Wednesday, December 15, 2021

BBC tidak sehaluan dengan kehendak Najib dan Zahid?

REAKSI

KEDUDUKAN Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri semakin kukuh ekoran sokongan Kelab Penyokong Kerajaan (BBC). Pengerusinya Tajuddin Abdul Rahman menyatakan demikian dalam satu sidang akhbar lewat petang semalam. Alasan Tajuddin untuk BBC mnyokong Ismail Sabri kerana PM itu berjaya mencapai prestasi baik dalam tempoh 100 hari. 

Sehubungan itu Tajuddin mencadangkan agar Ismail Sabri terus menjadi perdana menteri sehingga berakhir penggal parlimen ke-14 pada Mei tahun depan. Ertinya BBC tidak bersetuju dengan sebahagian ahli parlimen dan pemimpin Umno yang mahu Sabri Ismail membubarkan Parlimen dalam masa terdekat.

Apa boleh difahami dengan kenyataan BBC itu, menunjukkan "hidangan" atau "menu" yang dibentangkan oleh Ismail Sabri di atas meja makan yang bernama KPI jemaah menterinya, menyakin dan mempersonakan Tajuddin dan BBC. Sempena 100 hari perkhidmatannya Ismail Sabri telah mengadakan ekspo apa dinamakan Aspirasi Keluarga Malaysia yang membentangkan pencapaian jemaah menterinya. Menurut penilaian team perangkaan dan pembodekan Ismail Sabri, pencapaian jemaah menterinya mencapai nilai 90%.

Bagaimana pun indeks itu dipertikaikan dan meragukan maka ia perlulah dibentangkan secara lebih terperinci bagi setiap kementerian. Apakah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna  boleh dianggap sebagai berjaya apabila harga barangan terus melambung tinggi, khasnya harga sayur, minyak masak dan ayam? 

Antara alasan lain diberikan Tajuddin bagi mengekalkan Ismai Sabri, kononnya perdana menteri itu berjaya mengurangkan kes Covid, menyediakan pekerajaan, memulihkan ekonomi dan merancakan industeri pelancongan. 

Dan terbaru kerajaan Ismail Sabri berjaya meluluskan rang undang-undang Perlembagaan (Pindaan 2021) berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga. Kejayaan itu juga dicatat sebagai rekod kecemerlangan Ismail Sabri. Sebagai rekod rang undang-undang ini terlebih dahuu dibentangkan oleh kerajaan PH, tetapi ia tidak berjaya mendapat kelulusan apabila parti GPS, Umno dan Pas menolaknya. Apa dicapai Ismail Sabri itu satu pencipatkan semata-mata, dan sesuatu yang ciplak itu boleh disanjung?.  

Sokongan terbuka BBC itu tentu menggembirakan Ismail Sabri yang kini sedang menikmati zat sebagai perdana menteri. Namun dari sisi lain cara dan sikap BBC itu tidak disenangi oleh sebahagian ahli parlimen Umno dan juga pimpinan parti itu. Ia juga bertentangan dengan hasrat dan aspirasi ahli bawahan Umno yang dicapai dalam perhimpunan parti itu mahu pilihan raya segera diadakan.  Tindakan BBC itu menjelaskan Umno bercelaru dan apa dilakukan Tajuddin itu bukan menggambarkan hasrat Umno sebenarnya.

Bagi kumpulan dalam Umno yang mahukan pilihan raya diadakan secepat mungkin, tentu merasa jengkil dengan pendirian BBC itu. Cadangan Tajuddin itu tidak lebih daripada suatu bodekan. Cadangan itu boleh menghampakan harapan mereka dalam Umno yang mahu berkuasa semula dan menjadikan Umno sebagai parti menguasai kerajaan.

Seperti diketahui antara pemimpin Umno yang mahu pilihan raya diadakan segera adalah kumpulan yang menyokong presiden Ahmad Zahid Hamidi, timbalan presiden Mohamad Hassan dan bekas presiden Najib Razak.

Mereka berdua (Zahid dan Najib) yang kini berhadapan dengan pintu penjara dan dimata tergambar mangga kunci penjara, mahu pilihan raya diadakan segera dengan harapan dan keyakinan jikalau pilihan raya diadakan BN boleh menang besar dan jika itu terjadi mereka terselamat daripada meringkuk dalam penjara. 

Zahid dan Najib kini dalam keadaan desparate dan satu-satu cara untuk melepaskan diri ialah menerusi pilihan raya. Butiran perbicara terhadap kes mereka menggambarkan mereka lekat dan Najib sudah sudah pun divonis dengan 12 tahun penjara dan dan denda RM210 juta. 

Bagi Ismail Sabri sokongan oleh BBC itu merupakan impian yang diinginkan, persis si bunting sulung diberikan buah mangga masam. Justeru tindakan BBC itu boleh ditafsirkan yang BBC suka kalau kedua mereka, Zahid dan Najib meringkuk dalam penjara?

Kita dengar pula apa tindakan dan balasan daripada golongan yang mahukan pilihan raya segera diadakan terhadap kenyataan Tajuddin itu. Dan bagi Tajuddin yang diura-urakan akan dilantik menjadi Duta Malaysia ke Indonesia, sudah pasti akan menyanyikan apa sahaja lagu yang boleh membobokkan Ismail Sabri di kerusinya walaupun iramanya menyenakkan telinga umum. Redsam itu adalah budaya Umno. [wm.kl.10:29 am 15/12/2021]

No comments:

Post a Comment