Tuesday, February 2, 2016

Pas boleh selamatkan maruah Najib ekoran krisis Umno Kedah

SESUDAH SUBUH

Pergolakan politik Umno di Kedah yang kini sudah berlarutan hampir dua minggu kini benar-benar menekan Najib Razak. Orang yang ditekan Mukhriz Mahathir nampak sudah releks dan dianggap menang apabila usaha menyingkirkan secara bergerombolan gagal.

Walaupun sudah tiga empat kali pertemuan diadakan di antara kumpulan yang hendak singkir Mukhriz dengan Najib Razak, namun ia tidak membuatkan hasil. Keadaan menjadi lebih parah lagi apabila perjumpaan kesemua Adun BN dengan Pemangku Raja semalam gagal mencapai kata putus.

Andaian yang dibuat awal, pertemuan kesemua Adun BN dengan Pemangku Raja semalam akan menamatkan teta teki siapa MB baharu meleset meletakkan krisis politik Umno Kedah dalam keadaan tidak menentu dan berkecamukkan. Belum tahu siapa yang terkorban dan dikorbankan dalam pergolakan berkenaan.

Yang jelas dan nyatakan Najib Razak sebagai presiden Umno yang dikira mempunyai akses dalam pergolakan itu perlu berasa malu dan bertanggungjawab atas kegagalan usaha menyingkirkan anak Mahathir Mohamad itu seperti mana dirancangkan.

Krisis itu kini memasuki fasa baharu apabila Pemangku Raja hari ini akan memanggil kesemua Adun pembangkang terdiri daripada lapan (8) Pas, empat (4) PKR, dua (2) DAP dan seorang Amanah. Pemanggilan Adun pembangkang ini menunjukkan pihak Pemangku Raja ingin kepastian siapa yang mendapat sokongan Dewan untuk diangkat menjadi MB.

Ia juga boleh diertikan bahawa Umno Kedah sudah gagal menyakinkan Pemangku Raja yang mereka mendapat kelebihan di Dun bagi membolehkan memilih MB baharu.

Ertinya Umno tidak berjaya membuat keputusan sesamanya dan kumpulan Ahmad Bashah Md Hanafiah sudah gagal untuk menyingkirkan Mukhriz dan diganti dengan MB baharu.

Perkembangan hari ini menarik. Timbul juga persoalan apakah kesemua Adun Pas akan memberi sokongan kepada kumpulan Ahmad Bashah. Kalau semua Adun Pas menyokong kumpulan Ahmad Bashah ini bermakna Umno mempunyai majoriti untuk membolehkan melantik MB baharu.

Khabarnya daripada 21 Adun Umno lima (5) menyokong Mukhriz ini menjadikan 15 sahaja Adun bersetia dengan rancangan Ahmad Bashah. Angka itu tidak mencukupi untuk Umno mendapat sokongan bagi melantik MB.

Melainkan Pas bersedia memberi sokongan kepada Umno membolehkan Umno menguasai Dewan dengan jumlah Adun 23 orang. Dalam pada itu ada pendapat mengatakan inilah peluang Pas untuk menyertai kerajaan Kedah yang baharu. Tidak mustahil kalau Pas membuat kejutan di Kedah dengan bersedia untuk berpakat dengan Umno.

Sehingga kini tidak ada jalan lain bagi Umno untuk mengekalkan kerajaannya melainkan berkerjasama dengan Pas. Sekiranya Pas mengambil keputusan diluar dugaan itu, inilah juga cara untuk Pas menyelamatkan maruah Najib dari diaibkan dengan rancangan hendak menyingkirkan Mukhriz itu.

Persoalannya ke mana dan apakah tindakan Pas? Apakah Pas bersedia kekal sebagai pembangkang bersama DAP, PKR dan Amanah kemudian berpakat dengan Mukhriz? Mungkinkah lewat malam tadi Najib Razak atau wakilnya sudah menghubungi presiden Pas Abdul Hadi Awang untuk membincang segala kemungkinan yang bakal diambil menjelang petang ini? Kita tunggu... [wm.kl. 6:51 am 02/02/16]

No comments: