Sunday, January 22, 2023

Buku Noktah. Sebuah Penantian akan beredar di Indonesia

MAKLUMAT

Perjanjian penerbitan buku
Noktah. Sebuah Penantian.
JIKA tidak ada aral merintang insya-Allah buku NOKTAH. SEBUAH PENANTIAN : Anwar PM10 akan diterbitkan di Indonesia dalam versi bahasa negara itu. 

Satu perjanjian persefahaman ke arah itu telah ditanda-tangani di antara saya dengan Bapak Velantino Dinsi yang bertindak selaku penerbit, tanggal 19 Januari 2023 lalu bertempat di Hotel Sofyan di Jalan Cut Mutia, Jakarta Pusat.

Sekiranya usaha ini berhasil ia merupakan anjakan baharu kepada buku tulisan saya kerana diterbit dan dipasarkan di negara jiran buat pertama kalinya. 

Idea atau cetusan untuk menerbitkan buku ini memandangkan ada permintaan daripada pembaca buku-buku saya ditanah seberang itu khususnya mereka yang mengkagumi Anwar Ibrahim sebagai tokoh politik Melayu Islam di Nusantara ini. 

Dari kanan: Zubir, Valentino, MSO dan
Jamaludin
.
Tanpa kita sedari Anwar dengan kecemerlangannya sebagai pemimpin gerakan Islam dan berorentasikan Melayu Perdana Menter ke-10 itu telah diiktirafkan sebagai pemimpin Melayu di peringkat Nusantara yang amat dikagumi akan kebolehan dan idealismenya.

Kegigihan Anwar dalam berjuang untuk membela rakyat marhen tanpa pernah berputus asa walaupun dihalang sehingga dipenjara demi membawa panji keadilan dan kesamarataan antara faktor beliau disanjungi. 

Jalinan kerjasama dibentuk Anwar dalam bidang dakwah Islam dan kemanusiaan sejak di zaman gerakan Abim juga menjadikan beliau cukup dikenali di Indonesia dan di negara Nusantara lain. 

Kekaguman itu bukan setakat itu sahaja, bahkan mereka mengharap aura kepimpinan dan ketokohan Anwar di Malaysia akan tempias ke seluruh Nusantara juga. Sesuai dengan kematangan dan Anwar merupakan satu-satu pemimpin tertua di Nusantara ketika ini mereka mengharap Anwar mampu membawa sesuatu lebih bermakna untuk kelestarian politik kemanuisaan di rantau ini serta menjadi model khalifah. 

Menyedari realiti itu menyebabkan ada cadangan daripada kawan-kawan saya dan juga pembaca buku atau ulasan politik saya di blog dan media sosial lain agar buku terbaru ke 56 itu diterbitkan di sana bagi membolehkan peminat perdana menteri ke-10 itu mengenali Anwar serta mengetahui tribulasi perjuangannya serta pahit getir sejak 25 tahun lalu sebelum melangkah ke kerusi PM dikenali lebih dekat.

Selama ini mereka mengikut dari jauh lewat media massa atau lisan dari mulut ke mulut tentang perjuangtan dan pelaluan politik Anwar, tetapi dengan adanya buku berkenaan kelak mereka dapat menghayati lebih dekat lagi kerana buku NSP itu merupakan dokumen rakaman peristiwa menjelang pilihan raya umum ke-15 serta kronologi saat kritikal untuk Anwar mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik jadi PM serta proses pembentukan kerajaan Perpaduan yang agak rumit. 

Insya-Allah buku ini akan menemui pembaca di negara jira itu paling cepat bulan April atau Mei hadapan bergantung kepada kelancaran prosesnya. Seperti mana kata Valentino, dengan terbitnya buku itu nanti diharap rakyat Indonesia yang mencintai Anwar akan lebih mengenali dan mengetahui ranjau dan jejak juang Anwar dalam siasah.  

Sehubungan itu saya mengucapkan terima kasih kepada Bapak Valentino Dinsi yang sedia menjadi penerbit dan memasarkan buku berkenaan. Tidak dilupakan juga kepada saudara Zuber Mohamed dan Dr Jamaludin Shahidan yang menjadi mediator dalam urusan penerbitan ini. [wm.kl. 11:40 pm 22'/01/23]

No comments: