Sunday, March 13, 2022

Pirane Johor pengajaran buat oposisi

ULASAN LEWAT

DALAM mood yang tidak begitu sumringah, saya cuba melengkapkan kerja rutin pengisian blog MT dengan memberi ulas-pandang terhadap pilihan raya (Pirane) Johor yang sudah selesai semalam. Keputusannya seperti sudah diketahuiUmno - BN berjaya menguasai 40 kerusi daripada 56 kerusi sekaligus membentuk kerajaannya di negeri berjiran dengan Temasik itu. 

Parti-parti lawan BN, hanya memperolehi 16 kerusi sahaja, dengan pecahan Perikatan Nasional (PN), 3 kerusi, Pakatan Harapan (PH) 11 kerusi, Keadilan dan Muda masing-masing satu kerusi. Dengan pencapaian itu BN berjaya membentuk kerajaan Johor dengan majoriti dua pertiga, satu pencapaian dikira cemerlang dalam konteks demokrasi berparlimen. 

Sudah banyak pihak membuat analisa dan memberi dapatan masing-masing berhubung pilihan raya berkenaan, pencapaian BN dan kekalahan opisisi. Juga tidak kurang membuat unjuran berhubung kesan dan implikasi pilihan raya itu, yang dikaitkan dengan pilihan raya umum akan datang. 

Bagi pemerhati politik yang pro Umno, melihat kemenangan besar di Johor itu sebagai kesenimbungan kejayaan BN di Melaka yang kemudian akan terbawa ke piraum akan datang. Mereka yakin keputusan pirane Johor itu membuka momentum baik buat BN untuk berkuasa kembali selepas tersungkur 2018 lalu. 

Namun, bagi penganalisa bebas dan memahami pola politik tanggapan atau andaian demikian bukan semestinya berlaku. Cuma mungkin BN boleh bergembira untuk seketika dan bukan ke penghujungnya hingga ke piraum ke-15.

Perlu difahami di sebalik kejayaan UBN itu ada cerita lain yang lebih penting yang hendak dicapai. Ia adalah kelangsungan kepimpinan presiden dan bekas presiden parti itu waktu ini. Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak adalah orang paling bergembira dengan kemenangan itu tetapi tidak mudah untuk mereka memperolehi sepenuhnya atau ke klimaks kegembiraan di sebalik kejayaan UBN itu. 

Awal-awal lagi, pilihan raya di Johor itu merupakan strategi dan helah Umno khasnya pemimpin utama partinya mahu menjadikan kejayaan di Johor itu sebagai momentum membebaskan diri mereka. Baik Zahid atau Najib mereka mahu menjadi pirane itu sebagai ujian (test merket) kepada populariti mereka dan penerimaan masyarakat umum kepada mereka selepas didakwa di mahkamah dengan puluhan pertuduhan. 

Mereka mahu menjadikan pilihan raya itu sebagai testimoni buat mereka. Mereka mengharapkan kemenangan itu mempengaruhi suasana yang mereka hadapi kini. Itulah signifikan yang diharapkan.  

Soalnya apakah hasrat dan harapan mereka itu tercapai? Untuk menggapai itu mereka berharap parlimen dibubarkan segera bagi membolehkan piraum ke-15 diadakan. Tujuannya, jika piraum diadakan, dikira Umno kembali berkuasa dan mereka mendapat manfaat besar daripada kejayaan itu nanti. Mungkin tidak perlu saya sebut apakah manfaat yang mereka harapkan itu, kerana setiap daripada kita sudah memahaminya.

Ismail Sabri Yaakob yang kini menjadi PM seperti sedikit tertekan dengan kejayaan BN itu apabila beliau diberi isyarat supaya membubarkan segera parlimen. Beliau telah pun memberi reaksi terhadap desakan seperti mana diingini Zahid dan Najib itu, bahawa beliau mengatakan tidak ada keperluan untuk parlimen dibubarkan. 

Katanya beliau tidak sedia akur kepada desakan daripada sebilangan orang. Beliau merujuk kepada laungan para penyokong Umno (penyokong Najib) semasa beliau hadir ke ibu pejabat Umno di Johor Baharu, agar membubarkan parlimen. Apa diulas Ismail Sabri itu tentu tidak menggembirakan Zahid dan Najib serta mereka yang dikelompokkan dalam kluster mahkamah daripada parti itu.

Sememangnya, Ismail Sabri tidak perlu akur dengan desakan itu. Lagipun situasi hari ini kedudukan ahli parlimen Bera itu sebagai PM tidak tergugat. Sokongannya di parlimen walaupun tidak cecah 2/3 tetapi beliau masih utuh. Penandatangani MoU di antara kerajaanya dengan PH telah memberi ruang untuk menyelamatkannya. Ada baiknya juga MoU itu buatnya. 

Setelah menerima kekalahan di Melaka dan Johor, kita tidak kira PH akan mencabut sokongan kepada Ismail Sabri atau tepatnya bersetuju pilihan raya umum diadakan. Dalam keadaan mereka (oposisi) ketidaktentuan hala, sudah pasti mereka tidak bersetuju agar pilihan raya diadakan dalam tempoh terdekat ini. Mendesak piraum ke-15 diadakan dalam keadaan tidak bersedia seperti gali kubur sendiri. 

Sebab dan punca.

Kembali kepada pilihan raya yang berakhir semalam itu. Apakah sebab dan punca menyebabkan oposisi tewas. Kekalahan itu sebenarnya mengejutkan atau diluar dugaan. Saya sendiri sebelum ini, walaupun sudah memperhitungkan BN akan menang, tetapi tidak percayai kalau memperolehi sampai 40 kerusi. Saya menduga paling banyak pun UBN akan meraih 20 hingga 25 kerusi sahaja. 

Saya lebih cenderong menghitung kerajaan baru Johor selepas pirane itu akan membabitkan penggabungan sekurang-kurang dua parti (komponen), BN dengan mana-mana komponen. BN saya letakkan diurutan utama atas keyakinan parti itu yakin akan menang, kerana kalau tidak mereka tidak sedia untuk bubar Dun Johor. 

Tetapi ternyata ramalan itu meleset apabila UBN menang besar. Saya kira, UBN juga terkejut dan tidak percaya dengan pencapaian itu. Ini didasarkan kepada kenyataan Zahid sebelum mengundi katanya BN bersedia untuk bergabung dengan mana-mana parti untuk penubuhan kerajaan. Najib Razak pula menyifatkan kejayaan itu sebagai luar biasa. 

Sebenarnya, mudah sahaja untuk mengetahui kenapa UBN menang besar dan oposisi kalah teruk. Rasanya semua jawaban dan analisa sudah dibuat oleh banyak orang. Perpecahan atau tidak sepakatnya oposisi dalam menghadapi pilihan raya itu, adalah punca utama. Dalam pirane Johor itu, BN seperti merasa keselesaan awal-awal lagi apabila oposisi gagal untuk menyatukan diri dan membentuk persefahaman. Jika diperhalusi ada enam kumpulan oposisi yang berhadapan dengan Umno yang dianggap sebagai kerajaan. 

Golongan atau fraksi itu ialah, PN, PH, Keadilan, Pejuang, Muda, Warisan, PSM, Putra dan parti diaspirasi oleh Azmin Ali yang saya tidak ingat namanya. Tujuh kumpulan atau parti ini berlawan sesama sendiri konon menentang BN yang hakikatnya mereka bergaduh sesama sendiri. Kehadiran tujuh kumpulan inilah memberi sumbangan besar kemenangan kepada BN. BN Johor menang kerana diberi laluan oleh oposisi.  

Perkara ini jelas seperti mana analisa atau hitungan berdasarkan perolehan undi disediakan oleh Sinar Harian, menerusi artikel Sinar Premium sekiranya parti-parti oposisi berkerjasama, opisisi akan memperolehi 20 kerusi, dimana kalau dicampur dengan kerusi yang diperolehi kini sebanyak 16, bermakna oposisi mendapat 36 kerusi. 

Seandai analisa itu tepat bermakna, BN hanya mendapat 20 kerusi sahaja, dan ini secara automatik parti oposisi akan membentuk kerajaan. Katakan, kalau Bersatu (PN) tidak menyertai kerajaan itu dengan menarik tiga kerusi diperolehi itu, oposisi masih lagi berjaya membentuk kerajaan dengan jumlah 33 kerusi.

Hitungan itu dibuat berdasarkan undi diperolehi parti-parti oposisi itu berbanding dengan undi BN, dimana kalau dijumlahkan parti oposisi masih mengatasi undi BN. Dalam pilihan lalu BN mendapat 43.1% undi berbanding dengan parti oposisi 56.9% berdasarkan peratus keluar mengundi 53.6%.

Antara kerusi-kerusi yang disebut bakal dimenangi oleh oposisi sekiranya mereka bergabung atau bekerjasama adalah;

Kemelah, Tenang, Gambir, Serom, Bukit Pasir, Bukit Naning, Sungai Balang, Semerah, Parit Yaani, Parit Raja, Sanggarang, Rengit, Kota Iskandar, Kempas, Larkin, Permas, Tiram, Tanggaroh, Bukit Permai dan Mahkota.

Artikel itu menyebut sebagai contoh di Tiram BN memperoleh 22,939 undi dan jika semua undi pembangkang dicampur mereka akan mendapat 31,599 undi.

Begitu juga di Larkin BN (16,053) manakala blok pembangkang (22,081); Tenang BN (5,380) - blok pembangkang (6,597); Kota Iskandar BN (23,133) - blok pembangkang (32,584). Begitujuga di Rengit BN (7,903) - blok pembangkang (8,254) dan Parit Yaani BN (9,070) - blok pembangkang (14,450).

Analisa itu jelas menunjukkan kalau ada kerjasama dan persefahaman dalam kalangan oposisi kemenangan untuk BN boleh dinafikan. Dengan fakta itu, bahawa kejayaan BN dalam pilihan raya itu bukan sesuatu yang autantik dan dibanggakan apa lagi menjadi petunjuk sebenar kekuatan sebenar untuk BN.

Bertolak daripada fakta dan dapat itu, BN Johor masih belum berada dalam keadaan selesa dimasa akan datang. Sekiranya pembangkang mengambil langkah baharu, menginsafi keadaan semalam, kemenangan UBN semalam itu boleh hilang dan musnah semula. 

Sebenarnya tidak ada sebab untuk oposisi tidak dapat duduk bersama. Secara dasarnya semua pembangkang yang menyertai pirane Johor itu kerana tidak suka kepada BN. Mereka mencemuhi kepimpinan parti itu yang korup dan memasang cita-cita untuk kembali berkuasa. Pada asasnya, parti pembangkang sudah ada persefahaman dalam marah dan benci kepada Umno cuma belum ada kesepaduan dalam tindakan. 

Dalam pilihan raya lalu, parti pembangkang gagal membaca apa yang berlaku. Masing-masing berkeyakinan akan memperolehi kemenangan. Yang nampak begitu yakin ialah Perikatan Nasional (PN) dan juga Keadilan. Keadilan sampai bertanding menggunakan lambang sendiri dan tinggalkan simbol PH. Ternyata tindakan itu tidak bijak dan telah memakan diri sendiri apabila daripada 20 kerusi ditandingi menang hanya satu kerusi sahaja.

Untuk Piraum akan datang, kalau tertakdir berlaku pertandingan dua penjuru antara blok oposisi dengan BN di Johor senario yang berlaku semalam akan berubah. [wm.kl. 8:08 pm 13/03/2021]

No comments: