Thursday, April 9, 2026

Apa yang boleh dipelajari daripada Musa Hitam

SUARASA

Bersama Musa Hitam di satu majlis.
MUSA Hitam (Tun) merupakan salah seorang tokoh politik yang diharap menjadi pemimpin utama negara ini di suatu ketika lalu. Beliau pernah menjadi timbalan presiden UMNO dan timbalan perdana menteri, ketika Dr Mahathir jadi presiden UMNO dan perdana menteri.

Kedudukan itu setangga saja lagi untuk beliau melangkah ke jawatan nombor satu.

Sewaktu Musa memanggung jawatan dan kedudukan itu, orang sudah tidak nampak dan terfikir ada tokoh lain dan suatu hari akan mengisi jawatan itu. Dengan wibawa dan kecemerlangan dimilikinya, beliau tiada tandingan. Musa adalah pilihan pertama dan terakhir.
Tetapi posisi itu tidak lama, beliau meletak jawatan, sebagai timbalan perdana menteri (1986). Peletakan jawatan itu mengejutkan negara, ramai yang bersedih dan mengeluh. Sebelum itu sudah pun terdengar desas desus hubungan kurang baik beliau dengan orang nombor satu, tetapi tidak diduga akan menemui titik akhir. 

Beliau dikatakan sudah mahu berbuat demikian, tetapi membatalkan selepas dipujuk agar tidak berbuat demikian atas maslahat kepentingan parti dan negara.

Kesediaannya itu hanya seketika sahaja, beliau tidak dapat meneruskan berkolaborasi dengan Mahathir, akhirnya melepaskan jawatan nombor dua negara itu. Peletakan jawatannya itu sempat juga mengombakkan lautan politik negara. Kekosongan yang ditinggalkan Musa itu, membuka peluang kepada Ghafar Baba (Tun) untuk diambil oleh Dr Mahathir jadi penggantinya.

Masyarakat tidak mengetahui apakah sebab dan punca menyebabkan Musa melepas jawatan. Beliau tidak menjelaskan dan mengambil sikap mendiamkan diri. Apa diketahui apabila para pemerhati dan pengulas politik buat spekulasi, peletakan jawatan Musa itu kononnya disebabkan beliau tidak sehaluan dan serasi dengan Dr Mahathir dalam urusan mentadbir negara dan politik.

Pertentangan yang disebut mengenai prinsip dan ketegasan dalam buat keputusan. Dr Mahathir dikatakan tegas dan mahu sesuatu perkara diselesaikan segera, (ala diktator) manakala Musa pula lebih berhati-hati dan bersikap diplomatik. Perbezaan sikap ini mungkin kerana perbezaan latar belakang iktisad.Dr Mahathir seorang doktor perubatan manakala Musa sebagai seorang teknokrat.

Walaupun melepas jawatan, Musa tidak menyerang Dr Mahathir. Mereka tetap mengekalkan hubungan persahabatan. Chemistry lama tetap dikenang. Beliau tidak mengkritik kerajaan dan pentadbiran Mahathir secara terbuka, apa lagi mendedahkan rahsia bersama bagi dijadikan model untuk membela diri. Tidak buat podcast untuk melepaskan geram atau membela diri.

Hanya apabila berlangsung pertandingan dalam UMNO tahun 1997 baru Musa menunjukkan sikapnya apabila beliau mempertahankan jawatan timbalan presiden UMNO yang disandangnya. Beliau bukan menentang jawatan untuk jawatan presiden, sebaliknya jawatan itu diserahkan kepada Tengku Razaleigh Hamzah. Tindakannya untuk mempertahankan jawatan itu ada alasannya kerana jawatan itu pilihan perwakilan, ahli UMNO.

Dalam pertandingan itu kedua-duanya kalah. Kekalahan mereka itu seperti memulihkan semula UMNO yang sedikit terganggu dengan peletakan jawatan Musa kemudian berlaku pertandingan merebut jawatan presiden antara Tengku Razaleigh dengan Mahathir.

Biar pun kalah Musa tetap cool, beliau tidak melakukan apa-apa motion untuk memuas hatinya ataupun bertindak ke atas Mahathir dan parti. Beliau hanya mendiamkan diri menerima kekalahan. Tidak seperti Tengku Razaleigh yang terhasut dengan apportunist mengelilinginya menubuhkan parti Semangat 46 untuk terus melawan dan menggugat Mahathir.

Sikap diambil Musa ini jarang berlaku kepada orang politik. Orang politik apabila ia kecewa kerana kalah pertandingan, diabai pemimpin atau tidak sebulu dengan pemimpin, mereka bertindak melawan. Mengambil sikap marahkan nyamuk kelambu dibakar.

Membawa para penyokong meninggalkan parti atau menyerang pemimpinnya, membina naratif negatif memburuk lawannya. Namun perangai itu tidak berlaku kepada Musa, beliau terbuka dan tenang menerima sesiapa sahaja pemimpin yang diangkat menjadi perdana menteri dan dipilih oleh ahli. Kekalahannya tidak disalahkan kepada sesiapa atau mencari alasan untuk menolaknya.

Kerana wibawa dan punya idealisme yang mapan itulah maka beliau diharap akan kembali ke dalam UMNO. Ada beberapa usaha untuk membawanya balik semula ke dalam UMNO, ketika itu (sebelum tahun 1997), namun ditolaknya dengan baik. Jika tidak silap beliau pernah menyebut, selagi ada Dr Mahathir (dalam UMNO), beliau tidak akan kembali aktif ke dalam parti itu. Alasannya kerana beliau tidak mahu Dr Mahathir terganggu dengan keberadaannya disamping menghadapi tindakan tidak mustahil daripada Dr Mahathir.

Musa mengekalkan sikap sporting, profesional dan berlapang dada menerima sesiapa sahaja menjadi pemimpin. Setelah Mahathir nyah daripada UMNO, beliau kekal dengan sikapnya. Musa menyokong Abdullah Ahmad Badawi, Najib Razak dan hatta Anwar Ibrahim jadi perdana menteri. Musa bersikap sebagai seorang negarawan sejati apabila beliau didapati ada kepincangan dalam pentadbiran akan ditegur secara hemah dan memberi kritikan konstruktif.

Sesungguhnya Musa Hitam adalah seorang statesman dan politican yang boleh dijadikan model untuk diikuti. Seorang yang utuh dengan prinsip, punya idealisme tidak berubah dan tahu serta bijak bersuara pada masa dan ketikanya. [wm.kl. 12:11pm 09/04/2026]

No comments: