Saturday, June 18, 2011

Ulasan Petang

Penyusunan Badan Perhubungan Pas Kelantan
Pasukan Untuk Mengapai Kemenangan

[kemaskini] PENGGUGURAN tiga anggota Badan Perhubungan Pas Kelantan yang juga sebagai anggota eksekutif politik Pas Kelantan, (Dewan Harian) Annuar Tan Abdullah, Mohd Zaki Ibrahim dan Abdul Fatah Haron adalah tepat dan satu rombakan yang rasional apabila mereka diganti dengan muka-muka yang jauh berkebolehan dan mempunyai jangkauan politik yang ke depan dan cekap membaca 'silat silau' politik kontemporari.

Jawatan Setiausaha Perhubungan yang dipegang Adun Kelaboran, Mohd Zaki diganti dengan Adun Pulai Chondong Zulkefli Mamat yang mempunyai pengalaman dan stail pengurusan yang bersistemetik.

Beliau juga seorang yang tegas dan setia dalam politik dan bukan seorang pemimpin yang yes man. Walaupun pernah digugur sebagai Ketua Penerangan dan Anggota Exco Kelantan tidak terdengar rungutan atau tindakrajuk daripadanya. Beliau terus membantu dan memberi sumbangan kepada parti secara konsisten.

Membawa beliau balik untuk mengurus Ibu Pejabat parti di Jalan Dato' Pati itu adalah tepat dan kena pada masanya. Sudah pasti dengan pengalaman sebagai Exco dan Ketua Penerangan sebelum ini Zulkefli boleh menjadi 'nadi' penggerak parti yang baik dan berkesan serta boleh menyelaraskan semua aktiviti parti dibawah satu bumbung.

Begitu juga dengan membawa Adun Pengkalan Pasir, Hanifa Ahmad yang dilantik sebagai Bendahari menggantikan Annuar Tan. Beliau seorang berpengalaman baik dalam parti dan juga bidang pengurusan kewangan dan pembangunan. Beliau sebelum ini pernah menjadi Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

Pembawaannya adalah untuk menambah tabung kewangan Pas. Hasrat ini mungkin akan tercapai dengan pengalaman yang beliau ada. Walaupun Annuar Tan dikatakan berjaya menjadi seorang bendahari tetapi ia tidak memberi kesan kepada keseluruhan Pas kerana dasar amalan sayang bertompok dan benci merata dilakukannya.

Selain dati itu Hanifa juga dilihat sebagai pemimpin 'bangsawan; yang mempunyai kedudukan sumber kewangan baik. Dengan kedudukan itu memudahakn untuk beliau menginfakkan sebahagian hartanya untuk perjuangan parti. Sekiranya Pas ketidakcukupan wang mungkin beliau boleh mensedekahkan hartanya untuk Pas sebagai mana dilakukan Mohd Asri Muda (Allahyarham) semasa beliau menjadi Pesuruhjaya Pas beberapa dekad lalu rela menjualkan rumahnya untuk dijadikan belanja pilihan raya bagi menghadapi Umno.

Sementara perlantikan Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Nik Wan Yusuf sebagai Pengarah Pilihan Raya menggantikan Abdul Fatah Haron juga benar-benar 'jijak angin' atau pun bagaikan sireh dibawa ke gagang kerana pengalaman dan juga gaya kerja beliau sebagai seorang penganalisa dan seorang yang rajin dan kuat bekerja. Pertukaran ini sepatutnya sudah lama dilakukan sebaik saja Pas menang kecil dalam pilihan raya kecil Manik Urai dulu.

Pertukaran beliau dengan Abdul Fatah ini sudah pasti selain daripada Fatah sudah tua, tetapi kerana prestasi beliau sebagai Pengarah Pilihan Raya juga tidak begitu memuaskan. Kemenangan kecil Pas dalam pilihan raya kecil Manik Urai itu, 90 peratus disebabkan kelemahan Fatah mengarahkan pilihan raya tersebut yang masih lagi menggunakan tektik dan keadaan lama.

Adalah diharap dengan Wan Nik menggantikan Fatah beliau dapat mengemaskini senarai keahlian Pas dan juga menggerakkan aktiviti pendaftaran pengundian secara lebih bersistemetik lagi. Wan Nik setidak-tidaknya dapat membentuk Jabatan Pilihan raya Pas Kelantan lebih kemas, tersusun dan efeksyen lagi kerana beliau celik komputer (IT) tidak seperti mana Abdul Fatah yang masih menculakan pengundi menggunakan pensel. Yang penting harus difikirkan macam mana untuk mengagalkan usaha Umno menggunakan pengundi luar untuk menambah undi mereka dalam pilihan raya akan datang.

Ekoran kesedaran Pesuruhjaya atas kelemahan Fatah itu adalah wajar kalau Fatah tidak lagi diturunkan pada pilihan raya akan datang. Pergeseren beliau dengan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Yusuf juga menyebabkan reputasi Fatah sebagai seorang pemimpin tua Pas dan banyak jasa di Rantau Panjang rosak.

Manakala pengekalan Adun Temangan, Dr Mohd Fadzli Hassan sebagai Ketua Penerangan pula tepat memandangkan track rekod dan keupayaan beliau memegang jawatan itu walaupun belum sampai setahun.

Beberapa pendekatan baru telah berjaya dilakukan oleh Unit Urusetia Penerangan Negeri Kelantan dibawah pengawalan beliau. Misalnya kejayaan urusetia penerangan mengadakan beberapa majlis beramah mesra dengan para blogger adalah satu tindakan baik untuk memberi input atau pun mendapat maklum balas daripada blogger.

Sudah sampai masanya penerangan Kelantan dalam memberi penjelasan kepada rakyat berhubung isu-isu semasa bukan saja dilakukan menerusi pendekatan konsevertif dengan cara berceramah, mengidai kain rentang sebaliknya perlu menggunakan kemudahan IT secara meluas dan tersusun.

Mungkin dalam hal ini Fadzli perlu membentuk "Unit Penerangan Khas" untuk membantu penerangan negeri terutamanya bagi menghadapi pilihan raya. Unit ini hendaklah disusun gerak kerjanya ke arah untuk menghadapi pilihan raya dengan bertindak menjadi propagandis Pas mematahkan segala isu-isu yang dibangkitkan oleh Umno secara tektikal dan bukan secara emosi. Mungkin perlu dalam masa terdekat blogger atau penjana IT diberikan khusus khas dalam bidang ini.

Keseluruhan penyusunan semula Badan Perhubungan Pas negeri itu ialah lebih kepada penyusunan untuk menghadapi pilihan raya. Dengan mengekalkan Ahmad Yaacob sebagai Timbalan Pesuruhjaya I, Husam Musa sebagai Timbalan Pesuruhajaya II, Mohd Amar Nik Abdullah Pesuruhjaya III ia menjadi barisan yang bena-benar berwajah parti dan bukan berwajah atau pun memiliki roh mana-mana pihak atau tokoh.

Bagaimana pun di sini ingin diingatkan walau penyusunan itu tepat dan sesuai, 'panglima' yang baru diangkat itu, tetapi kalau semangat berkerja secara berpasukan tidak wujud dari kalangan mereka dan seluruh pengikut Pas, tidak mudah untuk Pas Kelantan menjana kekuatan. Sebelum ini saya terperasaan yang cara ahli dan pemimpin Pas Kelantan bekerja bukan secara berpasukan, tetapi mengikut pasukan masing-masing.

Dalam erti kata lain 'tanah rancangan' masih wujud dalam Pas Kelantan. Ini terbukti, misalnya kalau pasukan A mengadakan program peringkat negeri di Kelantan di bawah bidang kuasanya, menyebabkan puak B atau C tidak akan hadir atau memberi sokongan dan kerjasama. Begitu juga kalau puak B mengadakan program puak A dan C tidak akan hadir. Pun begitu juga kalau program diadakan oleh puak C, maka puak B dan A akan pandang acuh tak acuh saja.

Bentuk dan cara berkerja sebegini sudah sampai masanya ditinggalkan dan perlu mengubah kepada corak baru yang lebih menampakkan kemantapan jemaah. Dengan pembentukan panglima baru ini semoga perpaduan dalam Pas akan lebih mantap lagi. Semua kena membaiki diri sendiri (mahasabah) dan memikirkan masa depan Kelantan lebih utama dari pada masa depan parti politik masing-masing.

Di sini juga kalau ada mana-mana tokoh merasakan dia tidak lagi dapat memberi sumbangan kepada parti, (membawa kemenangan) atau yang menjadi wakil rakyat sudah tidak dapat menjamin kemenangan, sila berundur dengan sendiri... tanpa tunggu mati atau sakit teruk.

Belajarlah menjadi pemimpin yang akan diikuti oleh pengikut di bawah bukan pemimpin yang hanya pandai memberi nasihat, berfalsafah tetapi agak liat untuk melaksanakan apa yang diucapkanya sendiri. Kecualilah diri pemimpin itu masih diharap akan menjadi lampu kepada kecerahan Pas seperti Nik Aziz maka kekallah ia sehingga mati atas kerusi kekuasaanya! [wm.kl.6:00 pm 18/06/11]

1 comment:

Cheni™ said...

Salam abg Sayuti, sedikit ralat dri segi faktta, Dr. Fazli tu Adun Temangan. Adun Kemuning adalah Ustaz Pi. TQ