MULANYA saya berhajat benar untuk mengikuti pelancaran Dewan Himpunan Penyokong Pas yang diadakan di Klang hari ini. Semalam saya sudah menghubungi Mujahid Yusuf Rawa bertanya lokasi berlangsungnya majlis berkenaan. Tetapi kerana masalah menghalang niat itu tak kesampaian.

Kalau dulu ahli kelab itu hanya duduk di luar dewan mengikuti muktamar Pas menerusi skin CCTV, kali ini mereka akan berada di rumah dan tidak mustahil ketuanya akan diajak naik ke pentas utama.
Saya menjadi sedikit, 'mendesah' dan bimbang berhubung dengan keperluan menubuhkan dewan berkenaan yang dulunya dikenali dengan kelab penyokong Pas itu. Ini kerana rata-rata dewan berkenaan disertai oleh mereka bukan Islam. Ia semacam ada sedikit masalah (kontradik) sebab Pas dikenali sebagai sebuah parti dan sebuah gerakan Islam nombor wahid di negara ini.
Apakah ianya tidak akan menimbulkan kecelaruan atau conflict interest nanti. Apa lagi kalau takdirnya anggota dewan itu diberi hak sama dengan ahli biasa Pas, tentu ia menimbulkan kecelaruan. Saya tidak pasti bagaimana Pas ingin mengendalikan 'perbezaan' ini kelak.
Sebagai parti Islam Pas mengutamakan soal halal dan haramnya. Perjuangan Pas bertunjangkan kepada aqidah Islamiah. Kerana paksi dan tunjang itulah menjadikan Pas istimewa dan berbeza dengan parti-parti Melayu atau parti nasional lain. Dan kerana tunjang dan paksi itulah juga menjadi ahli atau wakil rakyat Pas kebal dan jadi lebih setia dan tidak mudah goyah berbanding dengan ahli parti-parti lain kalau pun didebur ombak ataupun ditiup ribut taufan.
Walaupun Islam itu luas (syumul) tidak ada batasnya, tetapi bukan menjadi lesen untuk Pas membuka pintu kepada semua orang. Kesyumulan Islam ada kesempurnaan dan bukan kebebasan tanpa batas. Apa lagi kalau hajat membuka pintu itu atas satu matlamat untuk mendapatkan kuasa semata-mata. Saya tidak bersetuju kalau Pas meninggalkan langsung kemelayuannya dan melihat kesejagatan Islam semata-mata. Kesejagatan Islam dalam negara terasnya Melayu, kalau tanpa mempeduli dan meletakkan kepentingannya pada saya adalah silap.
Saya bukan berfikiran sempit di dalam soal ini. Saya sedar sebagai parti politik yang menyertai pilihan raya Pas memerlukan kepada sokongan. Undi dari bukan Islam sama nilainya dengan undi orang Pas walaupun nawaitu undi itu mungkin berbeza. Jangan kerana obses inginkan kepada undi maka Pas sedia mengorbankan segala kepentingan-kepentingan dan keistimewaan-keistimewaannya sebagai sebuah gerakan agama. Selain itu Pas juga harus sedar bahawa sokongan tegar kepadanya masih dari kalangan orang Melayu.
Dalam masa Pas tergila untuk mendapat undi Melayu, Pas juga perlu 'gila-gila' untuk mengekalkan sokongan Melayu kepada mereka. Ini saya nampak ada pengabaian oleh Pas. Pas lebih berminat dan berusaha menyakini Cina, India, Orang Asli, Dayak dan Iban kepada Pas, sedangkan usaha sama ke atas Melayu tidak dibuat. Saya sangat khuatir nanti berlaku kepada Pas bak kata arwah ayah saya, "melepaskan kura-kura di kaki kerana mengejar burung yang terbang!" Maksudnya mungkin Pas akan mendapat sokongan bukan Islam atas maksud menyokong politik baru tetapi hilang orang Melayu yang melihat Pas pejuang Islam dan Melayu disebabkan kelengahan Pas dalam menjaga kepentingan Melayu.
Hari ini Pas telah sekali lagi menawarkan kebendaan kepada para penyokongnya. Seperti mana dipetik, Naib Presiden Pas, Sallahuddin Ayub berkata Pas bersedia untuk memberi tempat kepada bukan Islam (ahli dewan itu) sebagai anggota Dewan Negara. Manakala Presiden Pas, Abdul Hadi Awang (foto) yang melancarkan dewan itu menjelaskan Pakatan Rakyat - Pas akan melantik bukan Islam sebagai anggota dewannya. Apa yang dipraktikan di Terengganu semasa Pas memerintah negeri itu 1998 - n2004 dulu akan diperluaskan ke negeri-negeri lain jika Pakatan (Pas) menang.
Pasti anggota dewan itu senang dengan tawaran dan janji oleh dua pemimpin Pas itu. Mereka mendapat sesuatu yang mereka belum minta walaupun sudah diharapkan. Bak kata orang belum menguap sudah dihulurkan bantal. Nampaknya Sallahudin dan Abdul Hadi dapat membaca apa yang terpeta di dalam hati anggota dewan! Alangkah malangnya kalau tawaran itu dibuat kerana kedua pemimpin itu inginkan populariti atau untuk menampakkan mereka sebagai seorang yang liberal. Lebih malang lagi kalau cadangan itu dibuat sesuka hati tanpa melihat apakah impak dan implikasinya. Bagi saya tawaran itu melewati soal polisi dan dasar parti.
Sekali lagi saya katakan tidak salah untuk memberi imbuhan atau baksis kepada mana-mana penyokong. Tetapi sebelum menganugerahkan ia perlu dilihat keperluannya, kepentingannya dan natijah daripada apa yang diberikan itu. Memberi sesuatu yang di kalangan kita sesama sendiri pun tidak mencukupi satu perbuatan yang kurang bijak. Begitu juga kalau meletakkan kepercayaan dan harapan kepada orang yang tidak kamil dengan perjuangan kita, lagi tidak bijak.
Janji dan tawaran dikemukakan itu masih bersifat 'madiyah'. Sebagai sebuah parti Islam, Pas seharunya tidak menawarkan kebendaan kepada sesiapa. Pas sebagai gerakan Islam sepatutnya memberi ilmu, petunjuk, hidayah dan sir kepada mereka. Pas perlu mempertahankan tanggungjawab dan amanah ini, mendakwah manusia. Tawaran untuk melantik mereka sebagai anggota Dewan Negara dan ahli Dun adalah tawaran kebendaan yang pasti akan direbut seperti ghanimah.
Mungkin mereka menyertai dewan itu kerana ingin pembaharuan dalam politik. Mereka sudah muak dan benci dengan budaya politik merebut kuasa dan mengejar kedudukan yang melampau. Mereka mengharapkan Pas membawa islah dalam politik. Mereka menyertai Pas kerana melihat tahap kebolehpercayaan kepada Pas masih tinggi berbanding dengan parti-parti lain. Ataupun mungkin juga mereka melihat kemurahan hati pemimpin Pas ataupun kemelampauan tolak ansurnya.
Pasti juga mereka melihat kepada apa yang berlaku di Kelantan yang dijana dan dilaksanakan oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat. Mereka melihat bagaimana kelunakan dan keadilan Nik Aziz dalam melayani umat bukan Islam di sana. Itu kita tidak nafikan. Tetapi perkara yang perlu diinsafi suasana, angka dan nafsu umat bukan Islam di Kelantan berbeza dengan umat Islam di luar Kelantan. Dalam keadaan minoriti umat Islam di Kelantan tidak ada agenda besar melainkan menjamin keselamatan hidup mereka anak beranak.
Jangan cuba menyamakan, sikap, penerimaan dan keikhlasan umat bukan Islam di negeri majoriti Melayu dengan sikap dan sifat umat Islam di negeri yang Melayunya minoriti!
Dalam konteks ini bila mereka menyertai Pas sebagai anggota dewan, mereka mengharapkan harapan yang mereka sangka baik itu hendaklah dipenuhi. Tetapi dalam masa sama, lebih baik kalau Pas mengemukakan pendekatan Islam syumul mereka dalam politik. Pas memberi keyakinan kepada mereka bagaimana Islam menjamin keselamatan ummah tanpa mengira warna kulit dan anutan agama. Dengan menawarkan kebendaan itu akhirnya menyebabkan kemasukan - pendekatan mereka kepada Pas dilihat untuk mendapat habuan kebendaan. Sudah tentu mereka tidak akan menolak sesuatu yang menguntungkan mereka.
Salahkah kalau Pas, selain dari melayan mereka memberi jaminan untuk menyelesaikan masalah sosial, ekonomi dan politik mereka, Pas mengambil kesempatan cuba menanam semangat dan akidah Islam kepada mereka? Mendedahkan seluasnya falsafah dan jihad Muhammad s.a.w. Salahkah? Rasanya ini lebih afdal dan penting Pas menerima mereka sebagai anggota bukan saja untuk menjamin mereka berada dalam sistem yang selamat di dunia, tetapi juga sejahtra di akhirat.
Kalau Pas hanya memikirkan untuk keselamatan di dunia dengan memberi habuan kebendaan, projek dan pangkat ini bermakna perjuangan Pas tidak ke mana. Ia tidak ada bezanya juga dengan perjuangan UBN yang selamanya cuba menyogokkan kebendaan kepada mereka dan membawa manusia lain menjauhi laman jannah. Untuk mencapai matlamat ini maka menjadi obligasi mereka yang menjadi pelopor dan penggerak maufakat semua bangsa menerusi dewan itu memikir bagaimana untuk membawa anggota himpunan itu sama-sama mencapai mardathillah seperti juga anggota Pas yang sedia kala Islam.
Dalam permasalahan dan implikasi ini tidak seharusnya Pas begitu ghairah menawarkan anggota himpunan dengan kebendaan berupa pangkat dan kebendaan atau sejuta janji indah lainnya. Sekali lagi ditegaskan paling afdal Pas perlu menawarkan pembaharuan politik kepada mereka dan dalam masa sama mentarbiyahkan mereka bukan saja memahami politik Islam tetapi juga agama Islam. Beri ilmu kepada mereka dan bukan beri pancing.
Pada saya kalau separuh ahli dewan itu dapat memahami kesucian dan kemuliaan Islam ianya lebih bererti daripada Pas memenangi beberapa kerusi di luar Kelantan, Terengganu dan Kedah atas sokongan dewan berkenaan. Buatlah sesuatu yang disukai Allah di dunia dan akhirat. [wm.kl. 7:45 pm 23/05/10]