Sunday, May 23, 2010

Ulasan Penubuhan Dewan Himpunan Pas

Tawar Jawatan Kepada Dewan Himpunan Pas Satu Kesilapan

MULANYA saya berhajat benar untuk mengikuti pelancaran Dewan Himpunan Penyokong Pas yang diadakan di Klang hari ini. Semalam saya sudah menghubungi Mujahid Yusuf Rawa bertanya lokasi berlangsungnya majlis berkenaan. Tetapi kerana masalah menghalang niat itu tak kesampaian.

Apa yang saya nak tengok pada upacara itu, semangat dalam dewan berkenaan. Mengetahui serba sedikit bagaimana dewan itu diuruskan dan sejauh mana ianya berfungsi memberi nilai tambah kepada Pas dan Islam pada masa akan datang.

Kalau dulu ahli kelab itu hanya duduk di luar dewan mengikuti muktamar Pas menerusi skin CCTV, kali ini mereka akan berada di rumah dan tidak mustahil ketuanya akan diajak naik ke pentas utama.

Saya menjadi sedikit, 'mendesah' dan bimbang berhubung dengan keperluan menubuhkan dewan berkenaan yang dulunya dikenali dengan kelab penyokong Pas itu. Ini kerana rata-rata dewan berkenaan disertai oleh mereka bukan Islam. Ia semacam ada sedikit masalah (kontradik) sebab Pas dikenali sebagai sebuah parti dan sebuah gerakan Islam nombor wahid di negara ini.

Apakah ianya tidak akan menimbulkan kecelaruan atau conflict interest nanti. Apa lagi kalau takdirnya anggota dewan itu diberi hak sama dengan ahli biasa Pas, tentu ia menimbulkan kecelaruan. Saya tidak pasti bagaimana Pas ingin mengendalikan 'perbezaan' ini kelak.

Sebagai parti Islam Pas mengutamakan soal halal dan haramnya. Perjuangan Pas bertunjangkan kepada aqidah Islamiah. Kerana paksi dan tunjang itulah menjadikan Pas istimewa dan berbeza dengan parti-parti Melayu atau parti nasional lain. Dan kerana tunjang dan paksi itulah juga menjadi ahli atau wakil rakyat Pas kebal dan jadi lebih setia dan tidak mudah goyah berbanding dengan ahli parti-parti lain kalau pun didebur ombak ataupun ditiup ribut taufan.

Walaupun Islam itu luas (syumul) tidak ada batasnya, tetapi bukan menjadi lesen untuk Pas membuka pintu kepada semua orang. Kesyumulan Islam ada kesempurnaan dan bukan kebebasan tanpa batas. Apa lagi kalau hajat membuka pintu itu atas satu matlamat untuk mendapatkan kuasa semata-mata. Saya tidak bersetuju kalau Pas meninggalkan langsung kemelayuannya dan melihat kesejagatan Islam semata-mata. Kesejagatan Islam dalam negara terasnya Melayu, kalau tanpa mempeduli dan meletakkan kepentingannya pada saya adalah silap.

Saya bukan berfikiran sempit di dalam soal ini. Saya sedar sebagai parti politik yang menyertai pilihan raya Pas memerlukan kepada sokongan. Undi dari bukan Islam sama nilainya dengan undi orang Pas walaupun nawaitu undi itu mungkin berbeza. Jangan kerana obses inginkan kepada undi maka Pas sedia mengorbankan segala kepentingan-kepentingan dan keistimewaan-keistimewaannya sebagai sebuah gerakan agama. Selain itu Pas juga harus sedar bahawa sokongan tegar kepadanya masih dari kalangan orang Melayu.

Dalam masa Pas tergila untuk mendapat undi Melayu, Pas juga perlu 'gila-gila' untuk mengekalkan sokongan Melayu kepada mereka. Ini saya nampak ada pengabaian oleh Pas. Pas lebih berminat dan berusaha menyakini Cina, India, Orang Asli, Dayak dan Iban kepada Pas, sedangkan usaha sama ke atas Melayu tidak dibuat. Saya sangat khuatir nanti berlaku kepada Pas bak kata arwah ayah saya, "melepaskan kura-kura di kaki kerana mengejar burung yang terbang!" Maksudnya mungkin Pas akan mendapat sokongan bukan Islam atas maksud menyokong politik baru tetapi hilang orang Melayu yang melihat Pas pejuang Islam dan Melayu disebabkan kelengahan Pas dalam menjaga kepentingan Melayu.

Hari ini Pas telah sekali lagi menawarkan kebendaan kepada para penyokongnya. Seperti mana dipetik, Naib Presiden Pas, Sallahuddin Ayub berkata Pas bersedia untuk memberi tempat kepada bukan Islam (ahli dewan itu) sebagai anggota Dewan Negara. Manakala Presiden Pas, Abdul Hadi Awang (foto) yang melancarkan dewan itu menjelaskan Pakatan Rakyat - Pas akan melantik bukan Islam sebagai anggota dewannya. Apa yang dipraktikan di Terengganu semasa Pas memerintah negeri itu 1998 - n2004 dulu akan diperluaskan ke negeri-negeri lain jika Pakatan (Pas) menang.

Pasti anggota dewan itu senang dengan tawaran dan janji oleh dua pemimpin Pas itu. Mereka mendapat sesuatu yang mereka belum minta walaupun sudah diharapkan. Bak kata orang belum menguap sudah dihulurkan bantal. Nampaknya Sallahudin dan Abdul Hadi dapat membaca apa yang terpeta di dalam hati anggota dewan! Alangkah malangnya kalau tawaran itu dibuat kerana kedua pemimpin itu inginkan populariti atau untuk menampakkan mereka sebagai seorang yang liberal. Lebih malang lagi kalau cadangan itu dibuat sesuka hati tanpa melihat apakah impak dan implikasinya. Bagi saya tawaran itu melewati soal polisi dan dasar parti.

Sekali lagi saya katakan tidak salah untuk memberi imbuhan atau baksis kepada mana-mana penyokong. Tetapi sebelum menganugerahkan ia perlu dilihat keperluannya, kepentingannya dan natijah daripada apa yang diberikan itu. Memberi sesuatu yang di kalangan kita sesama sendiri pun tidak mencukupi satu perbuatan yang kurang bijak. Begitu juga kalau meletakkan kepercayaan dan harapan kepada orang yang tidak kamil dengan perjuangan kita, lagi tidak bijak.

Janji dan tawaran dikemukakan itu masih bersifat 'madiyah'. Sebagai sebuah parti Islam, Pas seharunya tidak menawarkan kebendaan kepada sesiapa. Pas sebagai gerakan Islam sepatutnya memberi ilmu, petunjuk, hidayah dan sir kepada mereka. Pas perlu mempertahankan tanggungjawab dan amanah ini, mendakwah manusia. Tawaran untuk melantik mereka sebagai anggota Dewan Negara dan ahli Dun adalah tawaran kebendaan yang pasti akan direbut seperti ghanimah.

Mungkin mereka menyertai dewan itu kerana ingin pembaharuan dalam politik. Mereka sudah muak dan benci dengan budaya politik merebut kuasa dan mengejar kedudukan yang melampau. Mereka mengharapkan Pas membawa islah dalam politik. Mereka menyertai Pas kerana melihat tahap kebolehpercayaan kepada Pas masih tinggi berbanding dengan parti-parti lain. Ataupun mungkin juga mereka melihat kemurahan hati pemimpin Pas ataupun kemelampauan tolak ansurnya.

Pasti juga mereka melihat kepada apa yang berlaku di Kelantan yang dijana dan dilaksanakan oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat. Mereka melihat bagaimana kelunakan dan keadilan Nik Aziz dalam melayani umat bukan Islam di sana. Itu kita tidak nafikan. Tetapi perkara yang perlu diinsafi suasana, angka dan nafsu umat bukan Islam di Kelantan berbeza dengan umat Islam di luar Kelantan. Dalam keadaan minoriti umat Islam di Kelantan tidak ada agenda besar melainkan menjamin keselamatan hidup mereka anak beranak.

Jangan cuba menyamakan, sikap, penerimaan dan keikhlasan umat bukan Islam di negeri majoriti Melayu dengan sikap dan sifat umat Islam di negeri yang Melayunya minoriti!

Dalam konteks ini bila mereka menyertai Pas sebagai anggota dewan, mereka mengharapkan harapan yang mereka sangka baik itu hendaklah dipenuhi. Tetapi dalam masa sama, lebih baik kalau Pas mengemukakan pendekatan Islam syumul mereka dalam politik. Pas memberi keyakinan kepada mereka bagaimana Islam menjamin keselamatan ummah tanpa mengira warna kulit dan anutan agama. Dengan menawarkan kebendaan itu akhirnya menyebabkan kemasukan - pendekatan mereka kepada Pas dilihat untuk mendapat habuan kebendaan. Sudah tentu mereka tidak akan menolak sesuatu yang menguntungkan mereka.

Salahkah kalau Pas, selain dari melayan mereka memberi jaminan untuk menyelesaikan masalah sosial, ekonomi dan politik mereka, Pas mengambil kesempatan cuba menanam semangat dan akidah Islam kepada mereka? Mendedahkan seluasnya falsafah dan jihad Muhammad s.a.w. Salahkah? Rasanya ini lebih afdal dan penting Pas menerima mereka sebagai anggota bukan saja untuk menjamin mereka berada dalam sistem yang selamat di dunia, tetapi juga sejahtra di akhirat.

Kalau Pas hanya memikirkan untuk keselamatan di dunia dengan memberi habuan kebendaan, projek dan pangkat ini bermakna perjuangan Pas tidak ke mana. Ia tidak ada bezanya juga dengan perjuangan UBN yang selamanya cuba menyogokkan kebendaan kepada mereka dan membawa manusia lain menjauhi laman jannah. Untuk mencapai matlamat ini maka menjadi obligasi mereka yang menjadi pelopor dan penggerak maufakat semua bangsa menerusi dewan itu memikir bagaimana untuk membawa anggota himpunan itu sama-sama mencapai mardathillah seperti juga anggota Pas yang sedia kala Islam.

Dalam permasalahan dan implikasi ini tidak seharusnya Pas begitu ghairah menawarkan anggota himpunan dengan kebendaan berupa pangkat dan kebendaan atau sejuta janji indah lainnya. Sekali lagi ditegaskan paling afdal Pas perlu menawarkan pembaharuan politik kepada mereka dan dalam masa sama mentarbiyahkan mereka bukan saja memahami politik Islam tetapi juga agama Islam. Beri ilmu kepada mereka dan bukan beri pancing.

Pada saya kalau separuh ahli dewan itu dapat memahami kesucian dan kemuliaan Islam ianya lebih bererti daripada Pas memenangi beberapa kerusi di luar Kelantan, Terengganu dan Kedah atas sokongan dewan berkenaan. Buatlah sesuatu yang disukai Allah di dunia dan akhirat. [wm.kl. 7:45 pm 23/05/10]

10 comments:

Cikgu Din said...

Tahniah Pas mendepani rakyat secara bijaksana.PAS kelihatan mendahalui zamannya.Dewan Perhimpunan ini diharap dapat membantu kita untuk rakyat yang bukan Islam mengenali Islam itu sendiri.Sekadar mengharap Perkim untuk mengajar Islam kepada mereka yang baru berjinak mengenali Islam ,lambatnya dan kelihatan kita gagal. Buktinya Pengerusi Perkim sebelum Dr Mahathir gagal menjinakkan rakyat dengan Islam di Sarawak.

Wake UP! said...

Biarlah jangan jadi rahsia. Tindakan PAS ini akan memudaratkan mereka sendiri. Terima kasih PAS.

Holocaust

melayu atas pagar said...

CIKGU DIN ...

YOU NI FAHAM KE TIDAK TULISAN MSO ... KE MAIN BELASAH JE SOKONG MEMBABI BUTA.

TOLONG BUKA MATA LUAS LUAS DAN BACA BALIK 3X TULISAN MSO BETUL BETUL.

KALAU TAK FAHAM TANYA? BUKAN DOK PUJI MELANGIT APA YB HADI BUAT KITA SOKONG.

RAMAI DAH TAK PUAS HATI DENGAN KEPUTUSAN INI SECARA SEDAR ATAU TIDAK. RAMAI YANG TAK BERANI BERSUARA KERANA TAKUT KEPADA PEMIMPIN, BUKAN TAKUT KERANA ALLAH.

PENYAKIT UMNO DAH BERJANGKIT KEPADA PIMPINAN PAS. TAK NAMPAK LAGI KE ATAU SENGAJA MEMBUTAKAN MATA !!!

YOU NI BETUL BETUL TAK FAHAM !!! JANGAN SBB SANGGUP TERIMA BULAT BULAT UNDI CINA DAN INDIA MELAYU DIKETEPIKAN !!!

JANGAN BUAT GILA !!! MUNGKIN SEJARAH AKAN TERCATIT APABILA MELAYU MUSLIM MENOLAK PAS SECARA TOTAL DALAM NEXT PRU !!!

THINK ABOUT IT ... BE REALISTIC ..

macam-macam ada said...

Semoga Para Pemimpin PAS sentiasa diberikan Taufiq & Hidayah drpd Allah SWT. Semoga segala yg diusahakan mereka akan menjadi sesuatu yg baik untuk Islam & dijauhkan drpd kesipalan yg bakal merosakkan perjuangan.

JOHAN said...

Perjuangan PAS sudah tergelincir dari matalamat sebenar...Ternyata PAS gila kuasa biarpun menggadaikan perjuagan sebenar...Walaupun mendapat untung dari undi orang bukan Islam tetapi suatu hari nanti orang Islam akan menyesal...Percayalah...PAS bukan seperti dulu lagi...
nampaknya kuasa yang dipentingkan...bukan lagi agama...

rozman said...

Salam Tuan MSO,

Syabas dan tahniah kepada tuan kerana memberikan pandangan serta teguran kepada PAS dalam isu ini... Saya sebagai penyokong tegar PAS, merasa terharu dengan keterbukaan tuan dalam menegur kepimpinan PAS...

Cuma kepada Tuan MSO dan pemberi komen.. saya ingin bertanya.. adakah ISLAM diturunkan eksklusif untuk orang melayu?

Setelah sekian lama PAS berusaha untuk memecahkan tembok yang dibina oleh golongan sekular bagi memisahkan antara ISLAM dan golongan bukan ISLAM... tiba tiba PAS sebagai peluang untuk mendekati golongan ini...dirasakan yang terbaik setakat ini... haruskah dan wajarkah ianya dilepaskan?

Ingat.. matlamat penubuhan PAS bukan untuk gerakan politik semata mata.. PAS adalah gerakan Dakwah..

Jika dilihat dari sudut politik, PAS akan mendapat keuntungan yang besar dengan penubuhan Dewan Kelab Penyokong ini.. dan.. dengan memberikan jawatan kepada mereka.. apakah kita orang ISLAM akan mendapat kerugian? Bukankah ini akan menunjukkan kepada mereka.. inilah keadilan ISLAM?

Seingat saya.. dan mungkin Tuan MSO sebagai orang yang lebih berpengalaman.. mungkin lebih tau dan lebih arif.. PAS menggunakan adab berjemaah dengan tersusun.. tidak pernah dalam sejarah era PAS di bawah kepimpinan Ulama'..Presiden menggunakan kuasa veto dalam menentukan dasar dan halatuju PAS.. kesemuanya akan ditapis dan diluluskan oleh Syura Ulama'.. bukankan itu keputusan kolektif?

anafakir said...

Kita bercakap dari sudut pandangan kita..kita tidak berada dlm saf kepimpinan PAS.Apa yg mereka lihat, hadapi dan sdg berlegar dlm pemikiran mereka tidak kita perhalusi..cuma dari sudut pandangan kita, mmg wajar komen Tn MSO itu dipertimbangkan.Niat MSO pasti ada baiknya...kerana pihak ketiga seperti kita ni lebih telus bila bersuara cuma apa yg sdgkan dlm perkiraan pemimpin PAS tidak dpt kita baca.Dalam suasana politiking yg begitu kronik dan mencabar ini, PAS juga perlu bijak merancang dan berpandangan jauh, bukan utk menidakkan keperluan undi muslim itu sendiri tetapi utk menepis dan menghalang kerakusan UMNO dan sekutunya yg sdg merancang pelbagai pendekatan dan cara kempen yg sukar utk dibaca dalam menghadapi PRU13 akan dtg.PAS mungkin sudah mencongak isu itu..cuma sesekali PAS harus malah wajib [ dlm keadaan tertentu ] mengambilkira pandangan pihak ketiga ini utk kemaslahatan jangka panjang hayat PAS itu sendiri...seadanya.

rimbun pohon said...

Assalamualaikum w.b.t.

Pertamanya,saya ingin ucapkan berbanyak terima kasih pada tuan penulis atas tulisan-tulisan sebelum ini yang memberikan manfaat yang insyaAllah bukan sedikit pada pengunjung-pengunjung tetapnya.

Saya merasakan bahawa adab sebagai orang ketiga dalam memberikan pandangan perlu dijaga oleh mana-mana pihak didalam memberikan pandangan.Sebagai orang luar yang tidak terlibat didalam perbincangan,bukan tugas kita untuk menghukum sesebuah keputusan yang dikeluarkan oleh pihak yang terlibat (didalam hal ini PAS).

PAS selaku sebuah jemaah islam pastilah mempunyai pihak-pihak yang ditugaskan untuk membincangkan hal ini secara terperinci samada di peringkat syura dll.

Tetapi bila tuan penulis meletakkan tajuk "Tawar Jawatan Kepada Dewan Himpunan Pas Satu Kesilapan" seakan-akan menampakkan kita pula yang lebih tahu yang perkara ini pastilah sebuah kesilapan!

Mungkin pandangan dan teguran saudara penulis itu ada benarnya dan saya pasti pastilah ianya dihargai oleh semua pihak kerana pandangan ikhlas yg disumbangkan ke arah kebaikan itu sangat dianjurkan didalam islam.

Akan tetapi jangan lupa yang kita adalah orang yang memberikan pandangan dan pandangan kita itu boleh jadi benar atau sebaliknya.Justeru,kita mencadang dan bukan menghukum.

Wallahu a3lam bissawab.Mohon maaf pada pengunjung dan penulis jika komen saya kurang bermanfaat atau kurang beradab.Sekadar pandangan seorang yang masih muda dalam mengenal dunia.

Wassalam.

tok ayah haraki said...

Salam kepada semua umat Islam.
Tahniah kepada Tuan MSO yang telah mengutarakan pandangan yang telus, berterus terang yang saya yakin terbit dari sanubari yang ikhlas kepada perjuangan Islam dan PAS. Disana dalam perkara ini saya mengambil sikap kita perlu sangka baik kepada kepimpinan PAS yang telah memutus dan melancarkan "Dewan" tersebut. Oleh kerana mereka telah melalui syura disetiap peringkat yang terlibat kita pula perlu meyakini bahawa disana ada pertolongan Allah walau sehebat mana nanti respon yang akan dihadapi dalam atau luaran. Dari sudut politik PAS perlu 'memotong' semua step yang telah ada samada dalam PR sendiri [ khususnya dalam PKR ] apatah lagi dengan UMNO. Soal mereka yang tidak setuju kita hadapi dengan hujjah. Pimpinan PAS perlu perjelas sejelas mungkin dasar ISLAM dalam soal 'hubungan dengan non-muslim' kepada tiga pihak besar iaitu ahli PAS sendiri dan kepada pihak "Dewan" yang baru ini. Ini semua untuk mengelakkan salah faham kerana mungkin ahli PAS yang telah Islam dan jelas dengan dasar PAS pun mungkin bermasalah apatah lagi mereka yang 'saudara baru' dalam gerakan walaupun bukan lagi 'saudara baru' dalam beraqidah. UMNO yang 'pekat dan lekit' dengan dasar kebangsaan dan pragmatisnya tentu mengambil kesempatan untuk meraih sokongan Melayu itu kita jangan peduli dengan standard UMNO yang sentiasa 'double standard' itu kerana kita telah nampak natijah dakwah kita kepada UMNO yang sedemikian termaklum. Kita tidak pernah memaksima mungkin dengan segala flatfom dan mekanisme dalam organisasi dalam usaha dakwah kepada non-muslim cuma sokongan non-muslim berlaku disebabkan isu-isu mutakhir yang menggerak dan mencabar kemanusiaan mereka. Persoalan yang bergeligar dalam fikiran saya ialah sejauh mana PAS nak realisasikan usaha "memberi faham dan menjelaskan dasar Islam" kepada 'saudara baru' kita yang bukan hanya "memberi faham dan menjelas dasar politik" semata. Bagi saya untuk menangani isu politik negara mereka kadang-kadang [ malah tidak keterlaluan ] mereka lebih licik dalam menuntut hak mereka dengan strategi MCA + Gerakan + DAP + MIC + lain-lain. Kita orang Islam sentiasa jadi pemerhati terhormat [ dalam dewan YBerhormat - luar dewan Yang Pak Mat dikedai kopi ] ... Akhirnya saya nak tunggu bagaimana reaksi perwakilan dalam muktamar nanti. Kesungguhan PAS dalam tarbiah ada ILHAM, dalam gerakan pilihan raya ada Institut Pilihan Raya ... dengan 'saudara baru' dalam "Dewan" baru ini saya cadangkan supaya diwujudkan "MAAHAD TAJDID" yang di kendalikan oleh YB Sheikh Mujahid. Akhirnya kembali kepada penampilan, syakhsiah kita sebagai anggota jamaah "bertenang". Pimpinan PAS 'wajib' bersatu berhujjah dengan diketuai oleh para ulamak yang politikus. Kita jangan melihat dari sudut teori politik semata.... HIDUP ISLAM...ALLAHU AKBAR. Maaf. Wahhalu A'lam. Wassalam.

almahdha said...

Salam Tuan MSO

Tahniah Tuan MSO atas kesedaran yang tuan kemukakan untuk kesedaran bersama. Saya perhatikan tindakan yang dibuat itu melambangkan PAS gopoh dalam menerima sokongan dari kaum bukan islam.

kerana terlalu taksub dan gembira perubahan yang melanda PAs sekarang sehingga tidak sedar kita sedang melakukan kesilapan.

Saya tidak membantah satu tawaran yang diberi kepada mereka atas sokongan menakjubkan yang diberi oleh kelab penyokong itu, tapi sebagaimana yang tuan nyatakan bukan dengan niat memeberi kebendaan sebagai balasan. Ianya perlu kepada semangat keimanan dan dengan sifat taqwa.

Perlu kita tunjukan kepada mereka bahawa kita berurusan dengan mereka atas dasar keimanan yang ada dalam parti.

Tawaran yang dibuat itu akan ditafsirkan sebagai imbuhan atas sokongan kepada PAS. Tidak ada beza dengan apa yang UBN buat dan amalkan.

Biar ada kelainan dengan pemberian itu. Biar terdetik dalam hati mereka bahawa pemberian ini berlainan dengan apa yang ubn tawarkan. Pemberian penuh dengan keimanan dan taqwa.

Mereka tentu dapat bezakan bagaimana Islam berurusan dengan mereka