RENCANA KHAS
DALAM usaha keras yang tidak pernah mengenal penat untuk menjatuhkan Kerajaan Madani dan menyingkirkan Anwar Ibrahim daripada kerusi Perdana Menteri, kerajaan pimpinan Anwar kini sudah genap empat tahun. Semalam, 24 November, genap empat tahun Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 Malaysia.
| Anwar baca ikrar pegang jawatan. |
Beberapa langkah diatur bagi mencapai tujuan tersebut. Langkah London, Langkah Dubai, Langkah Bangkok dan macam-macam lagi. Namun, semua langkah itu tidak menjadi kenyataan. Semuanya hanya menjadi langkah kijang yang tempang sahaja yang ditipu kancil.
Anwar tetap bersemayam di atas singgahsana kerusi Perdana Menteri tanpa mempamerkan keresahan. Sebenarnya, sepanjang mengemudi Kerajaan Madani, Anwar dan para penyokongnya berada dalam trauma. Apa yang berlaku sebelum ini sentiasa menghantui semua pihak.
Ini kerana Anwar membentuk kerajaan bukan dengan kemenangan mutlak tetapi kena berkongsi kuasa. Justeru dengan mengambil kira apa yang berlaku sebelum ini, ramai menjangkakan peristiwa sama akan berulang.
Bersama Bersatu, yang sebelum itu merupakan sebahagian daripada kerajaan, mereka berpakat dengan UMNO dan Pas mewujudkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan Mahiaddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Apa yang berlaku itu mencatat sejarah hitam buat Malaysia. Sepanjang lebih 60 tahun negara merdeka, belum pernah berlaku kerajaan Persekutuan tumbang di tengah-tengah jalan melalui peralihan sokongan politik seperti itu. Namun, ia berlaku ketika kerajaan PH memerintah.
Keadaan menjadi lebih tragis apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga tidak bertahan lama. Ia akhirnya tumbang selepas UMNO menarik sokongan, menyebabkan Mahiaddin berundur dan diganti dengan Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.
Keberadaan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri juga dianggap agak pelik kerana beliau ketika itu hanya Naib Presiden UMNO. Sedangkan individu yang lebih kanan dalam parti ialah Ahmad Zahid Hamidi.
Kepelikan itu diperhatikan dan dibayangkan bakal menjadi masalah. Apa yang diramalkan akhirnya menjadi kenyataan apabila kedudukan Ismail Sabri tidak mendapat sokongan politik yang kukuh, malah beliau berhadapan tekanan supaya Parlimen dibubarkan.
Golongan yang menentang Ismail Sabri yakin bahawa jika Parlimen dibubarkan, BN akan kembali menguasai Putrajaya. Malang apa yang disangka meleset. BN gagal memperoleh kemenangan yang diharapkan dalam Piraum 15. Kegagalan BN itu meletakkan parlimen Malaysia dalam keadaan tergantung apabila tiada mana mana koalisi yang mendapat majoriti mudah.
Peristiwa itu semua cukup merisaukan Anwar dan pendukung Kerajaan Madani. Bahkan, ada tukang ramal politik yang membayangkan kerajaan pimpinan Anwar tidak akan mampu bertahan sehingga setahun. Mereka percaya, dengan pelbagai usaha yang dilakukan pembangkang, khususnya kedegilan Pas untuk tidak bersama kerajaan, proses menjatuhkan Anwar akan menjadi lebih mudah.
Sikap Pas ini satu kemalangan untuk bangsa Melayu seluruhnya dan kepada parti itu sendiri. Sekiranya Pas bersedia untuk berkolaborasi bersama PH, sudah tentu kedudukan Pas lebih tinggi dan dihormati, manakala akan lebih ramai menteri kabinet daripada Melayu Islam. Keadaan itu menguntungkan Melayu. Tetapi realiti dan kesempatan itu tidak dilihat oleh Pas. Disinilah keganjilan parti agama itu.
Tuhan Maha Pentakdir. Kerunsingan di pihak Anwar sedikit reda apabila Bersatu, yang menjadi antara komponen penting dalam usaha menumbangkan Kerajaan Madani, dilanda krisis dalaman sehingga membawa kepada perpecahan.
Bersatu terbelah dua. Satu bahagian bersama Mahiaddin, manakala satu bahagian lagi bersama Hamzah Zainudin kemudian menjadi parti Wawasan. Perpecahan itu secara langsung melemahkan kekuatan parti berkenaan. Sekurang-kurangnya, takdir itu menyelamatkan Kerajaan Madani buat sementara waktu apabila usaha untuk menumbangkannya mula reda.
Begitu pun, kedudukan dan kelegaan Anwar terhadap kerajaannya tidak pernah benar-benar tenang. Beberapa pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri berlangsung, dengan keputusan yang tidak begitu memihak kepada gabungan kerajaan. Keputusan ini menggambarkan ada persefahaman mantap antara pembangkang.
Kemuncak kekalahan itu dapat dilihat apabila PH dan BN gagal mencatat keputusan yang diharapkan di Sabah. Lebih menyakitkan lagi apabila gabungan kerajaan berhadapan kekalahan dan kemerosotan sokongan di beberapa negeri, termasuk Johor, Negeri Sembilan dan yang terbaru Melaka. Kekalahan ini memberi gambaran keseriusan pembangkang disamping ada kecurangan BN sebagai komponen kerajaan.
Dalam perjalanan detik demi detik mencemas dan meriusakan itu, diam tidak diam sudah empat tahun kerajaan Madani berlalu. Satu tempoh yang boleh dianggap sebagai pencapaian tersendiri. Kerajaan Madani berjaya bertahan melepasi tempoh yang pernah dilalui kerajaan PH dan PN sebelum ini. Kelangusngan ini seperti ada kuasa hikmah dimiliki Anwar dan malaikat penyelamat bersamanya.
Anwar dan pendukungnya, khususnya PH, harus berbangga dengan pencapaian tersebut. Dalam politik negara yang rencam dan penuh dengan percaturan, bukan mudah untuk mengekalkan kerajaan selama empat tahun, apatah lagi dalam keadaan sokongan politik yang tidak sentiasa stabil.
Sepanjang tempoh itu, pelbagai polisi diperkenalkan dan usaha memulihkan ekonomi negara dilaksanakan. Ada hasil yang boleh dibanggakan, meskipun masih banyak perkara yang perlu diperbaiki. Pembenterasan rasuah, pendakwaan kes-kes rasuah berskala besar menjadi ikonik pentadnbiran Anwar yang dibanggakan.
Untuk diri Anwar sendiri, beliau mencatat prestasi tersendiri sebagai Perdana Menteri apabila semakin dihormati oleh negara-negara serantau serta negara-negara di Barat dan Timur. Anwar disanjung sebagai pejuang kemanusiaan segajat apabila latang bersuara membela Palestin dan mengutuk Israel dan Amerika.
Kedudukan Malaysia dalam beberapa indeks antarabangsa juga menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa. Terbaru indek Daya Saing Dunia (IMD World Competitivenees Raking) Malaysia dikedudukan 16 meningkat lapan mata daripada 23 mata tahun 2025. Semua ini menggambarkan keupayaan dan kemampuan Anwar membawa Malaysia ke pentas dunia.
Persoalan kini, apakah Anwar mampu menjawat jawatan itu untuk sepenggal lagi?
Ramai yang berharap demikian. Anwar diharapkan dapat menyambung tugas itu untuk satu penggal lagi. Dua penggal menerajui kerajaan dianggap satu tempoh yang sesuai bagi Anwar melaksanakan reformasi yang selama ini diperjuangkannya.
Dengan mengambil kira pembangkang hari ini yang begitu serius dan ghairah untuk menguasai Putrajaya, keadaan ini sememangnya membimbangkan. Yang lebih dibimbangi ialah sekiranya ura-ura kerjasama antara BN dengan PN menjadi kenyataan.
Apa lagi kebersamaan itu sudah mula membuahkan hasil dalam beberapa percaturan politik di Melaka, Johor dan Negeri Sembilan. Tidak mustahil rentetan kerjasama itu akan dibawa ke peringkat Persekutuan dalam Piraum 16 nanti.
Dikala ini ramai pemerhati dan penganalisis politik berpendapat Kerajaan Madani berhadapan risiko besar untuk tumbang sekiranya kerjasama BN-PN benar-benar berlaku dalam pilihan raya umum akan datang. Situasi dan iklim politik semasa meletakkan kemungkinan itu sebagai sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan. Hakikat ini tidak boleh dinafi tolak lagi.
Kedua-dua pihak, PN dan BN, mempunyai keyakinan bahawa jika mereka dapat bersatu, mereka mampu menguasai sebahagian besar undi Melayu dan seterusnya menguasai kerusi Parlimen di Semenanjung. Mereka menjangkakan gabungan itu berpotensi memperoleh lebih 100 kerusi.
Bermodalkan kekuatan tersebut, mereka akan berusaha berpakat dengan GPS dan GRS bagi membentuk kerajaan yang lebih kukuh, malah mungkin memperoleh majoriti dua pertiga. GPS dan GRS sesungguhnya tidak boleh diharap kesetiaanya kerana mereka sepanjang masa bermain politik.
Ironisnya, tidak kurang juga mereka yang membayangkan kebimbangan terhadap nasib negara sekiranya ia kembali diperintah oleh gabungan BN-PN. Mereka mempersoalkan siapakah yang akan menjadi Perdana Menteri ke-11 bagi menggantikan Anwar Ibrahim.
Pemerhati politik dan mereka yang celik politik, belum dapat memastikan siapakah tokoh kompeten yang bakal dinobatkan sebagai Perdana Menteri sekiranya BN-PN berjaya menguasai Putrajaya. Ini menjadi dilema suatu dilema.
Rakyat yang dapat merasai dan melihat kemampuan Anwar sebagai Perdana Menteri tentu akan mempersoalkan sama ada tokoh-tokoh yang disebut-sebut itu mampu menandingi atau setidak-tidaknya menyamai pencapaian Anwar.
Nama-nama seperti Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Wawasan, Hamzah Zainudin ataupun Naib Presiden Paralgama Samsuri Mokhtar disebut-sebut sebagai calon Perdana Menteri. Namun, apakah mereka mampu membawa Malaysia sehebat apa yang sedang dilakukan Anwar hari ini? Dari segi pengalaman dan rekod kepimpinan di peringkat negara, pencapaian mereka masih jauh berbanding dengan Anwar.
Apakah persoalan mengenai siapa bakal menjadi Perdana Menteri akan menjadi satu daripada pertimbangan penting pengundi dalam pilihan raya akan datang?
Sekiranya perkara itu menjadi ukuran, agak sukar bagi BN-PN untuk memperoleh sokongan pengundi yang celik dan berpengetahuan politik. Kita yakin mereka tidak mahu mengencatkan pembangunan negara serta merendahkan kedudukan dan penghormatan antarabangsa yang sedang dinikmati Malaysia di bawah kepimpinan Anwar kini tidak tegal berbual demikian.
Kalau itu merupakan satu ukuran dan analisis yang benar, maka dalam Piraum 16 nanti bukan mudah untuk BN-PN memperoleh sokongan rakyat. Kita yakin rakyat yang sihat akal tidak akan mengkhianati negaranya, dengan mematikan momentum yang sedang digerakkan Anwar dan kerajaan Madani kini. Kesubuhan Malaysia kini akan membawa Anwar ke satu penggal lagi. [wm.kl. 11:54 am, 25/11/2026]

No comments:
Post a Comment