Showing posts with label Ariffin Zakaria. Show all posts
Showing posts with label Ariffin Zakaria. Show all posts

Monday, January 16, 2012

Reaksi

Bekas Hakim Juga Perlu Isytiharkan Harta

Setuju sangat dengan saranan dan permintaan Ketua Hakim Negara Arifin Zakaria agar para hakim mengisytiharkan harta milik mereka baik didalam negara dan juga luar negara. Dengan berbuat begitu ia merupakan nilai tambahan kepada integriti hakim yang sangat-sangat diperlukan.

Tindakan itu juga boleh melenyapkan tuduhan buruk kepada hakim yang sememangnya terbuka untuk terlibat dalam rasuah. Apabila semua hakim mengisytiharkan harta mereka, rakyat dapat menilai akan kedudukan dan juga tahap integriti mereka sebagai orang yang boleh dipercayai dalam melaksanakan keadilan.

Cuma di sini saya ingin tambah sedikit kalau tidak menjadi kesalahan dan boleh dilakukan, bukan sahaja hakim yang sedang berkhidmat perlu mengisytiharkan harta mereka tetapi hakim-hakim dan juga bekas Peguam Negara juga perlu berbuat demikian.

Walaupun mereka sudah bersara tetapi bukan bermakna mereka tidak boleh terlibat dengan rasuah atau apa-apa cara pengumpulan harta secara haram. Misalnya mereka berkemungkinan boleh menerima apa-apa imbalan dalam bentuk kekayaan selepas mereka bersara sebagai membalas apa-apa 'jasa' atau 'khidmat' yang mereka beri?

Pemberian atau salah laku ini selamat dan lebih mudah terjadi selepas mereka bersara.

Elok kalau diwujudkan akta untuk membolehkan para hakim dan Peguam Negara yang telah bersara berbuat demikian. Lanjutan dari cadangan Arifin itu mungkin boleh disambung oleh Nazri Aziz yang bertanggungjawab kepada bidang kehakiman di negara ini.

Sedikit tambahan lagi pengisytiharan itu juga boleh diperluaskan kepada kalangan kedua terdekat seperti isteri dan anak-anak.

Cadangan Arifin itu merupakan satu tindakan yang agak pahit tetapi ia adalah demi kebaikan dan meletakkan institusi kehakiman di tempat yang paling mulia. Cadangan itu juga perlulah disegerakan dan ia tidak perlu ada mana-mana pihak cuba membantahnya. [wm.kl.9.16 am 16/01/12]

Monday, September 5, 2011

Tahniah

Murid Sekolah Gual Periok Jadi Ketua Hakim Negara

HARI ini bumi Gual Periok khasnya Sekolah Kebangsaan Gual Periok, Rantau Panjang Kelantan merasa bangga dan bertuah kerana anak didiknya telah dilantik menjadi Ketua Hakim Negara yang baru. Murid berkenaan ialah Tan Sri Ariffin Zakaria (foto) yang hari ini diumumkan oleh Perdana Menteri sebagai Ketua Hakim Negara yang baru menggantikan Tun Zaki Tun Azmi berkuat kuasa 12 September ini.

Ariffin yang sebelum ini adalah Hakim Besar Malaya diumumkan sebagai Ketua Hakim Negara oleh Perdana Menteri Mohd Najib Razak. Menurut Najib perlantikan Ariffin itu diperkenakan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Mungkin anak-anak Gual Periok tidak mengetahui bahawa sebahagian besar masa Ariffin masa remaja dihabiskan di Gual Periok.

Mungkin tidak menjadi kesalahan kalau saya mewakili penduduk Gual Periok dan juga murid tua Sekolah Kebangsaan Gual Periok mengucapkan syabas dan tahniah kepada Ariffin atas perlantikan ke jawatan tertinggi dalam bidang kehakiman itu.

Sesungguhnya perlantikan itu menjadi kebangaan dan memberi semangat kepada anak-anak Gual Periok untuk mengikut jejaknya. Perlantikan Ariffin menjadikan beliau adalah satu-satu murid sekolah berkenaan menduduki nombor satu dan tertinggi dalam sesutau institiusi di negara ini. Tahniah. [wm.kl.5:45 pm 05/08/11]