Tuesday, March 15, 2016

Ulangan peristiwa 12 Mac 1978 ditunggui Umno

RENCANA KHAS

Ahmad dan Mustapa, menerima perulangan
peristiwa 12 Mac 1978 dalam rasa berbeza.
"Monumen" sejarah politik yang dicatat di negeri Cik Siti Wan Kembang pada tahun 1978, kejatuhan kerajaan Pas Kelantan ia bukan sahaja dikenangi oleh ahli dan para penyokong Pas. Peristiwa itu juga ditunggu dengan penuh minat oleh ahli dan penyokong Umno. Kalau Pas mengenang kejadian yang berlaku 38 tahun itu dengan perasaan sedih dan dukalara, tetapi berbeza dengan orang Umno, menerima peristiwa itu dengan penuh kegembiraan.

Ironis peristiwa itu bagi Pas ia tidak mahu berulang untuk kali kedua dan seterusnya. Sebaliknya Umno sangat mengimpikan agar ia berlaku kembali. Bagi Umno sudah terlalu lama mereka menunggu peristiwa seperti pada 12 Mac 1978 itu berulang kembali. Sudah 25 tahun atau tujuh kali pilihan raya mereka menunggu akan kemunculan peristiwa itu, namun ia tetap mengecewakan.



Setiap kali tiba pilihan raya, Umno mengharapkan peristiwa itu akan berulang. Berharap mereka akan dapat merampas Kelantan daripada tangan Pas. Pilihan raya ke-5 tahun 1978 itu sangat membawa tuah kepada mereka kerana dapat menumbangkan sebuah kerajaan Pas yang dianggap sinonim dengan jiwa orang Kelantan selama 18 tahun.

Husam, orang kesayangan Tok Guru
yang dianiya?
Bagaimana pun sesudah tujuh kali pilihan raya berlalu namun apa yang diharapkan itu tidak muncul-mucul. Umno jadi semacam rosak akal "sinting" mana untuk menumbangkan Pas. Pas begitu liat untuk ditumbangkan.

Kalau boleh dicatat kejayaan hampir membawa kemenangan Umno ialah pada pilihan raya ke-11 di mana Umno hampir-hampir berjaya membentuk kerajaan di Kelantan. Umno kekurangan hanya dua kerusi sahaja untuk memungkinkan parti itu membentuk kerajaan Kelantan untuk kali kedua, selepas tahun 1978. Dalam pilihan raya itu Umno memperolehi 22 kerusi manakala Pas 23 kerusi. Pilihan raya itu meletakkan Pas bagaikan nyawa-nyawa ikan.

Menjelang pilihan raya ke-14 (yang dijangka paling awal pertengahan tahun depan atau lewat awal 2018), Umno masih menaruh harapan peristiwa itu akan berulang. Kali ini mereka mempunyai harapan besar terhadap kejadian itu. Debaran menanti keputusan pilihan raya umum ke-14 sudah pun dirasai Umno kini. Dalam keadaan tertentu Umno Kelantan sangat ghairah untuk berpilihan raya. Konvensyen parti berkenaan akhir tahun lalu dengan jelas meletakkan temanya "Pilihan raya ke-14 Umno perintah Kelantan." Aduh sayang...

Umno ada asas untuk berasa demikian. Parti itu sudah dapat menghidu pilihan raya ke-14 berbeza dengan pilihan raya yang telah lepas. Umno berfirasat mereka akan menang kali ini dan dapat menubuhkan kerajaan di negeri Tok Janggut dan Tok Kenali itu. Keyakinan ini berpandukan kepada beberapa perkembangan politik mutakhir di Kelantan kini khasnya.

Apa yang dicakap-cakap umum ada beberapa faktor yang merubah suasana pilihan raya akan datang dan ia memberi kelebihan kepada Umno. Antara faktor terbesar ialah;;

1. Ketiadaan Nik Abdul Aziz yang dianggap tokoh pemanggil dan spiritual di Kelantan.
2. Krisis dan perpecahan dalam Pas ekoran ketiadaan Nik Aziz. 
3. Kewujudan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Umno sudah lama memasang niat untuk merampas Kelantan dan merasa mampu menawan Kelantan apabila Pas tidak lagi dipimpin oleh Nik Aziz. Parti itu hanya menanti ketiadaan Nik Aziz sahaja untuk mereka menguak pintu kota Darul Naim pusat pentadbiran Kelantan. Umno yakin kalau Nik Aziz tiada, parti mereka akan berjaya di Kelantan. Diam-diam Umno memperakui selagi Nik Aziz ada sukar untuk mereka menguasai Kelantan. Ketokohan Nik Aziz dalam bidang agama serta saksiahnya menyebabkan Umno tidak terlawan.

Umno sudah melakukan apa sahaja untuk menumbangkan kerajaan Pas namun tidak berhasil termasuklah menukarkan pengerusinya sebanyak tiga kali dalam masa 15 tahun, (Dr Mahathir, Tengku Razaleigh, Mustapa Mohamed, Annuar Musa dan Mustapa Mohamed sekali lagi). Kerana menyakini kekuatan Pas terletak atas batang tubuh Nik Aziz, Umno bukan sahaja cuba menampilkan tokoh yang dianggap mampu berdepan dengan Nik Aziz, tetapi ikut sama bermain jahat dengan cuba memburuk-burukkan Nik Aziz termasuk melakukan fitnah dan merendah-rendahkan kebolehan bekas MB itu bagi mengsangsikan rakyat kepada kerajaan Pas Kelantan.

Untuk tujuan itu Umno pernah membawa balik bekas Pengarah Pusat Islam, Zainal Abidin Abdul Kadir bertanding di Kelantan dan dijaja akan menjadi MB. Umno menjual Zainal sebagai tokoh agama setaraf dan setanding dengan Nik Aziz. Tetapi usaha itu tidak berjaya. Keterampilan bekas Adun Melor itu terlalu jauh berbanding dengan Nik Aziz. Pencapaiannya di Pusat Islam tidak memberi darjah kepadanya yang boleh mengkagumkan orang Kelantan. Zainal sendiri banyak melakukan kesilapan dan menujukkan kelemahannya sebagai ulama semasa dia mentadbir Pusat Islam. 

Kerana gagal untuk menjatuhkan Nik Aziz secara baik, Umno menjatuhkan imej Nik Aziz dengan cuba memerangkapnya ke dalam isu rasuah. Tajaan naik Haji oleh seorng individu (taukeh balak) kepada Nik Aziz dan keluarga, dijadikan kes untuk membawa Nik Aziz ke SPRM kemudian meringkukkan dia dalam penjara. Media massa Umno cuba memberi persepsi yang Nik Aziz sebagai seorang korup macam kebanyakan pemimpin Umno.

Usaha itu juga gagal dan sia-sia. Sebaliknya ia menambahkan lagi nilai dan kehebatan Nik Aziz, apabila, Mohamed Nazri Aziz ketika Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab kepada SPRM berjumpa dengan Nik Aziz dan menjelaskan yang tidak ada kes rasuah dalam tajaan Haji itu. 

Penjelasan Nazri itu bukan sahaja membersihkan nama dan diri Nik Aziz, tetapi menambahkan markah integriti dan kredibilitinya sebagai MB Kelantan. Apa lagi Nik Aziz mengakui dia tidak tahu dengan tajaan itu kemudian membatalkan hasratnya untuk menunaikan Haji. Sikap ikhlas dan jujur yang diambil Nik Aziz itulah menyebabkan dia dikasih dan disayangi oleh rakyat Kelantan dan lainnya.

Ketiadaan Nik Aziz.

Sejak 2 Februari 2014 lalu Nik Aziz sudah tidak ada. Orang yang ditakuti oleh Umno dan dianggap penjaga gol dan penghalang kepada perjuangan mereka. Umno mula meratib yang mereka akan berpeluang menguasai Kelantan kali ini. Saat dan ketika yang dinanti-nantikan sudah pun tiba. Jadi Umno berperasaan besar kali ini. Pastinya pilhan raya ke-14 akan berlangsung tanpa ada lagi tubuh, suara ceramah Nik Aziz.

Ketiadaan Nik Aziz itu menyebabkan Umno jadi lebih confiden, dan rasa confiden itu ditambah pula dengan beberapa perkembangan lain yang juga dilihat Umno menguntungkan pihaknya. Kehilangan Nik Aziz yang diganti dengan Ahmad Yakob dilihat memberi kelebihan kepada parti Melayu itu. Ahmad tidak setanding dan sehebat dengan Nik Aziz. Bukan itu sahaja, kegagalan Ahmad mengekalkan perpaduan dalam Pas serta menghindari perbalahan sesama sendiri menjadi faktor menguntungkan Umno.

Pergeseran atau pun perkembangan negatif dalam Pas paling menodai Pas, ialah macam mana orang kesayangan Nik Aziz yang juga dibayangkan akan menjadi penggantinya Husam Musa disingkir dalam Pas. Kerana perebutan kuasa dan ingin menjadi juara, Husam dinyahkan dengan penuh kesadisan. 

Walaupun ada hujah kuat kenapa Husam tidak dapat menjadi pengganti Tokguru disebabkan ada campur tangan Istana, itu bukan alasan sebenarnya. Istana hanya dijadikan dalih yang tidak logik atau klasikal. Samapai sekarang ini pihak Istana tidak pernah mengiya apa yang dikatakan oleh sesetengah pemimpin Pas yang anti Husam, yang Istana tolak Husam.

Peranan atau campur tangan Istana, adalah sampingan sahaja. Lebih awal dari itu sudah ada pakatan dan konspirasi untuk menyingkirkan Husam. Misalnya "perambatan" Husam bertanding di Puterajaya adalah rancangan yang diaturkan untuk mengasingkan Husam. Rancangan ini diatur dan dirancangkan demikian terperinci sekali untuk tidak memberi peluang Husam berada dalam Dewan Undangan Negeri dan diangkat sebagai pengganti Nik Aziz. Perancangan ini nyata sekali dan saya juga diberi tahu.

Boleh jadi juga para konspirator turut sama menyampaikan maklumat tidak tepat kepada pihak Istana sehinggakan pihak Istana tidak memberi perkenan kepada Husam bukan sahaja untuk menjadi TMB, tetapi Exco sekalipun seperti mana pernah diterang dan dijawab oleh Ahmad Yakob. Yang menjadi kemusykilan sehingga sekarang apakah Ahmad pernah berusaha untuk merapatkan Husam dengan istana jika dakwaan itu benar? Kalau tidak apakah peranan dan tanggungjawab beliau sebagai pemimpin?

Melihat apa yang berlaku, isu Istana tidak mahukan Husam itu hanya rekayasa sahaja. Kalau pun Istana tidak memberi perkenan kepada Husam, tetapi kenapa penyusunan semula Badan Perhubungan Pas dengan ikut melempar Husam. Husam yang sebelum itu adalah Timbalan Pesuruhjaya I, langsung tidak dimasukkan dalam eskutif Pas Kelantan. Adakah Istana juga campur tangan dalam urusan politik di Kelantan. Tidak? Tidak baik kalau berbuat kejahatan dengan berlindung di balik Istana. 

Husam kini telah tersingkir dan menjadi penari tanpa gendang di luar Pas atau menari tidak mengikut rentak dan irama Pas sehingga menyusahkan Ahmad. Banyak perkara didedah Husam memberi kesan buruk kepada Pas dan boleh pula dieksploit oleh Umno untuk diguna dalam pilihan raya mengenai kelemahan kerajaan pimpinan Ahmad. Mustapa Mohamed sendiri mengakui apa yang didedahkan Husam itu ada asasnya. 

Penyingkiran dan "perambatan" Husam ini ditambah pula dengan kewujudan Parti Amanah Negara (AMANAH) yang juga lahir disebabkan kerana kurang bijaknya Ahmad sebagai Pesuruhjaya Pas negeri Kelantan atau kerana terlalu takutan dengan tekanan politik ke atasnya. 

Kebencian atau ketidakpedualian Pas Kelantan kepada beberapa bekas pimpinan Pas negeri itu menyebabkan tertubuhnya AMANAH. Sekiranya Pas Kelantan tidak sombong dan menerima pandangan pemimpin AMANAH hari ini, terutamanya Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan bijak berpolitik Amanah tidak akan wujud. Tidak ada pun keperluan besar untuk AMANAH wujud di Kelantan. 

Misalnya mengenai Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, yang menjadi pengerusi AMANAH Kelantan ketika ini, kalau beliau dipeduli dan tidak ditinggalkan pasti AMANAH tidak akan tertubuh. Namun disebabkan ada sikap sombong dan ego serta tidak mahu melayan pandangan beliau akhirnya Wan Rahim mengambil jalan lain dan malangnya lagi menubuhkan AMANAH. Tindakan Wan Rahim itu tidak boleh disalahkan, sebagai orang politik yang hidup matinya berjuang dan berkerja dia memerlukan wadah setelah Pas tidak inginkannya lagi. 

Mendukacitakan lagi, Pas Kelantan terus menunjukkan persengketaan dengan Wan Rahim dan AMANAH. Walaupun parti itu menyatakan hasrat untuk berpakat dengan Pas bagi memastikan Umno tidak mencapai tujuannya, namun sikap keras dan berbalah diteruskan juga.

Sikap yang diambil Pas itu memang disukai dan dinanti-nantikan oleh Umno. Umno sangat menanti perpecahan dan sengketa itu akan terheret hingga ke hari akhir pilihan raya. Umno mula membuat perhitungan kalau Amanah meletakkan calon mereka di semua kerusi sudah pasti Umno akan menang besar. Atau pun kalau tidak semua cukup. Di 10 kerusi sahaja Umno sudah pasti akan menubuhkan kerajaan di Kelantan. 

Apa diharapkan Umno peristiwa yang berlaku pada tahun 1978 akan berulang dimana parti itu berjaya merampas Kelantan daripada Pas apabila Pas berpecah dua, dengan tertubuhnya Berjasa. Penyertaan Berjasa dalam pilihan dan berlaku pemecahan undi di beberapa kawasan marginal telah memberi kemenangan kepada Umno. Pengalaman itulah yang dikehendak dan didoakan oleh Umno. Umno beharap AMANAH akan bertindak menjadi "pusau" seperti Berjasa. [wm.kl.9.21 am 15/03/16]
Bersambung. Masih adakah jalan menyelamatkan Pas Kelantan?

No comments: