Friday, September 3, 2021

Kenapa perlu prejudis?

ULASAN

APABILA Senator Idris Ahmad (foto) melangkah kaki ke pejabatnya di JPM Rabu lalu, sebagai mengambil berkat,
beliau mendirikan solat dan berdoa.

Apa yang yang dilakukan Idris itu ghalib bagi umat Islam yang tahu akan keberkatan mendirikan solat sempena pertama kali melangkah kaki ke mana-mana tempat termasuk ke pejabat dan sebagainya.

Sayangnya gambar itu ditular secara negatif disertai dengan kata-kata atau caption yang tidak elok dan bernada persendaan. Yang menyedihkan yang menularnya bukan dari kalangan bukan Islam, tetapi orang Islam sendiri. Ada juga mereka yang menular itu sebelum ini merupakan kawan beliau.
Ada yang mengatakan Idris hendak menunjuk-nujuk dengan perbuatan (ibadahnya) itu. Menunjuk apa? Solat adalah ibadat yang dituntut, terurut dalam rukun Islam lima perkara yang berada diurutan kedua. Tidak ada salahnya bagi Idris mendirikan solat atau melaksanakan apa yang dituntut oleh ajaran agamanya. Ia patut dihormati bukan dipersendakan.

Mungkin solat sunat dan duha telah menjadi amalannya, dan tidak pun terlintas baginya untuk menunjuk-nunjuk dengan apa yang berlaku itu. Di sisi lain apa dilakukan itu merupakan dakwah dan peringatan untuk kita semua agar jangan memisahkan diri dengan Allah walaupun dimana kita berada.

Mereka yang tahu falsafah dan fungsi solat tidak akan melihat apa dilakukan Idris itu sebagai sesuatu yang pelik, apa lagi untuk mempersendakannya. Nabi Muhammad S.A.W sebaik sampai ke Madinah, institusi pertama yang diminta dibina ialah masjid. Masjid Quba yang menjadi rukun ziarah luar apabila kita ke Madinah, adalah masjid yang pertama dibina itu.

Apakah maksud dengan pembinaan masjid itu. Antara lain untuk memberi peringatan bahawa solat itu adalah penting dan perlu diutamakan. Justeru bagi saya apa yang Idris lakukan kerana mengambil falsafah dan menuruti sunnah Rasulullah itu disamping memohon keberkatan dan keampunan Allah disepanjang beliau akan menjalankan tugas dan amanah sebagai menteri.

Janganlah kerana kita berbeza ideologi politik dengan Menteri Agama yang baru itu maka kita memperdagangkan semua sekali tingkah lakukan, kisah-kisah lampau, kata-kata silam untuk modal politik. Ingat kepada dinamika politik. Apa yang perlu kita lakukan berikan semangat dan sokongan kepadanya.

Simpanlah sedikit emosi politik dan cuba berfikir secara rasional, munasabah dan membimbing ke arah kebaikan.

Sebaik-baiknya berilah masa untuk beliau membuktikan kemampuan menjalankan tugas dan tanggung-jawabnya itu. [wm. kl. 9:39 pm 03/09/2021]

No comments: