Thursday, September 11, 2025

Wabak di Indonesia dan Nepal boleh merebak ke Malaysia

PANDANGAN


Keadaan di Nepal.
TUNJUK perasaan di Indonesia dan terbaru di Nepal yang bukan sahaja setakat melepas perasaan
menuntut sesuatu, tetapi melakukan keganasan dan penjarahan harta benda pemimpin dan awam, sesuatu insiden yang perlu diberi perhatian berat.


Kebimbangan kejadian itu akan berlaku di Malaysia tidak boleh dianggap remeh, kerana tidak ada garis tebal membezakan negara kita dengan dua buah negara itu, ia masih dalam kelompok Asia.


Genetik rakyat kita tidak jauh beza dengan rakyat Indonesia dan Nepal. Ketiga tiga negara dikelompokkan dalam negara sedang membangun atau negara ketiga dan belum sampai satu abad merdeka. Justeru jangan pelik kalau situasi itu juga meletus di negara ini. Apa lagi demonstrasi merupakan penyakit sosial dalam negara mengamalkan sistem demokrasi yang mudah berjangkit.


Bagaimana pun ada pihak tertentu seakan yakin ia tidak melarat ke Malaysia. Mereka yang yakin begitu adalah yang membela kerajaan terutamanya yang bertindak menjadi propagandis diupah puluhan ribu sebulan, mereka menolak kemungkinan yang berlaku di Indonesia dan Nepal itu akan merebak ke negara ini. 


Alasan diberikan kerana tuntutan rakyat dikedua buah negara itu kerana mereka menghadapi kesempitan hidup, berhadapan kos sara hidup yang meruncing dan peluang pekerjaan tiada.  Menurut oknum atau institusi pembela kerajaan, keadaan itu berbeza dengan rakyat di negara kita yang seolah olan terlepas dari kepitan itu.


Kata mereka pemerintah kita berbeza dalam menangani rakyat berbanding apa dilakukan pemerintah di negara itu. Kerajaan kita prihatin membantu rakyat. Kerajaan Madani memperkenalkan berbagai insentif untuk membantu rakyat, sampai orang kaya pun ikut mendapat wang SARA RM100 sama dengan rakyat marhaen. 


Hujah lain yang diberikan pemimpin kita khasnya Perdana Menteri begitu tawaduk sampai gaji pun tidak diambil. Logiknya begitu, tetapi belum tentu rakyat berpuas hati dengan keadaan yang ada. Cerita PM tidak ambil gaji hanya dianggap sebagai retorik semata. 


Apa yang perlu disedari dan dibimbangi penyemarakan tunjuk perasaan di Indonesia dan Nepal ialah kerana kesan daripada kebebasan bersuara, media sosial. Rakyat mendapat maklumat dan panggilan menerusi media sosial. Panggilan medsos itu sangat pantas dan mudah diakses di mana mana sahaja. Sebab itu tunjuk perasaan di Indonesia bukan sahaja terjadi di Jakarta, tetapi di seluruh ibu kota lain yang berlaku hampir serentak.


Medsos mudah memperdaya dan mempengaruhi rakyat yang kurang ilmu dan celik IT. Mereka akan percaya apa sahaja yang dihidangkan kepada mereka tanpa semakan dan penyelidikan. 


Keadaan di Indonesia.
Ada beberapa kes berlaku di negara ini yang disebarkan dalam medsos mendapat perhatian rakyat dan mereka bertindak atas penyebaran media sosial itu.


Ambil contoh macam mana isu seorang murid sekolah di Sabah yang meninggal secara misteri telah dieksploitasi oleh pihak tertentu menyebarkan berita tidak benar dan fitnah berkaitan kejadian itu. Alhasilnya sampai Menteri Pendidikan dicemuh dan dibenci serta kejadian itu seakan akan menteri itu bertangghngjawab. Pengaruh medsos menjadikan manusia tidak lagi waras.


Apa disebarkan medsos berkaitan fitnah kematian pelajar itu ditelan bulat bulat oleh  masyarakat, bukan sahaja yang tinggal di kampung, desa, hulu, tetapi di bandar juga. Ia jadi buruk apabila kejadian itu dipolitikan.


Satu lagi kes kematian seorang pelajar UPSI akibat kemalangan. Dihebohkan dalam media sosial kononnya mayat dan kubur pelajar itu siswi wangi. Maka berduyung duyunglah orang ramai untuk merasai kewangiannya itu tanpa berfikir apakah laporan itu benar dan apakah natijah dan manfaat jika ia benar.


Begitulah hebatnya kuasa media sosial ketika ini. Ia boleh menenggelamkan maklumat dan penjelasan dari radio, tv dan akhbar arus perdana. Kita sedia menerima maklumat tidak beretika dan ia sudah jadi semacam satu fenomena pula.


Lantaran itu walaupun kondisi negara ini berbeza dengan Indonesia dan Nepal tidak bermakna kekalutan itu tidak berlaku disini. Media sosial boleh memainkan peranan untuk menggerakkan rakyat melakukan sesuatu. Dalam kata lain kebenaran dan kebaikan yang kerajaan lakukan, ia boleh ditenggelamkan ataupun dinafikan dek maklumat fitnah dan palsu disebarkan media sosial.


Sehubungan ini, sangat diharapkan agar kerajaan memantau secara serius dan menyeluruh akan peranaan dan fungsi media sosial ini. Jangan biarkan penyebaran berita palsu, fitnah dan provokasi berleluasa dalam medsos. Kalau dengan cara atau langkah diambil sekarang ini kurang efektif untuk membendungnya mungkin satu mekenisme lain perlu difikir agar medsos tidak menjadi bahana yang boleh meruntuhkan kerajaan.


Dalam pada itu juga diharap rakyat negara kita berfikir secara matang sebelum bertindak dan memberi reaksi atas apa apa penyebaran yang tidak sah. Begitu juga kalaupun mahu mengadakan tunjuk perasaan jangan sampai merosakkan harta benda apa lagi menjarah harta orang lain, terikut ikut dengan apa yang berlaku di Indonesia dan Nepal. Setidak tidaknya tunjuklah kita lebih baik, bertanadun berbanding dengan mereka. 


Apa yang berlaku di Indonesia dan Nepal itu, tidak siapa yang untung melainkan negara dan rakyat juga yang menanggung kerugian. [wm.kl. 11: 13am. 11/09/2025]


No comments: