Wednesday, August 20, 2025

Pakatan longgar untuk mengetatkan hubungan Bersatu dengan Pas

ANALISA

SELPAS diadakan gerakan untuk menurunkan Anwar Ibrahim (Turun Anwar) 26 Julai lalu, dan Anwar tidak juga turun, pembangkang terus bergerak mengatur langkah seterusnya. Kali ini diadakan satu pertemuan untuk membentuk apa dinamakan "pakatan longgar" dalam kalangan pembangkang. 

Gagasan itu dinyatakan dalam satu pertemuan di kalangan mereka pada 18 Ogos.

Antara parti-parti dijemput dan hadir dalam pertemuan itu ialah, Muda, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Putera, Berjasa, Urimai, Parti Melayu Malaysia, Perikatan Muslim India Nasional (Iman). Parti ini dipelawa untuk bergabung dengan PN – (Bersatu, Pas, Gerakan). Sebuah parti yang masih belum disahkan pendaftaran juga dikatakan akan bersama gabungan itu.

Tanggal 18 Julai lalu sudah diadakan pertemuan dengan parti-parti ini, atas maksud sama untuk merangka agenda itu, tetapi ketika itu tanpa kehadiran Pas. Pas tidak menghatar wakil atas alasan kerana pemimpin Pas tiada di Kuala Lumpur. Ketidak-hadiran Pas menyebabkan timbul pertanyaan apa sebenarnya yang berlaku?

Pemerhati melihat usaha itu seperti ikhtiar global pihak pembangkang dan parti-parti yang ketuanya ada menyimpan dendam dan geram serta membenci Anwar untuk jatuhkan perdana menteri ke 10 itu. Setengah kecewa apabila Anwar gagal untuk melayani mereka untuk bertemu dengannya. Ada yang menjaja syok sendiri, kononnya Anwar sudah memanggil mereka, tetapi mereka tolak atas nama prinsip. Ehwah. 

Pakatan atau muafakat parti pembangkang untuk tumbangkan kerajaan Madani bukan perkara baru dan memelikkan. Dari hemat politik saya disebalik apa yang diusahakan Mahiaddin itu kerana ada hambatan lain yang tidak terfikir oleh banyak orang. Mahiaddin sebenarnya terdesak disebalik agenda itu.

Yang dapat ditafsirkan, pakatan itu memberi petunjuk dan gambaran pakatan dicadang itu lebih untuk menyelesaikan masalah Bersatu dengan Pas. Itu tujuan dan maksudnya, bukan sangat atas keyakinan parti-parti itu berenergi untuk tumbangkan kerajaan Madani yang ditunggaki PKR, DAP, Amanah dan UMNO. Mahiaddin tahu parti-parti nyamuk lain tidak boleh membantu perkuatkan pembangkang PN, sebaliknya mungkin meributkan keadaan apabila saat hendak membahagikan kerusi nanti. 

Lantaran itu saya melihat penggilan dan jemputan itu untuk dijadikan penawar bagi mengubati masalah Besatu dengan Pas. Umum tahu bahawa hubungan Bersatu dengan Pas kini retak yang menanti belah sahaja. Kekompakan mereka tidak seperti sebelum ini. Masing-masing ada hala tuju tersendiri, ada agenda dalam agenda. Ada kilau dalam kilat.

Tidak menjadi rahsia lagi hubungan atau pertelingkahan Abdul Hadi Awang dengan Mahiaddin walaupun tidak serius, tetapi ia belum sendek. Pertelingkahan itu umpama kudis yang akan membawa kepada kanser. Jiwa Hadi belum tenang dengan Mahiaddin. Bagi Pas pula, kata Hadi adalah kata Tuhan, yang tidak boleh dibantah. Selagi Hadi tidak memaafkan Mahiaddin maka hubungan itu tidak sendik.

Disebut ringkas puncanya ialah kerana perebutan jawatan dan kuasa. 

Justeru bagi saya, cadangan dan hasrat Mahiaddin untuk membentuk pakatan longgar itu sekadar dijadikan denak atau umpan bagi mendamaikan hati Hadi terhadap Mahiaddin. Pertelingkahan beliau dengan Hadi perlu dibaik pulihkan. Beliau mahu menyejuk hati Hadi yang tersinggung dengan suatu keputusan dibuat Mahiaddin. Kesimpulannya pakatan longgar itu tidak lebih dari hendak mengetatkan hubungan Bersatu dengan Pas yang sudah relai.

Rahsia yang belum terungkap, dan masih diperhitungkan secara mendalam, khabarnya dalam pilihan raya umum akan datang Pas sedang merancang dan berkira-kira untuk bertanding secara solo dengan mengekalkan kerusi yang dimilikinya kini dengan harapan selepas itu akan bergabung dengan parti-parti lain yang dikira tidak akan memperolehi kerusi lebih daripadanya untuk tubuh kerajaan. Formula atau teori itu Pas akan guna untuk memimpin kerajaan selepas Piraum ke16 kelak. Langkah ini bijaksana.

Bagaimanapun rancangan Pas ini sudah dapat dibaca dan terhidu oleh Mahiaddins sebab itulah beliau perlu melakukan sesuatu untuk mengelakkan Pas bertanding bersendirian dan meninggalkan Bersatu dalam pilihan raya kelak. Mahiaddin sangat faham bahawa partinya tidak mempunyai kekuatan untuk berhadapan dengan PH dan BN. Selam ini pun Mahiaddin atau Bersatu menjadikan Pas sebagai alat, tak ubah seperti Kancil menjadikan buaya untuk menyeberang sungai semata-mata.

Manakala bagi Pas pula mereka sudah mula berfikir dan merasa bodoh, sampai bila mereka perlu dijadikan buaya dengan menahan belaang untuk memboleh Kancil menyeberang sungai. Pas kini sudah tahu bahawa perintah Nabi Sulaiman itu adalah rekaan semata-mata. [wm.kl. 11:15 am 20/08/2025]

Saturday, August 16, 2025

Ketua pemuda Umno mahu apa sebenarnya?

ULASAN

MAAF setengah kira kabur dan tidak faham mengenai perjuangan dan juga peranan ketua pemuda Umno bernama Akmal Saleh. Apa sebenarnya yang dicari dan diingini? Apakah dia sekarang sedang memperjuangkan untuk mengembalikan martabat Umno, ataupun berjuang mencari populariti diri sendiri, sambil menyokong pembangkang.

Kalau beliau sedang berjuang untuk mengembalikan Umno kembali menjadi parti dihormati selepas kalah dan kehilangan kerajaan, apa yang dilakukan sekarang ini agak janggal. Atau kalau benar dia sedang mencari publisiti untuk diri sendiri dengan isu-isu, atau naratif agama dan bangsa, cara itu betul, dan apakah popularitinya belum cukup. Dan bijakkah langkah yang diambil itu?

Sebelum ini dia perjuangkan isu agama dengan memainkan isu stoking bertulis kalimah Allah yang dijual di KK Mark. Dia membina naratif kononnya dia seorang pembela addin, walaupun isu itu perkara remeh boleh ditutup tanpa berpolemik yang boleh memalukan umat Islam sendiri. Terbaru dia mainkan pula isu bendera dipasang terbalik, mahu membina naratif tidak sayangkan negara. Kedua-dua isu itu membabitkan orang Cina. 

Perjuangan isu bendera ini seperti dibuat secara selektif apabila kesalahan sama dilakukan Pemuda Umno Terangganu dan Pasti Pas dan lain-lain tidak ditentang dan diancam demikian rupa. Tidak seperti kekhilafan pekedai di Bertam, Kepala Batas itu, beliau sampai menganjurkan himpunan untuk menyegolahkan pemasang bendera tersebut. Untuk membesarkan isu itu diadakan himpunan Solidariti Jalur Gemilang dihadapan kedai Cina berkenaan.  

Ekoran tindakan dan aksi Akmal itu ia menimbulkan kemarahan DAP. Setakat ini pemuda ditiga buah negeri mendesak agar diputuskan hubungan dengan Akmal. Negeri negeri itu ialah Pulau Pinang, Kedah dan Negeri Sembilan. Setiausaha Agung DAP Anthony Loke juga arah pemuda DAP buat laporan polis terhadap Akmal.

Apa yang Akmal cari sebenarnya? Dalam perjuangan terbaru ini, isu bendera timbul tanya apabila dia berdemonstrasi bersama Pemuda Bersatu dan Pemuda Pas. Apa yang dia mahu disebalik isu berkenaan. Apakah ada agenda lanjut yang mahu dilakukan disebalik himpunan bersama itu? Dalam himpunan di Kepala Batas itu ternampak wajah ketua pemuda Armada Hilman dan juga bekas ahli MKT Hisham Jalil yang dikenal pasti sebagai orang yang tidak senang dengan presiden Ahmad Zahid Hamidi.

Kalau dia hendak cari publisiti untuk dirinya, rasanya sudah cukup dengan isu dimainkan dan kenyataan kenyataan yang dibuat sebelum ini, seperti isu stoking dan isu-isu sosial dan ekonomi yang lain. Isu itu sudah mengenalkan dia sebagai ahli politik Islam dan Melayu yang ketandusan isu nasional yang mempamerkan karismatiknya sebagai pemimpin.

Apabila mengenangkan dia adalah ketua Pemuda Umno, dan seorang Exco kerajaan Melaka menyebabkan kita merasa pelik disebalik tindak tanduk itu yang terus membina naratif agama dan perkauman yang menyentuh DAP. Dia seperti lupa yang DAP adalah rakan sekutu kerajaan Madani bersama Umno.

Langkah mesra diambil DAP mengunjungi ibu pejabat Umno langsung tidak diberi apa-apa penghargaan dan dialu-alukan oleh Pemuda Umno. Sikap ini tidak bijak kerana tidak tahu mengambil kesempatan untuk menjinak dan menipiskan persepsi buruk orang bukan Melayu kepada Umno.

Nampaknya tidak putus-putus Amal melakukan serangan kepada DAP khasnya, dan masyarakat China amnya. Isu stoking membabitkan China, isu bendera juga orang China, dari isu-isu itu beliau cuba menggambarkan bahawa orang China tidak patriotik kepada negara alias pengkhianat, menghina agama seperti mana dijaja oleh pembangkang. 

Disini menyerlahkan tindakan Akmal itu dangkal bersifat rasis, atau perkauman, membelakangkan rasional dan realiti politik Malaysia sama sekali. Paling memelikkan lagi dia sanggup mengajak pembangkang yang juga senada dalam isu isu berkenaan bersamanya.

Sebagai pemimpin parti, Ketua Pemuda Umno, sayap utama parti beliau sepatutnya sedar akan perbuatannya, menjejaskan hubungan sesama sendiri dalam kerajaan. Berbaik atau berganding bahu bersama pembangkang itu satu yang menyalahi etika parti politik yang membentuk kerajaan bersama. Kerjasama bukan tidak boleh dilakukan, untuk mempertahankan negara dan agama, tetapi ia perlu dilihat sejauh mana untungnya pembangkang dan ruginya kepada diri kita menerusi tindakan itu. Sikap beliau itu tidak bijak politik kerana memberi peluru dan modal percuma kepada pembangkang. Apakah tujuan dan maksud beliau sebenarnya?

Jika diteliti dan dikaji tindak tanduk politik Akmal tidak memberi untung kepada Umno. Tindakan serupa jarang berlaku kepada kerajaan sebelum ini. Ia tidak membantu usaha presiden parti Ahmad Zahid Hamidi yang bertungkus lumus untuk mengembalikan kekuatan Umno. Apa dilakukan Zahid itu sia-sia sahaja. Keadaanya seperti seorang membina, seorang meruntuhkan. 

Kepimpinan Umno khasnya Zahid, naib-naib presiden, setiausaha agung bermati-matian berusaha untuk memulihkan Umno, berusaha mengembalikan sokongan dan kepercayaan orang Melayu, terutamanya mereka yang sebelum bersama Umno. Dalam masa sama, parti sangat mengharap sokongan bukan Melayu untuk memastikan kemenangan di kerusi-kerusi campuran. 

Pemimpin menyedari tanpa sokongan bukan Melayu, mereka akan kalah. Namun, usaha Zahid itu tidak dilihat sebagai suatu hikmah oleh Akmal apabila beliau terus muncul dengan gelagak sumbangnya mahu menjadi hero ditempat yang salah dan memberi impak yang sebaliknya.

Sebelum ini beberapa kali aksi Akmal ditegur oleh pemimpin Umno. Presiden sendiri menasihati agar tidak lantang dan melakukan aksi yang boleh meretakkan hubungan sesama komponen dalam kerajaan serta menjauhkan orang bukan Melayu dengan Umno. 

Tetapi ia sia-sia sahaja. Makin dinasihat, makin menjadi, seolah ia menganjing kepada Zahid, langsung tidak menghormati Zahid sebagai ketua. Nada dan persepsinya kepada orang Cina, (DAP) sama sahaja dengan nada dan persepsi dimainkan oleh pembangkang. 

Pandangan Akmal terhadap DAP sama dengan pandangan Bersatu dan Pas yang menjadikan DAP sebagai senjata untuk menarik sokongan orang Melayu. Reality politik negara ini seperti tidak difahami oleh Akmal, bahawa mana-mana parti tidak dapat menguasai Malaysia kalau hanya mengharapkan kepada sokongan Melayu, Umno tidak akan mendapat jumlah yang cukup, hakikat ini tidak difahami Akmal. Apakah dia sedar bahawa kuasa politik Melayu kini kian menepis dengan berpecah kepada empat fikrah, Umno, Bersatu, Pas dan PKR yang mana tanpa partisipasi orang Cina ia tidak boleh berbuat sesuatu, sedangkan untuk mengharapkan parti Melayu bersatu jauh panggang dari api.

Lantaran itu memikirkan sikap pelik yang membingungkan Akmal ini seakan beliau tidak percaya dengan partinya sendiri. Semacam ada agenda berasingan yang cuba dibangunkan dengan pihak-pihak tertentu terutamanya di kalangan orang muda dalam pembangkang. Kalau itu pun hendak dibangunkan, dengan meminggirkan undi atau kelompok Cina ia tidak akan berjaya kerana realiti politik negara ini perlu kombinasi semua bangsa. Lainlah kalau Akmal ingin mengembalikan pemerintah ini ke zaman feudal lampau pemerintah raja absloute.

Mengenangkan akan kesumbangan dan tidak rasional yang kadang-kadang menyusahkan usaha Zahid untuk memulihkan Umno, elok kalau ketua pemuda ini dikenakan tindakan disiplin seperti mana yang dilakukan ke atas bekas ketua pemuda, Khairy Jamaluddin, Hisham Jalil, Hishammuddin Hussein dan lain-lain. Tidak ada guna menyimpan duri dalam daging atau musuh dalam selimut atau seekor ayam yang sudah dihinggapi bakteria kerana ia akan menjangkit sereban ayam lain. [wm.kl.1:31 pm 16/08/2025]

Sunday, August 10, 2025

Politik mahhabah Nassaruddin - Anwar majukan Kelantan

Anwar bergambar bersama Nassaruddin, Husam,
Khalid Samad dan lain-lain di baruh padai
organik Lubuk Jambu.



POLITIK mahabbah dan layanan mesra ditunjukkan Menteri Besar Kelantan Nassaruddin Daud kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim sesuatu yang disenangi rakyat dan merupakan satu anjakan politik. 

Semua pihak seharusnya mendokong politik demikian, meninggalkan politik jahiliah yang dianuti kerajaan dan pembangkang sebelum ini yang ternyatata merugikan.

Bagaimana pun realiti pendekatan diambil Nasssaruddin itu tidak begitu, ia kurang disenangi oleh sesetengah orang Pas. Mereka yang cemburu hati dengan Nassaruddin yang menjabat jawatan MB walaupun tidak bersuara, tetapi tidak mengalu-alukan cara Nasaruddin melayan kunjungan Perdana Menteri ke Kelantan.

Hakikat ini jelas apabila beberapa event yang disertai Anwar seperti kunjungannya ke Kelantan dua hari lepas tidak mendapat sambutan memberangsangkan daripada rakyat Kelantan keseluruhannya. Rakyat yang fanatik dengan Pas kurang kelihatan berada dalam majlis atau acara dihadiri Anwar. Tiada kerahan oleh Pas dilakukan.

Ini terbukti apabila tidak kelihatan mana-mana wakil rakyat Pas, baik Adun dan ahli parlimen menyempatkan diri ke majlis dihadiri Anwar. Apakah mereka tidak mengetahui atau memang tidak dijemput dan dihalang daripada hadir? 

Jemputan sebenarnya tidak penting dan wajib, kalau mereka memahami tugas dan juga posisi mereka sebagai wakil rakyat, mereka boleh saja hadir bila-bila dan dimana sahaja acara yang diadakan di Kelantan kerana semua majlis terbuka, umum.

Mungkin mereka guna alasan kerana tidak dijemput dan majlis itu bukan signifikan buat mereka. Jika tidak silap semasa kunjungan Anwar semalam hanya seorang Exco sahaja hadir termasuk menyambut ketibaan Anwar di lapangan terbang Pengkalan Chepa bersama MB kemudian mengikut beberapa acara. Yang lain tidak kelihatan batang hidung, termasuk Timbalan Menteri Besar.  

Sebaliknya MB Nssaruddin berada di sepanjang acara dihadiri perdana menteri, di majlis Bersalawat Bersama Guru Pondok di Bachok, Ijtimak Guru Pondok, di Machang, Program Madani Rakyat, HUSM dan Perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke IV, semua dihadiri. 

Bahkan semasa PM berkunjung ke baruh padi alami di Lubuk Jambu yang diilhamkan Husam Musa juga Nasaruddin ikut sama hadir. Padahal Nassaruddin boleh untuk tidak hadir kerana majlis lawatan ke baruh itu separa private. Keberadaan Nassaruddin di baruh padi itu menunjukkan sengeketa kecil beliau dengan Husam sudah dilupakan demi rakyat. Umum tahu akan perbalahan mulut di antara keduanya apabila Husam mengkritik kerajaan Pas selepas beliau dipecat dari Pas.

Orang Pas tidak perlu bimbang dengan pendekatan politik mahhabah yang dimbil oleh Nassaurddin itu. Mereka tidak perlu bimbang, takut Anwar akan memerangkp Nassaurdin. Ada juga yang skeptikal dengan kebaikan Anwar itu ia sebagai umpan untuk menjerat Pas dengan harapan akan menumbangkan kerajaan Pas Kelantan.

Perasaan itu tidak perlu bersarang dalam hati orang Pas. Dalam hal ini Anwar ikhlas dan tulus untuk membantu Kelantan. Hubungan baik dan sikap baiknya dengan MB bukan ada motif politik pun. Anwar seorang pemimpin yang sudah lama bersimpati dengan nasib Kelantan yang agak ketinggalan, beliau ingin membantu Kelantan sedaya boleh. 

Kenapa saya katakan beliau tidak ada agenda politik di Kelantan. Setiap kali beliau ke Kelantan tidak diadakan apa-apa pertemuan politik baik dengan PH maupun partinya sendiri. Tidak pernah dibincangkan dengan PH dan Umno apa lagi merangka untuk tawan Kelantan. Beliau hadir kerana tugas rasmi ataupun untuk membantu Kelantan. Kerana sikap itu menyebabkan ada orang parti PH dan BN kecewa dengannya. 

Disini dapat difahami bahawa beliau tidak ada maksud dan agenda politik di Kelantan. Situasi ini sepatutnya difaham oleh para pemimpin Pas dan penyokong Pas dan mereka perlu bijak mengambil kesempatan atas kebaikan dan sikap terbuka Anwar ini.

Walaupun Tok Guru Nik Aziz sudah tiada, tetapi saya yakin hubungan beliau dan budi baik Allahyarham membelanya disaat beliau dizalimi dan dihina dahulu akan dibalas dengan membantu Kelantan. Lagipun bagi Anwar tiada untung apa-apa kalau beliau tumbangkan kerajaan Kelantan, nawaitunya satu saja untuk membantu Kelantan yang penduduknya lebih 90 peratus orang Melayu dan berada ditahap sedarhana. 

Sebagai pemimpin yang obses untuk melihat Melayu maju, agama Islam berdaulat tidak sebab untuk beliau kacau ganggu Kelantan. Sebaliknya apa yang akan diusahakan untuk menambah baik demi kemakmuran umah.

Adalah satu kesilapan kalau orang Pas prejudis kepada Anwar. Mereka berprasangka demikian ternyata belum mengenal dan memahami perjuangan Anwar dan masih meletakkan tahap dan nilai perjuangan sama dengan apa yang mereka fikirkan. [wm.kl.9:22 pm 10/08/2025]

Sunday, August 3, 2025

Himpunan Turun Anwar wakeup call buat kerajaan

ULASAN LEWAT

SUDAH seminggu himpunan turunkan Anwar berlalu. Berbagai ulasan dan tanggapan yang dibuat oleh kedua dua pihak, pembangkang dan kerajaan. Para penganalisa dan pemerhati politik bebas juga sudah mengulas, ada positif dan ada negatif. 

Pihak pembangkang mendakwa himpunan itu berjaya. Manakala pihak kerajaan menafikan, sambil mentertawakan himpunan itu sebagai gagal berdasarkan jumlah himpunan.

Penyokong kerajaan tampaknya selesa kerana himpunan itu tidak mengubah keadaan, Anwar masih PM. Juga tiada sebarang usul tidak percaya kepada PM di parlimen.

Saya mengambil masa sedikit untuk memberi pandangan berkaitan himpunan berkenaan. Kebetulan pada hari himpunan itu diadakan saya di luar Malaysia, mengikut acara dan kronologi himpunan itu dari media sosial sahaja, tidak melihatnya dengan mata kepala sendiri.

Pembangkang meletakkan maksud dan tujuannya mengadakan himpunan itu tercapai berpandukan kepada jumlah kehadiran. Mereka mensasarkan 300,000 kehadiran. Memang kempen meminta penyokong turun hebat, hampir semua pemimpin pembangkang membuat klik video atau kenyataan khusus mengajak rakyat turun. Kelengkapan dan logistik himpunan juga disediakan.

Bagaimana pun sasaran yang ditargetkan itu tidak tercapai. Kehadiran tidak sampai separuh dari jumlah disasarkan. Ada yang dakwa 20,000 ada yang kata hanya 30,000. Disini jumlah tidak penting, ia subjektif, yang perlu disedari ialah himpunan itu berjaya diadakan ia berjalan seperti dirancangkan dan dampaknya nanti. 

Perlu diingat video atau laporan atau VTT himpunan itu senantiasa akan berlegar dan berputaran di alam maya yang boleh dilihat bila bila masa. 

Saya agak skeptikal sedikit dalam hal ini dan berbeza pendapat menganggap himpunan itu berjaya tanpa mengambill kira jumlahnya. Pada saya himpunan itu menjadi permulaan kearah diadakan siri himpunan seterusnya. Himpunan itu adalah introduction. Ia adalah bara api yang boleh membakar sebuah kebun, jika tidak dikawal. 

Apabila himpunan berjalan lancar dalam suasana meriah dan menghiburkan tanpa gangguan ia menarik perhatian rakyat untuk menyertai disiri siri akan datang. Orang ramai tidak gusar untuk menghadirinya kerana himpunan itu aman tanpa sebarang tindakan. Lantaran itu saya percaya selepas ini himpunan seumpama itu akan diadakan lagi. Demonstrasi sudah menjadi budaya politik di negara ini.

Selain itu himpunan itu juga sedikit sebanyak memberi gambaran yang kerajaan hari ini tidak aman dan terganggu. Laporan media antarabangsa terhadap himpunan itu memberi gambaran negatif terhadap kerajaan Madani. Ia menunjukkan kepimpinan Anwar walaupun baru dua tahun setengah tetapi sudah mula ditentang.

Pembangkang pula sudah tentu aktif menjadikan himpunan itu sebagai modal politik yang diedarkan dalam grup grup Whatsaap dan bahan bual dikedai kedai kopi.

Benar, keyakinan pelaburan asing kepada negara masih utuh. Tetapi kalau siri siri himpunan itu diadakan berterusan, lama kelamaan boleh memburukkan reputasi dan keadaan negara. Bagaikan air yang menitis diatas batu, lama kelamaan batu itu akan lengkuk juga.

Kesimpulan yang dapat dibuat, himpunan itu perlu diberi perhatian dan disekang oleh pihak kerajaan. Ia tidak boleh dianggap enteng atau diabaikan begitu saja kerana jumlah himpunannya tidak mega. Jangan jadi jumlah himpunan sebagai senjata mempertahankan diri.

Himpunan 26 Julai itu merupakan wakeup call buat kerajaan. Kerajaan tidak boleh leka dan syok dengan apa yang dilakukan ini. Wakeup call ini memberi peluang untuk Anwar membaiki kelemahan dan menutupi mana mana kepincangan yang jelas. Fitnah yang sudah menjadi budaya pembangkang hendaklah ditindak tegas tanpa terlalu berkompromi untuk menunjuk baik.

Begitu juga dengan kenyataan dan ulasan berupa teguran dan kritikan yang dibuat bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli menerusi podcastnya harus diteliti dan diambil kira, jangan melihat apa yang disuarakan Rafizi itu semuanya kebencian kerana kekecewaannya, sebaliknya kena didengari dan ditindak.

Selain daripada itu himpunan itu juga perlu dibalas jawab dengan mengadakan satu himpunan perdana rakyat. Kerajaan kena buktikan atau tunjuk yang mereka dihati rakyat. Dalam masa terdekat satu perhimpunan besar besaran menandakan sokongan kepada perdana menteri perlu diadakan.

Pembentangan RMK13 bernilai RM611 billion tidak cukup untuk menangkis gelombang yang terwujud dari himpunan Turun Anwar itu. Pihak kerajaan atau parti PH dan BN serta golongan penyokong kerajaan, yang baru puak puak pondok dan asatizah perlu berganding bahu mengadakan satu himpunan raksasa bagi menunjukkan sokongan kepada perdana menteri dan kerajaan. 

Setiap apa yang diberikan PM, kebaikan yang diamalkan tunjuklah dengan sokongan kepadanya. Trims. [wm.kl.10:55 pm 03/08/2025]

Friday, August 1, 2025

Ulasan pelantikan pengerusi PKR negeri

SESUDAH SUBUH

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) telah mengumumkan pelantikan pengerusi dan timbalan pengerusi negeri-negeri semalam yang akan membentuk barisan kepimpinan parti peringkat negeri selepas ini. Meneliti kepada nama nama yang diberikan tanggungjawab memancu parti mengikut negeri, menyerlahkan PKR sedang berusaha untuk memperkuat dan memantapkan parti selepas pemilihan lalu. 

Pengerusi akan memikul tugas besar untuk mempersatukan semula semua ahli yang bercakaran kerana pemilihan sebelum ini dan merapatkan saf. Kebijaksanaan pengerusi menyusun barisan kepimpinan dengan mengambil kira semua team adalah perlu. 

Selain itu tentulah untuk meningkatkan upaya parti bagi mencapai kejayaan lebih besar buat parti dalam pilihan raya ke 16 kelak demi memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus jadi PM untuk penggal kedua. Maksud dan agenda ini lebih mustahak daripada kepentingan peribadi atau team.

Pun begitu dari sisi lain, pelantikan itu terkesan yang PKR seperti kekurangan tokoh dan tidak menaruh harapan besar bagi mencapai kejayaan di negeri-negeri tertentu, apabila melantik pengerusi lama memegang jawatan itu, sedang mereka sudah diketahui gagal untuk memancu parti. Mungkin ini merupakan sedikit kelemahan disebalik pelantikan baru itu. 

Sekurang-kurangnya ada tiga negeri menjadi tumpuan menerusi pelantikan itu. Negeri-negeri itu ialah Kedah, Melaka dan Pahang. Nampak PKR meletakkan harapan besar kepada pengerusi baru di negeri-negeri ini untuk masa depan PKR. Seperti PKR ada agenda besar untuk negeri negeri ini?

Di Kedah Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dilantik menjadi pengerusi yang dikembarkan bersama Mohamed Taufiq Johari seorang pemimpin muda sedang meningkat. Kombinasi Saifuddin dengan ahli Parlimen Sungai Petani ini tepat dan padu bakal menyemarakkan PKR di Kedah. 

Saifuddin seorang pemimpin cukup berpengalaman menggerakkan parti, mananakala Taufiq anak muda yang sedang dipanggungkan untuk menjadi pemimpin masa depan. Kombinasi ini juga, dan pengembalian semula Saifuddin ke negeri Jelapang Padi itu menggambarkan PKR serius untuk menawan Kedah. 

Ini tidak mustahil apabila Saifuddin dikenali mempunyai hubungan rapat dan mesra dengan pimpinan Umno Kedah, dimana sekiranya PKR dan Umno-BN mengejapkan diri ia boleh menggugatkan Pas.

Perasaan demikian juga terasa di Melaka, apabila Shamsul Iskandar Md Akin dilantik memegang jawatan pengerusi Melaka, dimana jawatan itu pernah diserahkan kepadanya sebelum ini yang mampu memberi impak dan gelombang kepada PKR. 

Melaka pernah menyumbangkan banyak kerusi untuk PKR dan PH semasa Shamsul Iskandar menerajui PKR negeri bersejarah itu. Shamsul Iskandar yang merupakan ketua Setiusaha Politik Perdana Menteri diregukan dengan bekas ketua AMK Adam Adli Abdul Halim sebagai timbalan pengerusi, dilihat mampu untuk menyuntikkan semangat Jebat dan Tuah di Melaka untuk menghadapi pilihan raya akan datang. Kedudukannya sebagai orang kuat PM selaku Ketua Setiausaha Politik akan dipergunakan sebaik mungkin.

Amiruddin dan Farhan.

Sebuah lagi negeri menjadi fokus kepada PKR ialah Pahang, apabila Setiausaha Politik Perdana Menteri Fahan Fauzi yang merupakan ketua cabang Indra Mahkota dilantik sebagai Pengerusi baru. Beliau dikembarkan dengan Sim Chon Siang.  

Walaupun Farhan muka baru kurang berpengalaman, tetapi keupayaan dan caranya mendekati rakyat atas kedudukannya sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri cukup menarik. 

Farhan mempunyai gaya bekerja dan berkhidmat tersendiri. Beliau seorang yang sedikit pendiam tidak banyak cakap, tetapi concern dalam bekerja dan mendalami sesuatu tanggungjawab diserahkan dengan baik. Misalnya walaupun beliau bukan wakil rakyat tetapi gerak kerja dan sentuhannya kepada pelbagai masyarakat persis wakil rakyat. 

Selama menjadi Setpol Perdana Menteri, tugas-tugas kebajikan, menyatuni pelbagai masyarakat dilakukan olehnya dan ia telah meringankan tugas dan bebanan Anwar selaku PM. Atas realiti itulah menyebabkan beliau diberi kepercayaan untuk mempengerusikan PKR Pahang, satu tugas mencabar yang haru dipikulnya. Farhan tidak akan menghadapi masalah sekiranya veteran PKR Pahang dan Umno seperti Suhaimi Ibrahim yang telah menyertai PKR dipelawa untuk berganding bahu, Suhaimi seorang pemimpin berpengalaman dan berpengaruh di Pahang. 

Di negeri-negeri lain pengerusi lama masih dikekalkan, ataupun kalau ada perubahan ia tidak membawa kepada perhatian khusus. Di Kelantan Supardi Mohd Noor dilantik semula sebagai pengerusi, manakala timbalannya Asharun Uji. 

Pelantikan Supardi ini menjelaskan bahawa PKR Kelantan tidak mempunyai tokoh atau calon lain yang boleh diganti dengan Supardi walaupun Supardi sudah realtif gagal atau tidak mampu memancukan PKR di Kelantan termasuk mengaturkan kerjasama dan kepaduan bersama BN dan Amanah. Asharun yang dilantik sebagai timbalan pengerusi itu tidak dikenali. 

Begitu juga di Terengganu, walaupun muka baru dilantik namun ketokohan pengerusi dilantik itu tidak menyerlahkan, bahkan dikenali. Keadaan ini boleh dikatakan mungkin juga PKR sudah memperhitungkan sukar untuk mereka mencabar Pas di Kelantan dan Terengganu, justeru ia tidak begitu dititik beratkan. Atau ada tersimpan maksud dibenak presiden biarlah Terngganu dan Kelantan kekal kepada Pas, mewujudkan autonomi politik dua buah negeri itu. 

Johor juga menerima pengerusi baru apabila Dr Zaliha Mustafa dilantik sebagai pengerusi, manakala timbalannya ialah Yushrudin Kusni. Perubahan ini mungkin ada kena mengena dengan masalah pemilihan lalu. Zaliha mempunyai tugas besar di Johor untuk mempersatu dan memperkuatkan semula PKR di Johor yang sebelum ini merupakan negeri yang menjadi harapan PKR. Dicadangkan dalam penyusunan kepimpinan PKR Johor nanti jangan mengkesampingkan Akmal Nasir. 

Situasi sama juga berlaku di Perak, Pulau Pinang, dan Perlis. Tiada perubahan signifikan di tiga buah negeri itu. Begitu juga dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak juga tidak mengalami banyak perubahan.

Berbeza halnya dengan di Negeri Sembilan dan Selangor. Aminuddin Harun kekal sebagai pengerusi di Negeri Sembilan manakala Amiruddin Shari kekal sebagai pengerusi Selangor, sementara timbalan pengerusi Borhan Aman Shah. Di kedua buah negeri ini tidak pun perlu perubahan apa-apa memadang pencapaian kepimpinan kedua Menteri Besar itu ditahap membanggakan yang telah meletakkan PKR sebagai parti "berkerajaan" terbaik terutamanya di Selangor. [wm. kl.9:55 am 01/08/2025].

Thursday, July 31, 2025

RUU kawal salah guna agama dalam politik perlu digubal

PENDAPAT

DAO qunut nazilah sekali lagi menjadi isu dan pertikaian apabila ia sekali lagi dibaca pada tempat yang tidak relevan. Seorang ahli Parlimen daripada Pas telah membaca doa itu pada perhimpunan Turun Anwar 26 Julai lalu yang diaminkan ribuan orang termasuk bekas PM Dr Mahathir Mohamad yang pernah menyifatkan Pas lebih bahaya daripada komunis.

Sebelum ini ahli parlimen itu juga telah membaca doa qunut nazilah dalam parlimen yang diaminkan beramai-ramai ahli parlimen pembangkang. Perbuatan itu pertama kali berlaku dalam sejarah parlimen Malaysia.

Pembacaan doa qunut nazilah itu diselar oleh ramai orang termasuk para agamawan yang melihat perbuatan tersebut melampau tidak wajar kerana digunakan untuk kepentingan politik partisan. 
Tujuan dan maksud asal serta sejarah doa itu dibaca Nabi S.A.W juga menyimpang. Doa itu dibaca pertama kali oleh Nabi selama sebulan apabila umat Islam dizalimi dan meminta Allah melaknat mereka yang menzalimi.

Sebuah riwayat menyebut Nabi S.A.W membaca doa itu apabila 70 sahabat Quraa, penghafal Quran yang dikirim untuk menyampai risalah Allah mati dibunuh oleh kafir. Kerana peristiwa dikenali Bi’r Ma’unah itulah maka doa itu dibaca meminta agar penzalim itu dilaknat.

Apabila ia dibaca pada himpunan tersebut, berapa orang sudah mati kerana kezaliman kerajaan Madani hari ini. Setahu kita tiada seorang pun meninggal kerana kezaliman, bahkan tiada seekor ayam atau pun kambing berjanggut yang mati disebabkan kezaliman kerajaan. Jadi untuk apa dan relevankah doa itu dibaca? Perbuatan inilah dilihat sebagai biadab dan mempersendakan agama.

Seorang mudir pondok mengkritik perbuatan itu menganggap ianya songsang kerana apa yang patut didoa diberikan hidayah bukan minta diturunkan bala ke atas kerajaan sesama muslim.

Tindakan tersebut jelas melampau dan menyalahi tata cara dan rukun berdoa serta jahil mengenai falsafah doa qunut nazilah itu. Tindakan songsang ini serius dan tidak wajar dibiarkan kerana secara tidak langsung ia mencemar kesucian Islam, memperkotak katikan agama boleh menimbulkan huruhara disamping menyebabkan bukan Islam mentertawakan umat Islam negara ini jika tidak dikawal.

Lantaran itu semua pihak perlu mengambil perhatian serius, Majlis Agama Islam negeri-negeri, para Mufti, Jabatan Agama serta Majlis Raja Raja yang mempunyai tanggungjawab mutlak ke atas agama Islam di negara ini perlu prihatin. Perbuatan biadab dan tidak tamadun (jahiliah) itu tidak boleh dibiarkan tanpa sebarang teguran dan tindakan. Jangan lewat bertindak ke atas kemungkaran usah sampai nasi menjadi bubur.

Sehubungan itu dirasakan sudah sampai masanya suatu undang-undang atau peraturan khas mengawal salah guna agama untuk kepentingan politik perlu digubal digubal di parlimen demi menjaga kemurnian agama Islam.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Mentega) Mohd Na'im Mokhtar boleh mengambil tanggungjawab menggubal undang undang ini, beliau harus memulakan langkah ke arah itu bukan hanya setakat mengeluarkan kenyataan berupa teguran terhadap apa-apa perbuatan seumpama itu. Untuk tujuan itu mungkin pihak Jakim boleh mengajurkan satu simposium untuk membincangnya secara serius dan komfrenhensif.

Pihak-pihak bersangkutan seperti pakar perlembagaan, Jabatan Peguam Negara, polis, majlis agama, Ngo atau gerakan Islam perlu dipanggil untuk menelaah perkara ini. Jika perlu parti-parti politik juga hendaklah duduk bersama untuk merancang RUU ini agar ia mudah diterima dalam parlimen kelak.

Jangan ada mana-mana parti mencurigai pembentang RUU ini, tetapi ia hendaklah terbuka melihat untuk kepentingan bersama dalam menjaga kesucian Islam. Semua kena sedar bahawa agama itu tidak boleh dijadikan alat, dipersendakan, menjadi bahan kempen untuk kepentingan politik secara melulu. Bagaimana kita menghormati al Quran sebagai mujizat Nabi, nah begitu juga dengan nama atau apa-apa yang berkaitan dengan Islam perlu dijaga.

RUU ini rasanya lebih baik dan utama serta mudah untuk diterima umum ketimbang RUU Mufti Wilayah Persekutuan bagi memperkukuhkan institusi agama Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan yang dibentangkan 2 Julai 2024 tahun lalu. RUU itu menjadi kontroversi kerana ia lebih memihak untuk mempertahankan Ahli Sunnah Wal Jemaah yang berpegang kepada aliaran asyiariyah dan muturidiyah. 

Walaupun RUU itu sudah dibaca buat kali pertama di Parlimen, tetapi tidak diteruskan untuk bacaan seterus dan dibahas. Dalam hal ini Mufti Wilayah yang baru Shaibul Samaah Ahmad Fauwaz Fadhil perlu memerhati cadangan ini dan memberi nasihat sewajarnya sambil mengambil iktibar apa yang berlaku ke atas RUU Mufti Wilayah sebelum ini.  

Adapun RUU untuk menjaga nama baik Islam ini, saya rasa akan mendapat sokongan majoriti rakyat yang mahu memastikan Islam tidak disalahgunakan untuk kepentingan politik. Mereka yang kesal dan kecewa dengan pengeksploitasian agama untuk kepentingan politik akan menyokong. Kalau pun ada bantahan datang daripada Pas sebab ia merugikan parti itu. Tetapi yakinlah tujuan dan matlamatnya baik untuk memurnikan Islam.

Semua orang kena faham akan bahaya apabila agama dieksploit untuk kepentingan politik banyak keburukan dan mudarat berlaku, lebih malang ia boleh menimbulkan pergaduhan. Misalnya kejadian takfiri, (mengkafirkan) satu pihak lain yang pernah berlaku, sampai ada yang terkorban adalah terhasil daripada perbuatan memperalatkan agama untuk mendapat kuasa sewenang-wenangnya.

Penerusan perbuatan tersebut membahayakan kepada perpaduan di kalangan umat Islam khasnya berbangsa Melayu. Mereka yang dangkal ilmu dan mempercayai seratus peratus kepada penceramah, para asatizah yang taksub dengan pegangan politik akan menimbulkan sengketa dan perpecahan.

Harapnya Mentega akan memberi perhatian kepada cadangan ini dan jadikan sebagai legasinya selama menjadi menteri dengan membentang RUU ini. [wm.kl. 11:08 pm 30/07/2025]


Wednesday, July 30, 2025

Apabila wajah Anwar tenang, melegakan saya...

CATATAN PERJALANAN (1)

Husam, Nazri dan Zunar sedang menanti
ketibaan Anwar. 
EMPAT hari sebelum berlangsungnya himpunan Turun Anwar, saya berlepas ke India, jadi tidak sempat menunggu hari yang malang buat pembangkang dan segelintir rakyat yang terpanggil dengan himpunan itu. Saya tidak dapat menyaksikan dengan mata kepala sendiri peristiwa itu. 

Kebetulan pada hari saya hendak berlepas, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan meluncur buku biografi Zunar, Meluki Dengan Hati bertempat di Pustaka Raja Tun Uda, di Shah Alam. 

Zunar sudah lama memaklumkan kepada saya, sebulan lalu akan majlis itu. Mulanya saya terpaksa batalkan memandangkan pada tarikh itu, saya akan ke India. Namun setelah menganjak waktu penerbangan, sempatlah juga saya ikut hadir. 

Saya hadir bersama Datuk Husam Musa yang juga akan bersama ke India dan seorang lagi Dr Wan Ahmad Kamil Wan Abdullah. Misi permusafiran kami ke Lembah Indus itu, adalah pemusafiran saya pertama sejak menjalani pembedaan jantung dua tahun lepas. InsyaAllah catatan perjalanan itu akan dimuat dalam blog ini. 

Saya menyempatkan diri untuk hadir di majlis Zunar itu semata-mata untuk berjumpa dengan Anwar dan bagi menatap wajahnya. Manalah tahu, takut-takut sepulangnya saya dari India nanti beliau tidak lagi menjadi perdana menteri kerana ditumbangkan. Jadi saya perlu berjumpa dan bersalaman buat terakhir kali dengannya.

Ramai yang hadir di majlis Zunar itu dan ia sangat meriah. Sebaik saya tiba bersama Husam, sudah ramai para tetamu jemputan yang hadir, berdiri menanti tidak sabar untuk berjumpa dengan Perdana Menteri. Saya dan Husam disambut mesra oleh Pengarah PPAS Datin Mastura dan Zunar.

Saya nampak ada rakan-rakan lama Anwar terutamanya yang menerima jemputan daripada Zunar. Antaranya Nazri Abdullah, Ismail Yusof,  Sivarasa Rasiah juga ada serta lain-lain yang tidak dapat satu sebut satu persatu.

Turut sama hadir para artis, seniman serta producer dan pengarah filem terkenal Yusuf Haslan juga hadir. Sasterawan Negara A Samad Said juga hadir. Selain itu pengasas Air Asia Tonny Fernandes juga kelihatan serta beberapa orang kenamaan lain. Selain itu ramai juga para refomis dan rakan Zunar yang mengetahui majlis itu turut hadir.

Kehadiran para jemputan begitu ramai suatu penghormatan buat seorang kartunis, Zunar. Nampak perjuangannya selama ini bersama reformasi tidak sia-sia dan dinilai serta disanjung. Penerbitan buku biografi Menulis Dengan Hati yang diterbitkan dengan kerjasama PPAS  itu satu penghormatan. Bukan setakat itu pada saya, Zunar sewajarnya diiktiraf lebih hebat dari itu dan satu anugerah berupa darjah kebesaran juga patut disangkutkan di lehernya.  Dan jika perlu diangkat menjadi ahli dewan negara mewakili golongan penggiat seni dan budayawan. 

Menurut Zunar mulanya dia mahu majlis itu ringkas dan tertutup sahaja. Tetapi menandangkan akhir-akhir ini Perdana Menteri hebat dikecam dan dihina, apa lagi diambang perhimpunan untuk menurunkannya oleh pembangkang, jadi dia buka sahaja majlis kepada umum.

"Aku buka kepada semua, sapa nak datang.. datang, kita tunjukkan sokongan buat Anwar," kata Zunar kepada saya tanpa berselindung disebalik pengubahan saat-saat akhir acara itu. Memang tindakan Zunar itu tepat, berhasil mengundang ramai tetamu menyebabkan keadaan dewan "penuh penar" dan melimpah ruah saampai ke luar. Sekali pandang majlis peluncuran buku itu persis sebuah perhimpunan mengatakan sokongan dan dokongan kepada Anwar pula. 

Kedatangan Anwar bersama isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail (Kak Wan) itu adalah satu penghormatan dan pengiktiraf kepada seniman, journalis dan kartunis semua, khasnya yang bersama Reformasi. Belum pernah lagi majlis peluncuran sebuah buku dihadir para jemputan berkelas tinggi. Bayangkan tiga orang menteri dan seorang menteri besar menjadi tetamu khas. Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Komunikasi Fahmi Fadhil dan Menteri Besar Selangor Amiruddin Shari. 

Selain itu para, tetamu terdiri dari beberapa kedutaan dan anggota Exco Selangor, Ketua Setiausaha Politik PM Shamsul Iskandar Md Akin juga turut sama hadir.

Hari itu Anwar tiba bersama Kak Wan selepas menghadiri sessi sebelah pagi parlimen.

Dari jauh saya nampak kelibat Anwar turun dari kereta bersama Kak Wan dengan senyum, melangkah gaduh gagah bersalaman dengan seorang demi seorang para tetamu utamanya di majlis itu dengan diiringi "tuan kija"  Zunar. 

Kak Wan mengikuti penuh kesetiaan dan ceria dari belakang sempat memberikan sebuah senyuman untuk lensa telefon lama saya. 

Sejenak kemudian, begitu ternampak Husam yang menanti sedikit jauh ke hadapan, Anwar bergerak dan bersalaman. Tangan meraka lama bergenggaman dan ada bicara tumpah antara mereka menjadikan perjalanan pause sekejap. 

Saya tidak dapat pastikan apakah butir bicara mereka itu, tetapi difahamkan mengenai lawatan ringkas Anwar ke Kelantan awal September nanti. Saya berada di sedikit belakang ralik "memukul gambar" dengan telefon lama. Dan begitu melihat saya, Anwar mememekkan mulut seperti biasa lantas menghulurkan tangan, kami bersalaman tanpa ada kata-kata yang sempat terluah, tetapi konteks batin terus mengemakan sebuah talunan rasa yang sama, puas.

Sebahagian tetamu kehormat
yang hadir.
Saya puas melihat wajahnya yang tenang melangkah gagah dan berwibawa. Jabatan salamannya yang kemas menandakan ia bukan buat-buat, saya menyimpulkan bahawa perdana menteri saya itu, pada hari tersebut dalam keadaan utuh, yakin dan bahagia. Promo untuk berhimpun menjatuhkannya sedikit pun tidak menganggu mindanya.

Saya dan Husam tidak sempat lama dalam majlis itu. Sebaik Pengarah PPAS Datin Mastura selesai berucap mengalu-alukan kedatangan PM itu dan meluahkan rasa bangganya tidak terhingga, saya dan Husam terpaksa tunduk hormat meninggalkan majlis untuk ke lapangan terbang bagi memulakan misi permusafiran ke negara ketamadunan Lembah Indus. 

Naskah hadiah buku Melukis Dengan Hati tidak pun sempat saya ambil untuk dibaca dan dijadikan teman dalam permusafiran, bagaimana pun sdr Haili memberi tahu ketika saya di lapangan terbang yang Zunar ada simpan untuk saya.  [wm.kl. 12:33 pm 30/07/2025]



Thursday, July 17, 2025

Siapa ketua hakim negara?

 ISENG ISENGAN

SEJAK malam tadi berlegar rumours seorang hakim berasal dari Terengganu kemungkinan akan dilantik sebagai ketua hakim negara yang baru. Kalau hakim itu dipilih, kalau tidak silap bermakna sudah dua orang hakim berasal dari Terangganu memegang jawatan itu. 


Kedudukan Terengganu dalam hal ini sama dengan Kelantan apabila dua orang anak Kelantan dipanggung sebagai ketua hakim negara, pertama Ariffin Zakaria dan kedua Tengku Maimun Tuan Mat.


Salleh Abbas yang merupakan anak Besut dan merupa hakim yang dipecat diera Mahathir dan pernah menjadi Exco kerajaan Terangganu sewaktu Hadi Awang jadi MB, pernah menjadi ketua hakim negara. 


Hebat orang Teranggnu dan Kelantan apabila putera puterinya terpilih menjadi ketua haikim negara, memegang jawatan tertinggi dalam institusi kehakiman negara.


Iya Kelantan dan Terangganu tidak panasaran lagi untuk melihat putera kebangaan mereka menduduki jabatan itu. Tetapi tentu ia tidak cukup disitu sahaja. Kalau dari eksekutif, ia, tetapi tidak dari aspek politik. Jawatan tertinggi dalam politik ialah perdana menteri dan timbalan perdana menteri, setakat ini belum ada anak Kelantan dan Terangganu memegang jawatan itu.


Negeri negeri lain (kecuali Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Perlis) sudah merasainya malahan ada yang mengulangi sampai dua, tiga  kali. Kedah mencatat sejarah apabila Tunku Abdul Rahman dipilih jadi perdana menteri pertama. Kemudian ia dikuti oleh Mahathir Mohamad menjadi PM yang keempat dan ketujuh, mencatat sejarah juga apabila dua kali jadi Perdana Menteri. Kedah juga merasai puteranya menjadi timbalan perdana menteri.


Kemudian diikuti negeri Johor, dua anak negerinya mejadi PM dan tiga orang jadi timbalan perdana menteri. Hussein Onn jadi PM ke tiga manakala Mahiaddin Yassin jadi PM ke lapan. Sebelum Hussien dan Mahiaddin, Musa Hitam juga pernah jadi TPM.


Negeri Pahang juga merasai hal sama, apabila Razak Husein jadi PM kedua dan anaknya jadi PM ke tujuh. Sejarah tersendiri berlaku disini apabila dua beranak jadi PM. Tidak cukup setakat itu saja Pahang menjadi negeri pertama memiliki tiga orang PM dan timbalan perdana menteri. Ismail Sabri Yaakob adalah PM ketiga dari Pahang dengan sejarah menjadi PM paling pendek tempohnya.


Sebuah lagi negeri bertuah dan ikut merasai puteranya jadi PM ialah Pulau Pinang apabila, Abdullah Ahmad Badawi jadi PM ke lima dan Anwar Ibrahim sekarang ini jadi PM ke-10. Kedua-dua mereka juga pernah jadi timbalan perdana menteri.


Dimasa akan datang, kita berharap PM akan datang dari Kelantan dan Terangganu pula selepas ini. Buat masa ini belum nampak siapa anak Kelantan dan Terangganu pertama akan jadi PM. Sebelum ini ramai mengira Tengku Razaleigh Hamzah bakal jadi PM dari Kelantan memandangkan populariti, kedudukannya dalam parti serta kepakarannya dalam ekonomi. Tetapi tidak menjadi.


Begitu juga dengan Teranggnu, ada angan angan untuk melihat Wan Mokhtar Wan Ahmad berdasarkan populis  dimilikinya. Tetapi beliau yang berlatar belakangkan agama, tetapi diberi kesempatan. Begitu juga denga Hadi Awang, kekutan partinya Pas, dan juga poplaritinya beliau sebagai agawaman dilihat ada potensi. Namun nampaknya Hadi senasib dengan Wan Mokhtar. Mereka bukan material perdana menteri, lebih layak jadi penceramah. 


Demikian juga di Kelantan, Husam Musa yang pernah mnduduki barisan pimpinan tertinggi Pas dan penampilannya di Kelantan menampak beliau punya bakat hebat untuk diangan-angan ke situ. Husam menyerlah sebagai pemimpin dengan gaya dan kehebatan tersendiri. Namun takdir politiknya beliau terpaksa berpisah dengan Pas, menjadikan harapan dan impi itu kabur.


Hari ini baik di Kelantan dan Terangganu tidak nampak sosok yang layak untuk di arah ke situ. Rafizi Ramli anak Terangganu tetapi membesar di luar tidak sangat dilihat mewakili Terangganu.


Bagaimana pun sekiranya Terangganu ingin memilik seorang calon PM di masa depan mungkin boleh mengambil Rafizi sebagai sosok untuk jadi pemimpin masa depan negara. Bagimana pun di Kelantan selepas Husam sudah terkeluar dari musim, belum ada yang dapat disetandingkan dengan Rafizi di Terangganu. [wm.kl.11:54 am 17/07/2025]



Sunday, July 13, 2025

Politik bebudak tidak perlu dilayan

PANDANGAN

Nampaknya pejabat setiausaha agung parti Keadilan tidak berdiam diri dengan tingkah laku sumbang sembilan orang ahli parlimen parti itu yang mengadakan sidang akhbar ala ala pasar malam baru baru ini yang bertindak seperti cuba menguji kesabaran parti itu. Dua daripada mereka tidak hadir.


Setiausaha Agungnya Dr Fuziah Salleh dalam satu laporan memaklumkan pihaknya   ada menerima gesaan agar parti mengambil tindakan ke atas mereka.


Mereka yang mengadakan sidang akhbar ala pasar malam itu, ialah termasuk mereka yang kalah dalam pemilihan lalu diketuai oleh Rafizi Ramli dan timbalannya Rodhziah Ismail. Sidang akhbar itu mendesak kerajaan menubuhkan RCI agar menyiasat skandal kehakiman dengan menuduh Perdana Menteri memyembunyikan sesuatu kepada rakyat.


Cadangan penubuhan RCI itu cuba memberi gambaran kepincangan kepimpinan perdana menteri yang juga presiden Keadilan. Gesaan itu dianggap mencemarkan imej Anwar sebagai PM dan suatu tindakan kontradik dengan amalan semangat parti.


Sidang mdia itu menjadi perhatian umum dan telah dieksploitasikan pihak pembangkang untuk menyerang perdana menteri. Dari segi moral dan tanggungjawab kesembilan ahli parlimen itu boleh dipertikaikan, maka wajar kalau gelagat sumbang mereka itu diperhalusi untuk diambil tindakan disiplin.

  

Berhubung perkara itu, Fuziah menjelaskan ia akan dibincang dalam mesyuarat MPP dua minggu lagi. Menurut Fuziah parti ada kod etika tersendiri untuk dikenakan tindakan disiplin kepada ahlinya.


Gesaan agar sembilan ahli parlimen itu diambil tindakan, digantung, datang daripada 19 ketua cabang di Johor dan 11 ketua cabang Kedah. Sehingga catatan ini dibuat belum ada apa-apa kenyatan serupa dikeluarkan yang dibuat oleh ketua ketua cabang di negeri lain. Pasti sehari dua lagi kenyataan sama, mendesak mereka digantung akan dibuat oleh ketua ketua cabang negeri lain.


Cadangam itu menujukkan betapa tidak senangnya mereka dengan lagak dipamerkan Rafizi bersama tujuh ahli parlimen berkenaan. Perbuatan mereka boleh ditafsirkan tidak menghormati parti, persis gunting dalam lipatan yang boleh menjejaskan maruah presiden.Tanggungjawab mereka menjaga airmuka parti sudah ke laut. Maka wajar mereka dikenakan tindakan.


Persoalan kini apakah perlu tindakan dikenakan kepada Rafizi dan MP itu. Dari segi makrifat dan motif politik, Rafizi dan gengnya itu bukan tidak tahu perbuatan mereka itu melanggar peraturan parti, tetapi disengajakan dengan tujuan tertentu. Perbuatan Rafizi itu tidak bezanya dengan tindakan Azmin Ali suatu waktu dahulu bersama 10 orang ahli parlimen PKR yang lari meninggalkan parti.


Mudah sahaja untuk difahami, tindakan itu ia tidak akan berlaku sekiranya kesemua mereka menang dalam pemilihan lalu. Isu kehakiman yang dipertikaikan itu bukan perkara pokok yang diperjuangkan, tetapi  diambil sebagai isu untuk melepaskan geram semata mata bagi memburukkan presiden. Sidang akhbar itu adalah rasa tidak puas hati kepada presiden.


Kita tidak fikir kalau Rafizi masih timbalan presiden, beliau akan mengadakan sidang akbar media ala pasar malam begitu dengan mencadangan perkara itu kepada kerajaan, kerana isu kehakiman itu sudah wujud semasa beliau masih memegang jawatan timbalan presiden lagi. 


Terbaik parti tidak perlu bertindak, apa lagi mengenakan apa apa tindakan terhadap mereka, biarkan sahaja Rafizi dan kekawanya terus melalukan apa yang mereka suka. Politik budak budak pantang dipujuk dan dirayu, sebab jika dipujjk ia akan meraung lebih kuat lagi. Kalau pun aksi mereka akan dicedup oleh pembangkang namun labanya tidak seberapa sangat.


Rasanya Anwar sendiri cukup mengerti dan faham dengan perangai budak budak ini, sebab dia sendiri pernah menjadi budak sebelum menjadi orang tua. Lama kelamaan apa yang dibangkit itu, mereput dan ia akan berhenti dengan sendiri. Macam bebudak yang menangis kerana menuntut sesuatu yang tidak dipenuhi oleh orang tuanya., akhir ia menangis atau terlena di tepi dinding. [wm.kl. 6:29 pm 13/07/2025].



Tuesday, July 8, 2025

Bara sengketa masih menyala

BACA POLITIK


SEMALAM Rafizi Ramli mengadakan sidang akhbar bersama lapan orang ahli parlimen Keadilan. Sidang akhbar itu sebagai meluncurkan projek politik baru beliau selepas tidak lagi jadi anggota kabinet dan berada dalam kerajaan. Beliau nampaknya merealisasikan apa yang beliau ucapkan, yang beliau akan buka babak baru dalam politik selepas tidak jadi timbalan presiden Keadilan. 

Ahli parlimen yang hadir mengiringinya di sidang akhbar semalam ialah, Rodziah Ismail (Ampang Jaya), Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Nik Nazmi Nik Ahmad (Titiwangsa), Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang), Wong Chen (Subang) dan Zahir Hassan (Wangsa Maju).

Mereka ini ialah pengikut setia Rafizi dan sanggup untuk melakukan kamakazi. Mereka bergantung nyawa politik kepada Rafizi. Besar kemungkinan dengan ulah dan laku mereka itu, mereka semua tidak akan dicalonkan semula oleh Keadilan untuk mempertahankan kerusi berkenaan. Jika mereka merasa pengaruh dan dokongan kuat mereka boleh bertanding atas tikit bebas atau parti lain.

Ramai menyangka semalam Rafizi akan memgumumkan sesuatu mengejutkan disidang akhbar itu, tetapi meleset.

Rafizi masih kekal bersama Keadilan. Ilham untuk tubuh parti baru tidak berbangkit langsung, atau beliau sudah membuat kajian menyeluruh kalau buat parti baru, ia tidak akan membawanya ke mana mana pun. Buat parti itu tidak ubah seperti guruh kuat berbunyi hujan tak seberapa, tidak ada manfaatnya. Baguslah, nampaknya peminatnya di alam maya berjumlah ratusan ribu itu tidak memberi kekuatan dan keyakinan kepadanya untuk form parti baru.

Maka selamatlah semalam Keadilan ditimpa musibah kedua selepas peristiwa Langkah Sharaton. Rafizi nampaknya belum jadi seperti Azmin Ali sepenuhnya, iras iras sudah ada. Pembangkang yang berdoa dan solat hajat supaya Keadilan ditimba musibah terkantoi setakat ini.

Jadi langkah diambil semalam ialah bertindak jadi pembangkang dalam kerajaan, tepatnya menjadi gunting dalam lipatan atau lipas dalam almari. Rafizi mengguna kedudukannya sebagai ahli parlimen untuk menggodak Anwar. Jadi pengkritik kerajaan, bagi mencapai aspirasi reformasi. Bunyinya molek tetapi mesejnya lain.

Beliau memulakan dengan mengkritik Presiden, Anwar Ibrahim bersabit proses pelantikan dan kelewatan pelantikan hakim hakim yang disifatkan suatu skandal. Isu Tengku Maimun Tuan Mat tidak disambung enam bulan sebagai Ketua Hakim Negara turut jadi perhatian Rafizi.

Sejajar itu beliau mencadangkan agar kerajaan menubuhkan RCI untuk menyiasat perkara itu. Cadangan itu menunjukkan betapa seriusnya kehilang-percayaan Rafizi kepada Anwar. Logiknya bila seseorang ahli hilang kepercayaan kepada presiden dia minggak sahaja dari parti?

Selain itu beliau juga mendesak Anwar beri penjelasan berhubung soal perlantikan hakim. Rafizi tanpa segan silu mengheretkan isu secara terbuka ke tempat terbuka. Beliau cuba membayangkan ada sesuatu yang disembunyikan Anwar disebalik isu itu. Tampaknya Rafizi bekerja untuk membantu pembangkang ketimbang membantu kerajaan. Mungkin ini pola baru politik kita atau politik style Rafizi.

Seperkara lagi disebut Rafizi semalam, selepas ini beliau akan ada forum umum bergerak dari bandar ke bandar utama menjelaskan isu berkenaan dan lain lain isu kepada rakyat, biar rakyat tahu dan cerdik dengan isu. Jelajah forum ini adakah sambungan jelajah hiruk sebelum ini? Belum habis lagi ke perbalahan dan dendam, kata minta semua orang move on?

Tanpa mengira sejauh mana forum berkenaan berjaya, namun ia tidak boleh dipandang ringan. Para pemimpin parti dan mereka yang setia dengan Anwar yang mahu melihat Anwar kekal sebagai PM sekurang kurangnya sepenggal, perlu melakukan sesuatu. Rafizi kena ingat dan fikir juga Anwar juga ada penyokong hard core dan setia, malahan mereka telah teruji sejak berdekad lalu. Para penyokongnya yang tidak mengharap apa-apa imbuhan dan balas rela berkorban untuk Anwar.

Rancangan jelajah forum itu perlu dibendung. Parti tidak boleh biarkan ia berjalan semahunya tanpa kawalan atau diberi pelawanan atau penjelasan maksudnya. Tujuan forum itu dibuat terbuka oleh Rafizi kerana beliau mengharap ia akan disertai oleh pihak pembangkang sama. Ia sebagai taktiknya mencari sokongan. Dari situ beliau akan melihat sejauh mana sambutan dan sokongan kepadanya. Beliau kini sedang melebarkan pengaruh, merentasi parti politik. Sekiranya ia memberangsangkan tidak mustahil beliau akan bertindak lebih agresif lagi.

Jadi sebelum ia merebak, parti Keadilan perlu melakukan sesuatu yang signifikan. Bukan sahaja Keadilan, tetapi parti gabungan kerajaan juga, PH dan BN perlu mengambil perhatian sama, sebab serangan ke atas Anwar merupakan serangan terhadap kerajaan. Mungkin satu perhimpunan parti perlu dipanggil segera untuk memberi penjelasan kepada ahli agar tidak keliru dengan sihir dimainkan Rafizi.

Barisan pemimpin yang baru punya tanggungjawab untuk berhadapan dengan Rafizi dan mempertahankan Anwar. Mereka kena ingat pertembungan semasa kempen pemilihan lalu masih belum berakhir. Bara belum padam sepenuhnya. Pegawai utama parti, Setiausaha Agung, Ketua Penerangan, Pengarah Strategi, Bendahari, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan lain-lain perlu memerah otak untuk menghadapi serangan terbaru Rafizi ini. Timbalan presiden baru Nurul Izzah kena proaktif, sehingga kini mulutnya masih terkunci, kenapa? Ada masalah gusi ke?

Perhimpunan itu seeloknya selepas parti selesai menyusun barisan kepimpinan baru, pelantikan eksekutif, lantikan pengerusi negeri negeri selesai dibuat. Tidak boleh biarkan Rafizi dan gengnya bergerak sesuka hati tanpa pemantauan dan bendungan. Bacaan saya, gerak kerja yang dilakukan Rafizi itu adalah sebagai persiapan untuk menanti kongres tiga tahun akan datang.

Masa terluang yang beliau miliki sekarang ini saya percaya bukan keseluruhan ditumpukan kepada untuk jaga 18 ekor kucing kucingnya, tetapi tempoh ini beliau akan istiqamah jadi pengkritik, penganggu kerja buat Anwar sebagai perdana menteri. Dan sekiranya apa digerakkan ini mendapat sambutan beliau mengharap Anwar akan surrender sebelum tiba masanya. Itu impian dan mimpi Rafizi bersama gengnya. [wm.kl. 9:58 am 08/07/2025]