Tuesday, December 31, 2024

Apa khabar Nafas masih sempuk lagi ke?

PENDAPAT

Daun kalendar 2024 akan gugur berapa jam sahaja lagi sebelum ia diganti dengan tunas daun kalendar 2025. 

Mesti kita semu sudah bersedia dengan cita-cita dan azam baru. Sebelum itu elok kalau kita menjengok menoleh ke belakang melihat apa yang telah kita lakukan disepanjang 365 hari lepas sepanjang tahun 2024, disamping kita memasang niat dan azam untuk tahun hadapan.

Untuk itu kita sama-sama menilai apa yang berlaku dalam kehidupan kita secara peribadi atau pun kehidupan secara umum (bernegara). Pencpaian atau kegagalan perlu dinilai untuk menambah-baikkan nilai hidup ini.

Kerana kita sangat obses kepada perjalanan kerajaan Madani, elok kalau kita memberi sedikit penilaian terhadap kerajaan Madani ini, mudah-mudahan dengan penilaian ini ia akan menjadi papan tanda untuk setahun akan datang. Penilaian diri sendiri biarlah ia menjadi rahsia peribadi.

Disini saya tidak bemaksud untuk memprihalkan setiap apa yang berlaku dalam kerajaan, disetiap kementerian, sebaliknya akan cuba mengulas kepada suatu isu atau perkara yang menjadi perhatian umum yang menimbulkan sedikit kontrovesi dalam sebuah kemnterian sahaja, yakni Kemeterian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, berkaitan isu Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas). 

Kenapa dipilih kementerian ini, kerana ianya sangat dekat dengan rakyat bawahan, kebetulan pula dibawah seliaan menteri yang saya kenali, Datuk Seri Mohamad bin Sabu.Senoga Mat ikhlas menerima pandangan ini.

Apa sudah jadi dengan Nafas, bagaimana keadaan pertubuhan itu untuk tahun hadapan selepas mengalami sedikit kesempukan nafas di akhir tahun ini apabila berlaku pergolakan dalam pertubuhan itu. 

Pertubuhan Peladangan Kebangsaan (Nafas) yang ditubuhkan tahun 1973 menjadi nadi kepada lebih 700,000 peladang itu riuh sedikit apabila berlaku kemelut dalaman, pergaduhan atau apa dinamakan "ketidak harmonian" diantara jemaah pengurusan (ahli lembaga pengarah) dengan pegawai eksekutif atau Pengurus Besar.

Ekoran perbalahan itu menyebabkan perlembagaan Nafas digantung menyebabkan pengurusan Nafas tergendala dan urusan pentadbiran dilakukan oleh jemaah pengurusan yang dibentuk khas. Ertinya kuasa pertubuhan itu seperti diperuntukan dalam perlembagaan dibatalkan.

Penggantungan Nafas itu disebut sendiri oleh menterinya Mohmad bin Sabu ketika berucap dalam parlimen. Penggantungan itu sedikit sebanyak mencalarkan maruah kementerian berkenaan. Mat ada juga menjelaskan penggantungan itu bukan kerana masalah politik. Kenyataan ini menyebabkan timbul persepsi apakah isu Nafas ini ada elemen politik?

Alasan penggantungan itu dibuat kerana ingin membaiki tatakelola dalam pertubuhan berkenaan. Mohamad bin Sabu cuba menutupi hal itu dengan menyebut sebelum ini perlembagaan Nafas pernah digantung, semasa Allahyarham Sallhauddin Ayub dan Anwar Ibrahim jadi menteri. Apa yang hendak disampaikan oleh Mat penggangungan Nafas itu dibawa pengawasannya perkara biasa sahaja dan tidak perlu digusarkan.

Alasan dan hujah diberikan Mat bin Sabu itu agak simplistik. Sepatutnya sebagai menteri beliau kena pastikan perkara buruk, tidak diingini dan negatif seperti penggantungan itu daripada berlaku. Sebagai menteri beliau seharusnya menyelesaikan kemelut itu secara senyap, penuh diplomasi bukan terbuka ke luar kerana ia sedikit sebanyak menggusarkan anggota pertubuhan itu. 

Mat seharusnya menunjukkan karismatiknya sebagai menteri, bukan sebagai penceramah yang aroggant. Menceritakan yang Nafas pernah digantung seolah-olah Mat tidak ada hujah untuk mempertahankan tindakannya.

Dan jangan kerana ia berlaku sebelum ini maka penggantungan kali ketiga itu dianggap sebagai biasa, apa lagi dijadikan sebagai alasan. Mat sebagai menteri perlu cari jalan menuntaskannya disamping menunjukkan wibawanya selaku menteri, elakkan Nafas digantung, itu baru orang tengok Mat bijak dan mampu sebagai seorang menteri.

Kalau setakat tindakan itu, dimanakah kebijaksanaan seorang menteri kalau perkara lama masih berulang. Penggantunagn atau tindakan stereotaip bukan solusi. Seboleh-bolehnya Mat berusaha untuk mengekang penggantungan daripada dilakukan, atau setidak-tidaknya pendekkan tempoh penggantungan.
 
Bukan bermakna standarad Mat akan sama dengan Sallahuddin atau Anwar apabila dia juga melakukan hal sama menggantungkan Nafas. Seharusnya Mat bertindak lebih baik daaripada Sallahuddin dan Anwar, baru Mat dikatakan menteri pertanian dan keterjaminan makanan yang cemerlang.

Kini sudah dua bulan pelembagaan Nafas digantung, yang bermula pada 1 November. Orang ramai masih menanti penyelesaiannya, khasnya di kalangan anggota pertubuhan itu. Tidak elok untuk digantung tanpa tali lama-lama. Disebabkan penggantungan itu menyebabkan Nafas gagal untuk mengadakan mesyuarat tahunan yang dijadual berlangsung Disember ini dan banyak perkara lain turut terjejas. Implikasi dari itu Nafas juga gagal menyusun program atau rancangan untuk memajukan peladang pada tahun hadapan.

Kesan daripada penggantungan itu juga membawa mudarat kepada para peladang di seluruh negara. Ini sesuatu yang malang bagi orang Melayu kerana lebih 90 peratus ahli pertubuhan itu pemegang sahamnya terdiri orang Melayu B40.

Tidak bolehkah Mohamad bin Sabu gunakan kuasa dan budibicaranya sebagai menteri memanggil kedua belah pihak berjumpa, membincangkan bagaimana hendak menyelesaikan apa yang berlaku. 

Tidak ada kekusutan yang tidak boleh diselesaikan kerana setiap kekusutan itu ada puncanya. Dalam menyelesaikan sesuatu itu langkah berunding lebih baik daripada menyerang di antara satu sama lain. Tampaknya Mat tidak menggunakan kaedah ini tetapi lebih percaya kepada nasihat daripada orang keliling berkepntingan.

Mungkin Menteri sibuk dan tidak dapat memberi tumpuan kepada Nafas, kerana banyak masalah dibawa kementeriannya yang masih belum tuntas. Isu ketiadaan beras tempatan, kegiatan kartel belum dapat dibenteraskan ke akar umbi sehingga ia disebut oleh PM. Kerana kesibukan itu menteri tidak sempat untuk bertanya khabar tentang Nafas yang sempuk itu. 

Dalam hal kita difahamkan kemelutan itu berlaku di antara jemaah pengurusan (ahli lembaga pengarah) dengan ketua eksekutif (Pengurus Besar), kedua mereka ini adalah kepala entiti dalam Nafas. Panggil keduanya bersemuka kemudian bincang secara anak beranak dan menteri memberi solusi terbaik.

Kita harap dengan terselaknya mentari 2025, Muhammad bin Sabu akan memberi tumpuan khas menyelesaikan masalah kemelut dalam Nafas ini. Mat jangan melihat ia perkara remeh atau isu semulagi jadi yang klise, tetapi ia patut dilihat sesuatu yang serius. Seboleh-bolehnya sebelum Februari 2025 isu Nafas ini sudah memberi nafas lega kepada 700,000 anggotanya.

Apa berlaku di bawah di kalangan peladang harus dirasai oleh Mat. Gelodak dibawah kena dihayati sebaik mungkin. Isu Nafas ini jangan sampai meletup dan meledak kerana yang terkena nanti bukan sahaja batang hidung Mat bin Sabu tetapi kerajaan Madani dan Anwar bin Ibrahim sendiri. Ingat pembangkang sedang menunggu peluang sahaja.
 
Apakah kata kalau peladang berhimpun mendesak kerajaan menangani segera kemelut dalam pertubuhan itu. Semisalnya mereka mengadakan himpunan di Putrajaya masing-msing membawa sabit dan parang. Ketika itu nanti Mat tidak akan dapat berbuat apa-apa lagi, jerit pekik lawak dangkal dan lucunya tidak akan dihiraukan lagi. Ingat kuasa peladang ada kuasa rakyat bawahan yang bukan kecil-kecil anak, suara mereka ada suara latar rakyat. Justeru Mat perlu peka kepada kemungkinan ini.

Atau kalau tidak berdemostrasi pun macam mana kalau para peladang mengadakan konvensyen kemudian mengemukakan memorandum agar Mat ditukar ke kementerian lain atau digugurkan. Suara dalam konvensyen itu boleh dianggap rasmi dan Anwar selaku PM tidak boleh memandang enteng perkara itu. Jika boleh elakkan kejadian seperti ini.

Kerajaan pimpinan Tuan Razak suatu masa dahulu goyang apabila berlaku tunjuk perasaan petani dan pekebun getah di Baling Kedah. Jangan pula berlaku tunjuk perasaan oleh peladang yang boleh menggugatkan kerajaan Madani dan mencalarkan imej Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
PM, harus memberi time line kepada Mat bin Sabu untuk menyelesaikan isu Nafas dan paling penting memberi jaminan tidak ada himpuan oleh para peladang dan ahli pertubuhan itu berkaitan isu Nafas ini. Trims. [wm.kl.12:48 pm 31/12/2024]

Thursday, December 19, 2024

PN mencari penawar untuk pulih keretakan

ULASAN

Melepas jawatan tepat pada masa sesuai
pada kerika, kata Samsuri.
PELETAKAN jawatan sebagai Bendahari Agung PN oleh Ahmad Samsuri Mokhtar masih diperkatakan. Rata-rata pemerhati politik atau mereka yang faham dan tahu baca aura politik tidak mudah untuk mengatakan apa yang berlaku itu perkara biasa. Ia tentu ada sebab musababnya.

Apa lagi bila Presiden Pas Abdul Hadi Awang cuba mengelak daripada mengulas peletakan jawatan Samsuri itu dengan alasan beliau tidak berapa sihat ketika diekori para wartawan selepas memberi kuliah. 

Keadaan ini menjadikan ia seperti ada sesuatu yang hendak disembunyikan.

Agak pelik sedikit kenapa tiba-tiba presiden Pas senyap atau pun loket untuk memberi ulasan, selalunya sambil duduk pun (kalau tak sihat) beliau akan memberi ulasan, apa lagi perkara itu dilihat satu kejadian yang sedang mendapat perhatian di peringkat nasional yang perlu segera dituntaskan. Apa lagi Hadi selalunya pantang disuakan mikrofon, maka akan keluarlah nama-nama binatang emoji politiknya.

Peletakan jawatan itu dilihat serius apabila sebelum Samsuri umum lepas jawatan, berlaku sedikit perkara diluar dugaan bila mana nama Takiyuddin Hassan tidak diumum sebagai Setiausaha Agung PN seperti dijanjikan. Sebelum ini Pas sudah mencadangkan agar jawatan itu diberikan kepada mereka, dan nama disebut ialah Taikyuddin. Pas beri alasan untuk Takiyuddin menjabat jawatan itu berdasarkan pengalaman dan senioritinya dalam politik.

Bukan itu sahaja, Samsuri pula dalam memberi penjelasan berhubung peletakan jawatan itu menyatakan tindakannya tepat dan sesuai pada masanya. Pernyataan ini jelas bahawa peletakan jawatan itu bukan atas sukarela tetapi atau ada maksud tersirat. Dalam pada itu beliau memberi tahu peletakan jawatan itu akan diuruskan oleh parti.

Ketika mentafsir tindakan Samsuri itu saya membuat catatan dalam Facebook mengatakan tentu ada arahan dari pemimpin dengan tindakan itu. Saya tidak yakin kalau ia pandai-pandai Samsuri kerana PN adalah sebuah pakatan atau gabungan bersama Pas dengan Bersatu dan Gerakan yang ghairah untuk menawan Malaysia.

Dalam Pas menanti harapan itu dipenuhi tiba-tiba nama Azmin Ali yang diumum oleh Mahiaddin Yassin ketika PN mengadakan mesyuarat tertinggi mereka. Justeru khalayak melihat peletakan jawatan Samsuri selepas dua hari mesyuarat itu sebagai satu protes kepada apa yang tidak berlaku itu.

Bertolak dari situ maka timbul berbagai spekulasi dan telahan, tetapi semuanya tidak dibuktikan dengan tepat dan betul apa yang sedang berlaku dalam PN dan dengan keputusan Samsuri itu. Lantas isu Samsuri itu seperti mati begitu sahaja apabila khalayak digemparkan pula dengan cerita Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz hendak menyertai PKR. Isu politik cepat berlalu, jika kita tidak fokus ia akan terlepas begitu sahaja. Pas mengira, begitu akan jadi dengan isu Samsuri ditelan oleh isu Zafrul.

Tetapi tidak begitu rupanya. Peletakan jawatan Bendahari Agung PN oleh Samsuri itu ada cerita lain diseblik itu dan ia merupakan isu yang meretakkan hubungan jiwa dalam PN. Ada orang kecewa dan terkilan dengan apa yang berlaku, malahan ada yang demam masih belum kebah. Maka benarlah apa yang saya tafsirkan itu. 

Khabarnya peletakan Samsuri itu atas arahan pucuk pimpinan merupakan satu protes. Sebenarnya selain Samsuri ada lagi penjawat jawatan dalam PN daripada Pas yang ingin ikut serta untuk meletak jawatan, tetapi ia dilarang. Penjawat itu dibenarkan berada dalam PN atas maslahat tertentu, mungkin buat sementara. 

Disini nampak jelas bahawa kejadian sehingga Samsuri meletak jawatan itu telah melukai hati Pas. Apa yang boleh difahami kesan daripada itu menyebabkan berlaku keretakan dalam PN ketika ini yang belum ada penawar untuk menyembuhnya. Khabarnya beberapa bomoh dan pawang telah dipanggil untuk menenangkan jiwa Pas yang berombak itu.

Apa yangilankan dan mengecewakan Pas, saya difahamkan oleh satu sumber malam tadi, katanya sebelum PN mengadakan mesyuarat tertinggi mereka, sudah diadakan suatu pertemuan diantara pemimpin Pas dengan Bersatu ikut sama Mahiaddin sebagai pengerusi PN, dimana dalam pertemuan itu Pas mencadangkan nama Takiyuddin sebagai Setiausaha Agung PN, dan ianya telah dipersetujui oleh Mahiaddin. 

Tetapi apabila masuk dalam mesyuarat Mahiaddin mengumumkan senarai enam nama-nama pimpinan tertinggi PN yang tersedia diatas mejanya. Dalam senarai itu nama Takiyuddin tidak ada diganti dengan nama Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung. 

Kekhilafan inilah menjadi punca kenapa Pas terasa hati dan memberi signal kepada Bersatu dengan mengarahkan Samsuri melepas jawatan Bendahari Agung. Bersambung. [wm.kl.9:43 am 19/12/2024]

Monday, December 16, 2024

Isu Zafrul: SELAMI MAKRIFATNYA

PANDANGAN ISNIN

Zafrul jangan jadi masalah kepada
kerajaan Perpaduan.
ISU yang berlegar disekitar Menteri MITI, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz seperti kian panas dan mulai meruap, perlu semua pihak khususnya Umno dan Keadilan melihat isu ini dengan mata hati yang jernih bukan dengan mata politik yang berbaur, bervariasi. Ia kena ditangani dengan cermat, berhemat dan waspada bersifat jauhari mengenali maknikam.

Isu seperti ini walaupun pernah berlaku sebelum ini, tetapi dalam kes Zafrul ini ia sedikit berlainan dan spesifik. Justeru ia kena ditangani dengan cermat, dan berhati hati seperti bidalan yang baru saya cipta ini, “kalau hendak menanak gadung, jangan gadung tidak masak, kayu api habis, periok pula rosak.”

Maksudnya jika hendak melakukan sesuatu perbuatan, menuruti perintah untuk melakukan bagi merealisasikan perintah atau agenda, biar ia berjalan lancar, tidak menjejaskan keharmonian yang ada, apa lagi sampai mendatangkan masalah baru.

Tentang Zafrul ini presiden Keadilan Anwar Ibrahim sudah pun membuka mulut mengesahkan hal ini, ada perundingan peringkat awal, katanya. Ertinya isu perpindahan Zafrul dari Umno ke Keadilan ini wujud dan ada asasnya. Bagaimana pun sebelum itu presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengatakan dia tidak tahu, dan Zafrul tidak memberi tahunya. Mungkin Zahid simpan untuk tidak mendahului Anwar.

Apakah perundingan berlaku antara Zafrul dengan Anwar sahaja? Dan kenapa kalau itu berlaku. Mustahil kalau Umno tidak menghidunya. Sebagai orang yang dilihat baik dan bertaraf profesional tidak manis dan sepatutnya menyembunyikan sesuatu daripada ketua. Kalau itu berlaku, ia tidak munasabah dan tidak jujur kalaupun tidak boleh dituduh khianat.

Dan seperti ada sesuatu yang hendak diralat oleh Zafrul bila dia sendiri mengatakan dia tidak tahu keahlian dalam parti.

Di sini kenapa saya bilang isu ini kena lihat dengan mata hati bukan mata politik. Sebab seperti ada sesuatu yang misteri disebalik perkara ini. Seperti peralihan itu bukan atas kehendak peribadi Zafrul, tetapi seperti ada kuasa dan desakan dari pihak lain, manakala Anwar pula tidak dapat berbuat apa apa melainkan kena uruskan kehendak itu.

Walaupun peralihan itu sesuatu norma dalam politik dan bersifat subjektif, tetapi ia tidak baik dalam hubungan politik Keadilan dengan Umno. Jika ia tidak dilakukan secara telus, dibimbangi ia boleh dianggap perbuatan menikam kawan oleh Umno. Semisalnya kalau peralihan Zafrul itu kerana desakan dan arahan, atau kemahuan pihak lain, sepatatnya pihak yang ingin melaksanakan hasrat itu memanggil kedua-dua pihak menjelaskan mauduk dan duduk perkaranya. Presiden kedua-dua buah parti itu perlu dipanggil atau dirundingkan.

Kerana rundingan itu tidak teluslah menyebabkan timbul pertanyaan dan kemarahan dari kalangan ahli Umno. Sudah ada ahli Umno mencadangkan agar kerjasama politik antara Umno dengan PH dikaji semula. Idea ini merbahaya dan akan menjadi umpan lazat kepada pembangkang untuk mengail rakyat. Setiausaha Agung Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengeluarkan nada tidak senang dengan kejadian mencuri ahli partinya yang dikebimbangi boleh berlaku perbalahan.

Munasabah bagi Umno kalau mereka marah dan terkilan dengan agenda itu. Ibarat kita memelihara dan membela lembu liar, bersusah payah buat kandang dan cari rumput makanan,  selepas ia besar gemuk dan sado tiba-tiba diambil orang begitu saja tanpa sebarangan bayaran dan rundingan.

Chemistery yang mereka miliki akan mampu
selesaikan masalah.
Kita faham mereka yang marah dan terkilan kerana melihat dari lahiriah semata mata tanpa menyelami apa berlaku di dasar sana sampai Zafrul perlu sertai Keadilan. Kalau setakat hendak mengekalkan dia dalam kabinet apakah tidak boleh dengan mengekalkan dia dalam Umno. Cara itu lebih harmonis.

Rahsia dan maknawi ini yang mereka perlu dikorek dan mengetahuinya untuk mendamaikan jiwa. Jika kedudukan dan maknawi ini difahami, kita yakin isu ini tidak berpanjangan dan bersambung dengan masalah-masalah merewelkan keadaan.

Pertamanya, apa yang perlu difahami kenapa Zafrul perlu pindah parti. Apakah Keadilan sahaja menjamin kedudukannya, dan tidak Umno? Jika dilihat atau ditafsirkan yang mahukan Zafrul atas sebab-sebab keistimewaanya, tidakkah boleh dibincang dengan baik dengan Umno memandangkan Zafrul masih menjadi ahli parti itu, dan pernah bertanding atas tikit BN. Saya yakin jika dibuat secara tertib, Anwar sedia melaksanannya tanpa menimbulkan masalah kepada hubungan baik Keadilan dan Umno.

Dan begitu juga dengan Anwar, kita tidak fikir dia begitu memerlukan Zafrul begitu sekali seolah olah tiada tokoh lain untuk menggantinya sebagai menteri MITI. Siapakah Zafrul kepada perjuangan reformasi selama ini. Jika Zafrul dianggap excellent dalam bidang kewangan dan ekonomi masih ramai orang lain yang setanding dengannya dalam Keadilan atau Umno yang kini hanya meriba tangan dan menanam anggur sudah bertahun.

Lantaran itu dalam hal ini saya melihat Anwar terjempit dengan keadaan yang agak menyukarnya untuk tidak melaksanakan agenda itu.

Tempua tidak akan bersarang rendah kalau tidak ada mengada, dan air tidak akan mudik ke hulu jika bumi tidak senget. Begitu juga dalam kes Zafrul ini Anwar tidak jadi seserius itu melayaninya kalau tiada apa-apa.

Namun kita yakin dan percaya kepada kebijaksanaan dan kearifan memahami masalah oleh kedua pemimpin Keadilan dan Umno terutamanya Anwar dan Zahid untuk menghuraikan permasalahan ini. Sejauh mana kemampuan mereka menghadapi isu ini bakal menjadi penentu keeratan hubungan ahli bawahan kedua dua buah parti tersebut hingga pilihan raya umum akan datang dan seterusnya menjamin kesejahtraan kerajaan Perpaduan ini. [wm.kl. 11:28 am 16/12/202].