Wednesday, September 16, 2009

Ulasan Peristiwa

Sukumaran Dan Para Pengampu Mahathir

BEBERAPA pengampu bekas PM, Mahathir Mohamad bangkit dengan kemarahan berulang-ulang dan jenis sama kepada si pencadang agar gambar Dr Mahathir Mohamad digantungkan dengan selipar. Bukan main lagi pembela Mahathir tersinggung sungguh dengan cadangan salah seorang perwakilan MIC itu. Macamlah perwakilan itu mencadangkan supaya Mahatahir dinyahkan dari bumi ini!

Bukan setakat menggesa agar perwakilan MIC itu memohon maaf tetapi ada yang membuat laporan polis. Untuk apa laporan polis! Bukankah cadangan itu sebahagian daripada demokrasi dan haknya berbuat demikian. Kadang-kadang bak laporan polis ini sudah jadi macam budak-budak main tembak-tembak saja. Sikit-sikit laporan polis, sikit-sikit laporan polis, sikit-sikit laporan polis. Berapa banyak dahhhh ...

Sejak semalam saya tercari-cari wajah perwakilan MIC yang berani itu dan menjadi sebutan itu. Tidak ada akhbar yang menyiarkannya. Namanya juga tidak ada disebut (atau mungkin saya terlepas pandang). Hari ini baru ada akhbar yang menyebut namanya. Dia rupanya timbalan ketua bahagian MIC Paya Besar, Pahang, M Sukumaran@Peter Sukumaran.

Melihat nama bahagiannya sudah boleh dibayangkan bagaimana bersemangatnya perwakilan ini. Paya Besar, tentulah hati dan jiwanya juga besar macam paya itu. Manakala namanya pula kalau diamati menunjukkan keunikan sendiri menjadikan dia berani dan tergamak membuat cadangan itu.

Namanya ialah Sukumaran, di mana kalau diasingkan nama itu jadi 'Suku' dan 'Maran'.
Menurut Sukumaran dia kata dia tidak sengaja membuat cadangan itu. Kita faham. Dia emosi sebab Mahathir telah mengkritik pemimpin dia. Bagi Suku, Samy Vellu adalah segala-galanya. Macamlah juga bagi sesetengah ahli Umno Mahathir adalah segala-galanya. Menjadi lumrah seorang pengikut yang taksub kepada seseorang dia tidak akan nampak apa-apa dosa dan noda kepada pemimpin itu.

Jika pembela Mahathir dapat memahami nama Sukumaran ini mereka tidak akan terasa hati. Apa tidaknya kalau dia tidak bernama Suku, dia akan tahu bagaimana kemurahan Mahathir dalam memberi laluan kepada Samy menjadi Menteri Kerja Raya. Kalau dia tahu nilai itu dia tidak akan tergamak membuat cadangan itu. Tetapi kerana Suku itu mungkin 'sesuku', maka ia tidak nampak kebaikan itu dan hanya nampak kekudus Samy Vellu.

Bukan saja Suku tetapi kalau ada orang bersifat sesuku dalam Umno juga akan marah kalau ada orang luar mengkritik pemimpin idola mereka. Siapa tidak sayangkan pemimpin... apa lagi kalau sudah sampai ke peringkat dia dipuja, pantang ada yang kritik akan dihentamnya.

Jadi orang atau penyokong macam ini bila pemimpin mereka dikritik dia akan melenting. Itulah terjadi kepada orang yang menjadi penyokong apa lagi pengampu Mahathir dan apa lagi yang merasakan Mahathir berbudi kepada mereka seperti memberi projek berupa jambatan ataupun lebuh raya dan sebagainya.

Sebenarnya tindakan Sukumaran itu sudah pun tepat. Rasanya hanya segelintir orang Umno saja yang tidak setuju dengan cadangan itu. Tetapi masih ramai dalam Umno menyokongnya dan bersetuju dengan cadangan itu. Orang di luar Umno juga menyokongnya. Saya percaya ada pihak yang menyokong tindakan Sukumaran itu cuma tidak berani menyatakan secara terbuka.

Kesilapan Suku ialah masa dipilih untuk mengemukakan cadangan itu. Kalau dia mengemukakan cadangan itu 10 tahun lalu tentu ia akan disambut hebat. Ketika Mahathir dianggap sebagai Mahazalim, Mahafiraun dan segala macam maha itu. Bukan saja kalangan MIC yang kini sudah berhijrah ke Hindraf tetapi orang Melayu juga. Tentu dia akan dijulang sebagai pemberani Malaysia.

Puak-puak reformasi yang mendokong perjuangan Anwar Ibrahim, yang berarak disegenap jalan raya mengutuk Mahathir tentu akan menyukai cadangan itu. Cuma sayang, cadangan itu dibuat selepas Mahathir sudah berhenti jadi PM. Di sinilah silapnya. Suka tidak suka hari ini kita kena menerima Mahathir sebagai pemimpin negara ini. Atas nama pemimpin itu kalau apa-apa cadangan menghinakan dirinya dibuat sangatlah tidak patut. Pun begitu atas keistimewaan itu Mahathir juga tidak boleh cakap ikut sedap saja. Dia juga perlu kena jaga lidahnya.

Saya bersetuju kalau Sukumaran akan memohon maaf ke atas kesilapannya itu. Cara paling baik dan wajar saya rasanya beliau sendiri pergi berjumpa dengan Mahathir sambil memakai kalung selipar dan memohon maaf kepadanya atau wakil Mahathir yang berlambak itu. Habis cerita.

Bagi saya tindakan Sukumaran itu masih belum sampai ke tahap seperti Muntadar al-Zeidi wartawan Iraq yang melempar kasut kea rah GW Bush, dia hanya baru peringkat mencadangkan saja. Maaflah dia. [wm.kl. 6:45 am 16/09/09]

Tuesday, September 15, 2009

Sesudah Subuh

Khir Toyo Patut Disoalsiasat Selama 24 Jam
Satu Jam Untuk Satu Juta

SETELAH orang ramai terutamanya kalangan pembangkang kecewa dengan SPRM kerana lambat bertindak atas laporan yang dibuat ke atas bekas MB Selangor, Khir Toyo berhubung pembinaan banglonya, akhirnya semalam SPRM telah memanggil Khir untuk disoal siasat berhubung pembinaan banglo didakwa bernilai RM24 juta itu.

Khir tiba di pejabat SPRM jam 8:30 pagi dan keluar jam 2:30 petang. Enam jam, apakah cukup bagi menjalankan siasatan untuk perkara sepenting itu? Jika hendak dikira dengan dakwaan (nilai Banglo) itu masa enam jam terlalu pendek. Mungkin siasatan dilakukan SPRM tidak sampai pun satu jam?

Muqadimah untuk memulakan siasatan mungkin mengambil masa satu jam. Barang kali ada pegawai SPRM yang bersimpati dengan kerjaya Khir Toyo (selepas Khir tak lagi jadi MB) menanyai prihal politiknya.Tanya bagaimana keadaan Umno dan juga bertanya mengenai masa depan Khir Toyo dan kesihatan ayahnya, Toyo Endrikromo. Bertanya apakah perbezaan selepas tidak lagi hidup mewah seagai MB dan bagaimana ketika menjadi MB.

Atau mungkin juga ada pegawai SPRM yang bertanya mengenai penyapu yang Khir pernah hadiahkan kepada pegawai PBT di Kuala Selangor dulu. Ke manakah perginya penyapu berkenaan dan apakah nasib malang yang menimpa Khir kini disebabkan badi penyapu itu?


Mungkin juga ada yang mengajukan pertanyaan berhubung dengan wajah Khir yang putih bersih apakah rahsianya. Apakah kerana Khir mengamalkan tempel atau memakan tapai ubi kayu. Atau ada yang meminta doa daripada Khir yang dibaca di sepanjang malam-malam lailatu qadar?


Mungkin juga ada yang bertanya soal anak isteri dan barulah masuk ke soal siasat berhubung banglo berkenaan. Mungkin sebelum soalan dimulakan, Khir dan pegawai SPRM bercerita dulu fasal kemeriahan puasa tahun ini dan dicampur dengan hal-hal lain sikit lagi semisalnya mengenai kematian Teoh Beng Hock. Mengenai perkembangan tazkirah di masjid di Selangor yang satu masa dulu dilarang Khir dan kini sudah dibenarkan serta macam-macam lagi juga turut jadi bualan. Masa bebincang hal ini mungkin mengambil masa dua jam.

Dicampur dengan muqadimah satu jam tadi menjadi tiga jam. Masa tersisa hanya tiga jam lagi. Tolak batuk, berdaham, perbetulkan kerusi dan mencari kertas atau pen atau proses membuka laptop untuk merakam percakapan dan sebagainya, tinggallah dua jam. Dua jam sahaja Khir menjawab persoalan SPRM?

Kalaulah bayangkan ini benar bermakna pemergian Khir ke SPRM itu hanya untuk mengabui mata pihak yang melaporkan sahaja. Dipanggil untuk ambil hati saja. Logiknya, banglo begitu besar takkanlah hanya lapan jam sahaja proses soal siasat dijalankan. Nak jelas berapa beg simen dan jongkong digunakan untuk bina banglo itu pun dah ambil masa 45 minit. Jika diukur dengan nilai banglo itu Khir patut disoal siasat selama 24 jam, iaini satu jam bagi satu juta seperti mana didakwa itu.

Apa lagi ssiatan selama dikatakan enam jam itu dicampur sekali dengan soal siasat berhubung wang tajaan RM1 juta untuk keluarganya membuat lawatan ke Taman Tema Disney Orlando di Paris. Kenapa campur sekali? Sepatutnya siasatan itu diasingkan. Untuk siasat kes banglo satu masa khusus, mengenai wang tajaan itu pula satu masa khusus barulah soal siasat detail dan lengkap.

Diharap pihak SPRM dapat menjelaskan secara mendalam proses soal siasat itu dijalankan bagi memuaskan hati semua pihak. Kalau Khir hanya dipanggil atas alasan untuk mengabui mata pihak yang membuat laporan, baik tidak usah panggil kerana ia menambahkan lagi tohmahan umum ke atas ketelusan SPRM yang kini sudah mulai diragui dan makin diragui terutamanya bila membabitkan laporan dibuat pembangkang dan juga laporan ke atas pembangkang yang disiasat seperti kilat. [wm.kl. 7:07 am 15/09/09]

Anwar Tetap Popular

Sekitar Pelancaran Buku Pawancheek

PETANG semalam bertempat di sebuah hotel di Ampang, Selangor telah berlangsung pelancaran buku Anwar on Trial - In The Face of Injustice yang ditulis oleh peguam terkemuka Pawancheek Marican dan sekaligus majlis berbuka puasa. Pelancaran dilakukan oleh bekas Presiden Majlis Peguam, Raja Aziz Addruse.

Majlis berkenaan sungguh meriah dihadiri golongan professional, peguam, doktor, arkitek, enggeniear, dan ahli politik serta pemimpin NGO.

Anwar Ibrahim bersama isterinya, Wan Azizah Ismail juga turut sama hadir menyerikan majlis berkenaan dan turut menyampaikan sepatah kata-kata aluan dan penghargaan kepada Pakwancheek yang menghasil buku berkenaan.

Balu Christopher Fernando yang merupakan salah seorang pena peguam membela Anwar, Maria Kanaruddin bersama dua anaknya, Marisa Regina dan Rina Rizal turut hadir dan menjadi tetamu istimewa.

Antara wakil rakyat yang hadir Johari Abdul, Zuraidah Kamaruddin, Shaari Sungip dan Zulkefli Nordin. Manakala peguam pula Kamar Aniah Kamaruzaman, Zaid Ibrahim, Yahaya, Yunus, Azhar, Radzi Mustafa, Ahmad Buruk, Sivarasah, Bachan Singh dan lain-lain.

Kehadiran Zulkefli Nordin yang kelihatan senantiasa mendekati Anwar ternyata menjadi perhatian dan usikan para tetamu. Zulkefli yang akhir-akhir ini banyak bercakap tidak senada dengan PKR dipertikaikan oleh beberapa tetamu dan ada yang menganggap kemunculannya itu sebagai menyibuk saja.

Paling memeranjatkan menurut salah seorang panitia majlis itu dia tidak tahu siapa yang mengundang ahli Parlimen berkenaan.

Mengenai buku berkenaan, mungkin ramai yang tidak mengetahui apa yang berlaku di sebalik penulis buku berkenaan oleh Pawancheek Marican yang mengambil masa 10 tahun. Saya sendiri sudah tidak yakin buku itu akan siap dan akhirnya diterbitkan.

Melihat kepada cara Pawancheek menulis dan melahirkan buku itu begitu rumit dan berhati-hati sekali menyebabkan saya merasakan ia tidak akan siap. Secara berseloroh saya sebutkan kepada Ibrahim Hashim kawan Pawancheek yang membawa beberapa bab awal buku itu kepada saya untuk dibaca, 10 tahun lagi buku itu tidak akan siap, kata saya.

Ternyata selepas 10 tahun baru buku berkenaan siap. Saya faham susah dan getirnya menulis buku, apa lagi buku politik. Tetapi apapun Pawancheek berjaya juga menghasilkan buku yang pada saya sebuah dokumen ilmiah dan penuh dengan fakta berhubung dengan liku-liku perbicaraan ke atas Anwar atas tuduhan penyalahgunaan kuasa dan ke liwat membabitkan bekas pemandu isterinya, Azizan Abu Bakar yang penuh kontroversial.

Walaupun Pawancheek bukan penulis buku professional, tetapi cara dia mempersembahkan apa yang belaku dalam mahkamah secara live menyebabkan buku ini hidup dan satu-satunya laporan perbicaraan tehadap Anwar yang lengkap seumpamanya.

Kelebihan Pawancheek di sini ialah kerajinannya mencatat dialog demi dialog semasa perbicaraan itu berlangsung. Rasanya keselurahan fakta perbicaraan Anwar terkandung dalam buku berkenaan.

Pawancheek juga merupakan salah seorang daripada sembilan penal peguam membela Anwar.

Saya percaya buku Pawancheek bakal menjadi rujukan para mahasiswa dalam pengajian undang-undang dan mereka yang minat dalam politik di negara ini khasnya membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Syabas dan tahniah kepada Pawancheek atas keberhasilan itu dan terima kasih kerana turut menjemput saya hadir ke acara pelancarannya petang semalam. Kesempatan saya hadir pada majlis itu membolehkan saya menyaksikan bagaimana Anwar masih lagi popular dan disanjungi umum khasnya kalangan anak muda mengelilingi Anwar dan meminta menandatangani buku berkenaan atau bergambar kenangan.

Kemesraan dan layanan yang diberikan Anwar sore tadi menyebabkan ada yang merasakan tidak mahu berpisah dengan Anwar manakala sesetengahnya yang selama ini terkeliru dan bersikap sekejap dingin dan sekejap panas dengannya kembali mengejapkan sokongan kepadanya. [wm.kl 5:45 am 15/09/09]

Salah seorang tetamu meminta Pawancheek menandatangi bukunya.

"Ini orang jangan main tau!" mungkin itulah yang Anwar katakan mengenai Zulkefli sambil diperhatikan oleh Marisa Regina.

Anwar ketawa mendengar celoteh salah seorang tetamu yang menceritakan bagaimana dia menjerit reformasi di satu majlis kahwin.

Wan Azizah dan Anwar meraikan Maria Kanaruddin dan anaknya, Marisa Regina dan Rina Rizal.

Zaid Kamaruddin, Sivarasah dan Zaid Ibrahim.

Monday, September 14, 2009

Berita Terkini

Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang 11 Oktober

Pilihanraya kecil kerusi N31 Bagan Pinang, Negeri Sembilan akan diadakan pada 11Oktober depan hari Ahad, hari mengundi manakala hari penamaan calon pada 3 Oktober. Demikian diumumkan oleh Pengerusi SPR Abdul Aziz Yusuf sekejap tadi.

Pilihan raya itu diadakan berikutan kematian Adun berkenaan Mohd Azman dari UBN pada 7 September lalu. [wm.kl. 12:19 t/hari]

Celoteh Murai 52

SIAPA LEBIH MUNAFIK?

MURAI nak tergelak apabila Salentia mengatakan di kalangan ahli Pas juga ada yang dikesan terlibat dengan kegiatan menyabung ayam. Baru Murai tahu rupa-rupanya selama ini kerja si Salentia ini ialah mengendap orang Pas bersabung ayam. Mungkin kerja-kerja mengendap sabung ayam ini kerja tambahan di kawasan yang diwakilinya. Al maklumlah ahli parlimen bebas kerjanya tidak banyak jadi sempatlah melakukan kerja-kerja rendah moral seperti mengendap itu.

Murai tidak menolak kalau memang ada di kalangan ahli atau penyokong Pas terlibat dengan kegiatan menyabung ayam, ikan sepilar, katak padang ataupun lembu. Apa lagi di era Pas kini tergilakan kuasa banyak terlupa untuk menterbiahkan ahlinya. Kegiatan itu menjadi budaya dan tradisi ahli Pas di sempadan Kelantan. Bukan saja orang Pas yang sabung ayam tetapi orang Umno juga kuat bersabung ayam. Kadang-kadang ayam orang Pas bersabung dengan ayam orang Umno! Anihnya penyabung ayam ini boleh bersatu di dalam arena laga ayam tetapi kembali jadi musuh di luar gelanggang perjudian.

Murai percaya apa yang dikatakan Salentia itu dari sumber yang pasti. Mungkin Salentia turut sama terlibat dalam kegiatan itu atau ada anak kakinya yang aktif melaga ayam di kawasannya. Kalau dia sendiri tidak masuk ke gelanggang macam mana dia boleh tahu? Dan setahun Murai taukeh bon laga ayam di kawasan Salentian itu adalah pemimpin Umno sendiri!

Jadi Murai tidak hairan sedkiitpun. Cuma di sini apa yang Murai nak timbul dan nak tanyakan yang mana lebih hina daripada bersabung ayam dengan menyabungkan diri sendiri dalam gelanggang politik. Kalau bersabung ayam itu berdosa, apakah menyabungkan diri dalam politik tidak berdosa?

Salentia barang kali terlupa dengan gelagat dan perangainya yang tidak habis-habis menyabung dirinya dalam politik. Sejak dari awal hingga ke akhir hayat mungkin dia terus menyabung dirinya untuk survive. Persabungan itu memeningkan pemerhati dan sekaligus meletakkan dirinya tidak ubah seperti ayam sabung yang suka berkokok tapi ekor bergelumang tahi.

Periksalah denai-denai politik yang dilaluinya. Politik Salentia subur dan hidup menerusi persabungan. Kalau beliau tidak sedia menjadikan dirinya ayam sabung, pasti sudah lama dia mati konjol dengan kedua-dua belah kaki kejang ke atas seperti ayam langgar lori. Statusnya hari ini diperolehi menerusi persabungan yang licit alias munafik.

Gelanggang mula-mula dia sabungkan dirinya ialah Berjasa, selepas itu Umno, selepas itu Semangat 46, seleps itu Umno semula. Kini dalam proses nak menyertai Umno kembali untuk kali ketiga dan bercadang nak buat hitrik. Sebab itulah dia acap berkokok untuk mendapat perhatian orang Umno. Bagaimana pun dia masih terkial-kial di luar gelanggang kerana belum ada isyarat untuk membolehkan dia menghulur tenguk masuk ke gelanggang.

Mungkin Selantia tidak berapa diminati Umno lagi kerana Umno sudah mengetahui yang dia jenis ayam buntut busuk. Ayam buntut busuk ni jenis berak 'car...' (terpacar) kata orang Kelantan di mana najisnya tidak keras tetapi lembik dan bersembur, baunya ya Allah.... tak tergamak nak cerita. Ayam jenis begini tidak ada siapa sudi mendekati lagi.

Makanya hari ini Selantia kena berkokok semahunya. Dia kena menghina parti Pas, kena menghina Anwar Ibrahim dan kena menghina Nik Aziz Nik Mat. Dia tidak peduli siapa mereka itu kepadanya. Apakah jasa dan budi orang itu kepadanya. Yang penting dia terus dapat survive. Jenis haiwan mengigit jari tuan. Dan dalam masa itu pula dia kena memuja dan memuji Najib dan Rosmah atau pun berbuat sesuatu jenaka untuk diketawai oleh kedua mereka ini. Jadi badut, badutlah asalkan Najib dan Rosmah senang...

Apakah cara hidup munafik begitu tidak berdosa? Apakah dosanya sama atau kurang daripada bersabung ayam? Kerana itu bagi Murai sebelum Salentia mengatakan kepada orang Pas tiliklah kepada diri sendiri. Jumpalah mana-mana ustaz dan tanya mengenai kegiatan menyabung diri itu apakah dosanya lebih besar atau lebih kecil dari sabung ayam.

Bagi Murai perilaku Selantia itu lebih jijik dan lebih munafik daripada orang-orang yang menyabung ayam itu.

Murai: Suka menyonget-nyongetkan ekor.

Sunday, September 13, 2009

Politik MIC

Pakatan Rakyat Terbaik Buat Subramaniam

PROSES pemilihan pucuk pimpinan MIC semalam menunjukkan Samy Vellu masih berkuasa dalam parti bangsa India itu. Bukan berpengaruh tetapi berkuasa! Kesemua calon yang disokongnya menang. Bermula dari jawatan kuasa kerja pusat CWC sampailah kepada naib presiden dan timbalan presiden. Usaha S Subramaniam untuk menggugat Samy menerusi jawatan timbalan presiden sekali lagi gagal.

Bekas anggota kabinet itu kalah kali kedua dalam percubaan untuk memimpin MIC dan sekaligus memghapuskan badi Samy Vellu dalam MIC. Para perwakilan masih meluut kepada Samy Vellu. Apakah ianya kerana politik wang, ugutan yang sering berlaku ataupun memang begitu kehendak ahl-ahli MIC?

Apa yang dapat disuluh dengan keputusan itu menunjukkan tidak banyak perubahan dalam MIC. Kedudukan Samy Vellu terus kekal dan kukuh seperti mana kedudukan Dr Mahathir Mohamad dalam Umno suatu masa dulu. Mungkin juga Samy Vellu belajar dan menuntut dari Mahathir bagimana hendak mengekalkan kedudukan walaupun dalam keadaan dunia sudah mencemuhinya. Samy tentu boleh bergembira dengan apa yang berlaku.

Tetapi untuk masa depan parti itu ia masih kabur. Pelan dan formula yang dirancangkan Samy Vellu untu merubah kedudukan masyarakat India tidak akan mengubah status quo MIC pada masa kini. Walaupun Samy kuat disokong dalam MIC namun ia tidak membawa apa-apa makna. MIC sudah menjadi semacam persatuan agama di mana Samy sebagai tok gurunya yang perlu dihormati sepanjang masa dan tidak boleh diusik atas kepercayaan kalau berbuat begitu akan berdosa.

Apabila parti sudah diterima sebahagian dari elemen agama, atau pemimpinnya di anggap sebagai ‘tok alim’ ini menyebabkan ahli tidak boleh bertindak apa-apa kerana bimbang akan dihukum sebagai penderhaka dan biadap. Setiap kata-kata dan gelaran politik dibuatnya diakur walaupun ianya kontras dengan amalan sebenar. Maka akan kekallah pemimin itu walaupun ia sudah tidak memberi banyak guna dan menjadil liabiliti kepada partinya.

Unsur ‘alim' dalam politik ini bahaya dan tidak membawa kemajuan kepada sesebuah parti itu. Ahli tidak boleh mengkritik dengan bebas kerana terikat dengan terma-terma sifat kealiman tokoh tersebut. Walhasil parti itu tidak akan berkembang dan kekal di pradigma lama.

Persoalan kini ke mana Subramaniam selepas ini? Apakah beliau akan terus berusaha untuk memimpin MIC? Subramaniam bukan kecil anak dalam MIC dan masyarakat India. Beliau juga mempunyai pengikut yang ramai. Kalau beliau tidak berpengaruh mustahil beliau mampu meraih undi 547 undi dalam pertandingan itu.

Ahli atau masyarakat India yang menyokong Subramaniam adalah mereka yang yakin kepadanya dan suka kepada pembawaan dan peribadi Subramaniam itu sendiri. Dia dilihat sebagai terbuka dan profesional dalam politik. Tidak sedia menggunakan samseng dan juga wang dalam meraihkan kuasa. Subramaniam masih lagi bersifat dewa dalam MIC? Maksudnya bersih.
Dengan pengikut yang ramai sebenarnya ia tidak merungsingkan Subramaniam. Kalau beliau mahu berjaya dan menghidupkan karier politiknya beliau boleh bawa pengikutnya yang ramai itu ke mana sahaja. Tetapi apakah Subramaniam berfikir begitu? Kalau beliau sudah sampai peringkat kecewa tidak mustahil Subramaniam akan bertindak di luar dugaan.

Misalnya kalau dia ingin menjaga kepentingannya, dia boleh keluar MIC dan menyertai parti PKR ataupun menubuhkan sebuah parti India baru dan menyertai Pakatan Rakyat.

Kita yakin kalau Subramainan tubuh parti baru sambutannya lebih hebat daripada parti-parti India lain yang ditubuh termasuk oleh bekas penyokong Hindraf sendiri. Ini kerana beliau masih ada wibawa dan intergriti sebagai pemimpin.

Harus direnung kata-kata beliau selepas kalah. Katanya dia akan memikirkan dan menentukan mengenai politiknya selepas ini. Apa maksud kata-kata Subramaniam itu beliau akan menentukan masa depan politiknya itu dengan menyertai PKR.

Seperkara nak disebutkan di sini bahawa Subramaniam juga merupakan salah seorang sahabat baik kepada Anwar Ibrahim semasa Anwar di dalam UBN dulu. Kalau Subramaniam menyertai PKR ini bermaka dia menjadi orang kedua bekas seorang pemimpin parti yang berwibawa menyertai PKR selepas Chua Jui Meng. Apa yang Subramaniam perlu pandangan juga entiti India masih belum ada apa-apa wadah untuk masyarakat itu dalam Pakatan Rakyat tidak seperti Cina yang sudah ada DAP. [wm.kl. 12:40 t/hari 13/09/09]

Friday, September 11, 2009

Selepas Asar

Di Bagan Pinang UBN Memang Bermasalah

NAMPAKNYA UBN tidak dapat merasa selesa dengan kelebihan undi di kalangan tentera. Khabarnya jumlah undi tentera dan undi pos di DUN Bagan Pinang ini tinggi mencecah kira-kira 5,000. Kehadiran undi tentera ini dari kem tentera yang bermukim di situ. Biasanya undi tentera secara automatik berpihak kepada UBN. Walaupun tentera ada yang tidak setuju dengan UBN, namun selalunya undi mereka dikhianti.

Proses pengundian dalam kem, memangkah hanya dilakukan oleh seorang atau dua orang ketua sahaja. Banyak tempat yang berkeadaan seperti ini di mana calon-calon UBN di selamatkan oleh undi tentera. Misalnya di parlimen Setiawangsa, di Lumut Perak dan juga Kok Lanas Kelantan. Nescaya kalau tiada ‘kemudahan’ undi tentera atau undi pos berpeluh calon UBN untuk menanginya.

Sekiranya undi-undi ini dilaksanakan seperti biasa diberikan kebebasan dan tangan tentera sendiri mengundinya mungkin suasannya berubah.

Kenapa dikatakan undi tentera yang menjadi undi bonus itu tidak menjadikan UBN Bagan Pinang selesa? Sebabnya UBN menghadapi masalah besar dalam proses meletakkan calon di situ. Belum apa-apa UBN sudah pun bertelagah sesama sendiri dalam soal mencari calon.

Pada masa ini wujud beberapa kumpulan yang ingin menjadikan pilihan raya itu sebagai gelanggang menunjukkan kuasa kekuatan mereka. Pertelagahan paling jelas ialah antara bekas MB, Mohd Isa Samad, dengan Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Yassin. Kenyataan Muhyiddin semalam menjelaskan beliau tidak senang kalau Mohd Isa jadi pilih jadi calon.

Umno bahagian Teluk Kemang telah menamakan Mohd Isa sebagai calon tunggal. Tetapi ianya tidak dipersetujui oleh Muyiddin. Dalam kenyataan semalam beliau mahu Umno NS menghantar banyak nama dan bukannya satu nama saja. Apakah makna dan erti kata-kata Muhyiddin itu. Sekiranya beliau tidak ada masalah tentu nama itu diterima dengan baik.

Umno Telok Kemang katanya hanya menghantar satu nama saja iaitu nama Mohd Isa.
Bagi Muhyiddin ada sebab kenapa beliau tidak mahu kepada Mat Isa. Mungkin mengenangkan diri Mohd Isa tidak berapa bersih. Mohd Isa pernah digantung sebagai Naib Presiden kerana rasuah. Tetapi itu bukan alasan sebenar bagi Muhyiddin.

Apa yang dapat dilihat di sini keengganan Muhyddin itu kerana Mohd Isa akan menjadi ancaman kepada politiknya.

Dalam politik serba serbi boleh berlaku. Mungkin pada perkiraan Muhyiddin kalau Mohd Isa dipilih jadi calon dan menang menyebabkan akan ada pula cadangan supaya Mohd Isa memimpin semula Umno Negeri Sembilan. Kemungkinan ini ada memandangkan keupayaan pengerusi Umno Negeri Sembilan kini Mohamad Hassan sering dipertikaikan. Mohamad dikatakan gagal menyatupadukan Umno Negeri Sembilan yang kini terbahagi kepada ‘sembilan’ puak?

Mohd Isa tidak begitu menonjol kepimpinannya di luar. Tetapi ia sangat dikagumi di Negeri Sembilan. Sekiranya beliau diberi peluang semula menerusi pilihan raya kecil ini memberi kesempatan untuk beliau come back. Inilah yang paling ditakuti oleh Muhyiddin. Makanya bagi Muhyiddin beliau ada sebab yang tersirat dan tersurat kalau beliau mahukan beberapa nama lain lagi untuk menjadi calon Bagan Pinang dan bukan nama Mohd Isa sebagai calon tunggal.

Bermasaman muka antara kedua mereka ini – Muhyiddin dan Mohd Isa sudah lama berlaku. Ia bermula semasa pemilihan pucuk pimpinan Umno tahun 2004. Mohd Isa diketahui bahawa antara pengerusi perhubungan Umno negeri yang tidak menyokong Muhyiddin semasa pertandingan Umno tahun 2004 dulu. Apabila Mohd Isa tiba-tiba dikenakan hukuman jantung ia pula dilihat ada kena mengena dengan Muhyiddin.

Permasaman muka ini tidak dapat lari membawa kepada dendam politik. Dan dendam ini pula akan terus hidup antara mereka berdua.

Pertelingkahan antara kedua tokoh inilah yang boleh menyebabkan UBN tidak selesa dalam pilihan raya kecil ini. Sudah tentu kalau Mohd Isa tidak akan dipilih menjadi calon akan berlaku protes dari kalangan Umno Telok Kemang. Penolakan Isa sebagai calon bermakna Umno tidak menghormati suara akar umbi Umno Telok Kemang.

Undi protes inilah bakal menguntungkan Pas. Sekiranya undi protes ini banyak sampai separuh undi tentera itu sudah pasti ia memberi sinar kepada Pas untuk menang pilihan raya berkenaan. Protes itu bukan diharap pengundi Umno akan mengundi Pas tetapi cukup kalau mereka tidak keluar mengundi.

Kalau ini berlaku bererti pilihan raya kecil Bagan Pinang bakal mencatat kemenangan ke lapan buah Pakatan dan sekaligus membuktikan Pakatan benar-benar kuat. Kemenangan di Bagan Pinang ini juga akan meruntuhkan zon selatan yang dianggap sebagai kubu kuat UBN yang berpengkalan di Johor.

Bagaimana pun bagi Pas dan Pakatan tidak hanya boleh mengharap kepada berlakunya protes demikian, sebaliknya mereka kena melipat gandakan usaha bagaimana untuk memenangi pilihan raya itu. Satu kebimbangan kepada Pas mungkin jentera pilihan raya di negeri itu tidak seberapa mantak seperti di Kelantan, Kedah dan Terengganu. Justeru sokongan padu dari Pas seluruh negara harus ditumpukan ke Bagan Pinang.

Sejauh mana ini berjaya ia bergantung atas kebijaksanaan pengarah pilihan raya kecil itu, Sallahudin Ayub. Mungkin hubungan baik beliau dengan beberapa pemimpin Pas yang mempunyai sumber kewangan banyak di Kelantan boleh dimanfaatkan. Wang Kelantan tidak mudah mengalir ke kawasan lain jika tidak kena caranya. Pas perlu meletakkan usaha ini kepada Sallahudin Ayub. [wm.kl 4:45 pm 11/09/09]

Tazkirah Jumaat

Renungan Untuk Najib Dan Nik Aziz

[kemaskini] RUPANYA semua orang Melayu yang berparti politik mahukan kepada Islam. Agama Islam tidak boleh dipisahkan dari politik. Ia sebagai modal dan aset paling ampuh buat parti politik. Kalau tidak ada perkataan Islam dalam parti politik, parti politik itu macamlah makanan yang tidak dimasukkan ajinomo. Parti itu tidak menarik dan berperisa. Sebab, Islam adalah agama utama dan asas orang Melayu negara ini. Sentimen agama cukup tinggi dan hebat sekali dalam politik.

Cubalah, sesiapa yang mengenepikan agama atau tidak menghiaskan diri mereka dengan kosmetik agama, akan ditolak. Sebab itu orang mempersendakan agama dikecam oleh orang yang menjadi pengamal agama yang tegar pun! Sebab itu bila Nik Aziz Nik Mat mengatakan sosialis adalah anak komunis maka Syed Husin Ali enggan bertanding di Kota Bharu kerana dia tahu dia akan ditolak pengundi yang bersentimen agama.

Kecuali Melayu yang dibasuh kepalanya dengan kebendaan dan agama hanya menjadi sebahagian ritual kehidupan mereka tidak merasakan agama itu penting. Bagi mereka agama itu hanya bahan sampingan yang tidak memberi bekas sedikit pun.

Kerana itu sama ada tokoh politik itu berkelayakan, berautoriti atau tidak mereka akan cuba juga bercakap fasal agama dalam parti mereka. Setidak-tidaknya kalau tidak boleh membaca ayat-ayat Quran atau hadith dalam bahasa Arab akan cuba diangkatkan terjemahannya dan filsafatnya dalam bahasa Melayu. Semua itu untuk menunjukkan dia adalah pengasih kepada agamanya.

Semalam Najib Razak cuba mempertahankan parti yang dipuasaki dari ayahnya sebagai parti Islam. Semasa berbuka puasa dengan peneroka Felda di Kedah, katanya Umno adalah perjuang Islam sebenar walaupun ia tidak menggunakan lebel-lebel Islam. Kenapa tidak mahu guna lebel Islam?

Alasannya mudah sekali, ini kerana Umno memperjuangkan untuk memajukan rakyat menerusi pelagai projek pembangunan seperti Felda adalah perjuangan Islam. “Apakah yang Umno buat kini bukan selari dengan Islam?” tanya beliau.

Najib berkata begitu bersadarkan kepada satu hadith yang bermaksud, kemiskinan itu akan membawa kepada kekufuran. Hadith ini adalah butiran ratib tokoh-tokoh Umno sejak dulu, kini dan selamanya. Dalam mempertahankan dasar sekular Umno hadith inilah yang menjadi sanadnya sepanjang zaman.

Jadi selama ini Umno membuat projek untuk memberi kesenangan dan kekayaan kepada orang Melayu bagi menghindarkan mereka dari kekufuran. Kufur boleh menyebabkan mereka akan terjerumus ke dalam neraka. Bukan saja kerana menyertai Umno akan kufur tetapi miskin melampau juga kufur! Orang miskin yang tipis iman akan mudah memikirkan hal-hal negatif mengenai keadilan Tuhan kepadanya yang memungkinkan ia tersalah anggap terhadap takdir Tuhan itu.

Bagaimana pun tidak semua yang miskin itu kufur. Bahkan ada yang miskin mempunyai daya keimanan yang tebal dan zuhud mereka kepada Allah lebih daripada yang kaya. Jika mereka redha dan sedar dengan kemiskinan mereka, mereka masih berada atas keimanan yang sebenarnya dan jambatan ke syurga akan terbentang juga buat mereka. Untuk ke syurga tidak ada karcis kebendaan.

Argumen Najib itu sangat mudah dan ringkas sekali. Benar Islam itu ringkas dan Islam itu tidak ada paksaan - la ikrafidin. Tetapi dalam hal-hal tertentu ia juga sulit dan memerlukan pengamatan dan pengorbanan (ujian) yang tinggi. Islam itu mencakupi alam nyata dan alam ghaib. Nama lagi akidah maka ia begitu seni dan halus. Islam mempunyai dua dimenasi, zahir dan batin.

Kenyataan Najib itu dilihat sambungan terhadap apa yang beliau ucapkan di Kuala Krai yang memberi ingatan kepada Pas supaya jangan melihat Umno sebagai menganut Islam luaran sahaja. Najib kecewa dengan kata-kata Nik Aziz yang berbunyi; sesiapa yang memisahkan iman akan tidak masuk ke syurga. Bagi Najib kata-kata Nik Aziz itu ditumpukan kepada Umno dan ia sangat mencela parti itu.

Mengambil kira hal ini Najib begitu takut kalau dia dan ahli Umno tidak akan masuk ke syurga. Maka beliau kena jawab kenyataan Nik Aziz itu dengan mengatakan atau menghujahkan Umno memperjuangkan Islam sebenarnya. Yang lebih penting jawaban itu bagi tidak menakutkan ahli Umno dengan neraka tafsrian Nik Aziz itu. Ingatan kepada Najib dan sesiapa saja untuk memasuki ke syurga Allah bukan berdasarkan kata-kata tetapi harus berbuat – amal.

Kenyataan terbaru Nik Aziz pula sebagai membalas kenyataan Najib, katanya mana-mana perjuangan yang mengambil dasar kebangsaan ia umpama setinggan di bawah langit. Tahap dan taraf setinggan ini katanya kena dirobohkan. Memahami kata-kata Nik Aziz itu, perjuangan Umno samalah dengan setinggan yang tidak perlu disokong.

Pada kaca mata Nik Aziz tidak ada jurus yang elok dan baik pada Umno, semuanya buruk dan huduh. Apakah Umno akan melayan gelaran baru Nik Aziz kepada Umno ini? Umno tidak akan menang dalam berpolemik dengan Nik Aziz. Dalam minda orang Melayu terkini kupiah tetap mengatasi songkok!

Memang benar dan tepat apa yang diperkatakan oleh Nik Aziz. Perjuangan yang selain berdasarkan Islam adalah bathil. Perjuangan berdasarkan bangsa, kaum, negeri, tokoh, sentimen, semangat adalah bathil, kerana dasar yang betul ialah perjuangan berlandaskan kepada agama (Islam). Sebab itu Tuhan menyebut Islam itu diturunkan untuk membawa keselamatan (rahmatanlilalamin) kepada semua termasuk haiwan, tumbuh-tumbuhan dan bukit bakau.

Tidak ada ayat-ayat mengatakan Umno diturunkan untuk keselamatan, atau Pas diturunkan untuk kemajuan, atau PKR dizahirkan untuk kedamaian. Atau DAP dimunculkan untuk kebebasan sosial, atau MCA dan MIC untuk kemerdekaan kaum mereka. Tidak ada! Tidak ada!

Kenapa Nik Aziz menganggap Pas sebagai Islam sejati kerana Pas berlandaskan kepada Quran dan Hadith. Itulah yang dilaung-laungkan oleh para ulama dan ustaz dalam Pas sejak dulu lagi. Pas berbangga dengan dasar parti mereka. Manakala Umno pula meletakkan bangsa sebagai dasar dan matlamat perjuangannya. Umno mahu memperjuangkan bangsa di mana dalam pendangan Pas dasar berkenaan sebagai bathil.

Dalam pada itu Umno mempertahankan mereka juga memperjuangkan Islam dengan perjuangan bangsa itu kerana bangsa Melayu itu automatik menganut Islam. Dalam erti kata lain Umno membungkus Islam itu dalam bangsa Melayu. Ini tidak ‘dikelih’ oleh Pas dan Nik Aziz atau beliau sengaja menutup mukanya dengan serban dalam menyilau helah ini. Nik Aziz mahu melihat perkataan agama itu didepan bangsa itu, ataupun biarlah nama Islam sahaja tanpa ada gandingan dan akronim lain.

Di sini saya tidak mahu mencari jawaban hujah siapa yang betul dan benar. Saya menerima kedua-duanya sebagai betul. Baik Umo dan Pas sama-sama betul dalam pegangan itu. Tetapi apa yang hendak saya persoalkan di sini, sejauh manakah 'keaulitan' dasar itu dalam perjuangan. Apakah di sini kita mementingkan dasar daripada apa yang terhasil dari tindak tanduk dan implimentasi kita?

Apakah sesuatu perjuangan itu cukup dengan membentangkan dasar-dasarnya saja. Ia sudah cukup walaupun pelaksanaan kepada dasar itu masih tertangguh atau tidak terbuat. Dalam kata mudah, sahkan amal ibadat itu kalau hanya dikerjakan setakat dengan niat sahaja?

Pas menggariskan dasar Islam yang bersinar banar dalam perlembagaannya. Tetapi dalam masa sama masih ada sikap, perbuatan pengamal atau pejuang dasarnya bertentangan dengan dasar Quran dan Hadith sendiri. Apakah ini tidak salah? Ada juga konsepsi dalam Pas, Pas hanya perlu nampak indah atau Islam itu cukup menjadi amalan pemimpinnya saja tetapi tidak kepada ahlinya sama. Sebab itu kehebatan dan kewarakan Nik Aziz diuar-uarkan dan dibanggakan oleh Pas. Sebagai umat Islam ahli Pas kena ingat bahwa Nik Aziz tidak mempunyai safaat untuk merekminkan mereka memasuki syurga. Syurga itu adalah hak individu yang diperjuangkan bersama. Perjuangan Pas tidak syumul kalau yang Islaminya hanya Nik Aziz saja.

Dan bagaimana kalau pihak Umno atau pihak-pihak lain yang tidak meletakkan dasar berkenaan tetapi mereka bertindak sealiran dengan matlamat Islam itu? Apakah kerana Umno tidak meletakkan dasar Islam kandatipun ada ahlinya mematuhi perintah Allah taala maka ia terbatal sebagai ahli syurga?

Asas atau pokok Islam ialah mentauhidkan Allah s.w.t. dengan kalimah syahdat, La ilahaillah waashadu ana Muhammadul Rasulullah. Sesiapa yang mentauhidkan Allah maka seseorang itu automatik menjadi pemeluk Islam dan berpeluang untuk mendiami syurga-Nya. Tetapi selepas dia mentahudikan Allah dia harus melaksanakan ajaran-ajaran yang dituntut dan diwajibkan.

Belajar ini adalah wajib. Orang bodoh tidak akan dapat masuk syurga! Kerana dengan kebodohan mereka tidak akan menemui papan tandan dan simbol-simbol ke syurga. Apakah selama ini Pas dan Umno hanya mengharapkan imbuhan Allah dengan kalimah syahdat sahaja tanpa berbuat dan berusaha melaksanakan segala perintah Allah?

Mengikut dasar dan prinsip perjuangan, Pas memang berada dalam kawasan lebih kondusif, mewah dan istimewa dari Umno yang dihumban ke pantak setinggan oleh Nik Aziz. Tetapi Pas kena ingat kalau mereka ditempatkan di kawasan mewah dan istemewa seperti taman, kondominium, banglo dan sebagainya tetapi kalau penghuninya tidak sedia mematuhi rukun-rukun hidup berkomuniti ia tidak memberi makna. Taraf mereka juga sama rendah dengan setinggan.

Sebaliknya kalau masyarakat setinggan dapat hidup harmoni, biarlah tidak ada fasalitis berkelas mewah namun mereka mungkin lebih bahagia dari pengundi di tempat mewah. Di sini lokasi tidak menjadi perhitungan yang penting sejauh mana komuniti itu dapat hidup aman dan rukun dalam kawasannya. Menjadi setinggan tidak hina kalau mereka dapat hidup aman dan damai. Manakala menjadi penghuni di lokasi mewah lebih bererti lagi kalau semangat kejiranan dan hidup rukun damai terlaksana! [wm.kl 11:20 am 11/09/09]

Thursday, September 10, 2009

Penyu Tak Menangis

Ahmad Said Ada Ilmu Pak Dogol

MACAM juga hal di Perak politik Terengganu juga tidak sudah-sudah dan tidak habis-habis. Keadaan macam hujan di musim tenkujuh saja. Kalau di Perak bekas MB dan barisan Exconya hendak kembali berkuasa, di Terengganu krisis berlaku antara sesama Umno sendiri. Kumpulan bekas MB, Idris Jusoh (Dris) dengan MB, Ahmad Said (Mat Said) (foto).

Kelainan berbanding politik Terengganu dengan Perak ialah, di Perak masih berlaku perbuatan dan tindakan yang anih dan ganjil seperti bersidang di bawah pokok atau di hotel. Di Terengganu tidak pula berlaku begitu. Apakah kalau Idris Jusoh dan kumpulannya cukup korum akan berlaku persidangan atas gerai atau pun atas wakaf?

Manakala Pas di Terengganu sendiri hanya menjadi pemerhati sahaja. Cuma sesekali jadi tukang cuit atau tukang laga utuk melihat sejauh mana gelepar dan gelenyahnya orang-orang Umno. Pas sendiri dalam diam kita percaya sedang mencari peluang untuk menangguk, tetapi sehingga ini air di Terengganu belum keruh sangat lagi.

Puak Dris tidak habis-habis nak menyusahkan Mat Said. Rasanya sudah berpuluh perundingan, janji, ikrar, pertemuan (cuma mubahalah) saja tidak dilakukan untuk berdamai. Semua kaedah dan formula lain dicari dan dibuat. Tetapi semuanya tak jadi, semuanya bertaraf ‘cap ayam’ belaka.

Puak Dris bila berdepan dengan pemimpin tertinggi; baik Najib Razak, Muhyiddin Yassin atau Hishamuddin Hussein semuanya angguk, macam pak ka (chameleon) yes yes berjanji untuk selesaikan masalah. Tetapi bila pemimpin itu hilang, suasana asal kembali semula. Mat Said terus diusik dan dipermainkan. Formula atau nasihat Najib, Muhyiddin dan Hishamuddin tidak diendahkan langsung.

Apakah kegagalan menyelesaikan masalah Umno Terengganu ini menunjukkan kelemahan dan kurangnya wibawa dan sengat pengerusi perhubungannya?

Tampaknya politik Umno Terengganu tidak mudah untuk sendek. Ia akan tetap bergulung dan bergelombang macam laut Cina Selatan. Kalaupun kumpulan Dris Jusoh jadi MB, tentu ada juga pihak lain yang menyerang dan menyanyi lagu-lagu sinis seperti 'itik gemol-gemol' dan seagainya.

Kalau Mat Said turun pun Dris Jusoh sudah pasti tidak akan dapat jadi MB lagi. Belum ada sejarah orang politik yang dimurkai sultan atau tidak diperkenankan sultan dapat kembali ke tempat asalnya. Bukankah Dris menghadapi masalah dengan Sultan Mizan? Makanya kalau Mat Said berjaya dihancurkan Dris tetap tidak akan jadi MB. Jadi apakah sebenarnya tujuan Dris menyerang dan tidak mahu ikhtiraf Mat Said?

Jadi tentu ada orang lain yang akan jadi MB kalau serangan kumpulan 10 itu berjaya. Selain Tengku Tera, nama disebut ialah Rosol Wahid. Orang lain nampaknya tukang ikut ataupun tukang betul tali sauh sahaja. Mana tahu kalau ada rezeki dapat pegang jawatan Exco, setakat itu sajalah. Perangai pak turut ini tak lebih macam budak-budak yang sudah masuk dalam geng samseng... ikut saja tanpa ketahui apakah matlamat dan hasilnya. Saja nak berhora hore.

Kalau Rosol jadi MB beliau juga tidak akan senang. Dia juga akan diserang dan dipersendakan oleh orang yang kini menyokong Mat Said. Apakah di Terengganu tidak ada seorang pun menyokong Mat Said?

Jangan perkecil dan permudahkan Mat Said. Walaupun dia diam, atau pun ambil sikap tidak kesah, buat muka selamba tetapi dia mendapat perkenan sultan. Maknanya selagi sultan mahukan dia, Mat Said akan jadi MB kecualilah Umno sudah hilang majoriiti di DUN Terengganu.

Begitu juga takdirnya kumpulan Dris sudah tidak mempercayai kepada Mat Said lagi sehingga menyebabkan kerajaan Mat Said akan tumbang, ia juga tidak automatik memberi peluang kepada Dris atau wakilnya jadi MB. Bila jadi keadaan itu tentu Mat Said atas kapasitinya akan istyharkan DUN Terengganu dibubarkan. Jalan penyelesaian terbaik ialah dengan membubarkan DUN.

Persoalannya kini kenapa isu di Terengganu susah untuk beres? Jawabnya kerana ada campur tangan pihak luar. Khabarnya ada juga kalangan beberapa kerat pihak yang mengakui orang istana memberi inspirasi kepada kumpulan Dris ini. Kononnya kumpulan inilah yang menjadi jambatan cuba membaikpulihan hubungan Dris dengan sultan? Kumpulan inilah yang mempengaruhi Hishamuddin supaya menukar MB Terengganu!

Campur tangan luar ini juga jelas bila mana media massa arus perdana yang berjiwa Umno sendiri juga turu sama mempersenda dan mempermainkan Mat Said. Jika tidak ada restui pemimpin Umno sudah pasti akhbar berkenaan tidak sedia menjadi curang kepada perjuangannya. Yang jelasnya gangguna politik Terengganu atau remotenya berada di Kuala Lumpur bukan di Jertih ataupun di Dungun.

Segala idea dan perancangan dibuat di luar Terengganu. Tenguk tentang ugutan bunuh ke atas wakil rakyat menerusi SMS satu masa dulu sehinggakan wakil rakyat berkenaan tidak berani masuk dewan, ia bermula di mana? Bukankah ia bermula di Bangi, Selangor? Lucu mengenangkan peristiwa itu, nak jadi pejuangan macam mana kawan sendiri ugut pun dah kecut perut!

Begitu juga cerita dengan ‘pak pandir’ 10 Adun hendak menyertai PKR, juga digagaskan di Kuala Lumpur. Idea itu tidak kurang dan tidak lebih sengaja nak ugut Mat Said sahaja. Untuk menganggui tidur Mat Said. Walhasil apa jadi kemudiannya, orang-orang berkenaan juga membuat penafian. Inilah politik wayang kulit daun rambai di Terengganu. Tahu wayang kulit daun ramai? Wayang kulit yang dimainkan oleh budak-budak dibangsal pondok-pondoklah...

Sebagai pemerhati yang sesekali menjenguk dan tersilau politik Terengganu saya merasakan Mat Said bukan mudah untuk ditumbangkan. Mat Said ada ilmu dan pendinding atau kekuatan dirinya sendiri. Jangan main dengan Mat Said? Kalau dalam wang kulit, Said ialah anak saudara kepada Pak Dogol. Pak Dogol pula ialah orang yang sakti bermulut masin, tahu firasat dan penyabar.

Mungkin ilmu Pak Dogol dimiliki Mat Said maka itulah beliau dapat bertahan. Tetapi walaupun sabar, akhirnya kelmarin Mat Said bersuara juga untuk saman akhbar kerana membuat fitnah kepadanya. Beliau memberi masa seminggu untuk akhbar itu minta maaf kalau tidak akan disaman. Pada saya Mat Said tak payah saman, biarkan sahaja akhbar itu bermain dengan anginya sendiri. Rakyat Terengganu tidak pun mempedulikannya.

Yang penting Mat Said kenyangkan rakyat, buat pembangunan untuk rakyat. Jangan layan insan politik yang frustasi. Khabarnya menjelang raya ini seramai 160,000 kelurga miskin di Terengganu akan menerima habuan. Tentulah pemberian itu diterimakasih oleh rakyat. Saya percaya doa rakyat akan merestui kepimpinan Mat Said. Sebab rakyat tidak pernah tahu apa itu agenda politik yang penting perut mereka kemas dan keselamatan mereka terjamin, beres. Maka pemimpin sebegitulah yang mereka akan sokong. [d'kota kl 11:50 am 10/09/09]

Celoteh Murai 51

Munafik Seorang Ahli Politik

SEMALAM Murai menerima SMS dari seorang kawan Murai. SMS itu dikirim oleh seorang ahli politik paling munafik di negara Malaysia ini kepadanya. Dia menguar-uarkan akan tujuannya menerusi SMS itu untuk membantu 12 hero kepala lembu yang semalam didakwa di bawah akta hasutan dan juga kerana mengadakan perhimpunan tidak ada permit.

Bunyi SMS itu ialah; "boleh tak bantu. Peguam2 Melayu Islam secara sukarela menjadi peguam kepada 12 orang yang didakwa berhimpun bantah bina kuil di Shah Alam. ....... (nama persatuannya) sedia jadi penyelaras. Kalau ada yang prihatin (nama pengirimnya)."

Murai tidak tahu kenapa kawan Murai itu menghantar SMS itu kepada Murai. Walhal Murai bukan peguam ataupun lawyer. Murai percaya SMS itu dihantar kepada ratusan peguam Melayu Islam.

Untuk mendapat penjelasan lanjut Murai menghubungi kawan berkenaan tanya pendapatnya mengenai ajakan iu. Katanya, dia tidak sedia untuk jadi barua membela hero kepala lembu itu. Bukan dia tidak prihatin dan bersetuju kepada perjuangan tolol hero kepala lembu itu, tetapi dia benci kepada pengirim SMS berkenaan.

"Kau bayangkan macam mana aku nak bantu. Dia ni pernah pelekehkan peguam Melayu. Pernah dia ucap depan aku dia tidak percaya kepada peguam Melayu sebab kalau bicara kalah, sebab itu dia ambil peguam India," kata kawan Murai itu kesal.

Dapat Murai fikirkan di sini bila sudah terdesak si politik munafik ini sanggup menjual air mukanya dan melupai apa yang diucapkan. Dia fikir kawan Murai yang pernah mendengar kritikan dia itu macam dirinya juga, tidak bermaruah dan berintergriti? Sedia memakan tahi sendiri bila sudah kelaparan.

"Jadi kau tidak akan sedia membantu?" tanya Murai. "Iya aku tidak akan membantu sebab dia yang mempelawanya.." balas kawan Murai.

Moral of the story di sebalik SMS ini ialah, janganlah kita perlekehkan orang sebab satu masa mungkin kita memerlukan bantuan dan khidmatnya. Dan jangan cakap lepas mulut sebab satu hari dia akan memakan diri. Sebelum cakap fikirlah sedalam-dalam sebab bila sudah cakap susah. Kata orang tua cakap siang pandang-pandang cakap malam dengar-dengar. Nak duduk kena berlunjur dulu.

SMS itu juga menjelaskan peranan yang dimainkan oleh persatuan yang diketuai oleh politician munafik berkenaan. Kalau sebelum ini orang hanya mengagak akan penglibatannya tetapi dengan SMS itu yang menjadi barua di sebalik tunjuk perasaan kepala lembu adalah si poliician munafik itu.

Tujuan dia mengambil bahagaian dan beriya membela 12 hero kepala lembu itu bukan apa kerana nak menjual dirinya kononya masih berguna untuk mendapat perhatian orang atasan dalam Umno walhal ianya sudah lama busuk dan sudah tidak berharga lagi. Usahkan orang kalau dilemparkan kepada ayam, ayam sudah tidak patut itik sudah tidak mahu menyudunya lagi.

Murai: Mintalah peguam India yang dikatakan bijak pandai untuk membela si hero kepala lembu itu.