sahaja jawatan timbalan perdana menteri diperolehi Pas tetapi beberapa jawatan menteri juga. 

Saya cuba merealisasikan impian saya itu denngan menghubungi peribadi penting dalam Pas untuk mengemukakan cadangan itu tetapi tidak dilayani. WhatsApp saya dan panggilan saya tidak dijawab secepat sebelum ini. Hanya selepas permaufakatan PH dengan BN hampir termeteri barulah ada seseorang yang dipercayai menjadi wakil pemimpin berkenaan dari Kelantan menelefon saya bertanyakan nombor telefon beberapa pemimpin tertinggi PH.

Saat itu sudah terlewat, saya hanya bisa menjawab; sudah terlewat, pintu bas sudah ditutup dan bas sudah hendak bergerak.

Dengan berlaku senario di Sabah itu, kini Pas mempunyai peluang kedua untuk meralat kesilapan dan mendapat untung daripada pilihan raya ke-15 menerusi kerusi terbanyak diraihnya itu. Walaupun imbuhannya tidak seberapa kerana terlewat, tetapi Pas masih untung dan dapat berperanan dalam kerajaan Perpaduan ini, setidak-tidaknya Pas menjadi penyejuk keadaan yang tegang waktu ini kerana sentimen agama bangsa terus dimainkan apabila parti itu gagal membentuk kerajaan bersama Bersatu. Pas perlu bijak politik bukan dungun politik. [wm.kl.2:18 pm 10/12/2022]

No comments:

Post a Comment