Thursday, December 19, 2019

Dinsman tanya "Dr Mahathir" mau apa lagi?

SEPINTAS 

Si bapak (Dinsman) memulang tanya kepada anaknya
(Dr Ayudez Zuraina) kau juga mau apa?
TAHUN 80an (awal) Dinsman atau nama sebenarnya Che Samsudin Osman muncul dengan sajak panjang ditulis khas dan istimewa buat Dr Mahathir Mohamad berjudul "Puisi panjang buat Dr Mahathir," .

Sajak ini dibaca pada malam Teater Elit bersama Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri ke 4 ketika itu. Teater Elit adalah pimpinan Dinsman bersama dua lagi rakan, Allahyarham Ajikik dan Sotong Umar Rs.

Dr Mahathir hadir pada malam itu dan beliau dilaporkan terharu dengan persembahan buatnya itu. Malam Teater Elit bersama PM ada majlis teragung buat penyair seumpamanya.

Tahun 90an (akhir), Dinsman terus memberi pemerhatian kepada Dr Mahathir dengan sajak "Macam orang gila,". Kandungan atau mesej sajak ini berbeza dan semacam kontras dengan sajak berjudul, Puisi Panjang buat Dr Mahathir yang ditulis sedekad sebelumnya.

Kalau dalam sajak awal 80an itu, Dinsman menyatakan keterujaan kepada Dr Mahathir yang kepimpinannya mendapat sanjungan dan perhatian seantero dunia, sebaliknya perasaan bimbang dan kesal kepada Dr Mahathir terpancar dalam sajak Macam orang gila. Sajak ini benar-benar mempelecehkan perdana menteri itu.

Rupanya keterujaan Dinsman seperti dalam sajak panjang itu tidak lama, ia rosak dan musnah dalam perjalanan?

Derhaka.
Sajak Macam orang gila, Dinsman "menderhaka" kepada Dr Mahathir atas segala tindak tanduknya, bobrok dengan kuasa politik dilihat sebagai seorang yang rakus dan tamak kuasa.

Tindakan Dr Mahathir terhadap timbalannya, Anwar Ibrahim benar-benar membakar kemarahan Dinsman dan kerana ulah dan kemarahan itulah maka beliau menganggap Dr Mahathir macam orang gila. Satu bait sajak itu menunjukkan Dinsman ikut terpedaya dengan kezaliman Dr Mahathir yang didakwa telah meracun Anwar.

Begitu juga dengan ketamakan Dr Mahathir memunggah dan menjarahkan kekayaan negara untuk kroni dan anak-anaknya dimurihai oleh Dinsman.

13 pelajar lelaki dan perempuan turut
menjayakan teater tersebut. 
Jelang menjenguhnya kelendar 2020, beberapa hari saja lagi, Dinsman muncul dengan sebuah teater dituju(?) khas kepada Dr Mahathir berjudul "Apa lagi yang bapak mahu?" 

Tanpa berbasa basi bagi saya teater ini ada kesenimbungan permerhatian dan pengamatan Dinsman kepada politician yang saya menganggapnya sebagai diktator politik, Dr Mahathir Mohamad.

Teater ini adalah kemarahan tidak berpenghujung Dinsman kepada Dr Mahathir. Dari teater ini menjelaskan prinsip Dinsman yang tidak boleh berkompromi dengan sebarang kekotoran. Bahawa jiwa seni Dinsman masih murni.

Mulanya saya tertanya-tanya sendiri apakah tema teater atau mesej yang dipamerkan Dinsman dalam teater berkenaan. Dengan hanya menilik gambar-gambar Dinsman dan pemainnya sedang berlatih di beberapa lokasi yang dimuat masukkan dalam Facebook oleh sdr Yassin Salleh, yang juga bertindak sebagai sutradara, saya kabur mengenainya. Tertanya-tanya apa yang hendak dibawa oleh Dinsman selepas mementaskan Uda dan Dara dalam sawah padi.

Tidak ada sinopsis daripada Yassin. Mungkin ia disengajakan untuk menimbulkan persoalan dan tanda tanya. Ini satu publisiti menarik kerana dapat mengusik ilusi umum untuk mendekati teater berkenaan termasuk saya.

Jadi apabila mengetahui teater itu akan dipentaskan di Pekanbaru, Riau Indonesia ia menggembirakan saya kerana kebetulan pada tarikh itu saya sudah bercadang untuk berlibur di Riau bersama isteri dan anak-anak.

Jadi saya mencari kesempatan terbaik agar dapat menyaksikan teater berkenaan. Apakah yang hendak diluah dan "dikebek" Dinsman selepas ini. Umum mengetahui Dinsman seorang seniman dan penyair juga dramatis yang kritis dan tidak sedia membiarkan sesuatu itu membiak dan menular begitu tanpa singgungan. Tentu ada pesan dan mesej baru yang hendak diperkatakan.

Pengamatan Dinsman kepada Dr Mahathir di akhir dekad 90an selepas menjadi PM untuk kali kedua penting. Sebelum ini di dua dekad 80 dan 90 beliau sudah "membomohi" Dr Mahathir lewat puisi Sajak panjang buat Dr Mahathir dan Macam orang gila.

Seusai teater diaminkan semua tenaga
produksi dan pemain bergambar. 
Hampir terlepas.
Sebenarnya saya hampir-hampir terlepas untuk menyaksikan teater ini kerana ia dipentaskan pada siang hari bukan waktu malam seperti lazimnya. Ini terjadi kerana dipentaskan di kompleks At Tabrani Islamic Centre di Pekanbaru Riau sempena Festival Teater Islam Dunia 2019 yang bermula 13 hingga 17 Disember.

"Apa lagi yang bapak mahu?", salah sebuah teater mengisi slog di pesta berkenaan.

Sebegitu memasuki hotel kelmarin (15 Disember) saya terus menghubungi Dinsman untuk mendapat maklumat lanjut tentang pementasan teater beliau itu.

Sebelum itu beberapa kali saya menghantar pesanan WhatsAap kepada Yassin Salleh tetapi tidak terjawab. Saat Dinsman angkat panggilan WhastAap, beliau bilang sudah mahu dimulakan jam 3:00 petang, dan beliau sendiri sudah siap untuk ke pentas. Saya membuat panggilan jam 2:50 sore.

Nasib baik jarak hotel penginapan di Jalan Riau saya dengan komplek Tabrani di Arengka Pekanbaru itu tidak begitu jauh, boleh dijangkau dalam masa kurang 15 minit dengan teksi. Saya dengan ditemani isteri, Naimah bergegas ke kompleks berkenaan.

Sesampai di komplek berkenaan saya terus dibawa masuk ke dalam dewan. Saat itu teater itu tunggu untuk dimulakan bila-bila masa sahaja, seolah-olah hanya menanti ketibaan saya. Juruacara sudah mengumumkan acara akan dimulakan.

Sebahagian daripada penonton memenuhi
dewan Islamic Tabrani, Pekanbaru. 
Saya diberi layanan sebagai tetamu khas bersama isteri, berada di barisan dewan. Kelihatan pula Yassin mundar mandir melayan tetamu dan saat dia ternampak saya, beliau panggil dan ditarik tangan agar ke kerusi depan. Lantas beliau memperkenalkan saya kepada beberapa panitia penganjur secara berprotokol. Lega dan bertuah.

Sesungguh saya masih belum tahu apakah tema teater terbaru Dinsman ini. Apa yang diketahui seperti diumumkan, judulnya, nama penulis naskah, Dinsman dan pengarahnya Yassin Salleh. Siapa tidak kenal Yassin seorang sutradara filem yang hebat di tahun 80an.

Dialog pertama yang terkeluar dari pelakon utamanya, Dr Ayudez Zuraina berbunyi kira-kira begini; "tidak cukupkah lagi 22 tahun kau...." terus memberi penjelasan dan pemahaman kepada saya, apakah tema teater berkenaan. Dialog itu dilapaskan pelakon wanita dalam keadaan kecewa, geram dan kesal. Sepantas kilat tatkala mendengarnya saya menangkapinya, ia ditujukan kepada seseorang sedang berkuasa di Malaysia, Dr Mahathir.

Ternyata telahan  saya tidak meleset, apabila beberapa minit kemudian. Sehinggalah muncul seorang lelaki memegang watak ayah (Dinsman) mampir dan duduk di kerusi. Seting teater ini sangat ringkas, di ruang tamu, ada dua buah kerusi dan sebuah meja kecil, disinilah teater dua watak itu beraksi dan berdialog. Si anak, bertanya kepada si bapa apa yang dimahui lagi dengan kuasa dan membangkitkan yang bapaknya seolah tidak insaf dengan apa yang berlaku.

Anak ternyata tidak betah dengan nasfu besar bapaknya yang tidak pernah puas dengan kuasa dan mengulangi lorong dan denai politik sama yang huduh. Sudah 22 tahun ayahnya berusia 93 (bukan 94) tahun, jadi perdana menteri tetapi masih tidak mahu berhenti, belum puas-puas lagi. Si anak berasa kesal dalam masa sama kesian kepada baaknya kerana dalam seusia begitu masih mahu berkuasa dan bernafsu.

Si ayah tidak senang dengan sikap dan nasihat anaknya itu dengan menuduh anaknya cuba hendak mengajarnya. Apakah kau sudah mahu jadi ustazah, tanya bapak? Si bapak memahami apa maksud anaknya dan memberi penjelasan yang sikap dan pendirian mereka adalah berbeza. Kata si bapak, di antara politik dan dakwah mempunyai falsafah berbeza. Bapak tetap mengakui kenapa dia mahu terus memikul kerana ingin membena negara?

Dan paling menyenakkan si anak apabila bapaknya mengulang permainan politik yang sama, menjadikan kuasa untuk memunggah kekayaan. Walaupun tidak ada dialog menyebut sang bapa terus mengenakan (menzalimi dan menganiayai) mangsanya, tetapi dari perlakuan, sebutan dialog atau konflik di antara kedua itu menjelaskan ia menggambar si bapak itu adalah Dr Mahathir Mohamad. Tema teater itu sendiri adalah politik ia mencitrakan politik yang berlaku di Malaysia.

Mengulas mengenai teater terbaru Dinsman ini saya tidak mahu menyentuh apakah ia sesuai dimainkan di pesta berkenaan yang diadakan di luar negara Malaysia? Walaupun ia total politik tetapi elemen Islam, pengajaran tetap ada dalam teater berkenaan, apabila Dinsman cuba memberi kesedaran dengan pertanyaan dari sepotong ayah dalam surah Ar Rahman "Fabiayyi alaa'i rabbi-kumaa tukadzibaa', bermaksud; nikmat Tuhanmu yang mana kau dustakan?

Ayat atau pertanyaan ini jelas ditujukan kepada mereka yang berkuasa yang mendapat kedudukan tetapi enggan berhenti seolah-olah ia belum mencukupi. Dalam konteks teater berkenaan ayat itu dikirimkan kepada Dr Mahathir.

Sesuai dengan perulangan sebanyak 31 kali ayat itu disebut, maka berulang kali juga ayat itu dimasukan dalam dialog dan bergema di pentas dan meruapi ke seluruh dewan. Dr Reginalah yang menyebutnya, manakala si bapak sekalipun tidak menyebutnya.

Lebih bersinergi lagi, ayat itu dijadikan ratiban atau khasidah sekumpulan anak-anak seramai 13 orang, tujuh perempuan berpakaian hitam bersama enam lelaki berpakaian putih naik ke pentas sambil bergerak mengelilingi dua watak si ayah dan si anak.

Perwatakan dalam teater ini sangat minima sekali, hanya dua watak, si ayah dijayakan Dinsman sendiri dan si anak dijayakan oleh Dr Ayudez Zuraina. Penampilan Dr Ayudez yang pertama kali saya saksinya, dikira bertenaga serta berpotensi untuk jadi pelakon teater hebat di masa depan. Teater ini juga selain dilatar dengan ratiban ayat dalam surah Ar Rahman itu ia juga dilatari oleh muzik yang dimainkan oleh dua musician. 

Ledakan penulis naskah teater, Apa lagi yang bapak mahu, mungkin kurang sampai selagi ia tidak dipentaskan di dalam negeri, Kuala Lumpur. Saya sangat berharap ia akan dipentas di Kuala Lumpur dan beberapa tempat sekembalinya rombongan teater yang dikendalikan Paksi ini kelak. Sebaik-baik panggung adalah di Istana Budaya. [wm.kl.11:45 am 19/12/19]

Glossori:
1. Kebek = buka, gelidah.
2. Murih = marah.

No comments: