Sunday, November 15, 2026
Iktisar Kekalahan PH di Melaka
Tuesday, November 10, 2026
Kerjasama Umno-Pas sebuah AL
Kecanggihannya begitu luar biasa sehingga manusia sendiri semakin sukar untuk mengatasi, apatah lagi mengawal penggunaannya. Keupayaan AI menghasilkan sesuatu yang kelihatan begitu nyata menyebabkan kita berhadapan dengan satu persoalan besar: sejauh manakah kita boleh mempercayai apa yang kita lihat dan dengar? Kita sering tertipu sampai ke akhirnya.
Sunday, November 8, 2026
Pilihan raya Melaka: Unik dan Mendebarkan
TANGGAL 14 November, Sabtu depan, seramai 687,697 orang yang berdaftar sebagai pemilih di Melaka akan membuat pilihan bagi membolehkan kerajaan baharu Melaka untuk lima tahun akan datang dibentuk.
Mereka akan memilih seramai 79 calon yang bertanding mewakili BN, PH, PN, Bersatu, BERSAMA, PUTRA dan calon Bebas bagi merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
BN yang kini merupakan kerajaan negeri meletakkan 23 calon, manakala PH 24 calon, PN lima, Bersatu tujuh, BERSAMA 16 dan PUTRA seorang melalui calon tunggalnya, seorang wanita. Tiga calon Bebas turut bertanding.
Pilihan raya kali ini boleh dianggap unik (menarik) sedikit apabila BN mengadakan kerjasama langsung dengan PN yang dianggotai Pas, Gerakan dan Wawasan. Manakala Bersatu, yang bersama Pas dalam PN sebelum ini, bertanding secara bersendirian dengan harapan mendapat sokongan daripada PH, walaupun tiada persefahaman rasmi antara kedua-dua parti.
Boleh dikatakan pilihan raya Melaka ke-16 ini menjadi ujian pengaruh, wibawa dan masa depan buat PH-Bersatu dengan BN-PN, khususnya Pas.
Sebelum ini Umno pernah berura-ura untuk bekerjasama menjelang pilihan raya ke-15, tetapi gagal apabila Pas tidak meneruskan kerjasama dengan Bersatu, sebaliknya mewujudkan PN. Perpecahan itu membawa kemenangan besar kepada PN, khususnya Pas, sekali gus menjadikan parti itu semakin gah dalam politik Melayu.
Untuk melihat Umno dan Pas bergabung bagi membawa naratif politik bangsa dan agama, sebenarnya sudah lama menjadi impian saya peribadi. Kali ini nampaknya ia menjadi kenyataan. Kita lihat apakah naratif itu akan berjaya membentuk kuasa politik Melayu, kemudian mengembalikan semula kekuasaan Melayu menerusi Umno seperti sebelum ini.
Adalah diharap gabungan Umno-Pas akan menghadiahkan sekurang-kurangnya 100 kerusi buat Melayu.
Naratif dan impian itu akan berjaya, ia kelihatan mempunyai asas memandangkan jumlah kerusi yang dimiliki orang Melayu dalam Parlimen ketika ini dikatakan sekitar 63 peratus. Tetapi timbul kesangsian apakah kedudukan itu masih kekal, kerana segmen pengundian muda kini menguasai leih 50 peratus. Jumlah itu akan memberi signifiken dalam pilihan raya akan datang.
Apa yang kena difikirkan ialah corak atau aliran pengundian anak-anak muda Melayu yang tidak semestinya kekal. Generasi baharu mempunyai pemikiran dan bilah-bilah pemikiran sendiri. Generasi muda lebih bersikap terbuka, responsif dan tidak rigid dengan skop agama dan bangsa.
Mereka kurang mementingkan soal idealisme dalam perjuangan. Tunjang perjuangan Umno dan Pas tidak relevan lagi buat mereka. Keadaan inilah yang boleh menggagalkan harapan Umno-Pas itu. Ertinya Umno-Pas tidak boleh meletakkan harapan sepenuhnya kepada pengundi muda ini. Jika ini berlaku, maka harapan Umno-Pas itu akan terburai.
Berbalik kepada pilihan raya di Melaka kini, pilihan raya ini berlangsung dalam suasana apabila beberapa keputusan mutakhir politik dilihat berpihak kepada BN-PN. Situasi ini akan memberi kelebihan kepada Umno-Pas. Keadaan ini agak mencemaskan PH dan Bersatu. Antaranya ialah:
1. Kemenangan BN di Johor dan Negeri Sembilan. Kemenangan itu menjadi modal besar kepada Umno untuk dilihat akan menang mudah di Melaka. Kemenangan itu akan menjadi azimat untuk Umno-Pas meraih kemenangan bergaya.
2. Permainan politik persepsi yang kian menular kini, yang membunuh politik realiti, apabila fitnah kononnya kerajaan hari ini dikuasai DAP menjalar dan meresapi ke dalam nurani orang Melayu. Permainan persepsi ini menimbulkan ketakutan kepada orang Melayu, menyebabkan mereka akan berfikir dua kali untuk melangsungkan kerajaan Madani. Jika pegangan ini terus kemas, ia mencemaskan PH di Melaka nanti.
Begitu pun disebalik kelebihan itu buat UBN, tetapi ada peristiwa atau keajdian lain yang boleh memberi impak atau kesan negatif kepada UBN. Misalnya pergolakan atau krisis istana di Negeri Sembilan yang masih belum lengsai hingga kini. Krisis atau kemelut di Negeri Sembilan itu orang ramai meletakkan kesalahannya kepada UBN. UBN dilihat gagal menyelesaikan isu atau perbalahan Undang dengan Yam Tuan Besar dimana perilaku itu disuluhkan ke atas Umno.
Terbaru pula mengenai pelaksanaan proses pengampunan kepada bekas presiden Umno, Mohd Najib Razak yang juga belum tuntas dan masih dipertikaikan. Pengampunan Najib dan proses penahannya di rumah sebagai syarat pengampunan telah jadi poemik yang mengegarkan negara kini. Proses itu kini sedang hebat dieksploitkan untuk kepentingan politik.
Apakah dalam dua situasi itu sedikit sebanyak ia memberi kesan dan menjejaskan rasa keselesaan Umno sebelum ini seterusnya menatijahkan kepada pilihan raya di Melaka?
Atau apakah kejayaan kerajaan Madani yang dibawa oleh Anwar Ibrahim menerusi pelbagai bantuan, kemudahan dan kepedulian tinggi kerajaan kepada semua lapisan rakyat serta kejayaan memulihkan semula prestij negara di mata dunia menjadi cabaran kepada Umno-Pas?
Dalam keadaan begitu, 687,697 pengundi Melaka akan membuat pilihan lima hari nanti. Apakah pengundi akan membuat pilihan secara waras ataupun masih terus terdodoi dengan ulikan lagu-lagu kepalsuan dan fitnah menakutkan yang dibawa oleh BN-Pas disepanjang kempen Pirane itu.
Kesan pilihan raya itu nanti tidak dapat tidak akan memberi petunjuk kepada pilihan raya umum akan datang buat BN-PN dan PH-Bersatu. Bolehlah dikatakan pilihan raya Melaka itu penting. [wm.kl. 12:37 pm 08/11/2026]
Saturday, November 7, 2026
Implikasi kebenaran Najib jalani penjara di rumah
APAKAH kebenaran kepada Najib Razak untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah, berasaskan perkenan pengampunan Yang di-Pertuan Agong, akan memberi kesan negatif kepada pelaksanaan undang-undang dan keadilan di negara ini?
Ini kerana bekas Perdana Menteri itu sudah diberikan keistimewaan apabila hukuman asalnya dikurangkan separuh. Hukuman penjara 12 tahun dikurangkan kepada enam tahun, manakala denda asal RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta. Sebenarnya pemberian itu merupakan keistimewaan yang berlebihan bila dibanding dengan nilai jenayah dilakukan Najib.
Belum cukup dengan pengurangan hukuman itu, beliau sekali lagi diberikan pengampunan bersyarat yang membolehkan baki hukuman penjaranya dijalani dikediamannya.
Tahanan rumah bagi seorang bekas pemimpin yang disabitkan dengan kesalahan jenayah berprofil tinggi seperti Najib merupakan sesuatu yang luar biasa dalam sejarah pelaksanaan hukuman di negara ini. Sebab itulah keputusan berkenaan dipertikaikan oleh pelbagai pihak, termasuk bekas Perdana Menteri, Mahiaddin Yassin.
Apakah keistimewaan itu diberikan kerana Najib merupakan bekas pemimpin nombor satu negara? Jika kedudukan dan status seseorang menjadi ukuran untuk memperoleh layanan istimewa, ia menggambarkan satu kepincangan dalam proses keadilan kita?
Soal Najib mampu menyediakan wang denda RM50 juta bagi memenuhi sebahagian syarat pengampunan itu adalah hak dan budi bicara pihak yang mahu membantunya. Umno sebagai parti yang masih mempertahankan bekas presidennya, kerana yakin pengaruhnya masih ada, tentu mempunyai alasan dan tanggungjawab politik tersendiri untuk berbuat demikian.
Namun, persoalan yang lebih besar ialah apabila wang derma dan sumbangan ahli parti digunakan bagi melunaskan denda seorang bekas pemimpin yang telah disabitkan dengan kesalahan jenayah. Disini ia dilihat penjenayah dibela, bukannya dikutuk seperti lazimnya.
Anwar Ibrahim, yang selama ini tegas dengan prinsip ketelusan, keadilan dan penegakan undang-undang, turut mempersoalkan keadaan itu apabila ada pihak sanggup mengumpulkan wang untuk membantu seorang pesalah yang telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.
Anwar menghormati kuasa pengampunan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan. Beliau sendiri pernah menerima pengampunan penuh. Namun, penghormatan kepada kuasa pengampunan tidak bermakna semua persoalan berkaitan pelaksanaannya tidak boleh dibangkitkan.
Derma dan pengorbanan ahli Umno untuk melunaskan denda Najib juga tidak boleh disamakan dengan nilai pengorbanan rakyat yang menghulurkan sumbangan kepada Tunku Abdul Rahman bagi membiayai misi kemerdekaan ke London, 71 tahun lampau. Kedua-duanya mempunyai tujuan, semangat dan nilai perjuangan yang berbeza.
Begitu juga keputusan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, untuk meletakkan jawatan sebagai anggota Kabinet apabila Najib benar-benar dibenarkan pulang ke rumah bagi menjalani baki hukumannya merupakan satu bentuk protes terhadap pelaksanaan keputusan berkenaan.
Apa yang dilakukan Anthony Loke itu adalah simbol ketidaksetujuan sebahagian rakyat yang merasakan layanan keadilan terhadap Najib sudah melampaui batas kewajaran. Keputusan Loke itu bukan diambil secara personal tetapi dibenarkan oleh badan tertinggi partinya. Ini bermakna DAP menolak kebenaran itu.
Paling mendukacitakan, apa yang berlaku kepada Najib ini boleh menjadi satu preseden pada masa akan datang.
Sekiranya pada masa hadapan ada individu berkedudukan seperti Najib, seorang bekas pemimpin negara, didakwa melakukan jenayah dan kemudiannya dijatuhi hukuman penjara, apakah kita bersedia memberikan keistimewaan yang sama kepadanya?
Jika tidak, ini menunjukkan kita mengamalkan keadilan yang berbeza-beza mengikut kedudukan dan pengaruh seseorang. Bahasa mudahnya, kita memilih bulu dalam melaksanakan hak yang terkandung dalam Perlembagaan.
Undang-undang tidak sepatutnya mempunyai dua wajah. Seorang rakyat biasa dan seorang bekas Perdana Menteri sepatutnya dinilai berdasarkan prinsip keadilan yang sama.
Apa yang lebih membimbangkan ialah kesan keputusan seperti ini terhadap keyakinan rakyat kepada institusi kehakiman, sistem perundangan dan prinsip kedaulatan undang-undang. Diingatkan jangan kita mengelakkan kepada diri setelah melihat wajah sendiri dalam rumah sendiri. [wm.kl. 10:40am 07/11/2026]
Thursday, November 5, 2026
Satu Lagi Bendang Padi Organik di Kelantan
SATU lagi kawasan perintis penanaman padi organik
![]() |
| Bendang padi organik Padang Raja, Melor Kota Bharu. |
Projek padi organik di Padang Raja itu merupakan usaha kerjasama antara dua entiti, iaitu Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (PPKB) dengan Koperasi Desa Gemalai Berhad, yang merupakan perintis utama penanaman padi organik di Desa Gemalai, Padang Jambu.
Projek atau jelapang padi organik di Desa Gemalai telah menjadi ikon pengeluaran padi organik di Kelantan yang semakin dikenali, diiktiraf dan menjadi rujukan.
Projek yang dicetuskan hasil ilham Datuk Husam Musa itu pada peringkat awal diusahakan oleh Yayasan Ahmad Albab di atas tanah seluas tujuh ekar sebagai percubaan.
Tuesday, November 3, 2026
Apabila Ulama Menghunus Pedang
ULASAN
Desas desus yang kedengaran, kononnya pilihan raya di Kelantan hendak diadakan awal, kerana gejolak untuk jatuhkan Nassaruddin sebagai MB sudah tidak tertahan lagi. Ada gerakan terselindung yang dilakukan ke arah itu dalam dalaman parti.
Tuesday, October 20, 2026
Pentadbiran Tidak Cakna Rakyat
Friday, October 16, 2026
Layakah Samsuri Jadi Calon Perdana Menteri?
ULASAN
![]() |
| Samsuri sebelum jadi MB. |
Anwar Ibrahim berpolitik, menimbulkan kebimbangan banyak pihak mengenai peluang untuk beliau terus jadi PM bagi penggal kedua.
Wednesday, October 14, 2026
Pilihan raya Melaka indikator Piraum ke-16
1. Pilihan Raya Negeri (Pirane) Melaka akan berlangsung pada 14 November ini, manakala hari penamaan calon pada 31 Oktober. Sehingga kini, masih berteka teki apa yang berlaku dalam pilihan raya itu nanti. Seramai 687, 697 pengundi yang layak mengambil bahagian dalam pilihan raya ke-16 itu.
2. Kesemua parti masih belum buat keputusan muktamad, tetapi masing-masing masih membuka pintu rundingan untuk bekerjasama di antara satu sama lain. Adalah dijangka ia akan tuntas apabila parti masing-mssing mengumumkan calon beberapa hari lagi.
3. Yang pasti, BN mahu mempertahankan kedudukannya di Melaka dengan akan bertanding semua 21 kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya alu. BN tampaknya tidak berganjak dengan keputusan itu yang dibuat sejak awal. BN Merupakan parti bermodal besar di Melaka waktu ini.
Kalau pun BN akan bekerjasama, (kini seperti dengan Pas), tetapi ia tetap akan bertanding di semua 21 kerusi dimenangi itu. Pas atau rakan kerjasama hanya akan diberikan tujuh kerusi tersisa sahaja. Dun Melaka mempunyai 27 kerusi.
4. Pirane Melaka ini sangat penting kepada PH. Justeru PH perlu mempertahankan sekurang-kurangnya kerusi yang dimenanginya sebelum ini, iaitu lima kerusi menerusi DAP, masing-masing satu kerusi PKR dan satu kerusi Amanah.
Sekiranya PH gagal mempertahankan kerusi-kerusi tersebut, ia memberikan petanda buruk kepada parti itu untuk pilihan raya umum ke 16 kelak. Ini bahaya.
5. Begitu juga dengan Bersatu. Parti itu perlu mempertahankan kerusi atau sokongan yang diperolehinya sebelum ini. Perkara ini bukan mudah untuk berbuat demikian, lebih-lebih lagi dalam keadaan hubungan dan kerjasama politiknya dengan Pas yang tidak lagi boleh dianggap seperti dahulu lagi, tambahan parti itu berpecah jadi Wawasan.
Dalam keadaan ini, jalan terbaik Bersatu ialah membina kerjasama dengan parti lain untuk menambah kekuatan dan imej. Antara pihak yang mungkin menjadi rakan kerjasama ialah PH. PH juga dilihat memerlukan parti gabungan untuk mengukuhkan kerajaannya. Kebetulan keduanya bermasalah dan berhadapan dengan BN yang kian pulih, eloklah kalau Bersatu berganding dengan PH.
Monday, October 5, 2026
Selamat Kembali Sang Bangau
Berita kemasukan semula Kamarudin Jaffar (KJ) ke dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan lagi berita yang mengejutkan.
Majlis Pimpinan Pusat (MPP) meluluskan rayuan KJ bersama dua bekas Ahli Parlimen lain, Edmund Santhara Kumar (Segamat) dan Steven Choong (Tebrau), dalam mesyuarat pada 27 September lalu.
Friday, September 25, 2026
Tamatkan segera krisis di Negeri Sembilan
KRISIS adat dan institusi di Negeri Sembilan yang masih belum ada kesudahannya membawa
beberapa natijah, ia bukan sahaja memalukan bangsa Melayu yang kononnya menjunjung tinggi adat dan budaya serta berpegang kepada syariat, tetapi kemelut itu turut menjejaskan keyakinan umum terhadap institusi pemerintahan dan pentadbiran negeri ini.
Apa yang berlaku bukan lagi sekadar pertikaian mengenai adat atau kedudukan seseorang dalam institusi tradisional. Ia sudah menyentuh persoalan yang lebih besar, iaitu hubungan antara adat, Perlembagaan dan institusi pemerintahan dalam sebuah negeri yang menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia.
Dalam negara ini bukan hanya Negeri Sembilan yang mengamalkan pemerintahan beraja. Terdapat lapan negeri lain yang turut mempunyai Raja atau Sultan sebagai ketua negeri. Malaysia keseluruhannya mempunyai sembilan negeri beraja, masing-masing dengan sejarah, adat dan bentuk institusi yang tersendiri. Namun semuanya beroperasi dalam kerangka Raja Berperlembagaan dan sistem demokrasi berparlimen.
Apabila disebut Raja Berperlembagaan, maknanya pemerintahan negeri bukan hanya tertakluk kepada adat dan budaya yang diwarisi sejak ratusan tahun, tetapi juga kepada Undang-Undang Tubuh negeri serta Perlembagaan Persekutuan.
Negeri Sembilan mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Institusi Yang di-Pertuan Besar tidak diwarisi secara turun-temurun seperti sistem kesultanan di negeri-negeri lain.
Sunday, September 20, 2026
Pengampunan Najib apakah disengajakan?
SETIAUSAHA Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, mengambil tanggungjawab sesuai pendirian parti berhubung keputusan pengampunan bersyarat terhadap Najib Razak yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Loke menawarkan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan sebagai respons DAP terhadap keputusan tersebut. DAP protes pengampunan bersyarat itu. Tindakan Loke itu dilihat tegas dan berani, dalam masa sama beliau pertahankan DAP tetap DAP.
Keputusan itu dibuat selepas CEC DAP bermesyuarat kira-kira tiga jam pada Sabtu lalu. Loke berkata beliau sendiri mencadangkan supaya hanya beliau yang berundur, manakala menteri dan timbalan menteri DAP yang lain terus kekal dalam kerajaan. Dalam kabinet DAP mempunyai lima menteri dengan tujuh timbalan menteri.
Menurut Loke, langkah itu diambil demi memastikan kestabilan Kerajaan Madani. DAP, katanya, akan terus menyokong kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim. Sehingga saat ini kedudukan DAP dalam kerajaan kekal.
Maknanya, setakat ini DAP masih bersama Kerajaan Madani walaupun ada suara-suara sumbang meminta DAP keluar daripada kerajaan. Tetapi pendirian itu tidak bermakna segala-galanya sudah selesai. Politik sentiasa berubah mengikut keadaan dan perkembangan semasa. Pendirian diambil itu boleh dikatakan keras juga.
Tindakan Anthony Loke itu dilihat sebagai usaha DAP mempertahankan prinsip parti dalam soal keadilan, kesaksamaan dan integriti institusi. Loke sendiri menyatakan bahawa DAP menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong, tetapi pada masa yang sama parti mempunyai pendirian sendiri terhadap pengampunan bersyarat Najib. Perbezaan DAP dengan parti lain selama ini ialah sikap tegas dan keras parti itu berpegang kepada prinsip.
Najib pula setakat ini belum berpindah ke rumah untuk menjalani baki hukuman dihadapinya. Pelaksanaan tahanan rumah masih tertakluk kepada proses dan syarat yang berkaitan. Pihak berkuasa juga masih perlu menyediakan tatacara dan mekanisme pelaksanaannya. Tetapi gara-garanya telah menghebohkan keadaan. Ada tanda-tanda pengampunan itu bakal menimbulkan pelbagai implikasi, ini menyebabkan timbul tanda tanya apakah ia disengajakan? Pengampunan itu dicampak ke lautan politik sebagai umpan untuk bercakaran?
Keputusan Loke itu bukan keputusan peribadinya semata-mata. Ia dibuat selepas dibincangkan dalam mesyuarat CEC DAP selama kira-kira tiga jam. Kita tidak tahu secara terperinci apa yang berlaku dalam mesyuarat CEC itu kerana perbahasan dalaman mereka tidak didedahkan kepada umum. Apakah berlaku perbincangan hangat atau sebaliknya?
Namun, kalau keputusan Loke itu benar-benar merupakan terjemahan pendirian CEC, ia membawa makna politik yang lebih besar. Ia menunjukkan bahawa isu pengampunan bersyarat Najib bukan sekadar masalah Anthony Loke seorang, tetapi merupakan isu yang melibatkan maruah dan imej partti itu.
Apakah Loke benar-benar akan meninggalkan Kabinet atau Anwar akan meminta beliau terus menjalankan tugas sebagai Menteri Pengangkutan? Perlu diterima Loke adalah antara menteri daripada DAP yang cemerlang dan rajin. Hal ini perlu diselesaikan dengan baik dan munasabah kerana sudah ada mengatakan tindakan Loke itu sebagai lakonan semata-mata.
Kalau Loke kekal dengan keputusannya untuk berundur, ia sudah tentu membuka satu persoalan politik kepada Kerajaan Madani. Ia tidak mustahil boleh berjangkit kepada mereka yang lain. Apakah mereka sanggup melihat setiausaha agung mereka berkorban seorang diri sedangkan mereka terus kekal dalam kerajaan? Pendirian dan sikap begini tidak pernah berlaku dalam DAP.
Atau sebenarnya keputusan CEC itu memang sengaja dibuat begitu — seorang berundur sebagai tanda pendirian parti, dan juga suatu ugutan, sementara yang lain terus berada dalam kerajaan atas alasan bagi menjamin kestabilannya? Kalau benar begini, disinilah kelicitan politik DAP.
Apa yang saya nampak, Loke mungkin akan kembalikan keputusan itu kepada CEC untuk pertimbangan seterusnya selepas pertemuannya dengan Anwar. Hasilnya nanti CEC akan buat ralat ketetapan itu, itu yang dikehendak Loke?
Cuma Loke juga perlu ingat bahawa dalam DAP beliau bukan disenangi semua golongan. Saki-baki kelompok yang dianggap lebih radikal dalam parti itu masih ada, dan mereka boleh gunakan isu pengampunan Najib ini sebagai senjata untuk mencabar kepimpinan beliau. Loke harus berhati-hati. [wm.kl. 8:04 pm 20/09/2026].
Friday, September 11, 2026
Tiada Apa Dalam Ucapan Dasar Zahid Hamidi
ULASAN
SELAMA satu jam 15 minit Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan dasar di PAU sekejap tadi. Saya menunggu apakah punch line, tetapi gagal. Ucapan presiden Umno itu tidak banyak beza dengan ucapan dasar beliau sebelum ini, menghiburkan tetapi tidak berkualiti.Penuh dengan lelucon, gurau senda dan sindiran yang berlapis maknanya.
Apa yang dinantikan dari ucapan Zahid ialah bayangan "pementerian" kerjasama Umno dengan Pas. Orang mahu lihat
sejauh mana kesungguhan Umno untuk menerima huluran tangan Pas kembali semula untuk bersahabat dengan Umno, setelah Umno dikhianati. Pas yang kini terhegeh-hegeh menjual muka buruknya dengan Umno, nampak lebih gila.
Monday, September 7, 2026
Tugas Berat Anwar Bina Negara Apabila Ditentang Bangsa Sendiri
PEMERINTAHAN Anwar bukan sekadar mahu melawan eksploitasi agama dan bangsa, tetapi lebih besar daripada itu, mahu menghapuskan kleptokrasi menerusi agenda reformasi bagi tujuan mewujudkan negara bermartabat tinggi di mata dunia.
Inilah cabaran terbesar yang dihadapi Anwar yang juga akan mementukan jaya atau tidak kerajaanya. Usaha ini bukan sesuatu yang mudah kerana budaya dan amalan kleptokrasi sudah berakar umbi sejak berdekad-dekad lamanya.
Thursday, September 3, 2026
Pas-Umno Berpelukan di Putik
| Pengerusi Dewan Ulama Umno Dusuki Ahmad. |
Khabarnya Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, akan hadir ke muktamar berkenaan atas kapasiti sebagai tetamu utama. Ketua Pemuda Umno (lupa nama),dan rombongan telah pun merasmikan kehadiran Umno dalam Muktamar Dewan Pemuda Pas.
Pengerusi Majlis Ulama Umno, Dusuki Ahmad, pula hadir ke Muktamar Dewan Ulamak Pas. Ini bukan lagi tanda-tanda kecil. Ia sudah menjadi satu isyarat politik yang cukup jelas.
Sunday, August 23, 2026
Golongan ulama bangkit menjawab Hadi
RENCANA
GOLONGAN ulama mempunyai kedudukan yang tinggi dalam haraki Islam kerana mereka menjadi rujukan umat dalam memahami ajaran Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW. Mereka bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi turut memikul amanah untuk membimbing masyarakat, menjaga kesucian agama dan menegakkan kebenaran.Ulama sering disebut sebagai warathatul anbiya’, iaitu pewaris para nabi. Gelaran ini membawa tanggungjawab yang besar. Pewarisan tersebut bukan bermaksud mereka memiliki kuasa mutlak, sebaliknya mereka mewarisi amanah ilmu, hikmah dan keberanian untuk menyampaikan kebenaran walaupun berdepan tekanan.
Dalam banyak keadaan, ulama tidak memilih untuk berada di tengah-tengah hiruk-pikuk politik. Mereka lebih selesa berperanan sebagai pendidik, penasihat dan penegak hukum dalam urusan muamalat, munakahat, kemasyarakatan serta pentadbiran.
Namun, sikap tenang dan berhati-hati itu tidak bermakna mereka harus berdiam diri apabila berlaku penyelewengan, ketidakadilan atau penyalahgunaan agama.
Apabila sesuatu keadaan membawa kemudaratan, menzalimi rakyat atau bercanggah dengan prinsip Islam, ulama mempunyai tanggungjawab untuk menyatakan pendirian. Teguran yang lahir daripada ilmu dan keikhlasan bukanlah campur tangan yang tidak wajar, tetapi sebahagian daripada amanah keagamaan.
Dalam perkembangan politik negara kebelakangan ini, muncul beberapa orang ulama dan ilmuan yang tampil memberikan kritikan serta teguran secara terbuka. Mereka tidak lagi sanggup membiarkan agama ditafsirkan secara sempit atau dieksploitasi sebagai modal politik. Bagi mereka, agama tidak boleh dijadikan alat untuk menghalalkan fitnah, menanam kebencian atau memburukkan pihak tertentu tanpa asas yang kukuh.
Eksploitasi agama berlaku apabila istilah, hukum dan simbol Islam digunakan untuk meraih sokongan politik, sedangkan tujuan sebenar ajaran Islam ialah menegakkan keadilan, amanah, persaudaraan dan kemaslahatan. Apabila perbezaan politik digambarkan sebagai perbezaan iman, atau apabila lawan politik dituduh bersekongkol dengan orang kafir tanpa bukti yang jelas, agama telah diseret ke dalam ruang permusuhan yang sempit.
Lebih membimbangkan apabila ada pihak yang mendakwa pemerintahan negara ini bersifat sekular, pemimpin tertentu tidak layak menjadi amir atau perdana menteri, dan konsep Malaysia Madani pula dianggap sebagai sesuatu yang palsu. Tuduhan seperti ini tidak boleh diterima hanya berdasarkan sentimen atau kepentingan politik. Ia perlu dinilai melalui fakta, prinsip perlembagaan, realiti pentadbiran dan tujuan sebenar yang ingin dicapai.
Begitu juga dengan naratif bahawa kerjasama politik antara Kerajaan Madani dengan DAP merupakan usaha untuk memusnahkan agama dan umat Islam. Naratif sedemikian bukan sahaja menyederhanakan persoalan politik yang kompleks, malah berpotensi menimbulkan ketakutan serta permusuhan antara kaum dan agama.Ia sungguh jelek.
Islam tidak mengajar umatnya membuat kesimpulan berdasarkan prasangka, apatah lagi menggunakan kebimbangan masyarakat sebagai bahan kempen politik.
Atas sebab itulah beberapa orang ulama yang sebelum ini lebih banyak berperanan dalam lingkungan pusat pengajian, pondok dan halaqah mula tampil ke hadapan. Mereka menyatakan sokongan terhadap kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, khususnya apabila melihat serangan politik yang disandarkan kepada agama sudah melampaui batas kewajaran.
Antara tokoh yang vokal ialah Sheikh Wazir Che Awang al-Makki dari Kelantan,Tuan Guru Haji Abdul Rahim Abdul Rahman dari Pendang, Kedah, dan Ustaz Zuliadin Abdullah dari Terengganu. Nama-nama ini turut muncul dalam kegiatan dan kenyataan berkaitan Majlis Ulama Malaysia.
Kemunculan mereka memperlihatkan satu perkembangan penting dalam wacana agama dan politik negara. Buat pertama kalinya pendirian agamawan politik yang selama ini jarang dicabar mula berdepan teguran terbuka daripada ulama lain.
Perbezaan pandangan ini penting kerana ilmu agama tidak seharusnya dimonopoli oleh mana-mana kelompok atau parti politik.
Kebangkitan tersebut juga kelihatan semakin tersusun melalui penganjuran majlis, persidangan dan pertemuan yang menghimpunkan ulama serta agamawan daripada pelbagai latar. Dalam suasana inilah muncul Majlis Ulama Malaysia (MUM) sebagai wadah yang memperlihatkan kesungguhan sebahagian ulama untuk menyuarakan pandangan terhadap isu agama, politik dan pentadbiran negara.
Peranan MUM tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai usaha mempertahankan kerajaan atau pemimpin tertentu. Lebih penting, kewujudannya mencerminkan keperluan untuk mengembalikan perbahasan agama kepada landasan ilmu, adab dan tanggungjawab sosial. MUM juga berpotensi menjadi ruang semak dan imbang terhadap tafsiran agama yang terlalu dipengaruhi kepentingan politik, ketaksuban kelompok dan semangat asabiyah.
Kemunculan kelompok ulama ini turut memberi isyarat bahawa tokoh politik yang menggunakan agama sebagai asas hujah tidak lagi boleh bercakap tanpa teguran. Abdul Hadi Awang, misalnya, mula berdepan cabaran daripada agamawan yang mengambil pendirian berbeza terhadap tafsiran politiknya.
Sebagai reaksi terhadap kemunculan ulama yang berhimpun dalam MUM, Abdul Hadi Awang dilaporkan mengeluarkan kenyataan yang menyifatkan agamawan tertentu sebagai “terompah kayu” yang digunakan untuk membela DAP. Kenyataan tersebut dilihat sebagai serangan terhadap agamawan yang tidak sehaluan dengan pendiriannya.
Analogi tersebut amat keras dan tidak membantu membina wacana agama yang sihat. Perbezaan pandangan sepatutnya dijawab dengan hujah, bukan penghinaan atau pelabelan. Ulama yang mengambil pendirian berbeza tidak wajar terus dianggap sebagai alat kepada mana-mana parti hanya kerana mereka tidak bersetuju dengan tafsiran politik tertentu.
Sebelum ini, Presiden PAS itu juga mempertikaikan laporan RCI Tabung Haji sebagai langkah yang sengaja mahu membentuk persepsi buruk terhadap Islam. Jika pendirian tersebut benar, ia menunjukkan bagaimana isu pentadbiran dan akauntabiliti boleh ditafsirkan melalui kaca mata politik. Sedangkan tujuan siasatan dan laporan rasmi adalah untuk mencari fakta, mengenal pasti kelemahan serta memastikan pengurusan institusi awam dapat diperbaiki.
Tuduhan seperti ini sepatutnya dijawab dengan bukti dan penjelasan, bukan dengan sentimen agama. Institusi Islam tidak menjadi lebih kukuh dengan menutup kelemahan atau menolak kritikan. Sebaliknya, kekuatan institusi lahir daripada ketelusan, amanah dan kesediaan menerima teguran.
Reaksi terhadap kemunculan ulama yang berbeza pendirian menunjukkan bahawa dominasi satu-satu tafsiran agama dalam politik mula dicabar. Ayat-ayat al-Quran dan prinsip Islam tidak boleh diputarbelitkan untuk mengabsahkan kepentingan politik, menjustifikasikan permusuhan atau menutup persoalan yang wajar dijawab.
Kebangkitan ulama ini bukan semata-mata usaha mempertahankan seorang individu atau sebuah kerajaan. Ia lebih besar daripada itu, iaitu usaha mengembalikan agama kepada kedudukannya sebagai sumber kebenaran, keadilan, amanah dan panduan hidup. Agama tidak sepatutnya dijadikan alat untuk menakutkan rakyat, memecah-belahkan masyarakat atau menghalalkan segala cara dalam perjuangan politik.
Ulama yang benar-benar memahami amanah ilmu tidak akan tunduk kepada tekanan politik. Mereka akan menegur apabila perlu, menyokong apabila wajar dan menolak penyalahgunaan agama tanpa mengira siapa yang melakukannya. Dalam konteks inilah kemunculan Majlis Ulama Malaysia dan kebangkitan agamawan yang berani bersuara perlu dilihat sebagai satu perkembangan yang penting dalam usaha membina politik yang lebih matang, beradab dan berteraskan kebenaran. [wm.kl. 10:46 am 23/08/2026]
Thursday, August 20, 2026
Apakah Hadi dan Anwar tidak akan bersama waima dalam syurga?
PANDANGAN DAN ULASAN
| Anwar dimajlis HAMKA. |
Dalam usia 17 tahun, semasa di Tingkatan Enam di MCKK, menurutnya Anwar sudah menulis artikel menggarapkan pemikiran seorang tokoh Islam dan ulama dunia, sekaligus menunjukkan Anwar seorang yang berbakat dan berpotensi menjadi pemimpin.
Dalam usia sebegitu, jarang pelajar dapat merungkai pemikiran tokoh bertaraf dunia. Apa yang dilakukan Anwar itu suatu kehebatan luar biasa yang membanggakan.
Saturday, August 15, 2026
Esok DAP Akan Buat Keputusan Penting
Sunday, August 2, 2026
BN Jangan Jadi Lembu Dicucuk Hidung
TAHNIAH buat BN dan PN kerana berjaya merampas Negeri Sembilan daripada PH-BN? Mungkin ramai tidak sedar kejayaan BN itu merampas haknya sendiri, kerana sebelum ini BN berkolaborasi dengan PH membentuk kerajaan bersama selama lebih dua tahun.
Kerajaaan NS sebelum ini (2023 - 2026) dibentuk hasil gabungan PH dengan BN, bagaimana pun kerajaan itu hilang kuasa apabila BN tarik sokongan kepada MB Aminuddin Harun.
Boleh disimpulkan kemenangan BN malam tadi adalah hasil sebuah pengkhianat dan strategi politiknya sendiri. Justeru kejayaan itu tidak begitu pelik dan menghairankan.
Jika diteliti dan memahami implikasi politik BN tidak boleh terlalu gembira dengan kemenangan itu, sebab BN tidak menang bergaya secara solo, kejayaan itu dikongsi dengan dua rakan, Pas dan Wawasan menerusi pakatan tidak konkrit.
Kalau boleh dibanggakan hanya kerana Umno berjaya mengekalkan semua kerusi dimilikinya sebelum ini dan menambah empat kerusi termasuk menerusi MCA. Dari segi nilai, tiada nilai tambah buat Umno dari pilihan raya itu, BN hanya mampu mempertahankan kerusi sedia ada, status quo. Itu sahaja.
Dalam pilihan raya 2023 BN menang 14 kerusi, kali ini 18 kerusi, bertambah empat kerusi sahaja. Yang boleh dilihat berjaya ialah Pas apabila parti agama itu berjaya tambah kerusi, daripada tiga kepada empat kerusi. Dari segi moral kerjasama BNPN itu lebih memberi keuntungan buat Pas.
Tiga lagi kerusi BNPN disumbang oleh Wawasan. Pencapaian Wawasan itu boleh dikira hebat, sekiranya tidak berlaku perpecahan dalam Bersatu, yang mewujudkan Wawasan, mungkin Bersatu boleh memiliki beberapa kerusi lagi.
Dengan situasi tersebut BN tidak boleh berbangga sangat. Kalau meraikan rasa gembira pun tidak boleh sampai ke langit biru, layak setakat dibumi sahaja. Tidak perlu merai sampai 40 hari 40 malam, tetapi cukup sekadar empat harı empat malam sahaja. BN kena sedar kerajaan akan dipimpin nanti yang belum tahu bila akan dibentuk bukan dalam keadaan selesa.
Dengan hanya memegang 18 kerusi, BN perlu tahu angka itu tidak melayakkan untuk bentuk kerajaan sendiri. Ia perlu bergabung. Kerajaan gabungan selalu dilihat lemah dan bahaya kerana ia boleh terburai bila bila masa.
Dengan memiliki angka 18 kerusi BN boleh mewarisi perasaan bimbang dan cemas seperti apa dihadapi PH sebelum ini. Sesiapa yang akan diangkat jadi MB akan mewarisi perasaan cemas dan gundah gulana sama seperti dilalui Aminunddin.
Kerajaan yang dibentuk parti tanpa memperolehi majoiri dua pertiga atau simple majoriti, berada seperti diatas titian, kerajaan itu seperti perahu kecil dalam samudra terpaksa menongkah ombak dan gelombang.
Apa lagi resam politik itu boleh berubah dan bertukar arah bila bila masa. Kerajaan gabungan tidak ubah seperti ketul, ais yang boleh mencair, atau membeku. Sekiranya kawalan (suhu) tidak dibuat sebaik mungkin ia boleh mencair kemudian runtuh dan hilang. Tetapi kalau ia dikawal dengan baik ais itu akan kekal dan utuh.
Sejauh mana BN dan PN dapat mengawal ketulan ais kerajaan itu?
Dan dari sisi lain dengan kedudukan itu, BN boleh disifatkan sebagai lembu yang akan dicucuk hidung, yang akan ditarik dan didorong. Yang jadi tuan dalam hal ini ialah Pas dan Wawasan. Sebagai tuan Pas dan Wawasan akan mendorong mengikut kemahuannya, dan sang lembu terpasa tunduk dan akur mengikut kehendak tuannya.
Apakah BN boleh bertahan dan bersabar dengan situasi itu nanti. Inilah cabaran besar mendatang bagi BN. Disinilah ia akan menentukan lama atau sekejap kerajaan yang bakal ditubuh itu. Dalam hal ini memerlukan kebijaksanaan dan diplomasi serta kesabaran maha tinggi.
Satu peringatan kepada BN mereka perlu berwasapada agar apa yang mereka takut dan bimbang selama ini agar tidak dipatuk ular yang sama dalam lubang sama dua kali akan berlaku. BN sangat phobia kepada perkara itu sebelum ini.
Cuma BN mempunyai sedikit kelebihan dengan memiliki 18 kerusi itu, menjadinya parti memiliki modal besar. Dengan angka itu BN boleh menerima dan mencari mana mana pihak untuk melabor, untuk jadi sebagai rakan gabungan untuk bentuk kerajaan ataupun penyelamatnya nanti. Memiliki kerusi sebanyak itu adalah aset buat BN.
Semisalnya kalau BN telah rasa terseksa menjadi lembu dan perlu bantuan untuk survive kerajaanya, PH yang mempunyai 11 kerusi boleh bertindak jadi oksigen membantunya. Dan jangan rasa mustahil kalau sekali lagi kita akan menyaksikan kerjasama antara BN dengan PH di Negeri Sembilan selepas ini. Sejarah sering kali berulang. Trims.[wm.kl. 10:37 am 02/08/2026]
Thursday, July 30, 2026
Darjah kebesaran Rais Yatim ditarik
Dua darjah kebesaran itu yang membawa gelaran Dato' dan Dato' Seri Setia ialah Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (S.P.N.S.) (2001) dan Darjah Dato' Setia Negeri Sembilan (D.S.N.S.) (1979).
Penarikan itu berkuat kuasa serta merta hari ini, 30 Jualai 2026 bagi memeliharaan kemuliaan dan kehormatan institusi Diraja Negeri Sembilan.
Dr Rais bekas pemimpin UMNO yang dikenali dengan ahli politik kontroversi "pembakar jambatan" bertukar beberapa buah parti yang kini ke parti Wawasan Negara dengan memegang jawatan Pengerusi bagi Negeri Sembilan.
Penarikan darjah kebesaran Rais itu diumumkan dalam kenyataan media oleh Pendaftar Darjah Kebesaran Negeri Sembilan, Dato' Mohd Zafir bin Ibrahim.
Tidak dinyatakan sebab musabab penarikan balik dua darjah kebesaran itu, tetapi difahamkan mungkin ia ada kena mengena dengan panglibatan Rais dalam isu atau kemelut istana baru-baru ini.
Sedia maklum kira-kira lebih 40 tahun lampau telah berlaku beberapa kejadian membabitkan Rais yang menyentuh kedudukan orang besar negeri. Misalnya semasa beliau memegang jawatan MB, (1978 - 1982) berlaku pemberhentikan Undang Luak Jelebu dengan melantik yang baru.
Sesuatu yang mengejutkan lagi tahun 2022 apabila berlaku penabalan Undang Jelebu sebagai "Sultan Jelebu", dimana tindakan itu tidak disenangi menyebabkan SU Kerajaan Negeri mengeluarkan surat amaran bahawa gelaran Sultan Jelebu tidak sah dan perlu dihentikan.
Paling baru Dr Rais dilihat ikut memainkan peranan dalam pertikaian kedudukan Tunku Mukhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar kini apabila menjadi peguam dan penasihat rasmi kepada Undang yang Empat yang mempertikaikan kedudukan Tuanku Mukhriz kini. [wm.kl. 1:02 pm 30/07/2026].
Wednesday, July 29, 2026
Bersatu jadi penentu kalah menang BN - PH
RENCANA
PEMIMPIN BN, Khalid Nordin menganggap penyertaan Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri (Pirane)Negeri Sembilan sekadar "kacau daun". Tanggapan itu bagaimanapun tidak disenangi oleh pimpinan Bersatu yang menganggapnya sebagai satu penghinaan dan keangkuhan orang berkata demikian terhadap parti berkenaan.
Bersatu segera menjawab persepsi itu dengan menegaskan bahawa penyertaan mereka bukan untuk sebagai kacau daun, sebaliknya bertujuan membentuk kerajaan dan menawarkan perkhidmatan kepada rakyat. Mereka mahu menjadi alternatif kepada pengundi Negeri Sembilan selain BN dan PH.
Keputusan Bersatu bertanding secara solo di 24 kerusi membuktikan parti itu mempunyai keberanian dan keyakinan yang tinggi. Berbanding PAS dan Parti Wawasan yang bertanding menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN), Bersatu memilih untuk menguji kekuatannya sendiri.
Saturday, July 25, 2026
DAP sebagai hantu rekayasa pembangkang
MODAL politik terbesar pembangkang, khususnya Umno dan Pas, ialah DAP. Kedua-dua parti itu menjadikan DAP sebagai alasan dan sasaran utama dalam kempen politik mereka. Naratif yang dibina ialah DAP kononnya menjadi punca keretakan perpaduan orang Melayu dan ancaman kepada kedudukan mereka.
Hakikatnya, keterdesakan Umno dan Pas untuk terus menggunakan isu DAP menunjukkan kemuflisan idea politik mereka. Mereka sudah hilang akal untuk mencari perkara lain dijadikan modal politik. Dalam banyak perkara dalam politik orang Melayu menjadikan sebagai kambing hitam bagi menutup kelemahan sendiri.
Secara jujur, sebagai orang Melayu saya juga pernah bersikap skeptikal terhadap DAP kerana ia dilihat sebagai parti yang majoriti ahlinya berbangsa Cina, sebagaimana Umno pula sering dilihat sebagai parti orang Melayu. Namun, dari sudut kenegaraan, saya tidak mempunyai masalah dengan kewujudan DAP. Ia ialah sebuah parti politik yang sah di sisi undang-undang dan dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan untuk bergerak dalam sistem demokrasi negara ini.
Malah, DAP telah berkali-kali menyatakan pendiriannya bahawa mereka menghormati empat perkara asas yang sering dibangkitkan oleh orang Melayu, iaitu kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, institusi Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, serta Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Setelah hampir 70 tahun negara mencapai kemerdekaan, belum ada pelanggaran yang serius terhadap empat perkara asas tersebut dilakukan oleh DAP melalui proses perundangan negara. Apakah kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan telah tergugat? Tidak. Apakah hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera telah dihapuskan? Juga tidak. Yang sering kita dengar hanyalah kebimbangan dan dakwaan bahawa perkara-perkara itu akan berlaku, lalu segala keresahan itu ditujukan kepada DAP. Kebimbangan itu pula dicipta oleh strategis politik untuk kepentingan mereka. Disebab itulah mereka yang menggunakan modal yang direkaya itu terpaksa berhadapan di mahkamah apabila disaman oleh Dap, dan kalah.
Sikap prejudis itu tidak baik. Kebimbangan yang berlebihan akhirnya melahirkan ketakutan terhadap bayang-bayang sendiri. Keadaan ini berlaku berpunca daripada hilangnya keyakinan diri. Sikap seperti ini ialah sikap negatif yang boleh melemahkan, malah memundurkan orang Melayu sendiri.
Permusuhan yang melampau terhadap DAP juga tidak membantu usaha membina persefahaman antara kaum untuk memajukan negara. Sebuah negara yang bertamadun tidak dibina atas rasa curiga dan kebencian yang berpanjangan, sebaliknya atas keyakinan kepada Perlembagaan, undang-undang dan institusi negara.
Hakikat yang kena diterima Dap atau orang Cina adalah rakyat dan warganegara sama dengan Melayu. Mereka setengahnya bukan pendatang tetapi dilahir dan beranak pinak disini. Status mereka itu tidak dapat dilupuskan kecuali berlaku sebuah perang besar yang juga bukan sahaja menghancur bangsa lain, tetapi bangsa Melayu juga. Lidah api tidak pernah mengenali warna dan bau darah.
Justeru rakyat negara ini tidak perlu hidup dalam ketakutan terhadap momokan yang sengaja dicipta selagi negara ini mempunyai Raja-Raja Melayu sebagai payung Perlembagaan dan selagi Perlembagaan Persekutuan terus dipertahankan serta dihormati.
Apabila kita kehilangan keyakinan terhadap diri sendiri dan terhadap kekuatan sistem negara, kita akan menjadi lemah. Keadaan itu ibarat seorang pesakit yang disahkan menghidap kanser. Jika dia terus berputus asa dan menyerah sebelum berjuang, penyakitnya akan lebih cepat menguasai dirinya. Begitu jugalah dengan sesebuah bangsa. Bangsa yang sentiasa dibelenggu ketakutan akhirnya akan kalah bukan kerana musuhnya terlalu kuat, tetapi kerana keyakinannya sendiri telah runtuh.






