Tuesday, December 1, 2020

Balada seorang penulis buku politik

KHAS 

Jual buku secara on line di rumah.
PAGI ini dihubungi moderator televisyen popular sdr Dahlan Maamor. Beliau mencadangkan untuk mengadakan slog bagi membicara dan memperkatakan buku terbaru saya, KEMENANGAN YANG DIKHIANATI, BIPOLAR POLITK OT95 (Kronologi Kejatuhan Kerajaan PN) di PVC Tv.  

Tampaknya Dahlan berminat untuk mengetahui penghuraian mengenai peristiwa akhir Februari itu, kejatuhan kerajaan PH berusia 22 bulan yang disebabkan angkara "pengkhianatan", dimana tragedi itulah menjadi tema buku saya ke - 54 kali ini. 

Pengamal undang-undang itu semasa berbicara dengan saya menerusi slog "Apa Kata Dahlan" di PVC Tv dua tiga malam lepas tidak senang dengan perkataan "pengkhianat" yang saya gunakan. 

Bersama Dahlan.
Beliau menolak keras konotasi khianat yang saya pakai atau gelar terhadap perampas kuasa yang diketuai oleh Muhyiddin Yassin dan Azmin Ali serta dibantu dengan gigih oleh individu "cambukan" dalam Pas dan Umno, seperti "Jaafar Kamaruddin." 

Sepantasnya sebagai seorang aktivis Ngo, ahli majlis Gabungan Perundingan Melayu (GPM) yang vokal memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu, (agama belum boleh dikira lagi?) dan oknum yang kerandanya akan diselimuti panji Umno kelak tidak setuju dengan perkataan itu. 

Beliau terasa istilah pengkhianatan itu tidak tepat mungkin kerana ia membabitkan sama Umno. Apakah Umno ikut memainkan peranan penting dalam peristiwa itu, dan beliau merasakan "bersalah" dan segan dengan penggunaan istilah khianat itu?

Simpati kepada Muhyiddin.

Hairan juga saya Shahbudin adalah pemegang jawatan penting dalam Umno, dan katanya beliau akan kekal sampai selama-lamanya dalam parti kebangsaan itu. Tetapi dalam kasus rampasan kuasa tersebut beliau menunjukkan simpati kepada Muhyiddin, sementara nampak sangat kemarahannya kepada OT95 alias Dr Mahathir Mohamad. Apakah hubung kait Muhyiddin dengan Umno dalam pelaksanaan agenda busuk itu?

Husam sudah memiliki
buku terbaru saya.

Apakah kerana beliau terlampau marah dan keceewa dengan OT95, menyebabkan beliau jadi begitu? Meletakkan kemarahan hanya kepada OT95 sahaja tanpa "mengapuhkan" sama orang yang menjadi wak yeh-wak yeh "cabukan" tidak betul. 

Berbalik kepada undangan Dahlan tadi, saya nampak beliau mahu saya perluaskan lagi apakah maksud "khianat" yang saya paparkan dalam buku itu. Sebenarnya yang khianat itu bukan tertakluk kepada Muhyiddin dan Azmin sahaja, atau membabitkan indivdu-individu dalam Bersatu dan PKR sahaja tetapi lebih luas, dan ramai lagi yang terlibat dengan kudeta itu yang boleh dikategorikan sebagai pengkhianat. 

Semuanya ada saya ceritakan dan senaraikan satu persatu dalam buku terbaru itu, baik secara nyata ataupun tersirat daripada ketua pengkhianat kepada ekor-ekornya, sayap-sayapnya serta tahi-tahinya sekali. 

Surat Husam kepada
Dr Mahathir 
yang termuat dalam
buku ini. Surat
ini dianggap pedih.
Boleh dikatakan semua individu dalam semua kelompok parti terbabit dengan peristiwa dan pengkhianatan menjatuhkan sebuah kerajaan yang sah, ada saya dedahkan dalam buku setebal 562 muka surat itu.

Paling jelas pengkhianatan dari dalam PKR, Bersatu sendiri. Kalau pun yang tidak nampak unsur pengkhianatan hanya daripada DAP dan Amanah, tetapi di hujung-hujungnya ada juga menampakkan ciri-ciri untuk bersekongkol sama dengan pengkhianat mungkin kerana mereka masih terhimbau dengan kekuasaan dan mahu kembali tercatuk di atas takhta jawatan. 

Insya-Allah saya sedia untuk tampil dalam slog khas itu nanti. Bila pihak PVC Tv akan menguar-uarkannya. Di situ nanti saya akan memberi terjemahan dan huraian pengkhianatan yang saya maksud itu dalam buku itu. Siapa yang menjadi hero dan pahlawan khianat?

Sesungguhnya kejatuhan kerajaan PH itu menjadi satu moment penting dalam sejarah politik negara ini, ia pertama kali sebuah kerajaan Persekutuan yang dibentuk dengan mandat rakyat di rampas. Selain buku itu memfokuskan kepada pengkhianatan dan rentetan peristiwa itu, ia juga merupakan dokumen kronologi kepada kejatuhan kerajaan PH dan cerita macam mana boleh terbentuknya kerajaan PN dari sejak awal hingga ke hari terakhir.

Autograf buku-buku tempahan
pre cetak.
Berkebetulan terlanjur membicarakan soal buku berkenaan, suka disini saya bercerita mengenai kisah penulis buku seperti saya yang salah seorang mangsa dunia pembukuan kini yang sudah lesu setelah wujud ledakan internet. Media sosial seakan meracuni dunia akademik, pembukuan. 

Lantaran itu kalau diperhatikan, tidak ramai lagi penulis politik yang satu masa lalu muncul seperti jamur selepas hujan tetapi seorang demi seorang berundur entah ghaib ke lubuk mana. Toh, saya Alhamdulilah masih boleh bertahan sampai kini walaupun menghadapi risiko dan kesusahan sendiri. Kalaupun tidak begitu produktif tetapi masih ada satu judul buku untuk setahun.  

Dalam slog Bersama Dahlan di TVC tempoh hari beliau ada bertanya saya, apakah yang menjadi resepi dan ramuan saya boleh bertahan menulis dan menghasil buku-buku politik sampai kini. Pertanyaan itu mungkin selepas beliau menyedari seorang demi seorang penulis-penulis khasnya penulis politik seangkatan dengan saya, yang juga rakan beliau, atau lebih awal telah menutup laptop atau pun tidak menukar bateri tetikus desktop masing-masing menyebabkan skrin laptop atau desktop mereka menjadi hitam atau putih?

Bagi menjawab pertanyaan itu saya jelaskan, apa yang mengukuhkan saya dan terus menulis dan menerbit sendiri buku-buku adalah kerana dua sebab utama. Pertama kerana saya menjadikan penulisan sebagai wadah perjuangan saya. Saya telah menjadikan penulisan sebagai alat saya menuangkan idealisme perjuangan. 

Keduanya, penulisan sebagai pekerjaan mendapatkan sumber rezeki untuk membina rumah tangga dan membesarkan anak-anak. Saya bukan menulis secara suka-suka atau sambil lewa, atau menjadikan penulisan sebagai melepaskan geram semata-mata. Iya, memang ada sesetengah orang menjadikan penulisan sebagai kerja sampingan setelah kehilangan kerja hakiki atau terdesak.

Bila disebut untuk mendapat sumber rezeki, di sinilah akan kedengaran atau tersebutnya dosa dan noda sebagai seorang penulis. Sudah tentu tuduhan dan persepsi nakal ini saya tidak menghiraukannya kerana ia adalah pembunuh dan racun kepada kerjaya saya kalau diambil kira. Segala tuduhan itu kemudian terjawab dengan sendiri kepada mereka yang menggemari budaya itu. 

Sebenarnya bukan senang untuk bertahan sebagai penulis dan terus menghasilkan karya setelah melewati empat dekad, atau kira-kira 40 tahun. Banyak cabaran dan halangannya. Menjadi penulis memang satu bidang menyeronokkan, glamour tetapi banyak cabaran dan rintangan yang boleh menjadikan seseorang penulis itu sangsara jiwa dan raga.

Salah satu cabaran besar kepada penulis adalah tindakan undang-undang, ugutan dan tawaran. Sebagai penulis politik inilah masalah dan cabaran utama. Bukan sekali dua saya disaman dan terrpaksa ke mahkamah untuk mempertahan apa yang saya tegaskan. Begitu juga dengan ancaman dan tawaran. Namun Alhamdulilah kerana yakin dengan nawaitu pekerjaan ini saya masih mempertahankan prinsip dan harga diri tanpa pernah mengaku kalah.  

Itulah perkara dan mehnah biasa bagi orang yang menggelarkan diri mereka sebagai pejuang tanpa mengira bentuk dan wadah perjuangan itu. Sebab itu ada kata-kata berbunyi kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai.  

Menulis dan menerbit buku di era maklumat dan pelbagai alat canggih ini sebenarnya tidak sesulit dahulu. Ia lebih mudah dan ringkas asalkan kita sedia bergulat dengannya. Dalam usaha mendapatkan maklumat dan sumber asas ia sangat mudah. Tekan saja geoogle semua ada apa yang dikehendaki. Cuma yang sulit sedikit untuk keabsahan segala sumber itu memerlukan sedikit kajian dan kerajinan. 

Perkara sangat terkesan bagi saya ialah untuk memasarkan buku dan mendapat pulangannya. Kalau semasa era manual dahulu hasil sesebuah buku baru dapat dikecapi selepas berbulan-bulan bahkan bertahun-tahun berada di pasaran. Kaedahnya juga sungguh menyedihkan. Modal untuk penerbitan sesabuah buku sudah banyak dikeluarkan secara tunai, tetapi hasil pulangannya terpaksa menannti sampai setahun malahan ada yang melewati bertahun-tahun kemudian hilang begitu sahaja.

Bayangkan, semua kos percetakan dan penerbitan terpaksa dibayar tunai, tidak ada pencetak yang sanggup membenarkan berhutang, manakala pengedar pula tidak banyak yang sanggup membayar advance (pendahuluan) sampai 30 persen. Bayaran hasil julan pula dibuat secara beransur-ansuran (conssignmnet) sampai enam bulan atau setahun. 

Kalau dahulu buku terpaksa dipasarkan menerusi agen atau dikenali sebagai pengedar. Pengedaran inilah yang akan memasarkan ke kedai-kedai buku. Pengedar biasanya tidak membayar terus setiap buku yang diedarkan tetapi secara conssignment bayar mengikut tempoh dan terpulang kepada jumlah yang lakukan. Tempoh conssignment paling pendek ialah selama tiga bulan. Kata sahaja tiga bulan tetapi untuk mendapat bayaran penuh cecah sampai melewati enam bulan malahan sampai setahun pun ada.

Kebanyakan pengedaran dimonopoli oleh India manakala printer pula China, kedua-dua capitalis. Mereka ada budaya sendiri. Pencetak tidak sama sekali beri hutang harus banyak sepenuhnya atau paling tidak perlu diberi post dated cheqqe. Manakala pengedar pula tidak pernah ikhlas untuk melunasi bayaran sementara advance pula pahit untuk dihulurkan. Bayangan penulis mahu makan apa?

Namun segala kerenah itu tidak ada lagi hari ini. Penjualan buku bukan lagi secara manual tetapi secara online. Tidak ada istilah berhutang atau menangguh bayaran. Hari ini wang masuk dahulu baharu barang (buku) menurutinya. Berbeza dengan dahulu barang (buku) berjeruk berhabuk di rak buku, manakala bayarannya masih belum tahu diperolehi.

Cuma bezanya kalau dahulu jumlah atau oplah cetakah mencecah ribuan, paling sedikit pun 10,000 cetakan pertama, tetapi hari ini untuk menggapai 10 persen daripada jumlah itu pun "rohok". Tetapi yang seronoknya semua mengalir dan bergerak dalam tunai. Hakikat dan realiti ini sudah difahami oleh peminat dunia pembukuan yang tetap setia dan merasa puas membaca buku dicetak atas kertas daripada dibaca di skrin komputer. 

Sejujurnya saya mengucapkan terima kasih agung kepada pembaca buku-buku saya baik sejak awal dahulu era Reformasi ataupun pasca Reformasi. Atas sokongan dan dukungan anda pembaca budiman khasnya rakan-rakan medsos saya, saya berterima kasih banyak. Alhamdulilah untuk buku terbaru ini seperti kena diulang cetak dalam masa terdekat walaupun baru beredar lima hari. BERMINAT UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT BUKU BERKENAAN BOLEH WHATSAAP 013 233 6776 / 016 8443 996. [wm.kl. 1:03 pm 01/12/2020]

No comments: