Saturday, September 4, 2021

Sidang Parlimen 16 September diramal hangat?

SPEKULASI

"Dia PM saya," mungkin itu kata Mahiaddin.
SIDANG parlimen penggal keempat parlimen ke-14 yang akan diadakan pada pertengahan bulan ini tidak dapat dijamin ia akan berlangsung dalam suasana harmoni dan penuh semangat untuk memulihkan keadaan negara daripada terus berhadapan dengan tiga masalah (fenomena) pandemik, ekonomi dan kemelut politik.

Besar kemungkinan sidang parlimen dijadual 13 September hingga 8 Oktober itu akan hangat dan riuh dan bergelora seperti sidang perlimen sebelum ini. 

Pertukaran jawatan perdana menteri daripada Mahiaddin Md Yassin kepada Ismail Sabri Yaakob nampaknya tidak merubah apa-apa keadaan dan mampu meredakan suhu politik negara. Pertukaran Suka Sama Suka (SSS) itu tidak membawa apa-apa perubahan dan menenangkan kegelisahan umum, sebalik boleh membuka semua "bekah" sengketa.  

Dengan perkembangan terbaru ada tanda-tanda sidang parlimen itu akan bergelora dan menjadi pasar borong, bahkan lebih riuh daripada sebelum ini sudah dapat dirasakan. Usul percaya kepada perdana menteri yang mulanya seperti hendak dikompromikan seperti tidak menjadi. 

Sejak awal-awal lagi, perdana menteri yang baru dilantik menggantikan Mahiaddin diminta agar mengambil undi percaya kepadanya di parlimen untuk mengabsahkan kedudukannya. Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah berkata item pertama sidang parlimen ialah mengemukakan undi percaya terhadap perdana menteri.

Walaupun sebelum ini, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menjelaskan, usul percaya kepada Ismail Sabri nanti tidak akan dipersulitkan, demi menuju kedamaian politik, tetapi ia bukan jaminan mutlak bahawa usul percaya itu tidak ditentang atau pun dikemukakan usul undi tidak percaya untuk mengesahkan kedudukan Ismail Sabri. 

Kenyataan Anwar itu dilihat berlapik dan pembangkang akan melihat kepada perkembangan selanjutnya berhubung pembentukan kabinet oleh Ismail dan perubahan-perubahan kerajaan dipimpinannya seperti mana didambakan rakyat. Anwar mengatakan demikian sebelum Ismail Sabri membentuk kebinetnya. 

Semasa ketua-ketua parti menghadap Yang di-Pertan Agong, masing-masing mendengar titah dan harapan Yang diPertuan Agong dan timbalannya Sultan Nazrin Shah, yang mahu parti politik menghentikan perbalahan dan cuba menenangkan suasana politik. Anwar dalam kenyataan akhbar ringkas selepas perjumpaan itu menggambarkan akan ada konsensus antara semua parti-parti bagi menghentikan kemelut politik sebagai menjunjung titah Raja. 

Hasrat Yang diPertuan Agong itu menjadi hasrat seluruh rakyat memandangkan keadaan negara. Yang diharap selepas perdana menteri baru dilantik, ia akan membentuk kabinet yang membabitkan semua pihak daripada parti politik termasuk pembangkang. Hanya dengan membawa masuk pembangkang ke dalam kabinet sahaja atau bekerjasama, impian untuk mendamaikan politik tercapai. Kemelut dan perbalahan politik dapat dikendurkan. 

Sayangnya, asprirasi dan titah Yang di-Pertuan Agong dan timbalannya itu tidak menjadi kenyataan. Ismail selepas seminggu mengangkat sumpah menjadi PM telah membentuk barisan kabinet mengikut citarasanya sendiri tanpa membabitkan pembangkang seperti mana diharapkan orang ramai. 

Tidak ada wakil pembangkang dalam kabinet atau ditawarkan sebagai pemanis mulut oleh ahli Parlimen Bera itu. Apa yang ada pertemuan beliau dengan ketua-ketua parti gabungan PH, Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mat bin Sabu di pejabatnya dan mengeluarkan satu kenyataan bersama. Mulanya pertemuan itu nampak positif tetapi selepas kabinet dibentuk pertemuan itu seperti anti klimaks dan hanya jadi macam hampas sahaja.

Apa paling mengejutkan juga beliau tidak mempedulikan beberapa orang kanan presiden Umno untuk dibawa masuk ke dalam kabinet. Ertinya PM ke-9 itu tidak mengambil berat dan sedia untuk melaksanakan aspirasi Yang diPertuan Agong. Ia juga tidak menghargai kesediaan oposisi untuk bekerjasama begitu juga dengan pihak dalam partinya sendiri untuk dipatuhi.

Sebagai rekod seramai 15 ahli parlimen Umno menunjukkan tidak setuju dengan Ismal Sabri yang cenderung untuk menyokong Mahiaddin Yassin dan enggan mengikut arahan partinya agar menolak Mahiaddin dan Bersatu. Daripada jumlah ini hanya dua orang sahaja dilayan Ismail Sabri, Noh Omar dan Noraini Ahmad.

Kabinet Ismail Sabri itu kabinet yang dibentuk dengan persetujuan atau memenuhi syarat diberikan Mahiaddin Yassin bukan daripada presiden partinya. Dalam kata lain beliau membelakangkan partinya sendiri. Buktinya beberapa orang presiden diketepikan seperti Azalina Othman Said, Shamsul Anuar Nasarah dan Ahmad Jazlan Yaakob. Tindakan ini dilihat keberanian Ismail Sabri atau pun satu perjudian untuk masa depan politiknya. 

Situsi dan kondisi itu mengecewakan pembangkang,  dan menyerlahkan Ismail Sabri gagal melakukan perubahan politik jauh sekali untuk meredakan kemelut politik. Saiz kabinetnya juga tidak berubah, masih menggunakan kerangka kabinet Mahiaddin. Sebaliknya pembangkang seperti dipermainkan dan tertunggu-tunggu sesuatu yang tidak gugur. Inilah menyebabkan jaminan disebutkan oleh Anwar tadi, tidak mempersulitkan usul undi percaya itu, akan menjadi sulit. 

Ismail Sabri terus menunjukkan yang beliau terikut atau masih berada dibawah cengkeman Mahiaddin apabila masih mengekalkan tiga individu ketua-ketua parti sebagai Duta. Mereka Presiden Pas Abdul Hadi Awang (Duta Khas Timur Tengah), Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (PDPS) Tiong Kin Sing (Duta Cina) dan Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (PRBS) Richard Riot Jaem (Duta Asia Timur).

Dalam keadaan negara berhadapan dengan masalah keruduman ekonomi, dan peranan mereka juga tidak diperlukan namu masih dikekalkan. Pengekalan itu lebih kepada bermotif politik atau scheme of thing, bukan untuk negara dan salah satu mungkin syarat ditetapkan Mahiaddin?  

Ismail Sabri bukan berhenti disitu sahaja menunjukkan "kedegilan" dan perjudian politiknya. Hari ini Ketua Setiausaha Negara (KSN) Mohd Zuki Ali mengumumkan pula Mahiaddin Yassin dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bertaraf menteri. Apa dan untuk keperluan apakah Mahiaddin dilantik di majlis berkenaan. Bukankah penolakan terhadapnya sebelum ini lantaran kegagalannya sebagai perdana menteri? 

Apakah justifikasi orang yang gagal sebagai perdana menteri dilantik mengetahui majlis untuk memulihkan negara. Dan apakah Ismail Sabri mempercayai yang bekas PM itu lebih baik daripada dirinya sendiri? Kalau begitu kenapa beliau sedia untuk dilantik menjadi perdana menteri dan rela menerima pengunduran Mahiaddin Yassin kalau beliau lebih dangkal berbanding Mahiaddin. Game apa yang sedang dimainkan Mail Sabri ini.

Pelantikan ini sesuatu yang agak pelik tetapi memberi signifikan tertentu yang boleh membawa seribu impliaksi dan natijah. Jika Mahiaddin berasa beliau lebih berkelayakan daripada Ismail Sabri kenapa beliau mencadangkan nama Ismail Sabri untuk menggantinya. Inilah dirasakan perkara ini satu permainan atau kong kalikong antara mereka berdua yang licit? Atau Mahiaddin menjadikan Ismail Sabri sebagai aling-aling untuk membolehkan beliau terus berkuasa?

Hal-hal dan perkembangan seperti pelantikan tiga Duta berkenaan dan Mahiaddin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara ini memberi patanda kemelut politik kita masih belum tenang. Bahawa kesedaran untuk mendamaikan negara masih belum ada. Ia semacam berihat seminggu sahaja dan akan bermula semula dengan episod lebih horror lagi. 

Kegegaran nanti pasti akan berlaku di parlimen kelak. Usul percaya kepada Ismail Sabri pasti akan  dituntut agar ia dikemukakan sesuai dengan titah Yang di-Pertuan Agong. Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah awal-awal mengatakan keperluan undi percaya itu dibentang di parlimen. Walaupun sudah ada kenyataan untuk membatalkan arahan Sultan Nazrin itu tetapi ia tidak semudah itu dilayan. Wayang gadek yang ditayangkan oleh Peguam Negara Idrus Harun pasti akan diboo.

Selain itu apa yang ditunjukkan oleh ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said, yang agak vokal juga memberi tanda-tanda gelora politik masih beralun dan arus bawah bergerak, sidang parlimen pertengahan September nanti pasti kalut. Khabarnya Azalina Othman sudah mengemukakan RUU berhubung akta untuk mencegah lompat parti. Sebelum itu beliau mengambil tindakan berani meletakkan jawatan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat. Tindakan ahli Parlimen Pengerang itu dilihat satu protes simbolik dan beliau menampilkan kebebasannya sebagai ahli dewan. 

Perkara itu mungkin tidak menimbulkan implikasi, tetapi ura-ura Umno akan mencalonkan beliau (Azalina) sebagai Speaker mengganti Azhar@Azizan adik Idurs Harun, mungkin boleh jadi ruang dan titik mula untuk mengancam kedudukan Ismail Sabri sebagai perdana menteri. 

Kalau tertakdir Azalina dicadang dan Azizan adik Idrus Harun dikekalkan maka akan berlaku pertandingan dan pengundian Speaker. Pertandingan Azalina dengan Azizan ini akan menjadi indikator untuk melihat kekuatan Ismail Sabri nanti. 

Apakah kalau Azalina dicalonkan Umno, Mahiaddin (Brsatu) akan akur? Jika Bersatu mempertahan Azizan adik Idrus Harun, maka bunga-bunga perselisihan dan perbalahan besar akan berlaku. Perbalahan itu nanti akan memberi natijah kepada kedudukan Ismail Sabri sebagai perdana menteri. Situasi dan gambaran inilah menyebabkan Ismail Sabri kini dibaham insomnia yang kritikal. Sama-sama kita tunggu. [wm.kl. 9:32 pm 04/09./2021]

No comments: