Tuesday, September 14, 2021

Maknawi MoU Transformasi dan kestabilan politik

MINDAKU

Majlis menandatangani MOU
persefahaman.
PENANDATANGAN MoU mengandungi enam perkara asas berdasarkan kepada tujuh tawaran dibuat oleh Ismail Sabri Yaakob (Kerajaan) kepada pembangkang (PH) petang semalam ditafsirkan dengan berbagai erti dan dicungkil berbagai sir (rahsia). Ia dibanggai dan ditakuti? 

Secara umum, rata-rata menzahirkan rasa teruja,  gembira dengan apa yang berlaku. Setengah orang menganggap ia satu sejarah baru dalam kancah politik Malaysia. 

Untuk mengatakan ia baru, rasanya tidak benar, sebab kerajaan dan oposisi pernah mengadakan "persefahaman" lebih berani dan serius daripada itu. 

Friday, September 10, 2021

Transformasi parlimen untuk elak undi percaya

SUSUPAN MALAM

TAWARAN tujuh transformasi parlimen dan pentadbiran yang diumumkan oleh Ismail Sabri Yaakob hari ini sesuatu yang tidak mengejutkan, jauh sekali untuk menjawab persoalan yang berlegar di kepala umum pada masa ini.

Tawaran itu lebih merupakan sihir yang tidak lagi mengkagumkan, sebaliknya ia adalah satu tawaran (deal) atawa kelentong untuk tidak melaksanakan titah Yang diPertuan Agong daripada membawa usul percaya kepadanya (PM) pada sidang parlimen minggu depan. 

Tawaran transformasi parlimen dan pentadbiran itu bagaimana pun tidak boleh menyihirkan orang yang mahu melihat usul percaya dibentang di parlimen bagi menentukan keabsahan kedudukan Ismail Sabri sebagai perdana menteri.

Wednesday, September 8, 2021

Catatan yang tersurat dan tersirat

CERITA TERSEMBUNYI 

Gambar ini menunjukkan
Perdana Menterinya, Najib Razak.
CERITA atau kisah yang tersirat lebih banyak daripada cerita dan kisah yang disurat. Seperti apa yang berada di balik gunung dan di atas puncaknya, lebih menarik, indah, unik dan mengkagumkan daripada apa yang ada di bawah atau di hadapannya. 

Kadang-kadang yang terselindung itu menakut dan menyeramkan. Hakikat ini sudah lumrah.

Dan kita pula hanya tahu apa yang tersurat dan disurati sahaja, sedangkan yang tersirat apa lagi yang sengaja disembunyikan atas nama rahsia masih banyak. 

Saturday, September 4, 2021

Sidang Parlimen 16 September diramal hangat?

SPEKULASI

"Dia PM saya," mungkin itu kata Mahiaddin.
SIDANG parlimen penggal keempat parlimen ke-14 yang akan diadakan pada pertengahan bulan ini tidak dapat dijamin ia akan berlangsung dalam suasana harmoni dan penuh semangat untuk memulihkan keadaan negara daripada terus berhadapan dengan tiga masalah (fenomena) pandemik, ekonomi dan kemelut politik.

Besar kemungkinan sidang parlimen dijadual 13 September hingga 8 Oktober itu akan hangat dan riuh dan bergelora seperti sidang perlimen sebelum ini. 

Friday, September 3, 2021

Kenapa perlu prejudis?

ULASAN

APABILA Senator Idris Ahmad (foto) melangkah kaki ke pejabatnya di JPM Rabu lalu, sebagai mengambil berkat,
beliau mendirikan solat dan berdoa.

Apa yang yang dilakukan Idris itu ghalib bagi umat Islam yang tahu akan keberkatan mendirikan solat sempena pertama kali melangkah kaki ke mana-mana tempat termasuk ke pejabat dan sebagainya.

Sayangnya gambar itu ditular secara negatif disertai dengan kata-kata atau caption yang tidak elok dan bernada persendaan. Yang menyedihkan yang menularnya bukan dari kalangan bukan Islam, tetapi orang Islam sendiri. Ada juga mereka yang menular itu sebelum ini merupakan kawan beliau.

Wednesday, September 1, 2021

Penyahwartaan HSK Langat Utara semakin panas

ULASAN KHAS

Sultan Sharafuddin Idris Shah
ISU penyahwartaan Hutan Simpan Kekal (HSK) Langat Utara seluas 536.7 hektar makin mendapat perhatian umum dan ia mula bergelegak. Wap panasnya mula menyapa dan menyapu hidung beberapa individu terkait.

Salah seorang personal yang paling terasa atau panas punggung dengan isu ini adalah MB Amiruddin Shari yang bertangung-jawab penuh atas apa-apa perubahan status hutan simpan itu dan kelulusan dibuat.

Kepanasannya juga ikut turut berjangkit kepada para Exco atau anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKKN) yang mengambil bahagian meluluskan penyahwartaan hutan simpan itu dibuat di bawah Seksyen 12, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985.

Apabila meneliti kronologi penghapusan ikatan ke atas hutan simpan itu, (penyahwartaan) semacam ada yang tidak kena, bercanggah dan melanggar nasihat serta bertindak tanpa bermesyuarat? Paling mendukacita sekali ia seperti tidak akur dengan nasihat dan harapan Sultan Selangor.

Ada semacam perkara yang pelik dan tidak munasabah berlaku. Tindakan itu sama sekali kontras dengan titah ucapan perasmian sidang DUN Selangor oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 23 Ogos lalu.

Sultan Selangor semasa bertitah merasmikan sidang Dun menegaskan akan kepentingan kerajaan Selangor memelihara alam sekitar, mewujudkan suasana hijau dan mengawal ekosistem dan sehubungan itu baginda mahu hutan simpan kekal di negeri itu diperluas atau ditambahkan lagi. Tidak ada maksud baginda menyebut agar ia dipersempitkan? Atau apakah niat itu ada tersirat dalam apa yang disurati.

Malahan Baginda berhasrat jumlah hutan simpan kekal di Selangor akan mencapai 32% menjelang tahun 2025. Begitu sekali murni dan komited Sultan Selangor terhadap alam sekitar dan kelestarian negeri dan seluruh jajahan takluknya. Ada penggantian ke atas hutan simpan itu dibuat tetapi tentulah nilai dan kondisinya tidak sama. 

Berikut adalah petikan titah Sultan Selangor di muka surat 12.

“Pada masa yang sama, Kerajaan Beta berpandangan wujud keperluan untuk menggiatkan lagi usaha memastikan ekonomi negeri lebih tangkas untuk menghadapi sebarang ancaman dan risiko, sama ada ancaman dari segi perubahan iklim, bencana alam seperti banjir dan kejadian lain yang mampu mengancam dan menggugat kesejahteraan rakyat.

“Ini kerana perubahan iklim atau bencana alam mampu memberikan impak negatif terhadap ekonomi. Justeru, Beta ingin mengingatkan Kerajaan Beta agar terus melaksanakan agenda hijau dengan mewujudkan ekosistem yang terbaik dan moden untuk menarik pelaburan dalam teknologi hijau yang berdaya tahan terhadap perubahan iklim.

"Ini bukan sahaja boleh merangsang guna tenaga malah mampu meningkatkan daya tahan ekonomi dan alam sekitar untuk satu tempoh masa yang panjang.

"Sehubungan dengan itu, keputusan Kerajaan Beta untuk terus komited mengekalkan keluasan Hutan Simpanan Kekal di negeri Selangor agar tidak kurang Tiga Puluh Peratus (30%) daripada 12 keluasan tanah negeri adalah keputusan yang tepat dan wajar dalam melaksanakan agenda hijau ini.

"Beta dimaklumkan sehingga kini, kawasan Hutan Simpanan Kekal yang telah diwartakan di negeri Selangor adalah berjumlah lebih kurang Dua Ratus Lima Puluh Ribu (250 Ribu) hektar iaitu bersamaan dengan Tiga Puluh Satu Perpuluhan Empat Tujuh Peratus (31.47%) daripada keluasan tanah negeri.

"Kerajaan Negeri Selangor turut mensasarkan sebanyak Tiga Puluh Dua Peratus (32%) kawasan negeri diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal pada tahun 2025.

"Negeri Selangor merupakan negeri pertama dan satu-satunya negeri di Malaysia yang telah menguatkuasakan Penyiasatan Awam sebagai syarat di dalam prosedur penyahwartaan Hutan Simpan Kekal. Hal ini menunjukkan tahap komitmen dan kesungguhan tinggi Kerajaan Negeri Beta dalam melindungi sumber hutan selaras dengan agenda pembangunan hijau negeri. (pg 12).

Dalam ucapan itu jelas komitmen dan hasrat baginda berhubung nasib dan masa depan negeri Selangor. Apakah titah ucapan itu tidak difahami oleh MB Amiruddin dan para Exco? Ironisnya lagi, dalam sidang dewan itu juga, dimaklumkan yang kerajaan (MKKN) telah menyahwartakan seluas 539.9 hektar hutan simpan kekal di Langat Utara bagi tujuan pembangunan. Katanya hutan simpan itu diberikan kepada sebuah syarikat untuk dibongkar dan dimajukan?

Pemakluman hutan simpan itu “dikorbankan” berlaku dalam saat pertikaian semua pihak terhadap cadangan penyahwartaan hendak dibuat. Cadangan itu juga ditolak oleh sesi pendengaran awam yang dibuat yang mana saluran itu adalah merupakan rekod Selangor sebagai negeri pertama yang menguatkuasakan mengadakan pendengaran awam, seperti mana dakwa Sultan Selangor dalam titah ucapannya.

Paling mengecewakan lagi, DUN Selangor yang bersidang pada November 2020 telah memutuskan sebulat suara menolak cadangan penyahwartaan hutan simpan berkenaan. Dimanakah integriti kerajaan Selangor seperti yang disebut Sultan itu kalau apa yang diputuskan oleh DUN Selangor sendiri merupakan dewan tertinggi tidak dipatuhi?

Apakah ada sandiwara disini?

Semestinya isu ini mendapat perhatian Presiden Keadilan Anwar Ibrahim yang semalam mengeluarkan satu kenyataan yang bernada kesal terhadap apa yang berlaku. Beliau meminta MB memberi penjelasan kepada pihak parti atas apa yang berlaku. Bagi Anwar isu hutan simpan itu menyentuh soal integriti dan kebertanggungajwaban kerajaan Selangor yang ditunggaki partinya dalam PH bersama DAP dan Amanah.

Paling mengejutkan, Anwar tentulah kerana pimpinan parti sudah pun memaklumkan kepada Amiruddin agar membatalkan cadangan penyahwartaan itu yang bertujuan untuk pembangunan. Namun nampak ia tidak diedah. Apakah Amiruddin sengaja mengabaikan nasihat parti?

Apabila ia seperti tidak dihiraukan tentulah menimbulkan kekecewa dan tanda tanya kepada parti. Apakah Amiruddin bertindak sendiri, membelakangkan parti tidak lagi perlu merujuk kepada parti dan lebih akur kepada suara lain? Atau beliau ditekan. Kalau ditekan dan tidak mampu lawan maka tidak layak untuk terus berada di kersui MB. Kalau ia pun begitu, sepatutnya beliau memaklumkan kepada parti ia tidak berlaku kejutan.

Di sini kurang bijaksana dan pertimbangan Amiruddin sebagai MB. Kalau kita kurang pengalaman, kurang diplomatik, lemah berpolitik, belajarlah dengan pihak lain. Jika kita tidak tahu, dan ragu-ragu untuk memutuskan sesuatu jangan malu-malu untuk bertanya. Malu bertanya akan sesat jalan.

Lantaran itu Anwar meminta Amiruddin memberi penjelasan. Bila dipanggil demikian rupa ia memberi gambaran akan kelemahan sebagai MB. 

DAP, nampaknya vokal dalam isu ini apabila beberapa wakil rakyatnya sudah bangkit bersuara. Umno juga turut sama bersuara sama, apabila Ketua Penerangannya Shahril Hamdan meminta agar kerajaan Persekutuan menyelamat hutan simpan itu dengan mengambil alihnya mengikut Perlembagaan. Nampak begitu patriotik dan membela Umno kali ini.

Cuma parti yang belum membuka mulut setakat ini, Parti Amanah Negara masih membisu ataupun terkial-kial sedang mencari idea untuk bercakap tanda masih hidup.

Sekiranya isu ini berpanjangan dan boleh memberi kesan buruk kepada kerajaan Selangor seperti mana titah Sultan tadi, Sultan hendaklah campur tangan. Baginda perlu bertindak mencampuri bagi mengtasinya. Nampaknya apa dihasratkan baginda sudah tercalar.

Kita yakin dengan kuasa dan penghormatan yang ada kepadanya, Sultan Selangor boleh menitahkan agar membatalkan penyahwartaan itu atau memberi penyelesaian terbaik itu itu. Kalau baginda bersuara tidak ada siapa yang berani melintangnya lagi.

Mungkin Tuanku juga maklum, bahawa semasa diadakan pendengaran awam diadakan ramai yang membatah. Dalam ucapan perasmian baginda menzahirkan kebanggaan kerana Selangor menjadi negeri yang pertama menguat kuaskan mengambil pandangan umum terhadap sesuatu hendak dilakukan ke atas hutan simpan. Kalau pandangan awam sudah diambil dan ia tidak didengar, maka rekod Selangor sebagai negeri pertama berbuat demikian terbatal sudah.

Kenyataan akhbar Anwar:

31 Ogos 2021
Saya meneliti laporan dan aduan berkenaan tindakan Kerajaan Selangor yang telah melakukan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) pada bulan Mei yang lalu.

Saya juga turut mengambil maklum bahawa Dewan Undangan Negeri Selangor telah menolak cadangan tersebut.

Ingin ditegaskan keputusan yang dibuat ini masih belum dimaklumkan kepada pimpinan parti.

Malah pimpinan KEADILAN sejak tahun lalu telah memaklumkan kepada Menteri Besar untuk membatalkan perkara tersebut.

Menteri Besar telah diminta untuk memberi penjelasan terperinci berhubung perkara ini dalam pertemuan bersama pimpinan parti esok.

ANWAR IBRAHIM.
[wm.kl.11:16 am 01/09/2021]