Tuesday, November 1, 2016

Husam si harimau luka yang perlu dirawat bukan terus diusik

SESUDAH SUBUH

Pertikaman lidah antara Adun Tunggal Amanah di DUN Kelantan Husam Musa dengan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Perpaduan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Negeri Kelantan, Anuar Tan Abdullah sudah terbawa ke luar dewan.

Anuar Tan bersama Husam. Siapa di sebelah kanan Anuar?
Apakah perbalahan ini akan berlarutan, bersiri-siri atau pun langkah itu akan menamatkan perbalahan antara dua orang yang berpangkat adik dan abang itu?

Anuar Tan telah mengeluarkan kenyataan sebagai menepati janjinya untuk menjelas beberapa perkara dibangkitkan Husam semasa dalam Dewan dimana beliau gagal untuk menjawabnya disebabkan serangan kencang daripada Husam.


Seperti mana umum tahu pertelingkahan antara keduanya berpunca daripada kekesalan Anuar Tan terhadap Husam yang dianggap telah menghina Allahyarham Tok Guru Nik Aziz apabila Adun Salor itu membangkitkan beberapa isu berhubung dasar dan polisi kerajaan Kelantan yang digubal semasa Nik Aziz masih hidup.

Antara isu yang dibangkitkan Husam untuk penjelasan berkenaan dengan Ladang Rakyat dan Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK). Husam semasa ucapan perbahasan Bajet 2017 membangkitkan perkara itu dan juga menghantar notis pertanyaan berkaitan hal berkenaan. Apa yang Husam ingin tahu berkenaan perjalanan Ladang Rakyat dan juga KPK yang dianggap berlaku kepincangan sehingga merugikan negeri.

Ada betul dan benarnya bagi Husam membangkitkan perkara itu atas kepentingan negeri dan rakyat. Sebagai seorang wakil rakyat yang diamanahkan menjaga khazanah negeri beliau perlu memantau apa-apa yang difikirkan tidak betul. Pengalaman semasa dalam kerajaan sudah tentu memberi input kepadanya mengenai kepincangan kerajaan. Apa dilakukan Husam adalah kerana tanggungjawab Amanah sebagai seorang pemimpin dan selaku hamba.

Jadi tidak salah kalau beliau ikhlas membuat teguran dan meminta penjelasan, di mana dengan cara itu juga kerajaan boleh memperbaiki kelemahan dan kecacatannya.

Anuar Tan semasa menggulung perbahasan bagi porfolionya menjelaskan tindakan Husam itu sebagai telah menghina pentadbiran Tokguru dan kata-kata itu menyenakkan dada Husam. Tindakan Anuar Tan itu disifatkan Husam sebagai cuba melepaskan tekaknya kerana dalam beberapa keadaan Anuar Tan sependapat dengannya.
 
Salah satu bab yang menyesalkan Husam ialah apabila Annuar Tan mendakwa apa-apa keputusan mengenai polisi dan dasar sesuatu projek termasuk Ladang Rakyat dibuat sama oleh Husam. Dakwaan Anuar Tan itu memberi gambaran Husam tidak bertanggungjawab dan khianat. Bagaimana pun Husam menafikan apa yang diutarakan Anuar Tan itu.

Anuar Tan cuba mempertahankan dengan mengatakan Husam hadir sama. Lantas beliau berjanji untuk mengemukakan bukti kehadiran Husam pada bila-bila masa dan dimana jua. Cara Anuar Tan mempertahankan dirinya dalam Dewan semacam kalau berdebat terbuka dengan Husam pun beliau bersedia.

Kelmarin Annuar Tan telah mengeluarkan kenyataan akhbar sebagai memenuhi janjinya di DUN tempoh hari. Berikut disiarkan sepenuhnya kenyataan akhbar Annuar Tan:

KENYATAAN MEDIA PASCA SIDANG DUN KELANTAN KALI KE-13

Seperti janji saya di dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) lepas semasa sesi penggulungan, bahawa saya akan menjawab semua persoalan mengelirukan yang diungkitkan oleh YB Dato' Husam Musa. Saya ingin membuat teguran dan memberi peringatan kepada YB Dato’ Husam Musa  bahawa tidak wajar beliau mengungkit dasar, polisi dan semua perkara yang telah diluluskan di zaman Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz kerana Almarhum telah meninggalkan kita, telah berada di alam yang lain dan tidak berpeluang untuk membela diri lagi.

Saya cukup sedih kerana saya baru menegur beliau di dalam Sidang DUN (27 Oktober 2016 pada hari Khamis), namun pada keesokan harinya, beliau di dalam ucapannya (boleh rujuk pada video pautan di laman facebook Hashim Omar bertarikh 29 Oktober 2016 dan 30 Oktober 2016) sekali lagi mengkritik program ladang rakyat yang dilaksanakan oleh Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz untuk membantu rakyat miskin. YB Dato' Husam membuat perbandingan di mana beliau menyatakan lebih baik menanam sayur kangkung kerana hasilnya lebih lumayan berbanding daripada Almarhum memberi tanah yang luas kepada pelabur untuk menanam kelapa sawit yang menghasilkan pendapatan yang begitu sedikit.

Pada saya, ini merupakan satu kenyataan penghinaan yang tidak wajar ke atas program Almarhum di samping beliau meludah ke atas muka sendiri kerana ia merupakan satu program yang dipersetujui oleh semua Exco secara konsensus (sebulat suara dan ijma'), termasuklah YB Dato' Husam sendiri bersetuju.

Untuk makluman semua, konsep mesyuarat yang diamalkan di zaman Almarhum ialah secara konsensus. Setiap ahli boleh memberi pandangan masing-masing ke atas satu-satu isu, namun selepas Almarhum membuat keputusan, semua ahli wajib memberi sokongan penuh ke atas perkara itu secara collective responsibility di mana semua ahli perlu akur dan sokong ke atas keputusan yang dicapai.

Sama juga di dalam program TLC yang telah ditimbulkan di dalam Sidang DUN baru-baru ini, apa jua pandangan yang diutarakan di dalam mesyuarat itu, semua ahli mesyuarat wajib menyokong dan mendokong keputusan tersebut secara sebulat suara dan bertanggungjawab secara bersama selepas keputusan telah dibuat oleh Almarhum. Itulah prinsip syura yang diamalkan sejak zaman Almarhum sehingga ke hari ini.

Saya telah meminta pegawai di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan untuk menyemak penyata rasmi bagi ucapan rasmi semasa YB Dato' Husam menjadi Exco (2004-2013) mengenai apa pendiriannya tentang kedua-dua program penting ini kerana ia pernah ditimbulkan di dalam dewan semasa itu. Adakah YB Dato' Husam bantah, menyokong atau berdiam diri di dalam isu ini semasa ia ditimbulkan dan dibahaskan di dalam dewan semasa tempoh YB Dato' Husam menjadi Exco Kerajaan Negeri?

Jadi, saya ingin memohon kepada semua ahli PAS, penyokong PAS dan rakyat yang cintakan kepada Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz supaya bersabar dan nantikan keputusan semakan ke atas penyata rasmi untuk mengetahui ucapan rasmi YB Dato' Husam tentang isu TLC dan Ladang Rakyat ketika beliau menjadi Exco Kerajaan.

(YB DATO' HJ ANUAR TAN BIN ABDULLAH)
Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Perpaduan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Negeri Kelantan.
31 Oktober 2016
30 Muharram 1438H


Walaupun Anuar Tan mengeluarkan kenyataan itu tetapi penjelasan perkara pokok dibangkit Husam masih belum terjawab. Dakwaan Anuar Tan yang Husam turut hadir sama dalam beberapa siri mesyuarat yang dinafikannya juga belum terlerai. Annuar Tan meminta orang ramai menunggu semakan penyatan rasmi mesyuarat mengenai isu TLC dan Ladang Rakyat semasa Husam menjadi Exco 2004 - 2013.

Ertinya kenyataan media Anuar Tan itu masih belum muktamad lagi keadaan ini sedikit sebanyak menyebabkan orang akan menganggap Anuar Tan sudah gagal memenuhi janjinya dan kalah dalam pusingan pertama dan kedua.  

Pun begitu dan ini "merewelkan" keadaan ekoran itu Husam telah membalas segera kenyataan media Anuar Tan itu sekaligus terus mempertahankan kenyataan asalnya. Husam tidak bergajak mempertahankan hujahnya. Dalam kenyataan yang panjang lebar itu (disertakan dibawah) bukan sahaja beliau membalas kenyataan Anuar Tan sebaliknya menambahkan lagi kerumitan di pihak Anuar Tan dan kerajaan negeri apabila beliau mengheret luaskan lagi isu berkenaan menjadikan ia menimbulkan berbagai-bagai tanggapan negatif terhadap ketelusan pentadbiran Kerajaan Kelantan pimpinan Ahmad Yakob.

Kenyataan balas Husam itu boleh diibaratkan sebagai benang laba-laba yang telah menjerat dan "mengarut-ngarut" seluruh anggota Anuar Tan. Anuar Tan sudah menjadi sang mangsa kepada karutan dan belitan sarang laba-laba yang kuat dan kental. Di sinilah bisa dan hebatnya Husam.

Seawal lagi sudah sudah mengira Husam tidak akan berganjak dengan kenyataan media oleh Adun Kota Lama itu sebaliknya menjadikan keadaan lebih rumit. Husam memang suka ruang-ruang begitu dibuka untuknya terus "bercanda" politik di Kelantan. Husam suka menabur umpan dan akan menjala kemudian.

Kenapa harus berlaku demikian? AnuarTan atau mana-mana pihak yang ingin menyerang Husam dengan tujuan untuk mengaib dan memburukkan reputasinya seharus berwaspada dan lebih bijak. Mereka perlu mengenali siapa Husam, cara Adun Salor itu berpolitik dan menjawab segala isu membabit mengenai dirinya. Sejarah tindakan Husam mempertahankan dirinya selama ini perlu diambil iktibar. Beberapa tindakan mahkamah yang diambil terhadap beberapa individu yang memfitnahnya sepatutnya diingati dan diamati untuk mengenali Husam. 

Sebagai seorang yang berpengalaman, bersikap berkata benar walaupun pahit dan tidak bercakap tanpa fakta dan bukti, dan juga politician yang "sanggup makan garam", baik Anuar Tan atau sesiapa tidak perlu mengusik Husam kalau tidak mahu diri "berbidas" balik dengan balasannya. Husam bagaikan harimau terluka jangan cuba menjirus cuka ke tubuhnya.

Apa dilakukan Anuar Tan dan Exco Agama Nasaruddin Daud adalah tindakan cuba mengusik sang harimau yang luka dimana musibahnya akan memeranakan diri.Apapun kita tidak boleh melarang lebih daripada itu, mereka terus boleh bermain dengan Husam kalau mereka punya tenaga boleh lari dengan laju apabila dikejar sang Macan itu kelak.

Polimek mengenai isu dibangkitkan Husam wajar dihentikan. Usahlah mencari siapa yang benar di sebaliknya terutama bagi pihak kerajaan Kelantan. Persepsi mengenai politik itu subjektif. Politik itu juga chameleon. Husam sepatutnya tidak di usik tetapi dijinak, dielus dan dilukanya dirawat. Perlu disedari kalau beliau diusik beliau akan mengamuk ini menyebabkan banyak lagi rahsia dan keburukan kerajaan Kelantan terlondeh. Saya fikir rahsia yang dimiliki Husam bukan sahaja setakat dalam poket tetapi ada disimpan dalam guni dan karung.

Tindakan-tindakan Husam itu saya percaya dan yakin bukan niatnya hendak memburukkan bekas kerajaan yang dipimpinnya sendiri selama hampir 10 tahun. Tetapi beliau terpaksa bangkit demi membela maruahnya yang diinjak sesuka hati. Paling penting tujuannya kerana sayang kepada khazanah Kelantan yang dilihat sedang dimusnahkan. Bukan sahaja Anuar Tan dan lain-lain sayang dan kasihkan Tokguru tetapi Husam juga, malahan cintanya kepada Tokguru lebih dalam tacapannya.

Seperti mana katanya dalam dewan apabila diperintah duduk oleh Speaker; "saya tidak boleh duduk, ini maruah saya, dayuslah kalau saya duduk". Kata-kata dan lafaz itu sepatutnya difahami bahawa Husam tidak mudah untuk dilanyak begitu sahaja, dia akan terus bangkit membela diri sebab dia seorang anak jantan yang berani, pahlawah sudah diuji.

Ikhlas pandangan daripada saya, saya sebutkan sekali lagi dan berharap hentilah polimek dan perbuatan cuba menyalahkan orang (Husam) kerana hendak menunjukkan kita benar. Usah cuba nak tunjuk "bulu betis" kita lebih panjang kalau yang ada itu hanya kosmetik sahaja. Kedua pihak harus kembali ke jalan benar, siratalmustaqim. Husam juga harus tidak perlu melayan singgungan-singgungan kecil terhadapnya apa lagi kalau ia keluar dari mulut budak-budak yang belum baligh dalam politik.

Ahmad Yakob sebagai MB dan abang tua di Kelantan perlu memainkan peranan mendamaikan keadaan. Jangan melihat apabila Husam berada di pihak lain maka segala rasa hormat dan kekaguman kepadanya selama ini terus hilang. Ahmad juga perlu menyedari disebalik penghinaan terhadap Husam itu ada kerugian buatnya kerana mungkin ia dirancang bermotifkan politik untuk menyingkirkan beliau dari kerusi MB?

Sebagai titik akhir catatan pagi ini, saya sangat berharap kenyataan balas Husam kepada kenyataan media Anuar Tan itu adalah kenyataan akhir daripadanya yang mendedahkan atau mempersoalkan beberapa perkara yang boleh memberi kesan buruk kepada kerajaan negeri. Selepas ini jangan ada lagi.

Dan kerajaan negeri seharusnya tidak mendedahkan dirinya kepada keadaan buruk hanya disebabkan oleh seorang insan bernama Husam. Lepas dan relakan Husam berenang ke dalam laut buat sementara sebab akhirnya dia akan kembali ke tepian semula. Sejauh mana seluang melaut akhirnya ke tepian jua.

Baik kerajaan negeri (Pas) atau Husam musuh mereka yang sebanarnya bukan di antara satu sama lain, tetapi musuh mereka yang wajib dihadapi ialah Umno-Barisan Nasional. Jangan mudah berpinar mata. Itu pun sekiranya rancangan untuk menautkan Pas dengan Umno yang dimulai dengan "taawun" itu bukan merupakan suatu yang hakikat. Walahu'alam. [wm.kl.7:45 am 01/11/16]

Berikut disertakan kenyataan media Husam sebagai respons kepada kenyataan Anuar Tan.

LIHATLAH TEGURAN SAYA SECARA POSITIF
(RESPON TERHADAP KENYATAAN MEDIA YB DATO HJ ANUAR TAN)

Saya telah membaca kenyataan media YB Dato Hj Anuar Tan bin Abdullah, Exco Kerajaan Kelantan yang dikeluarkan pada hari ini.

Saya menyambut baik kenyatan ini dan berharap ia menjadi titik ke arah tadbir urus yang dikehendaki Islam berasaskan ketelusan dan keterbukaan dan pertukaran hujah secara sihat dan matang.

*Isu Pertama : Ladang Rakyat*

Saya sememangnya telah membangkitkan isu Ladang Rakyat semasa perbahasan Sidang DUN pada 25 Oktober lepas seperti berikut:

"YB Dato Speaker,

Dalam ucapannya juga, YAB MB menyebut tentang kejayaan Ladang Rakyat.

Ini berdasarkan jumlah pendapatan keseluruhan yang telah diperolehi oleh Ladang Rakyat sebanyak RM 91.5 juta.

Saya tidak pasti keluasan sebenar keseluruhan tanah ladang yang dimiliki oleh Ladang Rakyat pada hari ini. Kecuali YAB MB boleh memaklumkan pada Dewan ini jumlah keluasan ladang milik Ladang Rakyat yang terkini.

Berdasarkan angka yang diberikan oleh Jabatan Audit di dalam laporan Audit ke atas Ladang Rakyat bagi tahun 2011, keluasannya adalah 81,095 ekar. Saya yakin, keluasannya telah bertambah.

Jika RM 91.5 juta dibahagikan dengan 81,095 ekar, perolehan Ladang Rakyat hanyalah sebanyak RM 1,128 untuk sepuluh tahun purata.

Oleh itu, pendapatan purata tahunan hanyalah sebanyak RM 112 seekar setahun!

Jika keluasan sudah bertambah dan lebih besar dari 81,095 ekar, tentulah purata pendapatan per ekar akan menjadi lebih kecil.

Tentulah angka ini sangat kecil.

Oleh itu, adalah elok YAB MB memberikan pecahan pendapatan Ladang Rakyat secara lebih terperinci seperti hasil mengikut setiap perjanjian pajakan, atau hasil mengikut ladang. Bersama pecahan hasil dari jualan kayu balak bagi setiap ladang dan hasil pajakan ladang. Juga keluasan terkini.

Jika kita imbas kembali teguran Audit bagi tahun 2011, antara lain adalah seperti berikut:

5.2.1. Kegagalan Ladang Rakyat yang diusahakan sendiri oleh Perbadanan

5.2.4. Hasil sewaan/pajakan tanah ladang adalah rendah berbanding dengan hasil perladangan.

5.2.5. Pengeluaran wang Akaun Amanah Peserta Program tidak mengikut Arahan Amanah.

5.3.3. Pembangunan Ladang Rakyat dijalankan secara usaha sama dengan syarikat supaya memberi pulangan hasil yang lebih tinggi berbanding dengan sewaan/pajakan tanah yang dilaksanakan sekarang.

5.3.5. Proses kelulusan pemberimilikan tanah perlu dirancang dengan teliti bagi mengelakkan berlakunya pertikaian pemilikan tanah dengan pihak lain agar pembangunan ladang dapat dilaksanakan secara cekap dan teratur".

YB Dato Hj Anuar,

Isu ini tidak dijawab oleh mana-mana wakil Kerajaan sehingga Sidang Dun ditamatkan pada 27 Oktober.

Saya gunakan balik ayat YB sendiri dalam kenyatan media YB iaitu: " Adakah YB Dato' Hj Anuar Tan bantah, menyokong atau berdiam diri di dalam isu ini semasa ia ditimbulkan dan dibahaskan di dalam dewan?"

Kenapa tidak ada sebarang jawapan?

Laporan Jabatan Audit ada menegur KAEDAH PAJAKAN TANAH KEPADA PEMAJU kerana pulangannya kepada Ladang Rakyat adalah rendah.

Adakah YB sedar hal ini?

Apa YB telah lakukan jika YB sedar mengenainya?

YB hanya berdiam diri dan membiarkannya ia berterusan sampai bila-bila?

Bukankah keputusan kolektif yang silap atau lemah boleh dan patut dibaiki oleh keputusan kolektif yang baru?

Adakah YB sedar bahawa pada setiap masa YAB Tok Guru tidak pernah mempengerusikan Ladang Rakyat?

Seingat saya, bila mana permohonan tanah oleh Ladang Rakyat dikemuka di dalam mesyuarat Exco, tidak ada dikemukakan terma-terma penggunaan tanah yang dicadangkan oleh Ladang Rakyat.

Boleh lah kita dengan selamat mengatakan Tok Guru tidak pernah diberitahu kedudukan kecilnya hasil Ladang Rakyat.

Tok Guru hanya diberitahu tentang kehebatan Ladang Rakyat berjaya memberikan dividen kepada peserta.

Untuk menggunakan hujah mengkritik Ladang Rakyat adalah menghina dan mengkritik Tok Guru yang sudah meninggal adalah salah kerana Tok Guru tidak pernah terlibat dalam menentukan apa-apa terma dan syarat usaha sama Ladang Rakyat. Tok Guru tidak pernah terlibat dengan pengurusan serta pentadbiran Ladang Rakyat.

Bagaimana pula boleh dikatakan mengkritik Ladang Rakyat adalah mengkritik Tok Guru?

Ke mana Pengerusi dan pengurusan Ladang Rakyat sehingga nama Tok Guru perlu digunakan?

Memang Tok Guru bergembira atas kejayaan pembahagian dividen tetapi Tok Guru tidak berkesempatan pada waktu itu untuk menilai kedudukan pentadbiran Ladang Rakyat.

Apa yang saya lakukan sekarang adalah menilai pentadbiran Ladang Rakyat dan bukan menolak gagasan Tok Guru untuk membantu rakyat yang miskin menerusi program Ladang Rakyat.

Jangan kelirukan rakyat Kelantan dengan dua isu yang berbeza ini. Gagasan Ladang Rakyat untuk membantu rakyat miskin dengan pengurusan Ladang Rakyat yang lemah yang tidak sama sekali terlibat dengan Tok Guru.

Janganlah sebarang kelemahan Ladang Rakyat disembunyikan di belakang perisai menilai Ladang Rakyat adalah menolak Tok Guru.

Ladang Rakyat bah kan boleh dinilai dalam banyak segi-segi yang lain.

a. Apa kedudukan berbelas-belas anak syarikat Ladang Rakyat yang ditubuhkan?

b. Rungutan Orang Asli bahawa kebun warisan mereka dan tanah perkuburan mereka telah dibinasakan oleh pemaju Ladang Rakyat khususnya di Pasik

c. Ada cadangan pemajuan Ladang Rakyat di kawasan yang terletak di ketinggian 3,000 hingga 3,500 kaki dari aras laut, khususnya di Pos Tuel.

d. Pertanyaan tentang hasil balak atas tanah-tanah yang telah dimajukan.

e. Tidak ada atau boleh jadi amat sedikitnya orang kampung dimasukkan sebagai peserta langsung ladang-ladang.

f. Adanya beberapa bulan dalam setahun, peserta langsung tidak diberikan dividen atas berbagai alasan.

Adakah tanggung jawab kolektif pada masa lalu bermakna perjalanan masa sekarang tidak boleh ditegur?

Saya tidak fikir begitu. Lagi pun saya memang tidak menghadhiri mesyuarat-mesyuarat Ladang Rakyat selepas pandangan saya supaya pemajuan Ladang Rakyat sebaiknya dibuat dengan Ladang Rakyat memajukan sendiri tanah-tanah yang diluluskan tidak dialu-alukan.

Sejak itu, saya sudah mengesyaki, jika nama saya tercatit dalam kehadhiran mesyuarat-mesyuarat tersebut, saya tidak boleh melepaskan diri dari amalan yang pada hemat saya, tidak optimum itu sampai bila-bila. Pada hal, keputusan itu tidak sepatutnya berlaku sedemikian.

Saya mungkin kurang etika atas sikap itu. Saya meminta maaf atas kurang etika saya itu tetapi dengan cara itu sahaja saya boleh lepas atas keputusan yang anggap tidak sepatutnya berlaku.

Jika sekalipun YB Dato Hj Anuar Tan tidak bersetuju dengan cara saya, beliau mesti menjawab persoalan-persoalan yang saya bangkitkan dan bukan berlindung di belakang Tok Guru.

Akhirnya, kadar pajakan untuk ladang-ladang baik sawit atau getah sebanyak sekitar RM 200 se ekar setahun itu patut dikaji atau tidak? Adakah ia tinggi atau rendah? Adakah ia wajar atau tidak?

Jika RM 240 setahun, ia bermakna RM 20 sebulan untuk se ekar.

Saya menunggu penjelasan YB Dato Hj Anuar Tan.

*Isu Kedua : Ladang Hutan Dalam Hutan Simpan*

Ada beberapa aspek isu ini.

Satu : Ketiadaan Tender Terbuka. Hasil untuk kerajaan sepatutnya lebih tinggi jika ditender.

Kedua : Keluasan Yang Melampau Tanpa Noktah. Angka Jabatan Perhutanan Semenanjung adalah seluas 163,637 ha. Saya anggarkan jumlahnya lebih luas dari itu.

Ketiga : Kemungkinan Orang Yang Sama Mendapat Kelulusan Berulang Kali. Kekayaan untuk orang yang sama.

Keempat: Premis hutan yang diluluskan adalah hutan miskin sangat meragukan.

Kelima : Banyak kelulusan yang diberikan berakhir dengan balak dikeluarkan tetapi ladang tidak dibangunkan

Keenam : Memungkinkan salah guna dengan menanam tanaman seperti sawit dan bukan spesis hutan.

Sebagai ahli jawatankuasa Kecil Perhutanan Negeri, YB Dato Hj Anuar seharusnya sedar bahawa saya dan beliau telah berusaha keras secara berterusan untuk:
- menghentikan amalan ini
- paling kurang mengecilkan kelulusan amalan ini.

Alhamdulillah, YB Dato Haji Anuar telah bercakap benar dengan mengiyakan cadangan saya itu semasa pertukaran hujah kita berdua dalam sidang Dun yang lalu dengan berkata : 'ya' dan 'benar'.

Bila kali terakhir saya hadhiri mesyuarat Jawatankuasa Kecil itu?

Kali pertama seorang Adun pada waktu itu dan Exco pada waktu ini, yang telah dilantik oleh PAS sebagai anggota tambahan jawatankuasa ini hadhir dan membacakan senarai nama syarikat untuk kelulusan tanpa sebarang hujah, selepas saya tamat berhujah. Itulah kali terakhir saya menghadhirinya.

Sepanjang 2012, terdapat enam mesyuarat Jawatankuasa ini iaitu seperti berikut:

- Mesy bil 2, 27 Mac 2012
- Mesy bil 3, 8 Mei 2012
- Mesy bil 4, 29 Julai 2012
- Mesy bil 5, 10 Oktober 2012
- Mesy bil 6, 16 Disember 2012.

Mesyuarat pertama adalah di bulan Januari 2012.

Ini adalah satu protes yang saya lakukan.

Sebelum itu, dalam mesyuarat Dewan Harian PAS Kelantan ketika membincangkan cadangan perlantikan anggota baru itu, saya telah meminta Parti menentukan polisi perhutanan untuk diikuti bagi mengelakkan pertembungan yang saya nyatakan. Tetapi tiada polisi diputuskan. Tok Guru tidak hadhir dalam mesyuarat pada hari berkenaan. Jadi, jangan salahkan Tok Guru.

Dalam mesyuarat penyediaan Budget 2012 pada akhir 2011 di bilik mesyuarat Perbendaharaan yang dihadhiri oleh sebahagian Exco dan Adun-Adun, saya telah luahkan kebimbangan saya secara terbuka mengenai isu ini tetapi tiada respon yang konkrit.

YAB Tok Guru sebenarnya telah beberapa kali membatalkan amalan ini tetapi ia muncul kembali.

YAB Tok Guru juga pernah menubuhkan jawatankuasa saringan di mana walaupun saya keberatan, saya telah dilantik sebagai pengerusi dan dua anggota lain.

Ia juga gagal berfungsi dan dengan itu terbubar dengan sendirinya.

Untuk mengatakan mengkritik program TLC adalah mengkritik Tok Guru adalah keterlaluan.

Bagi saya, perbuatan kebudak-budakan seperti ini adalah sebenarnya merosakkan nama baik Tok Guru.

Apa lagi, kelulusan tebang habis itu masih berjalan sampai hari ini.

Jika kelulusan itu tidak ada, bagaimana kekecohan dengan masyarakat Orang Asli boleh berlaku sekarang?

Tebangan habis masih berlaku termasuk di HSK Balah termasuk kompatmen hutan-hutan dara yang tidak pernah terusik.

Sebagai contoh adanya lesen-lesen baru termasuk tebang habis dan TLC:

a. Lesen DB 01 05/2016

239 HA. HSK Balah

Tarikh lesen berkuatkuasa : 7/3/16 - 6/3/17

b. Lesen DB 01(P) 12 -2016 TLC

Kompatmen 100, 101, 102, 112 dan 113. Keluasan 404 ha
Tarikh lesen berkuatkuasa : 3/4/16 - 4/11/16

c. Lesen no DB 01 (P0 15-16) TLC
BLOK D (TLC) KOMPT 143,144, 176, 178 dan sebahagian 179

391 HA

Tarikh lesen berkuatkuasa : 28/6/16 - 27/12/16

d. Lesen DB 02-01-2016

KAWASAN MUKIM ULU NENGGIRI DAERAH BERTAM

70 HA

e. Lesen no DS 02-06-2011

KAWASAN LESEN MUKIM ULU NENGGIRI DAERAH BERTAM

200 HA

Tarikh lesen berkuatkuasa : 26/10/15-25/4/2016

f. Lesen no 01(P)14-16 TLC
KOMPT 248, 249, 250 SEBAHAGIAN BLOK B HUTAN SIMPAN BALAH
193 HA
Tarikh lesen berkuatkuasa : 14/6/16 - 13/12/16

Adakah Tok Guru yang telah meninggal dunia setahun lebih yang lalu masih ke pejabat menandatangani kelulusan itu sampai hari ini? Mustahil. Tentu ada orang lain yang sedang meluluskannya tetapi nama Tok Guru hendak diseret. Malu lah pada Tok Guru untuk YB Dato bertindak begitu.

Adakah kerajaan negeri terlalu desperate?

Perhatikan contoh kelulusan TLC yang saya tunjukkan di atas. Bukankah lesen tebangan itu adalah untuk sekarang?

Bermakna, amalan ini masih berlaku.

Jika amalan ini berterusan, bilakah ia akan berakhir?

Jika tiada teguran dibuat, adakah amalan ini akan berhenti dengan sendirinya?

*Isu Ketiga : Kedudukan KPK*

Seingat saya, selaku Pengerusi Perindustrian, Perdagangan, Perpaduan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Negeri Kelantan - KPK sebagai anak syarikat PKINK adalah terletak di bawah portfolio YB Dato.

Kenapa sepanjang penggulungan YB Dato, isu yang saya bangkitkan termasuk 32 soalan tambahan dengan notis semasa persidangan berasaskan Laporan Audit Dalam SUK, telah langsung tidak dijawab?

Adakah isu KPK memberikan 2,000 ekar setahun kawasannya kepada pihak ketiga dengan harga di bawah paras yang diputuskan sendiri oleh Lembaga KPK juga berlaku di zaman Tok Guru?

Jawabnya tidak. Perjanjian dengan Souncern dibuat selepas Tok Guru tidak lagi menjadi MB.

Kedudukan perniagaan dan urus tadbir KPK telah berubah sama sekali. Isu ini sangat serius dan keterbukaan kerajaan sangat dituntut.

Bahkan dalam kenyataan media YB Dato hari ini pun, isu ini tidak disentuh. Kenapa?

Bolehkah rakyat Kelantan didedahkan dengan Laporan Jabatan Audit Dalam ke atas KPK?

Jawapan MB bahawa laporan ini belum disahkan adalah tidak berbangkit kerana Laporan Audit Dalam seperti ini tidak memerlukan pengesahan Exco atau Kerajaan.

Penjelasan KPK juga telah tersedia dalam laporan itu kerana semasa menyiapkan laporan itu, Jabatan Audit Dalam telah menemui KPK.

Berdasarkan finding Laporan Audit Dalam SUK ke atas KPK itu, keadaan sangatlah dahsyat.

Ini sebenarnya yang patut YB Dato sedihkan, bukan perkara yang diada-adakan tentang Tok Guru.

Saya lebih sedihkan dengan apa yang berlaku kepada negeri saya. Kerana itu saya berani berdiri sekalipun dihujani dengan pelbagai serangan, penghinaan, harasmen dan intimidasi.

*Isu Keempat: Penderitaan Orang Asli*

YB Dato juga sepatutnya menguruskan isu bantahan dan penderitaan Orang Asli sekarang. Satu dari bidang tugas YB Dato adalah Perpaduan Kaum di mana Orang Asli adalah satu dari kaum itu.

Saya katakan, jika isu ini tidak diurus dengan baik, ia boleh menimbulkan pelbagai implikasi buruk.

Telitilah permasalahan mereka dengan dada yang terbuka, profesional, prihatin dan adil.

Masalah mereka sebenarnya adalah gambaran kecil kesan dari pembalakan tebang habis besar-besaran, Ladang Rakyat dan KPK.

Saya hanya mampu memberikan teguran, nasihat dan sedikit pandangan.

Layanilah teguran saya secara profesional kerana, selain saya mempunyai tugas sebagai ADUN, saya juga sayangkan negeri saya.

Mungkin YB dan kawan-kawan YB yang hebat berkuasa sekarang tidak menghargai usaha saya sekarang, tetapi pada masa hadapan, saya berharap saya telah dimaafkan atas apa-apa yang telah dan akan berlaku ke atas negeri saya kerana saya telah pun berusaha memberikan peringatan.

Peringatan itu sepatutnya melepasi batasan politik antara kita semata-mata.

Lihatlah teguran saya ini secara positif. Terima kasih.

Husam Musa
31 Oktober 2016
30 Muharram 1438

No comments: