Wednesday, July 30, 2025

Apabila wajah Anwar tenang, melegakan saya...

CATATAN PERJALANAN (1)

Husam, Nazri dan Zunar sedang menanti
ketibaan Anwar. 
EMPAT hari sebelum berlangsungnya himpunan Turun Anwar, saya berlepas ke India, jadi tidak sempat menunggu hari yang malang buat pembangkang dan segelintir rakyat yang terpanggil dengan himpunan itu. Saya tidak dapat menyaksikan dengan mata kepala sendiri peristiwa itu. 

Kebetulan pada hari saya hendak berlepas, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan meluncur buku biografi Zunar, Meluki Dengan Hati bertempat di Pustaka Raja Tun Uda, di Shah Alam. 

Zunar sudah lama memaklumkan kepada saya, sebulan lalu akan majlis itu. Mulanya saya terpaksa batalkan memandangkan pada tarikh itu, saya akan ke India. Namun setelah menganjak waktu penerbangan, sempatlah juga saya ikut hadir. 

Saya hadir bersama Datuk Husam Musa yang juga akan bersama ke India dan seorang lagi Dr Wan Ahmad Kamil Wan Abdullah. Misi permusafiran kami ke Lembah Indus itu, adalah pemusafiran saya pertama sejak menjalani pembedaan jantung dua tahun lepas. InsyaAllah catatan perjalanan itu akan dimuat dalam blog ini. 

Saya menyempatkan diri untuk hadir di majlis Zunar itu semata-mata untuk berjumpa dengan Anwar dan bagi menatap wajahnya. Manalah tahu, takut-takut sepulangnya saya dari India nanti beliau tidak lagi menjadi perdana menteri kerana ditumbangkan. Jadi saya perlu berjumpa dan bersalaman buat terakhir kali dengannya.

Ramai yang hadir di majlis Zunar itu dan ia sangat meriah. Sebaik saya tiba bersama Husam, sudah ramai para tetamu jemputan yang hadir, berdiri menanti tidak sabar untuk berjumpa dengan Perdana Menteri. Saya dan Husam disambut mesra oleh Pengarah PPAS Datin Mastura dan Zunar.

Saya nampak ada rakan-rakan lama Anwar terutamanya yang menerima jemputan daripada Zunar. Antaranya Nazri Abdullah, Ismail Yusof,  Sivarasa Rasiah juga ada serta lain-lain yang tidak dapat satu sebut satu persatu.

Turut sama hadir para artis, seniman serta producer dan pengarah filem terkenal Yusuf Haslan juga hadir. Sasterawan Negara A Samad Said juga hadir. Selain itu pengasas Air Asia Tonny Fernandes juga kelihatan serta beberapa orang kenamaan lain. Selain itu ramai juga para refomis dan rakan Zunar yang mengetahui majlis itu turut hadir.

Kehadiran para jemputan begitu ramai suatu penghormatan buat seorang kartunis, Zunar. Nampak perjuangannya selama ini bersama reformasi tidak sia-sia dan dinilai serta disanjung. Penerbitan buku biografi Menulis Dengan Hati yang diterbitkan dengan kerjasama PPAS  itu satu penghormatan. Bukan setakat itu pada saya, Zunar sewajarnya diiktiraf lebih hebat dari itu dan satu anugerah berupa darjah kebesaran juga patut disangkutkan di lehernya.  Dan jika perlu diangkat menjadi ahli dewan negara mewakili golongan penggiat seni dan budayawan. 

Menurut Zunar mulanya dia mahu majlis itu ringkas dan tertutup sahaja. Tetapi menandangkan akhir-akhir ini Perdana Menteri hebat dikecam dan dihina, apa lagi diambang perhimpunan untuk menurunkannya oleh pembangkang, jadi dia buka sahaja majlis kepada umum.

"Aku buka kepada semua, sapa nak datang.. datang, kita tunjukkan sokongan buat Anwar," kata Zunar kepada saya tanpa berselindung disebalik pengubahan saat-saat akhir acara itu. Memang tindakan Zunar itu tepat, berhasil mengundang ramai tetamu menyebabkan keadaan dewan "penuh penar" dan melimpah ruah saampai ke luar. Sekali pandang majlis peluncuran buku itu persis sebuah perhimpunan mengatakan sokongan dan dokongan kepada Anwar pula. 

Kedatangan Anwar bersama isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail (Kak Wan) itu adalah satu penghormatan dan pengiktiraf kepada seniman, journalis dan kartunis semua, khasnya yang bersama Reformasi. Belum pernah lagi majlis peluncuran sebuah buku dihadir para jemputan berkelas tinggi. Bayangkan tiga orang menteri dan seorang menteri besar menjadi tetamu khas. Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Komunikasi Fahmi Fadhil dan Menteri Besar Selangor Amiruddin Shari. 

Selain itu para, tetamu terdiri dari beberapa kedutaan dan anggota Exco Selangor, Ketua Setiausaha Politik PM Shamsul Iskandar Md Akin juga turut sama hadir.

Hari itu Anwar tiba bersama Kak Wan selepas menghadiri sessi sebelah pagi parlimen.

Dari jauh saya nampak kelibat Anwar turun dari kereta bersama Kak Wan dengan senyum, melangkah gaduh gagah bersalaman dengan seorang demi seorang para tetamu utamanya di majlis itu dengan diiringi "tuan kija"  Zunar. 

Kak Wan mengikuti penuh kesetiaan dan ceria dari belakang sempat memberikan sebuah senyuman untuk lensa telefon lama saya. 

Sejenak kemudian, begitu ternampak Husam yang menanti sedikit jauh ke hadapan, Anwar bergerak dan bersalaman. Tangan meraka lama bergenggaman dan ada bicara tumpah antara mereka menjadikan perjalanan pause sekejap. 

Saya tidak dapat pastikan apakah butir bicara mereka itu, tetapi difahamkan mengenai lawatan ringkas Anwar ke Kelantan awal September nanti. Saya berada di sedikit belakang ralik "memukul gambar" dengan telefon lama. Dan begitu melihat saya, Anwar mememekkan mulut seperti biasa lantas menghulurkan tangan, kami bersalaman tanpa ada kata-kata yang sempat terluah, tetapi konteks batin terus mengemakan sebuah talunan rasa yang sama, puas.

Sebahagian tetamu kehormat
yang hadir.
Saya puas melihat wajahnya yang tenang melangkah gagah dan berwibawa. Jabatan salamannya yang kemas menandakan ia bukan buat-buat, saya menyimpulkan bahawa perdana menteri saya itu, pada hari tersebut dalam keadaan utuh, yakin dan bahagia. Promo untuk berhimpun menjatuhkannya sedikit pun tidak menganggu mindanya.

Saya dan Husam tidak sempat lama dalam majlis itu. Sebaik Pengarah PPAS Datin Mastura selesai berucap mengalu-alukan kedatangan PM itu dan meluahkan rasa bangganya tidak terhingga, saya dan Husam terpaksa tunduk hormat meninggalkan majlis untuk ke lapangan terbang bagi memulakan misi permusafiran ke negara ketamadunan Lembah Indus. 

Naskah hadiah buku Melukis Dengan Hati tidak pun sempat saya ambil untuk dibaca dan dijadikan teman dalam permusafiran, bagaimana pun sdr Haili memberi tahu ketika saya di lapangan terbang yang Zunar ada simpan untuk saya.  [wm.kl. 12:33 pm 30/07/2025]



No comments: