Friday, September 25, 2026

Tamatkan segera krisis di Negeri Sembilan

RENUNGAN SENJA

KRISIS adat dan institusi di Negeri Sembilan yang masih belum ada kesudahannya membawa
beberapa natijah, ia bukan sahaja memalukan bangsa Melayu yang kononnya menjunjung tinggi adat dan budaya serta berpegang kepada syariat, tetapi kemelut itu turut menjejaskan keyakinan umum terhadap institusi pemerintahan dan pentadbiran negeri ini.

Apa yang berlaku bukan lagi sekadar pertikaian mengenai adat atau kedudukan seseorang dalam institusi tradisional. Ia sudah menyentuh persoalan yang lebih besar, iaitu hubungan antara adat, Perlembagaan dan institusi pemerintahan dalam sebuah negeri yang menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia. 

Dalam negara ini bukan hanya Negeri Sembilan yang mengamalkan pemerintahan beraja. Terdapat lapan negeri lain yang turut mempunyai Raja atau Sultan sebagai ketua negeri. Malaysia keseluruhannya mempunyai sembilan negeri beraja, masing-masing dengan sejarah, adat dan bentuk institusi yang tersendiri. Namun semuanya beroperasi dalam kerangka Raja Berperlembagaan dan sistem demokrasi berparlimen.  
Apabila disebut Raja Berperlembagaan, maknanya pemerintahan negeri bukan hanya tertakluk kepada adat dan budaya yang diwarisi sejak ratusan tahun, tetapi juga kepada Undang-Undang Tubuh negeri serta Perlembagaan Persekutuan.

Negeri Sembilan mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Institusi Yang di-Pertuan Besar tidak diwarisi secara turun-temurun seperti sistem kesultanan di negeri-negeri lain. 

Pemilihannya mempunyai kaitan rapat dengan Adat Perpatih dan peranan Undang Yang Empat. Sebab itu apabila berlaku pertikaian mengenai siapa yang mempunyai kuasa untuk memilih, menurunkan atau mengiktiraf Yang di-Pertuan Besar, persoalannya bukan kecil. Ia menyentuh asas kepada struktur pemerintahan negeri itu sendiri.

Lebih penting, adat tidak boleh dipisahkan daripada Perlembagaan. Dalam sistem Raja Berperlembagaan, adat yang menjadi sebahagian daripada sejarah dan identiti sesebuah negeri tetap perlu dibaca bersama undang-undang yang mengatur pemerintahan negeri tersebut.

Itulah sebabnya krisis yang berlaku sekarang menjadi begitu rumit. Dewan Keadilan dan Undang (DKU) telah mengambil pendirian bahawa Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar dan bahawa proses yang cuba menurunkan Baginda tidak sah. Pada masa yang sama, Undang Yang Empat pula tampil dengan pendirian mengenai prerogatif dan kuasa mereka dalam menentukan kedudukan Raja Pemerintah.  

Kemelut ini memerlukan kepakaran pakar Perlembagaan dan undang-undang untuk menghuraikannya. Orang awam mungkin hanya melihatnya sebagai pergaduhan antara tokoh-tokoh adat, tetapi sebenarnya persoalan yang sedang diperdebatkan ialah mengenai punca kuasa, bidang kuasa, kesahan sesuatu surat cara dan bagaimana peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 hendak ditafsirkan.

Dalam pada itu pembahagian kuasa antara negeri dengan Persekutuan juga perlu dihormati. Kuasa negeri dan kuasa Persekutuan mempunyai sempadan masing-masing. Tetapi pembahagian itu tidak bermaksud kedua-duanya boleh bertindak secara bercanggah sehingga menimbulkan kekeliruan terhadap kedudukan sesuatu institusi.

Apa yang berlaku di Negeri Sembilan juga tidak boleh dianggap sebagai masalah sebuah negeri semata-mata. Ia mempunyai implikasi lebih luas terhadap keyakinan rakyat kepada institusi Raja Berperlembagaan di negara ini. Sebab itu ia tidak baik dibiarkan berpanjangan. Penyelesaian segera sangat diperlukan.

Apa yang berlaku itu tidak baik dan memalukan. Kalau institusi adat, Raja dan kerajaan negeri boleh dipersoalkan kesahihannya secara terbuka dan berpanjangan tanpa satu jalan penyelesaian yang jelas, rakyat akhirnya akan bertanya: di manakah punca kuasa yang sebenar dan siapakah yang mempunyai kata putus? Apa dibumbngi masyarakat umum akan hilang keyakinan dan hirmati kepada sistem perajaan di negara ini.

Ditegaskan krisis di Negeri Sembilan ini perlu dicari jalan penyelesaian dengan segera. Bukan untuk memenangkan mana-mana pihak, tetapi untuk memulihkan kepastian undang-undang, menjaga maruah institusi adat dan Raja serta mengembalikan keyakinan rakyat kepada sistem pemerintahan negeri. 

Jangan sistem perajaan di negeri ini akan dipandang hina dan diketawakan oleh pihak lain. [wm.kl. 7:11 pm 25/09/26]


No comments: