Friday, September 10, 2021

Transformasi parlimen untuk elak undi percaya

SUSUPAN MALAM

TAWARAN tujuh transformasi parlimen dan pentadbiran yang diumumkan oleh Ismail Sabri Yaakob hari ini sesuatu yang tidak mengejutkan, jauh sekali untuk menjawab persoalan yang berlegar di kepala umum pada masa ini.

Tawaran itu lebih merupakan sihir yang tidak lagi mengkagumkan, sebaliknya ia adalah satu tawaran (deal) atawa kelentong untuk tidak melaksanakan titah Yang diPertuan Agong daripada membawa usul percaya kepadanya (PM) pada sidang parlimen minggu depan. 

Tawaran transformasi parlimen dan pentadbiran itu bagaimana pun tidak boleh menyihirkan orang yang mahu melihat usul percaya dibentang di parlimen bagi menentukan keabsahan kedudukan Ismail Sabri sebagai perdana menteri.

Bagi rakyat yang telah menerima titah Yang di-Pertuan Agong sebagai suatu kemestian dan kewajiban tidak akan menerima Ismail Sabri sebagai PM yang sah, selagi usul undi percaya atau tidak percaya dilakukan. Surat sumpah (SD) dan pengakuan diambil di Istana Negara, bukan merupakan kaedah berpelembagaan?

Buat masa ini, usul undi percaya itu lebih penting daripada tujuh transformasi parlimen dan pentadbiran itu.

Tawaran dibuat Ismail Sabri itu adalah "duplicate" atau ulangan apa yang ditawarkan oleh Mahiaddin Md Yassin untuk selamatkan nyawa kuasanya sebelum ini. Kalau tawaran dibuat Mahiaddin ditolak bulat-bulat oleh pembangkang menyebabkan perdana menteri ke-8 itu akhirnya meletak jawatan, maka tawaran duplicate atau repetition itu juga akan tertolak. Dan jika ditolak maka Ismail Sabri juga perlu mengikut jejak langkah Mahiaddin. 

Antara transformasi parlimen dan pentadbiran yang hendak dilakukan Ismail Sabri ialah:

1. Menggubal undang-undang lompat parti.

2. Pelaksanaan undi 18. 

3. Penetapan jawatan PM hanya 10 tahun sahaja.

4. Keseimbangan  keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen membabitkan ahli Parlimen Kerajaan dan pembangkang.

5. Setiap Rang Undang-Undang Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui bersama.

6. Ahli parti pembangkang akan terbabit dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberi pandangan dan cadangan penambahbaikkan.

7. Ketua pembangkang akan diberi saraan dan kemudahan setara dengan seorang menteri.

Kesimpulan tawaran atau sihir dibuat Ismail Sabri itu tidak mudah diterima pembangkang dan akan diketawakan rakyat selama-lamanya. 

Kejujuran dan keikhlasan Ismail Sabri ingin melakukan transformasi pentadbiran juga tidak menyakinkan, bahkan dianggap sebagai mempermainkannya apabila beliau melantik Mahiaddin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN). Macam mana orang yang gagal dan ditolak sebagai perdana menteri dilantik untuk menjerajui majlis sepenting itu.

Bukan itu sahaja Ismail Sabri juga seperti tidak mampu menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri untuk membentuk jentera pentadbirannya sendiri dan masih bersandar atau dimonitor oleh kuasa lain. Terbaru ada ura-ura beliau akan melantik bekas perdana menteri Najib Razak sebagai Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri. 

Kalau semua institusi, badan, organisasi diketuai atau diuruskan oleh orang lain, apa peranan Ismail Sabri sebagai perdana menteri. Apakah beliau tidak lebih daripada puppet semata-mata atau pun menjadi pengerusi mesyuarat tidak lebih daripada itu? [wm.kl. 8: 31 pm 10/09/2021]


No comments: