Friday, December 24, 2021

Ke mana teman-temanku penulis buku?

 SESUDAH SUBUH

HIDUP ini semakin menjauh dan sepi. Dunia seakan kian tergeser dan suasana kini seperti sudah tidak serasi dengan diri ini lagi. Ia sudah menjadi milik orang lain, orang-orang baru, generasi millennium.  

Apakah kerana usia sudah meningkat, atau dunia kian menjauh daripada kehidupan ini, menyebabkan perasaan itu menimpa diri? Suasana atau dunia penulisan buku apa lagi buku politik tidak semeriah dahulu lagi. 

Ramai kawan-kawan penulis yang menjadi penganalisa dan perakam kerenah politik dan pemainnya telah menutup pena atau pun tidak membuka mesen taip atau laptop masing-masing. 

Justeru kini seakan yang tinggal ini aku sendirian yang terus berkayuh dan berkolek dalam laut perjuangan yang luas dengan penuh kesepian, untuk menyambung kehidupan dan meneruskan perjuangan sebagai penulis buku politik. 

Terasing.

Terasing daripada mereka yang lain. Mereka tidak muncul-muncul lagi dengan membidik buku masing-masing. Apakah mereka sudah ada pekerjaan lain dan juga menukar wadah perjuangan setelah dunia pembukuan tidak menjamin kelangsungan masa depan? Atau mereka sememangnya menulis dahulu kerana pelarian hidup menjadikan ia sebagai sumber pendapatan atau sekadar isengan? 

Maka apabila dunia pembukuan sudah pudar, layu dan tidak "menggemukkan", maka perlu menukar wadah kehidupan dan pamit kepada dunia ini? Apa lagi profesyen baru itu lumayan.

Menulis begini bukan merintih nasib dan menyesalkan kehibaan. Tetapi meluah perasaan dan menyedarkan diri sendiri bahawa keadaan beredar dan berubah. Jauh sekali merengek untung dan rugi, sebab saya menulis buku membawa dua tujuan, untuk hidup dan mengiringi perjuangan. 

Ada nawaitu dan misi agar apa ditulis dijadikan panduan dan ukuran, bermanfaat tidak banyak cukup sedikit. Selebihnya merakam sejarah agar ia kekal di atas kanvas dokumen.

Meriah yang hilang.

Dunia pembukuan politik dulu sungguh meriah. Sebelum tiba zaman IT, ledakan era internet, dunia buku adalah satu-satu sumber maklumat dalam segala aspek khasnya politik. Buku politik menjadi rujukan dan dinanti-nanti oleh khalayak. 

Mereka yang menggemari dunia politik mahu mengetahui pergolakan politik, mengenali peribadi politis akan mendapatkan buku dan senantiasa menanti-nanti kehadiran buku baru daripada pengkaryanya. Tetapi kemeriahan dan keriuhan sekaligus keseronokan itu sudah berakhir. 

Betapa hebatnya golongan penulis politik ketika itu sehingga diwujudkan kelab dari kalangan penulis politik, yang diberi nama Kelab Penulis Politik Malaysia (KPPM). Presidenya Syed Hussein Alattas  dan Setiausaha adalah saya. Hakikatnya kelab ini adalah saya dengan Syed Hussein (Pak Habib) sahaja, yang lain seakan tidak mengikhtirafnya.   

Antara yang bergabung dalam KPPM dan sekaligus sebagai penulis politik, adalah Zakri Abadi, Abdul Halim Mahmod, (keduanya sudah meninggal), Yahya Ismail, Kamal Amir Kamal Hijaz, Zabidi Saidi, Dahlan Maamor, Daud Ibrahim, Alias Hashim, Shahbudin Hussein, Nah Budin, dan lain-lain. Turut memberi sokongan dan menyertai program KPPM ialah Johan Jaafar, arwah Sutung Omar Rs dan juga Dinsman. 

Satu kenangan yang tidak dapat dilupakan dan cukup manis buat penulis politik apabila KPPM meluncurkan serentak 10 buah buku politik daripada sembilan orang penulis menjelang perhimpunan agung Umno sekitar pertengahan tahun 1990-an. Majlis itu disempurnakan oleh Tengku Puteri Zahariah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bertempat di Penang. KPPM menyewa 40 buah bilik hotel selama dua malam.  

Bila mengenang peristiwa itu, saya terbuai dengan sesuatu yang sangat indah tetapi sudah hilang. Rakan-rakan politik juga tidak lagi sering  berjumpa dan berhimpun seperti dahulu lagi. Masing-masing membawa haluan dan berjalan ke arah sendiri-sendiri. 

Bertukar buku.

Keindahan dunia kami ketika itu apabila kami saling bertukar-tukar buku politik atau saling sapa menyapa, "kau tulis buku apa sekarang, dan siapa yang kena (kau pukul atau bantai siapa)". Persidangan Agung Umno menjadi tempat pertemuan kami secara tahunan. Di situlah kami menjual buku samada di reruai ataupun secara pasing dari tangan ke tangan. 

Manakala tempat atau pangkalan selalu kami berjumpa di lobby hotel di Jalan Laut dan pusat membeli belah di The Mall berdekatan bangunan PWTC.

Ketika sedang menulis atau menyiapkan buku "bersendirian", lewat tengah malam, kadangkala saya mengimbau sendiri musim-musim indah itu. Bertanya kepada diri sendiri, kenapa aku masih berdiri di sini mengetuk keyboard dan menghadap skrin, tanpa waktu sehingga adakalanya mata menjadi berpinar dan kabur, kepala pening dan lunyup. Masih lewat tidur jauh malam kerana menulis atau mengedit tulisan atau pun manuskrip selepas itu akan membawanya ke printing dan memasarkannya keesokkan.

Cuma beza kalau dahulu naik bas turun bas menggendung buku untuk dihantar ke kedai mamak di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman, Petaling Jaya atau Subang dan lain-lain, tetapi kini tidak lagi. Tidak perlu bertukar bas lagi, buku dijual dari rumah menerusi skrin laptop atau pun dalam smart phone. Itu bezanya. 

Jelasnya cara menjual kini paling mudah ringkas dan mengesankan. Cuma bezanya kalau dahulu cetak buku paling kurang 5,000 setiap naskah, tetapi hari ini cetak mengikut tempahan awal sahaja. Sejak era IT ini jarang buku dicetak sampai 3,000 atau 5,000 naskah. Buku bukan sesuatu yang digemari lagi kerana pembaca beralih ke medium baru (medsos) dalam internet atau e-books. 

Perubahan itu ada baiknya dan ada tidaknya. Dengan carta hari ini boleh ditargetkan berapa buku perlu dicetak dan pulangan juga lebih cepat berbanding dahulu. Jual menerusi internet. Kalau dulu diletak di kedai-kedai secara conssingment, dimana hasilnya paling cepat tiga bulan. Kata sahaja tiga, bulan kadang-kadang sampai lapan bulan, bahkan sampai setahun pun bayaran masih belum selesai. Bahkan ada kedai yang tidak langsung membayar. Berniaga dengan pekedai mamak, menuntut kesabaran tinggi, dan perlu rajin bergaduh. 

Janji dengan pekedai mamak tidak pernah tepat. Bayaran jarang sekali yang secara tunai sebaliknya hutang dengan memberi cek tertunggak (postdated) dua tiga bulan. Menyedihkan, bila tiba masa untuk ditunaikan atau di banikin cek itu melambung pula ada yang akaun sudah ditutup. Bukan itu sahaja untuk mendapat chek tendang itu pun selepas berulang beberapa kali.   

Kadang-kadang buku hilang, pulangan tidak ada dengan berbagai alasan diberikan, kononnya dirampas polis dan sebagainya. 

Itu masih boleh dimaafkan lagi, dan penulis memerlukan tahap sabar yang tinggi bila berurusan dengan pekedai mamak ini. 

Sebenarnya bukan pekedai mamak sahaja, pekedai Melayu juga buat hal sama. Ada sebuah kedai buku Melayu asal Pulau Pinang terletak di off Jalan Pahang, pernah membayar sejumlah buku saya dengan cek, kepunyaan sebuah Taylor, tukang Jahit. Tarikh matang cek itu tiga bulan, selepas dimasukkan ke dalam bank diberi tahu cek melambung.

Membunuh penulis.

Kerenah itu satu hal yang menjadi musuh dan membunuh kejayaan sebagai penulis buku politik. Ada masalah lain lagi menjadi kekangan kepada penulis apabila buku tiba-tiba menjadi laris dan laku kerana isu semasa yang hangat. Ambil contoh di era Reformasi akhir tahun 1998, ramai penulis yang menjadi kaya dan beralih bulu. Semua bahan atau cerita mengenai Reformasi dan Anwar Ibrahim mendapat sambutan. Buku laris bagaikan pisang digoreng.

Bila ini berlaku timbul masalah lain, yakni cetak rompak. Lanun.  

Ah, itu semua dahulu kini sudah tidak ada lagi. Buku sudah tidak laku, penyamun juga sudah beralih kerja. Dan yang terus menulis kini hanya aku. Sesekali Pak Habib, masih juga muncul dengan bukunya yang ditulis mengikut angka usianya. Yang lain sudah lama menyepi dan menghilang. Apakah akan kembali lagi zaman kegemilangan dan keseronokkan seperti diceritakan tadi?

Pun begitu saya tetap bersyukur walaupun bersendirian, tetapi masih ada teman pembaca yang mengikut penulisan dan buku saya. Walaupun kekerapannya kini sebuah setahun, tetapi alhamdulilah masih ada yang sudi menjamah dan membacanya. Atas sokongan anda budiman, saya banyak berterima kasih dan terus mendorong semangat untuk saya menulis selagi mampu. 

PERHATIAN: Buku terbaru "Mengapa Anwar Masih Belum Jadi PM" tinggal beberapa naskah sahaja lagi. Kepada yang berminat sila WhatsAap 016-8443996 atau 013-2336776. [wm.kl.7:56 pm 24/12/2021] * tanpa edit.

No comments: