Tuesday, February 13, 2024

Debaran menanti presiden baru Indonesia

Paslon Nombor Satu.
ESOK rakyat Indonesia akan menunaikan tanggungjawab lima tahunan mereka untuk memilih presiden dan wakil presiden baru untuk tempoh lima tahun 2024 - 2029. Turut sama akan dipilih esok ialah wakil MPR dan DPRD di seluruh Indonesia. Walaupun pemilihan esok penting untuk setiap calon, tetapi tumpuan ialah kepada calon presiden dan wakil presiden. 

Seramai 204.8 juta rakyat Indonesia berdaftar akan membuat pilihan mereka di  823,220 TPS atau tempat pengundian yang dibuka di seluruh negara itu. Dari jumlah itu sebanyak 800,161 pusat mengundi dalam negeri dan 3,059 tempat mengundi di luar negara dibuka. Semalam telah berlangsung pengundian awal bagi pemilihan yang berada di luar negara.

Pilihan raya atau pilpres esok bukan saja menjadi perhatian 270 juta rakyat di negeri berpulauan 17,800 buah itu, tetapi seluruh dunia. Negara-negara kuasa besar khasnya yang ada hubungan langsung dengan Indonesia, seperti China, Amerika syarikat, Jepun, negara Eropah dan negara-negara Asean ikut memantau dan memerhati pilihan raya berkenaan. 

Paslon Nombor Dua.
Perhatian itu baik dari jauh melalui media massa dan sebagainya atau agensi tertentu atau kedutaaan masing-masing yang ada di Jakarta.

Tiga pasangan calon yang beradulaga merebut jawatan presiden dan timbalan presiden bagi memimpin Indonesia lima tahun akan datang sebagai mengganti presiden Jokowido yang berpasangan dengan Maaruf Amin yang akan tamat perkhidmatan esok. 

Jokowi sudah tamat berkhidmat sebagai presiden selama 10 tahun atau dua penggal. Perlembagaan Indonesia menetapkan tempoh perkhidmatan seseorang presiden secara berterusannya hanya dua penggal, 10 tahun sahaja. 

Walaupun ada cubaan untuk membolehkan Jokowi maju sepenggal lagi, tetapi dikandaskan tengah jalan oleh sebahagian rakyat dan aktivis politik yang merindui demokrasi tulen.  

Tiga pasangan (paslon) yang akan dihakimi rakyat Indonesia esok (14 Fenruari 2024) ialah paslon nombor satu, Anies Rasyid Baswedan berpasangan dengan Muhaimi Iskandar (Cak Imin), paslon nombor dua, Prabowo Subianto yang berpasangan dengan Gibran Rakabumigraka, dan paslon nombor tiga, Ganjar Prawono yang berpasangan dengan Mahfud Md.

Anies Baswedan adalah bekas Gabenur Jakarta, manakala Amin adalah ketua umum parti PKB parti diasaskan Gusdur dan bekas anggota kabinet. Sementara Prabowo ketua umum Grendra kini menteri Pertahanan dalam kabinet Indonesia Maju dibawah Jokawi, sementara pasangannya Gibran anak sulung kepada Jokawi dan Walikota Solo. Manakala Ganjar adalah Gabenur Jawa Tengah ke 15, Jawa Timur dan Mahfud bekas Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik, Undang-Undang dan Keselamatan. 

Paslon Nombor Tiga.
Pasangan Prabowo, Gibran Rakabumingraka menimbulkan kontroversi apabila terpaksa menggunakan Mahkamah Institusi (MK) untuk membolehkan beliau layak menjadi calon wakil presiden kerana faktor usia. Sebelum ini penetapan dibuat seseorang yang hendak dicalonkan menjadi presiden dan wakil presiden harus berusia 40 tahun, sedang Gibran baru berusia 36 tahun.

Isu kelolosan beliau itu menjadi tanda tanya dan menimbul persoalan, apakah sah atau tidak kerana mahkamah terpaksa bersidang memutuskan hal itu. Keputusan MK itu dikatakan tidak demokratik manakala Gibran sendiri disindir sebagai "anak hakam MK". Keputusan mahkamah itu dipersoalkan dan diragui ia ada permainan "kong kalikong" mahkamah berkenaan dikepalai oleh bapak saudaranya Anwar Usman.

Kampanye berakhir.

Masa kempen (kampanye) rasmi selama kira-kira sebulan sudah pun berakhir 10 Februari lalu. Masing-masing paslon telah mengadakan kampanye akbar, terakhir. Kini memasuki hari-hari tenang sebelum tiba hari mengundi esok. Berbeza suasana dan kaedah demokrasi pilihan raya di Indonesia berbanding dengan negara kita, mereka mengadakan masa tertentu sebagai hari bertenang.

Di mana dalam tempoh ini semua atribut  atau peralatan kempen (logistik) seperti poster, sepanduk, flyer, atau billboard dibuang. Mana-mana parti yang berdegil untuk membuang peralatan kempen mereka, pihak kerajaan bertindak membuangnya. Dalam tempoh tenang ini semua pihak tidak dibenarkan berkempen. Kalau di negara kita larangan itu berlaku selepas jam 12:00 tengah malam kira-kira 6 jam sebelum hari mengundi.  

Pemilihan presiden Indonesia kali ini, tidak terkalah dengan pemilihan jawatan itu sebelum ini, hangat dan panas. Rakyat Indonesia sendiri menyifatkan hari pilihan itu sebagai berpesta. Mereka benar-benar menyambut dan merainya sekaligus sebagai simbol kepada kemerdekaan bangsa itu.

Ada beberapa sebab yang signifikan kenapa pemilihan presiden dan wakil presiden kali ini panas luar biasa. Walaupun ada tiga pasangan, tetapi dua pasangan saja yang nampak dominan dan bertentangan antara satu sama lain. Pasangan ini membawa tema dan wawasan masing-masing. Pasangan dimaksudkan itu paslon nombor satu dengan paslon nombor dua.

Pasangan nombor dua, Prabowo dan Gibran membawa tema untuk meneruskan pemerintahan Jokowi. Mereka berjanji akan meneruskan segala rancangan di era Jokowi yang sebagai kelangsungan. Ertinya apa juga pembangunan polisi dan dasar direntangkan Jokowi akan diteruskan. Salah satu yang terpenting ialah menyiapkan projek IKN, Ibu Kota Nusantara di Kalimantan Utara. IKN adalah projek legasi raksasa Jokawi yang belum siap sepenuhnya. Jadi Prabowo akan menyudahkannya sebagai legasi Jokowi.

IKN atau Nusantara akan menjadi ibu kota baharu Indonesia. Perpindahan pusat pentadbiran ini tidak dipersetujui oleh pihak yang menentang Jokowi atas alasan dan sebab-sebab tertentu. 

Pasangan nombor satu Anies Baswedan dan Cik Imin, bersama koliasi perubahan, menentang rancangan ini, tidak bersetuju dengan perpindahan ibu negeri itu atas kepercayaan ia tidak dapat mengatasi masalah yang dijadikan alasan kenapa perlu IKN baru. Mereka membawa tema Perubahan. Mereka mahu merubah Indonesia dengan memberi perhatian kepada seluruh rakyat tanpa mengecualikan. Mereka mahu perubahan dalam pembangunan dengan membangun seluruh Indonesia bukannya tertumpu di daerah-daerah tertentu saja. 

Anies dan Cik Imin mahu menjadikan 20 kota baru di Indonesia yang setaraf dengan Jakarta. Kota lain itu ialah memodenkan kota yang sedia ada terdapat di seluruh Indonesa sama taraf, punyai sistem pembandaran, kelestarian serta kemudahan asas (infastrukutur) sama dimiliki Jakarta.

Manakala pasangan nombor tiga Ganjar - Mahfud tidak membawa apa-apa tema yang signifikan sebaliknya berjanji akan dan berazam untuk menjadikan Indonesia dipimpinkan dengan tatakelola yang baik. Beliau berazam soal intergriti adalah penting dalam membangun bangsa dan negara manakala rasuah perlukan dihapus sampai ke akar umbinya. 

Perdebatan.

Menjadi syarat dan peraturan capres dan wacapres, akan berdebat membentangkan polisi dan agenda masing-masing. Perdebatan ini diatur dan diorganis sendiri oleh Komisi Pemilihan Umum (KPU). Ketiga paslon itu sudah pun melalui syarat berkenaan sebanyak lima pusingan. Tiga pusingan di antara wapres dan dua pusingan capres. Dalam perdebatan itu rakyat Indonesis dapat menilai pasangan mana yang terbaik, punya gagasan yang logik dan mana pasangan yang beretorik. 

Walaupun dalam perdebatan itu tidak menjadi indikator utama, tetapi sekurang-kurang rakyat Indonesia yang celik maklumat dapat melihat sejauh mana kemampuan calon presiden dan wakil presiden mereka dalam mengutarakan hujah, mematahkan hujah dan membentang segala agenda yang dirancang. Sedikit sebanyak gelanggang itu juga mendedahkan kepada umum akan hipokrasi dan keseriusan serta sejauh mana kemampuan mereka untuk memimpin 270 juta umat.

Apa yang jelas dalam perdebatan itu dapat dilihat keserlahan ketokohan dan kemantapan calon khususnya menjadi seorang presiden. Calon nombor satu Anes Baswedah lebih nampak daya intelektual, kesopanannya dalam mengemukakan hujah atau menjawab dan membalas hujah. Demikian dengan nuansa keagamaanya ada kepada bekas Gabenur Jakarta ini. Begitu juga dengan paslon nombor dua Ganjar, pengalamannya sebagai Gabenur Jawa Tengah terserlah. Mereka berdua lebih sopan berbanding dengan paslon nombor dua Prabowo dan Gibran yang nampak agresif dan emosional.

Selain dari perdebatan dan rapat umum diadakan oleh ketiga-tiga pasangan ke hampir seluruh pulau Indonesia, ia juga dibantu dengan mekanisma berkempen, kemudahan dan logistik kempen dan sebagainya. Dalam hal ini kemewahan berkempen ada kepada paslon nombor dua. Billbord gergasi yang dipasang di kota-kota besar ditakluki oleh wajah Prabowo dan Gibran. Demikian juga bantuan dan pertolongan (penglibatan) tidak langsung daripada aparat kerajaan berpihak kepada paslon nombor dua ini.

Sepanjang menjadi calon presiden Prabowo tidak melepaskan jawatan sebagai menteri Pertahanan berbeza ketimbang Mahfud Md yang melepaskan jawatan untuk kelihatan lebih berintegriti, bebas dan bersih.

Misalnya macam macam hampir semua badan-badan survey berpihak kepada paslon nombor dua dengan meletakkan peratus dan pencapaian kepada Prabowo dan Gibran melebih 50 peratus. Seperti sudah ada strategi mengubah badan-badan survey untuk memberi keputusan bagi menunjukkan pasangan ini ke depan bagi mempengaruhi pengundi. Paslon nombor dua sangat mengharap pertandingan berlaku satu pusingan sahaja, sebab dia maklum kalau dua pusingan dia akan tewas. 

Hanya sebuah badan survey berpusat di luar negeri sahaja menyatakan pasangan nombor tiga mengatasi pasangan nombor dua dan nombor satu. Apa disampaikan badan-badan survey ini tidak boleh diyakin seratus peratus kerana sesetengahnya kontras langsung dengan realiti di bawah, dimana himpunan atau kempen dianjurkan untuk paslon nombor satu melebih atau menyamai himpunan pasangan nomor dua yang dibantu kerajaan. Seperkara lagi berkemungkinan besar ada lembaga survey diberikan peruntukan lumayan untuk mempengaruhi pengundian dengan dapatan-dapatan kabur mereka.

Kesimpulannya.

Semua orang semua pihak dan pemerhati ada kesimpulan sendiri berhubung pilihan raya di Indonesia itu. Saya juga ada kesimpulan tersendiri. Melihat kepada pelbagai cara, kaedah dan pelanggaran satu demi satu demokrasi dan prosesnya di Indonesia saya meramalkan calon yang tegar melakukan penyelewengan, penipuan dan sanggup main kotor demi kuasa bukan rakyat akan memenangi pilihan raya berkenaan. 

Pun begitu kemenangan itu tetap ada natijah kerana kejahatan itu nyata dan berlebihan menjadikan Indonesia akan bergema dan bergulat dengan protes besar-besaran selepas ini oleh rakyat Indonesia. Apa lagi unjuk rasa adalah saluran terbaik dan sangat berkesan bagi rakyat berpanjikan Merah Putih itu melakukan tindakan untuk kepentingan mereka. [wm.kl. 12:46 pm 13/02/2024]

No comments: