Monday, August 1, 2011

Susupan Petang

Kunjungan Anak Hero Umno, Atas Urusan Peribadi

Sukacita saya hendak membuat sedikit penjelasan berhubung ada bau-bau yang tidak enak yang cuba diharumkan dengan motif tersendiri bersabit kunjungan anak-anak hero Umno ke atas Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat di rumah Kelantan Jumaat lalu.

Pihak yang mencari untung mudah di sebalik laporan kunjungan itu telah membuat dakwaan melulu yang kononnya kunjungan itu sebagai satu pertemuan sulit di antara mereka dengan Nik Aziz. Kunjungan itu dimanipulasikan kononnya Tok Guru sedia untuk menerima cadangan supaya Tengku Razaleigh Hamzah menggantikan Anwar Ibrahim.

Peristiwa kunjungan Tamrin Ghaffar, Mazlan Harun, Rahim dan Nik Azmi itu telah dieksploitasikan oleh pihak yang kini 'sakit lutut' bagi mengharu birukan perpaduan kekuatan Pakatan Rakyat. Saya rasa usaha itu tidak berhasil kerana baik Nik Aziz dan Anwar serta Lim Kit Siang sangat memahami sejauh manakah keintiman dan rahsia perpaduan mereka.

Perpaduan atau kerjasama politik di antara mereka bertiga bukan diikrarkan oleh mereka, tetapi rakyat yang tidak 'ambuh' dengan UBN yang telah membuat ikrar. Ikrar rakyat bukan mudah diusaikan kerana ia tersimpul mati seolah-olah formulanya telah hilang.

Kecualilah kunjungan itu dibuat ke atas Presiden Pas Abdul Hadi Awang yang sebelum ini dikenali pasti antara pemimpin yang mahukan kepada perpaduana - unity government. Mungkin lain dan ada kebenaran tuduhan sebegitu!

Tetapi kunjungan atau perjumpaan dengan Nik Aziz yang sudah jelas dan tegas dengan keputusannya. Apa yang sudah dikunci olehnya tidak mungkin akan terbuka lagi. Makanya tidak timbul kalau Nik Aziz sedia menerima cadangan menggantikan Anwar dengan Tengku Razaleigh. Untuk apa? Kalau untuk meletakkan Tengku Razaleigh di kerusi nombor satu, anak raja Kelantan itu itu mempunyai asetnya tersendiri sekiranya seluruh rakyat kenal hati budi Tengku Razaleigh.

Kebetulan saya ada di rumah Kelantan dan mengetahui maksud kunjungan itu. Kunjungan mereka itu adalah kerana peribadi. Mereka tidak pun menyentuh dan mempersoalkan mengenai Anwar seperti mana ditimbulkan oleh agen-agen sakit lutut.

Soal peribadi itu tidak perlu rasanya untuk saya dedahkan. Sesiapa pun boleh mengunjungi Nik Aziz secara peribadi baik sebagai orang politik, tok guru atau apa. Tetapi Nik Aziz bukan mudah untuk merombak kesetiaan dan apa yang disimpulkan. Kelebihan inilah kehebatan beliau.

Seperti mana katanya usaha untuk menggantikan Anwar dengan Tengku Razaleigh tidak timbul sama sekali. Dalam pada itu beliau tidak akan menolak sesiapa juga yang hadir untuk memperkasakan Pakatan Rakyat atau lebih tepatnya berjuang untuk membebaskan rakyat dari kezaliman dan kekejaman.Kalau beliau mengira Tengku Razaleigh adalah pengganti terbaik Anwar apa salahnya.

Lagipun buat masa ini tidak timbul soal Tengku Razaleigh Hamzah akan menggantikan tempat Anwar kalau berlaku sesuatu kepada Anwar. Pakatan sendiri tidak 'kasik' dengan pemimpin dan mereka boleh mencari pengganti dari kalangan mereka. Kecualilah Tengku Razaleigh sudah sedia untuk berkerat rotan dengan Umno dan menyertai Pakatan Rakyat menerusi Ngo Amanah yang semakin mendapat perhatian itu. Kalau ini berlaku mungkin senarionya menjadi lain Tengku Razaleigh bukan saja setakat menjadi ketua pembangkang tetapi Perdana Menteri negara ini.

Sekali lagi ditegaskan angan-angan untuk menggantikan tempat Anwar bukan mudah. Seseorang yang bersih peribadi dan politik pun sukar untuk menjadi penggantinya kerana 'kebiasaan' dan kehebatan Anwar begitu tinggi dan berdarjat di mata rakyat.

Bukan kerana terlalu taksub dengan keharuman setanggi dan minyak attar Tok Guru, kalau Anwar berhajat untuk diganti atau terjadi sesuatu kepadanya mungkin Tok Guru boleh mengambil alih sementara untuk menjadi ikolis kepada Pakatan Rakyat. Dan kalau tertakdir Amanah yang dipimpin oleh tokoh penuh berintegriti itu bersama Pakatan tidak mustahil kalau Tengku Razaleigh akan dinobat menjadi PM.

Manakala kononnya ada maklumat dalaman Pakatan mengatakan usaha itu sedang dilakukan ternyata ia dibuat oleh orang sudah tidak ada kerja yang ketiduran sehingga mereka bermimpi dan mengigau yang bukan-bukan. Apakah dakwaan orang mengigau boleh dipercayai? [ttdi.kl. 4:26 pm 01/08/11]

No comments: