AI atau Artificial Intelligence merupakan satu teknologi baharu yang sedang berkembang pesat dalam industri informasi dan komunikasi. Teknologi ini boleh digunakan dalam pelbagai bidang kehidupan, sama ada politik, perniagaan, pendidikan, keselamatan mahupun peperangan.
Kecanggihannya begitu luar biasa sehingga manusia sendiri semakin sukar untuk mengatasi, apatah lagi mengawal penggunaannya. Keupayaan AI menghasilkan sesuatu yang kelihatan begitu nyata menyebabkan kita berhadapan dengan satu persoalan besar: sejauh manakah kita boleh mempercayai apa yang kita lihat dan dengar? Kita sering tertipu sampai ke akhirnya.
Hari ini, gambar boleh direka, suara boleh ditiru dan video boleh dihasilkan sehingga kelihatan seperti kejadian sebenar. Sesuatu yang tidak pernah berlaku boleh dipersembahkan seolah-olah benar-benar berlaku.
Untuk mengenal pasti sama ada sesuatu yang dipamerkan itu realiti atau sekadar rekaan juga bukan lagi perkara mudah. Belum ada alat pengesan (detector) ditemui.
Inilah antara cabaran besar yang dibawa oleh revolusi AI. Kita bukan sahaja berhadapan dengan kecanggihan teknologi, tetapi juga dengan persoalan kebenaran, kepercayaan dan manipulasi persepsi.
Demikian jugalah jika kita melihat perkembangan kerjasama politik antara Umno dengan Pas yang telah bertukar nama dan istilah beberapa kali.
Dengan menggunakan pelantar bangsa dan agama, Umno dan Pas pernah bersengkongkol atas tujuan politik melalui nama Muafakat Nasional, Perpaduan Ummah dan pelbagai istilah lain. Walaupun nama dan pendekatannya berubah, asas naratif yang dibawa hampir sama, iaitu kononnya kuasa politik Melayu semakin terhakis dan kedaulatan Islam semakin tercemar. Keberadaan DAP dipersalahan sepenuhnya.
Naratif seperti ini terus dimainkan bagi membentuk persepsi dan mempengaruhi pemikiran masyarakat. Seolah-olah masa depan orang Melayu dan kedudukan Islam hanya boleh dipertahankan melalui kerjasama politik antara kedua-dua parti tersebut.
Ketakutan itu hanya sebuah ilusi yang tanpa fakta pun, yang dihasilkan oleh content character politik.
Bagi mereka yang memahami perubahan zaman, khususnya revolusi yang sedang berlaku dalam dunia informasi dan teknologi komunikasi, tentu menyedari betapa mudahnya persepsi masyarakat dibentuk.
Sesuatu yang dipamerkan boleh kelihatan benar, walaupun hakikatnya belum tentu demikian. Yang tahu akan proses peralihan zaman ini tidak mudah terrtipu.
Dalam politik, persepsi kadangkala lebih mudah dijual daripada fakta. Sesuatu yang diulang berkali-kali boleh akhirnya diterima sebagai kebenaran. Apatah lagi apabila ia disampaikan dengan sentimen bangsa dan agama yang menyentuh emosi serta kebimbangan masyarakat. Dua elemen ini sangat mempengaruhi pemikiran orang Melayu.
Sebab itulah kita perlu melihat lebih jauh daripada nama, slogan dan ungkapan yang digunakan. Kita perlu menilai sejarah kerjasama mereka; pergaduhan dan pebaikan (tafahum) mereka serta tindakan politik dan pendirian masing-masing apabila berhadapan dengan kepentingan sebenar.
Jangan sampai kita hanya melihat apa yang dipamerkan tanpa menyelidiki apa yang sebenarnya berlaku di belakangnya. Perlu lihat isi bukan bergantung kepada keindahan kulit semata mata.
Apa yang dipamerkan oleh Pas dan Umno diibaratkan sebagai satu ciptaan menerusi alat kecerdasan buatan yang menghasilkan gambaran tertentu untuk dipercayai masyarakat.
Kalau AI bermaksud Artificial Intelligence, maka dalam konteks politik ini saya namakan ia sebagai AI Pas dan Umno — Artificial Illusion, iaitu ilusi politik yang dibina untuk mencipta persepsi.
Ia bukan bermaksud kedua-dua parti itu menggunakan teknologi AI secara literal. Ini adalah satu perbandingan untuk menggambarkan bagaimana naratif politik boleh direka, diulang dan dipersembahkan sehingga masyarakat sukar membezakan antara realiti dengan ilusi. Tegasnya kerjasama atau permaufakatan itu adalah palsu, tipuan semata-mata.
Justeru, jangan mudah terpesona dengan nama Muafakat Nasional, Perpaduan Ummah atau apa sahaja istilah baharu molok molok yang mungkin muncul selepas ini.
Nama boleh berubah, slogan boleh bertukar dan pendekatan boleh diperbaharui, tetapi yang lebih penting ialah memahami tujuan, kepentingan dan rekod di sebalik setiap kerjasama politik kedua dia belah pihak. Ingat kalau AI mudah menipu kita, AI Pas - Umno lebih hebat daripada itu. Trims. [wm.kl. 10:45 am 10/11/2026]





