Kembiri Pemuda Umno Menyebabkan Khairy Dialpakan Najib
PEMBETULAN kecil kabinet yang dibuat Najib Razak kelmarin sedikit sebanyak menjadi pertuturan orang ramai. Ia tidak terkecuali dari kalangan Umno yang tidak terlibat dengan pembetulan itu. Paling ketara dari kalangan Pemuda Umno. Pemuda Umno tampaknya sedikit kecewa dengan pembetulan itu kerana ketua mereka yang digembar gemburkan akan dibawa masuk ke dalam kabinet tidak menjadi kenyataan.
Beberapa ketua pemuda negeri telah menyuarakan, rasa sedih dan terkilan mereka atas apa yang berlaku itu. Ada yang menganggap tidak patut ketua mereka dibiarkan terkontang kanting di luar kabinet dan melalak tanpa ada kuasa dalam kerajaan. Ada juga yang menerima realiti itu sambil berharap Perdana Menteri tidak melupai jasa-jasa dan peranan pemuda. Ada juga yang melahirkan kebimbangan tindakan itu menyebabkan sokongan orang muda kepada Umno akan berkurangan kerana mereka dilihat tidak diberikan peluang untuk mentadbir negara di peringkat atas apabila Khairy tidak diberi ruang.
Dalam hal ini yang paling terasa dan 'makan jiwa' ialah Khairy Jamaluddin. Betapa tidak dia sudah pun tamat menjalani latihan ketenteraan - tentera wataniah sebagai persiapan nak jadi menteri. Budak-budaknya juga sudah mula berangan untuk mendapat kontrak itu dan kontrak ini menerusi kementerian yang bakal diberikan kepada Khairy. Tiba-tiba namanya tidak terpilih. Sungguh menyebakkan jiwa. Mungkin Khairy masih boleh tersenyum dan ketawa dengan kemalangan itu tetapi senyuman dan ketawa itu tentulah pahit menjadam.
Di sini saya ingin khabarkan kepada pemuda Umno atas apa yang berlaku itu. Elok pemuda Umno menyedari akan kekuatan diri mereka sendiri. Melakukan mahasabah luar dan dalam. Apabila Najib tidak mempedulikan nasib kelompok mereka ini bermakna Najib sudah merasakan pemuda tidak penting lagi. Pemuda sudah tidak dianggap pemuda tiang yang memperkukuh Umno. Dalam erti kata lain pemuda bukan lagi sayap utama parti.
Najib tidak lagi meletakkan tonggak kekuatannya kepada pemuda. Pemuda bukan lagi menjadi hulubalang kepada Umno untuk memperjuangkan nasib ahli dan penyokongnya. Mungkin bagi Najib keadaan pemuda sekadar kerana ianya untuk memenuhi perlembagaan saja.
Kenapa ini terjadi kerana kondisi (kegahan) pemuda tidak seperti di zaman-zaman tahun 60-an, 70-an dan 80-an dulu. Di mana masa itu peranan pemuda cukup penting. Suara pemuda adalah suara yang boleh memberi kejutan eletrik kepada Umno seluruhnya. Bila pemuda bersuara semua pihak akan berpaling ke arahnya. Pemuda menjadi badan pendesak. Hari ini kalaupun pemuda menjerit dan melaung orang tidak perasaan ataupun kalau perasaan orang menganggap suara anjing yang menyalak bukit kecil saja.
Pemuda waktu itu pemuda yang mengkritik kepincangan kerjaaan dan berani menegur pemimpinnya. Pemuda yang berlawan dan bukan seperti hari ini pemuda yang mengalah dan menghormati pemimpin sehinggakan telor rapat ke bumi ekor bergelumang dengan tahi. Jadi dengan sikap dan perangai pemuda seperti ini ia tidak menggerunkan sesiapa, termasuk perdana menteri.
Sejarah dilalui oleh bekas-bekas ketua pemuda Umno, seperti Senu Abdul Rahman, Jaffar Albar, Harun Idris, Anwar Ibrahim boleh dilihat dan dibelek. Bagaimana suara mereka menjadi besar dan mendapat perhatian Umno induk. Bagaimana mereka berperanan menjadi penegur kerajaan dan mengawal salah laku pemimpin. Mereka obses kepada nasib dan masa depan Melayu. Pemuda menjaga pagar kepada perjuangan bangsa.
Sebenarnya kerendahan nada pemuda ini mulai merudum apabila ia dipegang oleh Najib Razak sekitar awal tahun 80-an. Pemuda dimasanya menjadi pemuda yang elit, bangsawan dan tidak berani berkokok. Pemuda bukan lagi menjadi badan pendesak dan pembela Melayu. Pemuda di zamanya pemuda yang berhiburan dan melancung ke luar negeri dan berkhemah kerja saja. Kehebatan dan kewajaan pemuda sebelum ini dileburkan oleh Najib.
Pemuda zaman Najib pemuda segak dan suka bergaya. Pemuda yang berhora hore macam sebuah kelab nyayian. Masa inilah keteguhan dan kehebatan pemuda yang dibina sebelum ini merudum. Pemuda Umno di era Najib pemuda yang berbaris dan menaikkan bendera pada perhimpunan agung Umno saja.
Jadi kalau pemuda Umno mahu dilihat diri mereka gah, dan mendapat perhatian induknya, maka pemuda Umno kena ubah diri mereka. Kena kembali menjadi badan pendesak semula. Kena patahkan tiang bendera dan tidak tabik sesuka hati. Slogan Khairy yang mahukan pemuda menjadi rakan atau pemangkin Umno tidak begitu menampakkan kehebatannya. Pemuda harus bertaring dan bukan bertopeng.
Saya yakin kalau pemuda Umno mengubah sikap dan pendekatannya pergerakan itu akan dilihat sebagai hebat semula. Contoh terdekat apa yang Khairy dan pemuda Umno dapat teladani apa yang dilakukan Naib Ketua Pemuda MIC, V Mugilan. Tengok apa yang beliau lakukan kepada presidennya, Samy Vellu. Tindakan Mugilan melancarkan GAS - Gerakan Anti Samy menyebabkan namanya sekelip mata saja terkenal dan Samy pula kehilangan bantal waktu malam. Orang dapat melihat bahawa pemuda dalam MIC ada kuasa.
Soalnya beranikah Khairy hendak melakukan apa-apa seperti Mugilan? Tentu tidak berani, bukan! Walhal banyak isu yang boleh diketengahkan pemuda untuk meletakkan pergerakan itu berharga mahal dan hebat. Pemuda Umno tidak saja perlu peka kepada masalah sosial, mat rempet, minah karan tetapi mereka juga perlu prihatin kepada masalah skandal pemimpin, penyamunan wang negara dan sebagainya. Pemuda Umno jangan saja nampak kepincangan pembangkang, khasnya Anwar tetapi kena sorotnya juga kelemahan Najib. Sesekali pemuda Umno harus menegur sikap lebih sudu dari kuah yang diamalkan Rosmah Mansor.
Sayang Khairy dan pemuda tidak nampak itu semua. Mereka tidak berani.. Makanya selagi Khairy hanya menjadi pandir kepada Najib, menjadi pemuji Najib ke sana ke sini, maka selama itulah Najib tidak merasakan kehadiran pemuda boleh mengugatnya sehingga beliau terpaksa memberi tempat sewajar kepada sang ketuanya.
Jadi adalah 'tersaul dek akal' kalau Najib tidak memperdulikan pemuda dan tidak melantik Khairy ke dalam kabinet kerana pemuda di era Khairy ini hanya pemuda plastik atau pemuda harimau kertas yang boleh dijadikan abu.
Sebenarnya pemuda Umno hari ini tidak ada maruah dan rasa sedar diri. Mungkin orang beranggapan Khairy adalah budak yang menjadi tukang lalak ke arah Anwar Ibrahim saja. Tengok diawal kemenangannya lagi dia sudah dipersendakan oleh Dr Mahathir dengan tidak mengikhtiraf kemenangan Khairy kerana beliau (Khairy) dikatakan melakukan rasuah dalam pertandingan merebut jawatan pemuda. Kritikan Dr Mahathir itulah yang menjahanamkan maruah Khairy sebagai ketua pemuda. Dan tanpa banyak orang sedar bahawa pemuda Umno hari ini berketuakan seorang perasuah disebabkan dakwaan Mahathir itu.
Serangan Mahathir itu memalukan Khairy dan menjatuhkan air mukanya dan pemuda Umno seluruhnya. Tetapi apa boleh buat dakwaan Mahathir itu tidak ada tindak balas dan protes dari pemuda Umno? Tidak. Pemuda begitu menghormati Mahathir sehinggakan rasa hormat yang lebih itu memakan diri pergerakan itu khasnya membunuh wibawa ketua mereka sendiri.
Kembirian ini dilihat oleh Najib. Maka Najib merasakan tidak perlu dia melantik Khairy ke dalam jemaah Kabinet. Dua alasan untuk Najib berbuat begitu, pertama, kerana Khairy dilihat pengecut apabila tidak membela dirinya, kedua kerana dia tidak mendapat sokongan sepenuhnya dari pemuda.
Merenung nasib Khairy dalam politik ini saya nampak ia tidak ubah persis apa yang dilalui oleh Zahid Hamidi dulu. Zahid walaupun menang ketua pemuda tetapi tidak dilantik menjadi menteri oleh Mahathir Mohamad. Memalukan Zahid, timbalannya Hishmuddin diangkat menjadi timbalan menteri. Walaupun keupayaan Hishmuddin Hussein jauh lebih rendah dari Zahid, tetapi sebaik Hishmuddin jadi ketua pemuda, Dr Mahathir lantik Hishamuddin jadi menteri. Zahid baru menjadi timbalan menteri setelah Abdullah Badawi jadi Perdana Menteri.
Kalau sunah yang dilalui Zahid itu akan menimpa Khairy ini bermakna Khairy akan menjadi timbalan menteri apabila Najib tidak lagi menjadi perdana menteri. Sebaliknya, apakah setelah Najib tidak menjadi perdana menteri, Khairy masih lagi menjadi ketua pemuda?
Untuk menyelamatkan diri dalam politik, elok kalau Khairy menimbang apa yang pernah saya ucapkan kepadanya di suatu hari ketika berjumpa di rumah Nasharudin Mat Isa. Rasanya plan politik yang saya cadangkan itu boleh membina semula imejnya sebagai seorang lelaki yang bijaksana, seorang lelaki yang jantan, dan seorang lelaki yang bijak berpolitik. [wm.kl. 9:20 am 03/06/10]
Assalam Tuan,
ReplyDeletePemuda umno kususnya di-sabah tidak boleh mendakwa atau menyalahkan Najib yang tidak memilih khairy menjadi menteri kerana seorang lagi ketuanya dato Razali telah di-lantik menjadi timbalan menteri.Mungkin Najib melihat naib ketua pemuda yang lebih bersih dan ikhlas,dengan melantik naib ketua pemuda sebagai menteri,ini tandanya Najib menghormati dan mengenang jasa pemuda umno.Saranan saya kalau pemuda umno ingin ketua mereka di-lantik sebagai menteri,pada pemilihan akan datang undilah dato Razali sebagai ketua pemuda...habis cerita.
apa nak buat tuan.. nak bersuara karang nanti aib dia pulak di buka
ReplyDeleteTuan!
ReplyDeletenampak nya penyakit lembik boleh berjangkit dari mertua ke menantu
harap2 khairy belajar dari datok nazri aziz.