Wednesday, May 26, 2010

Mogok Politik

MIC Sudah Jadi Lembu Tua Dalam BN

KEMELUT kepimpinan dalam MIC nampaknya menjadikan liabiliti kepada BN. Ada tanda-tanda menunjukkan BN yang diketuai Umno kurang senang dengan krisis yang berlaku di dalam parti berkenaan. Tindak tanduk pemimpinnya dilihat sebagai memberi masalah kepada BN.

Apa yang jelas kini pemimpin Umno tidak begitu senang dengan kemelut dalam parti tersebut, terutamanya kedegilan pemimpin nombor satunya, Samy Velly untuk tidak berundur. Kedegilan Samy Vellu (foto) itu memuakkan Umno. Sedar atau tidak sedar ada semacam campur tangan Umno bagi mengatasi kemelut dalam MIC termasuk menyingkirkan Samy Vellu.

Aksi ini dilakukan tersembunyi oleh Umno dengan memberi sokongan kepada kumpulan tertentu dalam MIC yang menyerang presiden MIC itu.

Sikap judis Umno kepada MIC ini bermula apabila parti tidak dapat mengekalkan prestasinya dalam pilihan raya umum lalu. Disebabkan corak politik diktator Samy Velly dalam MIC menjadikan parti berkenaan kalah teruk pada pilihan raya umum lalu. Gara-gara itu menjadikan BN kehilangan majoriti 2/3 di parlimen.

Sebenarnya Umno tidak boleh meletakkan kesalahan itu kepada MIC seratus peratus. Kegagalan itu juga adalah tanggungjawab Umno. Umno juga berada dalam keadaan lemah ketika menghadapi pilihan raya umum ke - 12 lalu. Jadi kalau Umno menyalahkan MIC seratus peratus ianya sangat tidak adil. Tetapi itulah apa yang berlaku dan begitulah perangai Umno. Parti Melayu itu mudah menunding jari kepada pihak lain tanpa melihat kesalahannya sendiri. Beginilah perangai parti yang ego dan sombong dan terus bernostalgia dengan kehebatan masa silam.

Umno terus menerus menyalahkan MIC terutamanya Samy Vellu. Mungkin alasan itu benar. Tetapi kenapa sewaktu Mahathir Mohamad menjadi presiden Umno selama 22 tahun tidak ada siapa dari Umno yang mempertikaikannya. Tidak ada desakan besar. Kalau bukan kerana reformasi yang dipimpin Anwar Ibrahim 1998 mungkin Mahathir tidak akan turun lagi dan masih tercokol dalam Umno seperti Samy Vellu duduk atas tunggul MIC sampai berakar umbi.

Disebabkan itu apabila Umno beriya ingin menggugurkan Samy Vellu jelas Umno cuba campur tangan dalam kepimpinan MIC dan tidak menghormati piagam BN. Apa yang berlaku di Hulu Selangor baru-baru menjelaskan realiti itu. Umno terang-terang menolak calon dikemukakan oleh MIC, G Palanivel sebaliknya mengemukakan calonnya sendiri. Kamalanthan. Penolakan Palanivel itu satu penghinaan yang mengaibkan Samy Vellu dan MIC.

Jadi apabila anak Samy Vellu Vella Paari menuduh Umno melakukan politik membunuh berdasarkan aksi-aksi Umno itu ia adalah satu kebenaran. Walaupun cara Umno ingin mengembalikan kekuatan MIC seterusnya mengukuhkan kedudukan BN, tetapi cara Umno melayan musuh-musuh Samy Vellu tidak kena.

Umno sepatutnya tidak bercakap membela Mugilan apabila Samy Vellu memecat Naib Ketua Pemuda MIC itu. Pembelaan Tengku Adnan Mansor terhadap Mugilan dengan menafikan Mugilan sebotaj calon MIC di Hulu Selangor, itu membuktikan Umno memcampuri urusan MIC secara langsung. Campur tangan itu juga merendahkan kedudukan Samy Vellu sebagai presiden parti. Inilah menyebabkan anak Samy Velly marah kepada Umno dan bersikap membela bapanya.

Dengan apa yang berlaku dan dilakukan BN terhadap MIC kini sudah cukup untuk memberi peluang kepada parti itu mengenali stail dan budaya oportunis politik BN yang diketuai oleh Umno. Umno akan mencari kesempatan atas apa saja untuk kesenangan dan mendapat kuasa. Umno akan menyokong mana-mana juga pihak asalkan memberi hasil kepadanya. Dan Umno sanggup menendang mana-mana sahabatnya yang tidak lagi menguntungkannya. Apa yang berlaku ke atas Pas tahun 1974 yang ditendang dari BN sepatutnya diingat oleh MIC.

Hari ini Umno lihat MIC semakin lemah dan ditolak oleh orang India. Jadi untuk apa lagi Umno terus memelihara Umno dan komponen BN. MIC dan Samy Vellu sudah jadi macam lembu tua buat Umno. Lembu tua sudah lemah dan tidak dapat digunakan untuk melakukan kerja-kerja tenggala tanah atau menari pedati lagi. Jadi untuk apa dipeliharanya lagi sedangkan makan dan minum harus disediakan. Untuk memudahkan kerja lembu tua itu perlu dibuangkan saja.

Saya tidak mahu meramalkan sesuatu yang buruk akan berlaku ke atas MIC dan Samy Vellu. Tetapi melihat kepada gaya hari ini hubungan Umno dengan MIC khususnya Samy Vellu sudah terlalu teruk dan mulai mengusut. Apakah mungkin MIC akan ditendang dari BN atau meminta keluar dari BN, adalah sesuatu pengakhiran yang ditunggu oleh kita semua. [wm.kl 10:15 am 26/05/10]

9 comments:

nalapambu said...

MIC adalah salah satu pomponen parti BN yang penting walaupun minoriti sahaja.

Mencari jalan penyelesaian dan perdamaian adalah lebih baik dari berkomprantasi.

Sudah kuat sangatkah UMNO, sudah pulihkah BN selepas kekalahan teruk pada PUR12?

Nor Azman bin Sukerman said...

Assalamu alaikum tuan. UMNO tetap UMNO. Kata-kata anak Samy Belu itu ada benarnya. Tak payah UMNO nak tunjuk Orang tu biadab, orang ni kurang ajar.

1977, Siapa yang tendang PAS (pembunuhan politik)?, 1981, siapa yang ketepikan Tun Hussin On (pembunuhan politik)? 1985, siapa yang membunuh penduduk kampung di Memali (pembunuhan sebenar kerana politik)? 1988, siapa yang membunuh kerjaya Tun Salleh Abbas (pembunuhan politik)? 1994, siapa yang membunuh Tun Ghaffar (pembunuhan politik)? 1998, siapa yang membunuh Anwar Ibrahim (pembunuhan politik)? Terbaru, 2009, siapa bunuh Pak Lah (pembunuhan politik)?

Kalau UMNO dengan UMNO pun mereka tak ada belas kesihan, ini kan pula hanya sekadar komponen dalam Barisan Nasional. Sebenarnya kalau MIC dikata lembu tua, UMNO sebenarnya harimau tua. Tua sama tua cuma harimau mungkin nampak kuat kerana ia adalah ketua rimba (rimba Barisan Nasional). Tapi kini kancil, rusa, musang, seladang, pelanduk, beburung, unggasan, ular danlain-lain hidupan dah nak cari hutan baru, tak nak lagi berketuakan harimau tua tu. Jadi buat lembu tua, sebelum terlambat mari bersama kami ke hutan baru yang lebih sejahtera.

ct maimon said...

...... BN kehilangan majoriti 2/4 di parlimen.

2/3 daa....

mso.im said...

Sensitiviti penjenguk blog saya terlalu tinggi dan ada juga yang bengkeng! terima kasih....

KOYAN said...

tak pe pak mso.sekurang2nya mereka sentiasa mengikuti penulisan pak mso itu pun jauh sudah bagus.biar mereka bekeng jangan bongok.biasa mereka sensitive jangan tiada berperasaan. teruskan menulis pak mso.

Mohd Shahrizal said...

Pak MSO,
sekurang2nya pemimpin utama Umno dan MCA (tonggak utama UBN) telah berundur dan mengambil tanggungjawab atas kekalahan mereka. Ini wajar diberikan penghormatan berbanding SemiValue dan KohSukun yg tak mampu menang dlm PRU pun... Apapun, MIC memang memerlukan perubahan yang amat besar ketika ini untuk mengembalikan sokongan kaum india kepada mereka..

anakzaman said...

TUAN MSO.

Saya pecaya ketika ini UMNO menganggap MIC parti melukut tepi gantang dan parti tahi gigi BN sebab masa ini tidak ada pilihanraya kecil atau pilihanraya besar.

Berita kemelut dalam MIC tidak akan keluar dalam akhbar sekiranya ada pilihanraya.Tuan lihat sendiri semasa pilhanraya Hulu Selangor dulu.
Sudah dua bulan pilihanraya Hulu Selangor selesai dan calun bangsa India menang barulah kedengaran UMNO menghentam Samy Velo.Kita tau masalah dalam MIC telah belaku sekian lama.

Cerita ini macam cerita kerbau melepaskan buaya yang dihempap pokok. Sudah selamat musibah yang menimpa, buaya tu tangkap keting kerbau. ha!ha!ha! ha!....

anzam 2009

unanjaga said...

Didepan mata mereka seolah olah berlakon dengan tingkah laku yang baik dan sopan,namun pada kuku jari jemari mereka sentisa tersimpan cakar kuku yang mencari kesempatan untuk merobek keupayan musuh politik mereka,termasuk juga kawan politik mereka(cantas mencantas).Lagu politik mereka ini telah lama bersarang dalam hati busuk mereka.

Yanaam said...

Mencampuri urusan parti lain bukan perkara baru dibuat oleh Umno.

Tahun 70an, Umno campur urusan Pas memilih MB Kelantan. Akhirnya Pas berpecah dan disingkirkan drp BN.

Dalam EGM MCA beberapa bulan lepas, ramai percaya Umno cuba campur. Umno memang mahu Tee Keat disingkirkan drp kerusi presiden. Umno cuba tonjolkan Ong Ka Ting tetapi Soi Lek yang menang. Yg penting Umno berjaya tolak Tee Keat.

Ketika PRK Hulu Selangor, Umno cuba ajar MIC memilih calon. Nama Mugilan ditonjolkan oleh media Umno tetapi Kamalanathan yg naik. Yg penting Umno berjaya tolak Palanivel, satu undi tidak percaya kepada Timbalan Presiden MIC.

Krisis PPP pun ramai yg percaya Umno cuba tunjuk jalan keluar kepada Kayveas tetapi kurang berjaya. Mungkin kurang kesungguhan atau tak dapat restu orang tertentu.

Bagi Umno, hanya mereka yang bijak dan bagus menilai pemimpin dan hanya pemimpin mereka sahaja yang terbaik. Yg lain perlu mencontohi apa yang mereka buat.