Showing posts with label DAP. Show all posts
Showing posts with label DAP. Show all posts

Saturday, August 15, 2026

Esok DAP Akan Buat Keputusan Penting

SESUDAH SUBUH

PERISTIWA bakal berlaku esok merupakan sebahagian episod penentuan penting politik negara ini. 
Eok DAP akan mengadakan Mesyuarat Agung parti itu dengan agenda utamanya menentukan apakah parti itu akan kekal dalam kerajaan atau sebaliknya. 

Keputusan itu akan ditentukan lebih 4,264 perwakilan dari seluruh negara menerusi undi sulit. Perwakilan akan buat ketentuan, dikira pentingnya itu, mengikut citarasa mereka sendiri tanpa dipengaruhi mana-mana pihak. 

CEC katanya akan memberi kebebasan mutlak dan tidak cuba mempengaruhi perwakilan. Hal ini ditegaskan sendiri oleh setiausaha agungnya Anthony Loke Siew Fook

Menjelang sidang esok ada berbagai pendapat pro dan kontra. Ada dua subjek atau natijah bertentangan. Ada pihak yang mahukan DAP kekal menyokong kerajaan. Dan ada yang mahu DAP keluar daripada kerajaan. 

Yang mahu DAP kekal bersama kerajaan, lebih kepada untuk meneruskan dan menstabilkan kerajaan Perpaduan amnya, dan kedudukan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. 

Manakala yang mahukan DAP keluar atas tujuan menyelamatkan parti itu agar terus mendapat kepercayaan masyarakat Cina. Ia lebih selfish. Tiga pilihan raya lalu di mana DAP gagal mengekalkan prestasi mereka menyebabkan parti itu terpaksa membuat perhitungan semula dengan segera. 

DAP adalah sebuah parti yang responsif dengan apa yang berlaku, apalagi kalau membabitkan masa depan mereka. Apa dibimbang sekiranya perwakilan membuat keputusan mahukan DAP keluar dari kerajaan, ia membawa kepada keadaan lebih teruk sekiranya DAP tidak bersama PH dalam pilihan raya umum akan datang, bertindak bertanding bersendirian. 

Jika ini berlaku, ia memberi natijah buruk kepada PH yang selama ini jadikan DAP sebagai tiang seri dalam PH. Hakikat ini tidak boleh dinafikan. Tidak mustahil juga kalau itu keputusan yang dibuat nanti. Ia amat berat kepada parti chauvinis Cina itu, tetapi mereka sanggup berkorban demi survivalnya. Itulah kelebihan yang ada kepada DAP, berani melakukan sesuatu untuk kebaikannya. 

Berhubung apa yang akan berlaku esok, khabarnya CEC mahukan kekal dalam kerajaan, manakala lebih 60 peratus perwakilan mahu DAP meninggalkan kerajaan, tetapi menyokong kerajaan sehingga habis penggal. 

Sekiranya ketentuan kedua diambil, DAP meninggalkan kerajaan, ia memberi petunjuk tidak baik kepada kerajaan Perpaduan. Penarikan itu memberi ruang dan peluang kepada pihak musuh, BN dan PAS khasnya untuk memainkan isu dan mengkritik. 

Penarikan DAP itu akan dijadikan bukti yang kerajaan Perpaduan membimbangkan, berada dalam keadaan bahaya. Dan lebih teruk lagi nasib kerajaan PH sekiranya DAP meninggalkan PH dan kerajaan dan bertanding secara solo dalam pilihan raya raya ke-16 nanti. 

Tindakan itu memberi kesan langsung kepada PH, khususnya Anwar selaku perdana menteri. Jika ini berlaku, harapan untuk Anwar jadi PM sepenggal lagi tidak akan kesampaian. Bukan itu sahaja, untuk beliau menghabiskan lima tahun penggal pertama ini juga bukan senang. 

Jika ini berlaku, politik Malaysia sekali lagi akan bergolak. Ia boleh membawa kepada pembubaran Parlimen lebih awal. Apa diharap lebih 4,000 perwakilan DAP dari seluruh negara esok akan membuat pilihan bijak, untuk kebaikan negara. 

Ahli DAP jangan semata-mata melihat kepentingan kelompok mereka sahaja, tetapi mengutamakan kepentingan umum. DAP lebih dikenali parti yang memperjuangkan nasib dan membela satu kaum sahaja. 

Semangat Malaysia Malaysian yang mereka perjuangkan hendak diambil kira, dengan kuasa yang ada kepada mereka bagi menstabilkan politik negara ini. [wm.kl. 7:07 am 15/08/2026]


Wednesday, July 19, 2017

Mungkinkah DAP akan diharam?

SUSUPAN PAGI

Setelah dipertikaikan selama empat tahun kedudukan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), DAP akhirnya Pendaftaran Pertubuhan (Ros) telah menghantar surat supaya parti itu mengadakan pemilihan jawatamkuasa kebangsaanya semula. Alasannya pemilihan sebelum ini, yang sudah terpakai beberapa tahun, sebagai tidak sah.

Arahan itu berupa ancaman kalau tidak diadakan pemilihan semula parti itu berkemungkinan akan diharamkan. Kenyataan itu dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang juga bertanggungjawab mengenai hal itu.

Wednesday, April 13, 2011

Susupan Petang

Persepakatan Cina (DAP) & Potensinya

SEORANG teman yang mempunyai kenalan rapat dengan seorang ahli perniagaan Cina di Sarawak memberi tahu saya yang kawannya itu telah membantu DAP dalam pilihan raya Sarawak kali ini. Bantuan itu agak besar jumlahnya.

Ahli perniagaan berkenaan turut sama membantu BN, namun jumlah yang diberikan kepada DAP lebih besar dari apa yang diperuntukan kepada BN. Dunia perniagaan biasalah kalau berlaku sebegitu.

Katanya teman itu, untuk BN ahli perniagaan yang berpejabat di Kuching itu selain memberi wang bernilai mencecah tujuh angka diberikan sama kemudahan transport, berupa helikopter. Berapa helikopter yang diberikan tidak pula disebut. Yang pastinya lebih dari sebuah.

Sebaliknya kepada DAP ahli perniagaan itu tidak menyediakan helikopter tetapi sekadar wang juga. Jumlahnya mengatasi dengan apa yang diberikan kepada BN.

Bila mendengar cerita teman ini baru saya faham kenapa logistik kempen DAP hebat dan bermutu tinggi. Di Kuching billboard yang mempamirkan gambar calonnya di dirikan di banyak tempat. Saisnya besar. Tidak ada billboard PKR atau Pas yang sebesar saiz billboard DAP. Kalau pun dicampur dua papan tanda PKR dan Pas yang tidak dapat mengatasi papan tanda DAP.

Saya tidak tahu bagaimana pemandangan di bandar lain seperti Miri, Sibu atau Bintulu. Mungkin keadaannya juga sama atau lebih hebat lagi.

Apa yang berlaku itu boleh dirasakan bahawa DAP mendapat bantuan kewangan yang banyak dalam menghadapi pilihan raya kali ini. Apabila taukeh atau ahli perniagaan Cina membantu DAP ini bermakna orang Cina meletakkan kepercayaan kepada DAP.

Mereka mahukan DAP menjadi parti utama yang akan membela kaum mereka di Sarawak. Dari sini juga kesedaran berterusan dari masyarakat Cina. Mereka sudah hilang kepercayaan kepada SUPP parti yang mewakili Cina di Sarawak.

Jadi tidak hairanlah kalau pengaruh DAP lebat berkembang di Sarawak ketika ini. BN nampaknya terkial-kial untuk mengatasi pengaruh DAP ini. BN juga turut meletakkan papan tanda gergasi di merata tempat di Kuching, bagi melindungi pengaruh DAP. Tetapi semua usaha itu nampaknya tidak memberi kesan lagi. Orang Cina sudah berubah restoran!

Sebenarnya orang Cina Sarawak membuat keputusan parti mana mereka nak pilih sejak sebelum hari penamaan calon lagi. Mereka sudah pun membuat keputusan untuk melakukan perubahan. Mereka tidak seperti kaum lain khasnya Melayu yang mudah kecut perut dengan ugutan dan mudah malu alah dengan janji-janji politik. Sifat semula jadi orang Melayu suka memamah janji.

Sifat politik terbuka hari ini telah diambil kesempatan oleh orang Cina. Mereka tidak akan merasa rugi apa-apa kalau tidak menyokong BN. Sebaliknya kalau mereka menunjukkan sokongan kepada pembangkang khasnya DAP mereka akan mendapat laba yang berganda.

Apa lagi mereka melihat track rekod DAP sebagai parti yang sedarhana dan memperjuangkan rakyat. Calon-calon yang dipilih adalah mereka yang hampir dengan rakyat. Dari awal lagi DAP melatihkan calonnya supaya berkhidmat kepada rakyat bila-bila masa. Bagi DAP wakil rakyat adalah perkerjaan kebajikan untuk rakyat.

Selain itu DAP juga menurunkan calon muda yang mempunyai iktisad dan kepakaran dalam berbagai bidang. DAP tidak mengambil sembarangan calon tetapi memilih benar-benar yang bernilai dan bermutu tinggi. Penampilan calon yang berwibawa inilah juga menyebabkan bukan saja orang Cina, tetapi Iban, Dayak hatta Melayu tertarik dengan DAP.

Dalam kempennya DAP lebih menunjukkan sikap profesional dan tidak sesekali memainkan isu peribadi. Mereka tidak mengkritik peribadi Najib. Mereka tidak menyebarkan risalah memburukan isteri Najib keterlaluan. Apa yang mereka attack Najib ialah menerusi polisi dan dasar yang diperkenalkan tidak mesra rakyat.

Dalam banyak hal orang Melayu wajar belajar main politik cara DAP, khasnya BN. Serangan peribadi ke atas Anwar dilakukan penceramah upahan BN tidak banyak menguntungkan dan menyentuh emosi orang Cina.

Kerana sikap itu, kerana dokongan para taukeh maka tidak hairan kalau DAP akan menang disemua kerusi yang dipertandingkan pada 16 April ini. Tidak syak lagi kemenangan DAP di Sarawak itu bakal meletakkan DAP sebagai pembimbing politik negara ini. Selepas ini orang Cina bukan menguasai ekonomi, pendidikan, pengekalan budaya tetapi juga akan menguasai politik Malaysia. [wm.kl.7:00 pm 13/04/11]