MINDAKU
Majlis menandatangani MOU persefahaman. |
Secara umum, rata-rata menzahirkan rasa teruja, gembira dengan apa yang berlaku. Setengah orang menganggap ia satu sejarah baru dalam kancah politik Malaysia.
Untuk mengatakan ia baru, rasanya tidak benar, sebab kerajaan dan oposisi pernah mengadakan "persefahaman" lebih berani dan serius daripada itu.
Tahun 1971 wujud kerjasama politik antara kerajaan dengan parti pembangkang, sampai menubuhkan kerajaan bersama.
Dari kelompok yang seronok dan bangga itu, ada yang meragui akan keberhasilan MoU berkenaan. Iya, tentu untuk jangka panjang ia belum tampak apakah natijahnya. MoU itu meragukan nawaitunya. Atas prinsip politik itu bersifat dinamik yang penuh dinamika, ia tidak mudah untuk diramalkan.
Logik mudah, tidak mungkin kumpulan kucing dan anjing dapat duduk bersama, kecuali mereka kelihatan bersama sewaktu ingin melahap makanan dihidang tuannya. Ketika itu mereka akan nampak damai kerana mendapat habuan untuk mengisi perut terlupa persengketaan tradisi seketika. Tetapi setelah selesai makan, mereka akan bergaduh kembali cuba mengakui akulah raja semula.
Keadaan itu lumrah dan tabiat kedua jenis hewan itu. Selain itu mereka mungkin juga berhenti daripada bergaduh apabila keadaannya sudah keletihan, dan tidak ada kudrat lagi untuk bergasak.
Tetapi untuk jangka pendek, MoU tersebut nampak ianya ada manfaatnya. Apa lagi ia digerakkan berdasarkan kepada matlamat untuk meredakan keadaan politik negara bagi sama-sama menumpukan kepada masalah pandemik, pemulihan ekonomi, kesihatan dan keselamatan rakyat yang mana semua problema itu tidak gampang tuntas kalau politik bercakaran.
Makanan disajikan tidak dapat dilahap dengan tenang dan selesa, kalau keduanya masih bergaduh, menyebabkan pinggan dan "telak" (bekas air) akan bercemperian.
Tujuh tawaran pembaharuan yang dikemukakan itu ialah:
- Pembentangan Rang Undang-undang (RUU) anti lompat parti di Parlimen.
- Pelaksanaan penurunan had umur mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun dalam masa terdekat.
- Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun.
- Keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.
- Setiap RUU termasuk RUU Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama.
- Ahli parti pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN).
- Ketua pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.
Tetapi apabila tawaran itu dibuat oleh Ismail Sabri, PH seperti "semabur" (keliru) terus menerimanya. Apakah ia sebagai satu simbolik untuk memperlecehkan Mahiaddin, atau PH sudah dapat mimpi masa depannya yang menakutkan? Semalam telah ditanda tangan MoU itu di Parlimen berasaskan kepada 6 perkara asas, seperti berikut.
- Pemerkasaan Pelan Covid-19;
- Transformasi Pentadbiran;
- Pembaharuan Parlimen;
- Kebebasan Institusi Kehakiman;
- Perjanjian Malaysia MA63; dan
- Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.
Perlu difahami dalam situasi dan "kerakaan" politik masa kini mungkin ia jadi terdesak. DAP adalah parti pembangkang yang paling stabil saat ini. Ia tidak akan mengalami apa-apa kerugian kalau MOU itu memberi kesan dan implikasi negatif. DAP tetap akan dapat mengekalkan pengaruh dan kerusinya yang dimiliki sekarang ini, sebanyak 42.
Dengan jumlah 42 kerusi itu DAP boleh memperniagakannya dan menjadikan kuasa tawar menawar. Peri penting yang dilihat oleh DAP adalah undi Cina untuk memberi kebaikan kepada Cina bukan Melayu dan bangsa lain. DAP parti yang didhomankan akan menjaga kepentingan Cina di negara ini. DAP sedar ia tidak dapat menguasai lebih daripada apa dicapai itu yang dikira sudah kemuncak.
Sebaliknya, masalah dan suasana tidak menentu itu boleh berlaku kepada Keadilan dan Amanah. Sekiranya MoU seperti mana diharapkan itu tidak tercapai dan memberi kesan buruk, Keadilan boleh mengalami kehilangan pengaruhnya dan susut nilai begitu juga dengan Amanah. Kedua-dua parti itu akan menanggung risikonya.
Keadilan mungkin membimbangi akan nasibnya dalam Piraum ke-15 nanti bila mengenangkan apa dialami partinya kini. Hakikat Keadilan berpecah apabila Azmi Ali bersama 12 orang ahli parlimennya berhijrah menyertai Bersatu, parti itu mengalami perpecahan besar tidak dapat disangka. Hanya ego Keadilan sahaja enggan mengakui realiti itu.
Apakah setelah menyadari itu dan membuat tilikan nasib, maka MoU itu sesuatu yang memberi kebaikan dari segi politik kepada Keadilan? Ia merupakan peluang untuk menstrukturkan semula politik Malaysia?
Amanah sebagai sebuah parti budak, tentu sudah tentu bersetuju mengikut apa sahaja paluan derum DAP dan kompang Keadilan. Amanah belum memiliki apa-apa pamor kekuatan sendiri kecuali "angin" (jiwa seni politik) dalam dirinya. Pantang dengar gendang dan serunai Amanah akan terus bersilat meskipun sumbang.
Atau dari sisi lain MOU itu ada perancangan lain. Ada maksud yang berganda tersirat. Apakah ia merupakan perintis ke arah persepakatan antara Umno dengan PH untuk merealisasikan cita-cita sesetengah orang dalam Umno bagi mewujudkan pensejajaran baru politik? Ini menjadi tanda soal kerana dua parti pembangkang lain tidak menyertainya. Pejuang dan Warisan tidak diambil kira dalam MoU itu. Tanpa penyertaan dua pembangkang "kiri" itu ia boleh dispekulasikan dengan berbagai-bagai andaian.
Atau apakah itu hanya bayangan dan impian semata-mata kepada mereka yang sudah dilambung resah dan kebimbangan.
"No DAP No Anwar", adalah satu stigama yang ada dalam kepala banyak orang khasnya bagi orang Umno. Umno tidak sependapat untuk mewujudkan jajaran politik baru antara partinya dengan PH. Dengan adanya MoU itu apakah, pensejajaran itu nanti akan wujud tanpa ada orang-orang yang "No Anwar dan No DAP" dalam Umno? Atau pun pensejajaran baru nanti hanya berlaku antara Keadilan dan UMNO sahaja tanpa DAP?
Melihat arca politik akan datang ia menarik juga khasnya untuk menghadapi Piraum ke- 15. MoU semalam boleh dijadikan kompas untuk melihat pergerakan politik selepas ini. Ia boleh dijadikan indikator kepada apa yang berlaku nanti. Jangan mudah percaya kalau MoU itu setakat apa disebutkan itu tanpa ada maksud dan natijah lebih jauh.
Bagi saya MoU semalam ia bukan sebuah keikhlasan suci untuk menerima saran dan seruan Yang di-Pertua Agong agar mewujudkan suasana politik damai. Itu hanya kosong semata-mata. Untuk dijadikan aling-aling cuma. Sebenarnya ia bertujuan lebih jauh dari itu. Untuk sementara apa kerangka yang akan terbentuk selepas hasil dan kesan MoU itu tidak diceritakan dahulu di sini.
Seperti dikatakan tadi, sekawan kucing dan anjing tidak mudah untuk "disatukandangkan" kecuali saat mereka lapar dan sudah keletihan. Apabila mereka sihat dan lega, mereka kembali bercakaran kerana itu adalah sifat semula jadi mereka. Mereka juga boleh buat-buat patuh dan berbaik dihadapan gembalanya demi tembolok. [wm.kl.9:00 am 14/09/2021].
No comments:
Post a Comment