Wednesday, October 8, 2025

Siapa bakal menyamai rekod Fuad Stephens sebagai KM Sabah

ULASAN PIRANE SABAH

Hajiji Noor
DEWAN Undangan Negeri (DUN) Sabah telah pun dibubarkan. Pembubaran itu diumumkan Ketua Menteri Hajiji Noor setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Sabah Tun Musa Aman. Hajiji menghadap Musa 6 Oktober sebelah pagi, petang beliau umumkan DUN bubar. Ini bererti nafirin perang pilihan raya telah ditiupkan secara rasmi.

Pirane – pilihan raya negeri, Sabah akan diadakan dalam tempoh 60 hari bermula hari pembubaran. Hari ini, (8 Oktober), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetap 16 Oktober untuk mengadakan mesyuarat membincang tarikh berkaitan pilihan raya ke-17 Sabah. Mesyuarat itu akan menumpukan kepada penetapan tarikh penamaan calon dan hari mengundi.

Mengikut lazimnya, SPR akan menetapkan hari penamaan calon dan hari mengundi selepas mengadakan mesyuarat setelah pembubaran sesuatu Dewan Undangan Negeri. Dengan mengambil kira SPR ada tempoh 60 hari, ini bermakna tarikh tarikh penting itu di antara minggu kedua dan ketiga Oktober manakala hari mengundi dua minggu kemudian.

Saya menjangkakan tarikh penamaan calon minggu ketiga November manakala hari mengundi pertengahan Disember, mungkin 20 Disember 2025. Bagaimana pun SPR ada petunjuk atau pun alasan tersendiri untuk menetapkan tarikh tarikh itu. 

DUN Sabah mempunyai 73 kerusi. Ketika ini ia dikuasai GRS – Gabungan Rakyat Sabah terdiri daripada beberapa parti lokal dengan Hajiji Noor sebagai KM. Pembentukan kerajaan gabungan GRS selepas pilihan raya lalu (2020) itu dianggap kerajaan makruh hasil pengkhianatan, lompat melompat parti. Hajiji merupakan ahli Bersatu menubuhkan parti baru Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) hasil gabungan dengan parti-parti Umno, Parti Solidariti Tanah Air (Star), Parti Bersatu Sabah (PBS), dan beberapa parti tempat lain kemudian menjadi sebuah parti politik.

Manakala Warisan adalah pembangkang terbesar di samping Bersatu (PN) dengan memiliki 14 kerusi diikuti Umno dan Bersatu. Selain menjadi kerajaan di Sabah GRS juga mendapat sokongan dan mendokong kerajaan Madani di Semenanjung.

Pilihan raya Sabah ke-17 ini menarik sekali. Ia menjadi persoalan penting, apakah GRS akan dapat mempertahankan kerajaan “makruh” itu atau GRS akan terkubur seperti kerajaan Warisan, Berjaya, PBS atau pun Umno sebelum ini.

Gagasan Berpecah.

Tidak keterlaluan kalau dikatakan sudah ada tanda tanda GRS bakal berkubur kerana kini ia sedang dilanda masalah, apabila dua komponennya SAAP dan STAR telah mengumumkan tidak bersama GRS lagi atas alasan tidak bersetuju dengan tindakan GRS untuk berkolaborasi dengan BN.

Salleh Said Keruak
Lantaran itu Star dan SAPP mengumumkan keluar daripada GRS. Bagaimana pun lima orang Adun Star termasuk timbalan presidennya Ellron Angin (Adun Sook) dan Robert Tawik (Bingkor) serta Naib Presiden Annuar Ayub (Liawan), Flovia Ng (Tulid) dan Abidin Madingkir (Paginatan), mengambil keputusan tidak bersama Star dan menyokong kerajaan GRS.

Perpecahan GRS itu memberi peluang kepada Warisan yang kini merupa satu-satu parti dilihat stabil dan tidak bermasalah. Warisan pimpinan bekas Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal (2018-2020) telah mengumumkan akan bertanding secara bersendirian disemua 73 kerusi. Dengan menggunakan slogan Sabah for Sabahan, Warisan mendakwa memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah terutamanya yang dimaktubkan dalam perjanjian M63.

Warisan membawa sentimen anti Semenanjung meneruskan naratif lampau di era Tun Datu Mustapa Harun ini memberi pukulan kepada Umno dan juga PKR. Walaupun pemimpin utama parti itu datang dari Sabah, tetapi spirit parti itu dikuasai Semenanjung, apa lagi GRS bertindak menjadi penyokong kerajaan Madani.

Selain Warisan, Umno cuba menunjukkan bahawa mereka adalah parti yang mampu mencabar GRS. Pengerusi Umno Bung Mokhtar Raden beriya menawarkan dirinya sebagai ketua menteri. Alasan diberinya semua tokoh lain, Shafei Apdal dan Hajiji Noor, telah menjadi Ketua Menteri, kecualinya. Keadaan itu dikira membuka peluang kepadanya untuk menunjukkan kebolehan. Tanpa segan silu beliau menawarkan diri untuk jadi ketua menteri.

Tidak jadi kesalahan kepada Bung Mokhtar untuk menjual dirinya, kerana pada masa ini beliau adalah
Bung Mokhtar Raden
Pengerusi Umno Sabah. Apa yang penting dan mustahak sebelum Bung berangan-angan untuk jadi KM, pastikan Umno mampu memenangi setidak-tidaknya 20 hingga 25 kerusi DUN Sabah untuk membolehkan ia memimpin kerajaan. Tanpa mendapat kira-kira 20 peratus kerusi jangan cuba bermimpi.

Harus dimengerti tubuh pengerusi Umno itu ketika ini sedikit tercalar dengan pertuduhan kes rasuah terhadapnya belum dilengsai dan masih dalam perbicaraan. Sekiranya rakyat Sabah memandang kes rasuah sebagai suatu masalah, sukar untuk Bung Mokhtar diangkat sebagai ketua menteri. Situasi ini memberi peluang kepada Bendahari Umno Salleh Said Kruak.

Selain itu pilihan raya ke-17 ini juga menarik dan bakal melihat sejarah yang akan ditempa. Apakah ia membawa tuah dan sejarah buat tokoh-tokoh tertentu Sabah seperti Mohd Shafei Apdal, Salleh Said Kruak, Hajiji Noor dan lain-lain. Antara mereka siapakah yang bakal mencatat sejarah menyamai rekod dipegang Allahyarham Fuad Stephens menjadi KM dua kali. Allahyarham Fuad Stephens menjadi ketua menteri dua kali, kali pertama tahun 1963-1964, dan kali kedua 1976. [wm.kl. 10: 03 pm 08/10/2025].


No comments: