Thursday, December 3, 2020

Kegagalan tolak Bajet kenapa salahkan Anwar?

REAKSI 

RAMAI yang kecewa dan marah apabila pembangkang (PH) gagal untuk menumbangkan kerajaan PH pada 26 November lalu menerusi undian menolak Bajet 2021 di parlimen. 

Saat pembentangan Bajet itu telah dijadikan detik yang dinantikan untuk melihat dendam terhadap PN terbalas, sebaliknya apa diharap tidak jadi kenyataan dan menjadi anti klimaks pula yang mengejutkan banyak orang.

Ia mengejutkan kerana sebelum itu dunia sudah dibayangkan (psywar) kononnya kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin akan jatuh dengan penolakan Bajet 2021. Penolakan Bajet memberi gambaran Muhyiddin ditolak dan kerajaannya berkubur. Media asing juga memberi perhatian penuh minat kepada sidang parlimen pada hari itu.

Lebih indah lagi selepas Muhyiddin tewas atau gagal menunjukkan beliau mempunyai sokongan di Parlimen, maka akan berlaku perubahan kerajaan, kononnya kerajaan PH yang dihancurkan itu akan bangkit kembali. Bekas menteri yang sudah menyangkutkan kot dan blazer dan membuang name tag yang dipakai semasa menjadi menteri sudah ada yang mengambilnya dan menggilat kembali untuk dipakai semula.

Seorang pemimpin PH semasa berjumpa dengan saya sehari sebelum tarikh ditunggu-tunggukan itu membayangkan penuh semangat apa yang akan berlaku pada 26 November itu bakal memberi implikasi besar sekiranya Bajet ditolak. Beliau begitu yakin yang kerajaan PH akan kembali semula dan Muhyiddin akan tumbang. Kononnya maklumat dalaman memberi indikator menggembirakan.

Saya hanya dengar acuh tak acuh sahaja apa dibayangkan itu sambil di hati terasa dukacita dan kasihan mengenangkan apa diharapkan oleh pemimpin itu dan rakyat yang marah dengan PN. Betapa mereka kemaruk untuk melihat PH berkuasa semula sedangkan harapan itu hanya sebuah ilusi sahaja seperti usaha untuk menemui bangkai MH370. 

Cerita yang ditarik jikalau Bajet ditolak ada dua kemungkinan berlaku. Pertama Muhyiddin akan menghadap Yang diPertuan Agong untuk memohon perkenan bagi membubarkan parlimen, atau pun meletak jawatan secara rasmi. 

Tetapi beliau membayangkan tidak mudah untuk Yang diPertuan Agong menerima permintaan membubarkan parlimen memandangkan pandemik masih bermaharajalela. Setiap hari kes Covid makin bertambah, sehingga angka kesnya menjadi lebih besar daripada sebelum ini cecah empat angka. Jadi peluang untuk parlimen dibubar sangat tipis.

Makanya kemungkinan kedua, yang ada, menurut pemimpin itu Yang diPertuan Agong akan memanggil mana-mana ahli parlimen yang mendapat sokongan menghadap bagi menerima watikah kemudian angkat sumpah menjadi perdana menteri. Aduh sayang. Pemimpin yang akan dipanggil itu siapa lagi kalau bukan Anwar Ibrahim. 


Andaian ini pula seakan munasabah dan ada logiknya kerana Anwar dilihat mesra dengan istana dan telah pun dipanggil mengadap baru-baru ini selepas beliau mendakwa mendapat sokonngan. Di sebalik itu juga khabarnya ada usaha sulit yang membabitkan seorang kerabat untuk menaikkan Anwar ke kerusi PM?

Pemergian Anwar ke Istana itu dilihat dengan rasa gembira dan membayangkan akan berlaku sesuatu mengejutkan. Sebenarnya itu hanya perasaan mereka sahaja, perasaan orang yang kehilangan sesuatu yang berharga tetapi tidak dapat menerima hakikatnya. Perasaan keluarga mangsa kehilangan MH370 yang termimpi-mimpin yang pesawat itu masih ada dan familinya selamat.

Saya hanya dengar sahaja cakap-cakap dan andaian-andaian muluk pemimpin itu. Ia sebagai hiburan petang sahaja sambil makan capati di kedai mamak tidak lebih dari itu.

Hari yang ditunggu 26 November sudah pun berlalu. Bajet diluluskan dengan sokongan suara ramai, tidak pun dibuat menerusi pengundian belah bagi. Apabila cadangan untuk mengadakan undi belah bagi gagal kerana suara memintanya kurang 15 orang MP ia jadi hebuh dan menimbulkan kontroversi. Akhirnya perbahasan Bajet di peringkat dasar diluluskan. 

Dengan tanpa terhalangnya Bajet diperingkat dasar itu maka satu-satu perbahasan peringat Jawatankuasa di kementerian juga lulus dengan mudah. Satu demi satu perbahasan peringkat kementerian dilulus.

Sebenarnya awal-awal lagi saya sudah membayangkan usaha untuk menolak Bajet itu tidak akan berjaya. Masalahnya bukan kerana Bajet itu diperlukan pada saat ini, tetapi bilangan untuk mengundi menolaknya tidak akan cukup, itu masalahnya. Kalau diadakan undi belah bahagi semasa peringkat dasar, Bajet itu juga gagal ditolak.  

Kesalahan Anwar.

Apa yang tidak sedap didengar kini, ekoran kegagalan menolak Bajet itu yang kemudian diharapkan penubuhan kerajaan baru, ianya seperti diletakkan kepada Anwar Ibrahim. Kononnya usaha itu gagal apabila Anwar memberi isyarat di saat-saat akhir agar tidak menyokong undi belah bahagi diadakan. Khabarnya Anwar memberi arahan disaat akhir untuk tidak menolak bajet itu dan membuat tafsiran ada sesuatu yang pelik berlaku. 

Hal ini menjadi perbualan dan tafsiran dari pihak-pihak yang sudah bermimpi akan kejatuhan Muhyiddin. Mereka diam-diam meletakkan kegagalkan kepada Anwar dan sehingga mentafsirkan Anwar sudah tidak layak menjadi ketua pembangkang lagi. Satu serangan osykologis yang berat buat Anwar.

Pada saya meletakan kesalahan kepada Anwar seorang tidak betul. Usaha untuk menolak bajet itu seharusnya dilakukan secara kolektif dan ikhlas dan tidak bermotif politik. Iya beliau sebagai ketua pembangkang perlu bertanggungjawab. Tetapi perlu disedari, kalau tiba-tiba beliau menarik hand break di saat akhir tentn ada sesuatu yang tidak kena. Dan mungkin beliau sudah membuat perkiraan dan menghisab kalau diadakan undi belah bahagi Bajet itu tetap juga gagal ditolak.

Ramai yang tidak tahu atau cuba memahami perkara ini dan lebih termakan apa yang ditabur dalam media sosial. Saya mengira Anwar sudah membuat tindakan terbaik mengindarkan undi belah bahagi berlaku setelah beliau menyedari apa yang orang lain tidak tahu bagi menyelamatkan maruah PH. 

Umum ketahui pembangkang (PH) tidak berkeupayaan untuk menentang bajet itu kerana masih kekurangan sokongan. Ia mungkin boleh berlaku dengan adanya sokongan daripada ahli Parlimen Umno.

Apa yang difahamkan mulanya terdapat empat orang ahli Parlimen Umno menyatakan sokongan mereka. Malangnya mereka menarik diri pada saat-saat akhir. Maka itulah menyebabkan niat dan cadangan itu berubah dengan tiba-tiba. Takdirlah pembangkang dibenarkan mengadakan undi belah bahagi, ia tetap juga kalah semasa pengundian kelak. Itu memalukan.

Kalau OT95, Azmin Ali, "Jaafar Kamaruddin" dan lain-lain yang sebelum ini duduk bersama boleh berselingkuh, apa lagi dengan ahli parlimen Umno yang menjanjikan untuk sokong itu. Semua pihak perlu sedar realiti ini sebelum meletakkan kesalahan kepada Anwar. Kena sedar bahawa politik itu seni dan sebuah permainan yang membutuhkan kebijaksanaan bukan beremotif bagi mengelak bahana dan malu besar.

Menyalahkan Anwar tidak kena apa lagi telah diketahui sebelum ini beberapa kali beliau gagal

mendapat sokongan untuk mengenapkan angka. Apakah sejarah itu tidak difahami dan semua orang belum mengenali Anwar lagi? Sebelum ini ada yang menyumpah Anwar kerana tidak berjaya mendapatkan nombor membentuk kerajaan. Kalau ketika itu sudah diketahui kenapa kini meletakkan harapan itu kepadanya, apakah kerana desakan jiwa untuk kembali berkuasa itu kuat sehingga melupai kesilapan lepas?

Sebaiknya kalau Anwar sudah tidak mampu untuk mendapatkan sokongan dengan keadaan hari ini, nah  orang lain perlu mengambil alihnya. Sesiapa pun boleh menjadi kepala (ketua pembangkang) menggerakkan usaha mencari nombor untuk menjatuhkan Muhyiddin. Mohamad Sabu, Lim Guag Eng, Khalid Samad, Salahuddin Ayub dan sesiapa sahaja boleh acu cuba try test. Kita mahu tengok biar Anwar pula menjadi ekor mereka jadi kepala sekuat mana boleh tarik gerabak.

Saya yakin Anwar akan sedia menyokong sesiapa sahaja yang mahu cuba untuk menjatuhkan Muhyiddin kalau mereka mampu dan berwibawa asalkan jangan OT95 sahaja. 

Lama sebelum ini saya sudah melarang jangan bermain dengan angka jangan percaya dengan perjudian. Saya telah tulis acap kali dalam blog dan antaranya saya kumpulkan dimasukkan dalam buku terbaru saya, KEMENANGAN YANG DIKHIANATI, BIPOLAR POLITIK OT95 yang berdar kini. Namun semua semacam memandang enteng dan terus mencari-cari angka dan melihat mangkok Pak Belalang kerana masing-masing menaruh harapan dengan berharap kerajaan akan kembali. Apa sudah jadi?

Terbaik ialah cari solusi baru. Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin mencadangkan ketua-ketua parti pembangkang duduk semeja beruding untuk menguat kedudukan dan mencari terma baharu kerjasama. Saya setuju. Bukan sahaja mencari terma baharu kerjasama tetapi kalau boleh parti pembangkang juga mencari patner baharu untuk bergabung bagi menghadapi pilihan raya nanti. 

Misalnya PKR boleh cari Umno, Amanah boleh cari Bersatu dan DAP boleh cari Pas. Haha. [wm.kl. 9: 14 pm 03/12/2020]

No comments: